Monday, 12 February 2007

MELAKA JADI PUSAT MAKSIAT


GAMBAR 1 - Kedai Sports Toto dan Mangnum 4D yang terletak berdekatan antara satu sama lain di Taman Merdeka
Gambar 2 - Kedai Agensi Nombor Ramalan Damacai di seberang jalan bertentangan dengan Kedai Sports Toto dan Magnum 4D.



Melaka yang suatu waktu dulu merupakan tempat penyebaran Islam di zaman Kesultanan Melayu Melaka kini bertukar wajah menjadi tempat suburnya kegiatan maksiat. Walaupun kini Melaka ditadbir atas prinsip Islam Hadhari namun sebenarnya prinsip ini sedikit pun tidak membenci dan mencegah maksiat. Malah sebaliknya program-program dan pusat-pusat maksiat ini diberikan lesen untuk beroperasi dengan berleluasa.

Semua daerah dan pekan-pekan kecil mempunyai kedai judi seperti 4 nombor ekor, Sports Toto, Agensi Nombor Ramalan Damacai dan lain-lain. Selain itu kedai menjual arak boleh didapati di mana-mana sahaja seperti kedai 24 jam 7 Eleven dan juga kedai-kedai runcit orang bukan Islam yang sudah semestinya menjual arak.

Pekan-pekan kecil ini juga penuh dengan disko-disko kecil yang berselindung dengan nama restoran. Restoran-restoran tertutup ini kebanyakannya di buka waktu malam dengan disinari cahaya-cahaya lampu yang terang benderang di bahagian koridor restoran, tetapi bahagian dalamnya gelap atau samar-samar sahaja lampunya.

Tinjauan yang di buat di sebuah pekan kecil antaranya di kawasan Taman Merdeka mendapati bahawa terdapat 3 kedai nombor ekor yang terletak berdekatan antara satu sama lain. Apa yang lebih malang kebanyakkan pengunjung setia kedai-kedai nombor ekor itu ialah orang-orang melayu yang mengaku Islam.

Tidak jauh dari Taman Merdeka iaitu tidak sampai 2 km, iaitu di kawasan deretan kedai Kawasan Perindustrian Cheng juga terdapat kedai judi iaitu Sports Toto dan Magnum 4D. Mengapa kawasan yang begitu dekat dibenarkan begitu banyak kedai judi beroperasi. Apakah kerajaan negeri ingin menyogokkan rakyat negeri Melaka dengan judi dan maksiat?

Begitu juga di Pekan Ayer Keroh iaitu tempat yang paling pesat membangun di zaman pemerintahan Ketua Menteri sekarang iaitu Dato’ Wira Mohd Ali Rustam, kedai-kedai judi nombor ekor ini begitu subur pertumbuhannya. Kita merasa hairan bagaimana Islam Hadhari yang menjadi teras pemeritahan Kerajaan Negeri Melaka membiarkan malah memberikan lesen kepada pusat perjudian seperti ini yang jelas menjadi pemangkin kepada terjerumusnya umat Islam ke kancah perjudian.

Bandar-bandar lain seperti Alor Gajah, Jasin dan Masjid Tanah juga tidak ketinggalan menjadi ‘syurga’ bagi kaki 4 nombor ekor dan Toto. Antara alasan yang kerap kali kita dengar apabila diajukan persoalan mengapa kedai-kedai judi diberikan lesen ialah judi tidak boleh dihapus atau dikurangkan kerana ia menjadi budaya Orang Cina. Sedangkan fakta ini telah dinafikan oleh Orang Cina sendiri.

Apakah kerajaan Negeri Melaka tidak tahu bahawa judi itu sendiri bukanlah budaya orang Cina sebagaimana sangkaan kita sebelum ini. Kenyataan ini terbukti apabila rakyat berketurunan Cina di Kelantan menyokong penuh tindakan Kerajaan Islam Kelantan menutup premis perjudian di Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut. Mereka sendiri menafikan bahawa judi merupakan budaya orang Cina.

Apakah Firman Allah S.W.T yang menghalalkan judi tidak digunapakai di dalam Islam Hadhari, atau ayat ini telah dimansuhkan oleh Imam Besar Islam Hadhari iaitu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bergelar Imam Al Badawi Wal Hadhari.

Pusat-pusat hiburan yang menjadi tempat berlakunya mukaddimah zina juga tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Melaka. Pusat-pusat hiburan seperti Dangdut, Disko, Kelab Malam, Diskotique, Karaoke dan sebagainya menjadi tempat hiburan sementara kononnya untuk menghilangkan kerunsingan dan kekusutan fikiran. Nama-nama tempat hiburan seperti Dangdut Anita, Spazzo (suatu waktu dahulu) dan lain-lain menjadi ‘wirid’ anak-anak muda dan golongan tua. Tempat-tempat begini menjadi pelabuhan pertama kupu-kupu malam sebelum meneruskan operasi berikutnya.

Siapa yang tidak tahu Jalan Melaka Raya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Ianya bagaikan mati di siang hari tetapi hidup dan harum pada malam hari. Jumlah pusat-pusat hiburan di Jalan Melaka Raya ini sungguh banyak. Jika kita berkunjung ke kawasan ini pada malam hari kita akan dapat menyaksikan pelbagai gelagat manusia yang datang mengunjungi tempat-tempat hiburan ini seolah-olah kita bukannya berdiri di tengah-tengah negeri Islam Hadhari tetapi lebih mirip kepada Hatyaai atau Phuket di Thailand.

Saban hari ada sahaja berita yang tersiar di dada akhbar tentang tertangkapnya orang Islam yang berkhalwat dan berzina di sekitar negeri Melaka.

Rumah urut, Spa, salon kecantikan dan sebagainya juga didakwa menjalankan ‘perniagaan sampingan’ demi untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda.

Selain dari itu Bandar Melaka juga memang terkenal dengan pusat maksiat seperti rumah urut dan Pusat Pelacuran yang kian menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negeri.

Pada malam 11 Feb baru-baru stesyen NTV7 melalui rancangan Edisi Siasatnya membongkar kisah pelacuran yang berleluasa di sekitar Bandaraya Melaka.

Sesungguhnya kegiatan jijik tersebut sudah lama berlaku tetapi semacam sengaja di biarkan oleh pihak berkuasa. Ianya telah berlaku sejak turun temurun. Kawasan-kawasan yang terkenal dengan kegiatan tersebut adalah di Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Bunga Raya serta beberapa kawasan lain. Nama-nama seperti Pokok Kelapa, Ekspres Belakang, Rumah Hijau dan sebagainya menjadi siulan para pencinta perempuan murahan tersebut. Harga perkhidmatan yang istimewa sehingga ke paras semurah RM30.00 menjadi penggalak kepada berkembangnya industri yang dikatakan antara yang tertua di dunia ini.

Lebih malang lagi Edisi Siasat juga mendedahkan bahawa antara pelanggan pelacur-pelacur murahan ini adalah pelajar-pelajar kolej yang rata-ratanya berketurunan melayu. Inilah produk sistem pelajaran Islam Hadhari yang jelas tidak tahu halal dan haram. Apa yang penting bagi mereka adalah nafsu mesti dilampiaskan walaupun risikonya amat tinggi.

Mengapa setelah ianya didedahkan oleh Media sejak kesekian kalinya tempat-tempat begini masih beroperasi seolah-olah ianya mendapat perlindungan istimewa dari pihak tertentu.

Ini yang menjadi persoalannya?

Mungkinkah dengan suburnya kegiatan pusat-pusat maksiat ini Allah telah mendatangkan bala yang besar kepada rakyat di beberapa daerah di Melaka pada bulan Disember lalu. Namun nampaknya bala tersebut sedikitpun tidak meninggalkan tanda-tanda keinsafan di kalangan rakyat dan pemimpin negeri yang sangat suburnya anutan Islam Hadhari ini.

Kini Melaka mula merasai ujian Allah yang seterusnya iaitu kemarau. Dengan tangkas pemimpin-pemimpin Islam Hadhari bingkas memberikan alasan bahawa kemarau adalah di sebabkan oleh fenomena El Nino yang menjadi perkara biasa kata mereka. Tidak sedikit pun ada rasa insaf. Setidak-tidaknya mereka patut mengambil iktibar dari bala banjir baru-baru ini. Kita menanti dengan sabar bila agaknya pemimpin Islam Hadhari Melaka maupun Pusat berpesan kepada rakyat supaya bertaubat dan berdoa agar bala kemarau tidak menimpa Melaka dan Malaysia.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59