Friday, 2 February 2007

MASIH ADA RAKYAT NEGERI KEDAH YANG MISKIN?


Jika ditinjau dari 'kehebatan' dan 'kepandaian' MB dan KM negeri yang diperintah oleh BN kita seolah-olah tidak akan berjumpa dengan orang miskin di negeri mereka.

Tetapi rupanya itu hanyalah omongan kosong.

Media melaporkan bahawa akibat dihimpit kemiskinan, sebuah keluarga di Kampung Tanjung Piring di Daerah Sik, sanggup menangkap seekor kura-kura untuk dijual pada harga RM7 demi mendapatkan sesuap nasi.

Peristiwa menyayat hati itu berlaku kira-kira sebulan lalu apabila keluarga terbabit tidak mempunyai pilihan kerana kehilangan mata pencarian akibat ketua keluarga terlantar sakit.

Menceritakan kesempitan hidup dialami keluarganya, Zaitun Wahab, 43, berkata suaminya, Mohd Yusof Osman, 43, terlantar sejak tiga bulan lalu selepas mengalami penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Menurutnya, usaha anaknya menangkap seekor kura-kura yang kebetulan lalu di hadapan rumah untuk dijual baru-baru ini bagi menyambung kehidupan keluarganya, amat mengguris hatinya.

“Kejadian itu memang menyedihkan tapi ketika itu kami langsung tidak mempunyai sebarang makanan, mujur kura-kura itu lalu di depan rumah.

“Itulah wang yang digunakan untuk membeli beras.

“Kemiskinan menyebabkan saya tak mampu membeli beras kerana ketiadaan wang. Adik-beradik turut membantu tapi mereka juga miskin dan mempunyai tanggungan ramai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zaitun bersama enam anaknya, Rohayu, 17, Ramlah, 15, Norshafina, 13, Siti Rozimah, 10, Nor Shafiqah, 5 dan Mohd Firdaus, 2, kini hidup menderita di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang sudah uzur.

Suaminya sakit mata kira-kira setahun lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Alor Star (HAS) selama tiga minggu selepas penyakitnya melarat dan kepalanya berkudis teruk sembilan bulan lalu.

Sejak tiga bulan lalu, suaminya langsung tidak boleh bangun dan kini mata kirinya tidak dapat melihat, manakala badannya semakin kurus, lemah dan langsung tidak boleh bercakap sejak seminggu lalu.

“Suami tak boleh bercakap dan bangun, sebaliknya hanya terbaring sepanjang hari. Tambah malang lagi, dia tak boleh makan sejak seminggu lalu selain terpaksa dipakaikan lampin pakai buang.

“Walaupun diarahkan HAS untuk membuat pemeriksaan sebulan sekali, disebabkan tidak mampu membayar tambang kenderaan, hasrat itu terpaksa dilupakan walaupun bimbangkan kesihatannya,” katanya.

Zaitun berkata, sebelum ini, suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM20 sehari tetapi sejak jatuh sakit, segala makan minumnya kini mengharapkan belas ihsan jiran terdekat.

Disebabkan kemiskinan, tiga anaknya, Rohayu dan Ramlah hanya bersekolah hingga tahun enam, manakala Nor Shafina pula terpaksa diberhentikan ketika di tingkatan satu.

“Seorang lagi anak saya, Siti Rozimah yang sedang bersekolah di tahun empat mungkin diberhentikan juga kerana kesihatannya sering terganggu selain tidak mampu.

“Rohayu kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah kira-kira RM10 sehari. Bagaimanapun, ada kalanya dia tak kerja kerana tiada kenderaan.

“Tidak makan nasi sehari perkara biasa dan jiran terdekat serta saudara-mara boleh menghulurkan bantuan, cuma risaukan Mohd Firdaus dan Nor Shafiqah masih menyusu,” katanya.

Menurutnya, dia pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik untuk mendapatkan bantuan enam bulan lalu tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan.

“Saya benar-benar terdesak dan merayu orang ramai membantu mengubat penyakit suami selain membeli lampin pakai buang serta belanja harian yang sering terputus,” katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59