Wednesday, 14 February 2007

Bantuan berat sebelah, puluhan ribu petani terus merana


PETALING JAYA 14 FEB : Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib puluhan ribu petani Johor yang menanggung kerugian besar apabila tanaman mereka musnah akibat banjir baru-baru ini.
Mereka menghela nafas lega apabila diberitahu pelbagai agensi kerajaan akan membantu mereka memulakan penghidupan baru, tetapi malangnya, sehingga kini mereka ternanti-nantikan bantuan yang tidak kesampaian.
Nasib mereka sungguh malang kerana ketirisan pengagihan bantuan itu menyebabkan ramai daripadanya kini menghadapi kesempitan yang teramat sangat.

Menurut Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Fatimah Mohd Arshad, ramai petani di Johor seolah-olah sudah hilang punca kerana bukan sahaja tanaman mereka musnah, tetapi juga kesan serius banjir ke atas tanah kebun dan ladang mereka.

"Ini bermakna mereka seolah-olah terpaksa bermula daripada sifar kerana perlu membersih dan memulihkan kebun dan ladang mereka sebelum boleh mengerjakannya semula.

"Untuk tempoh sekurang-kurang enam bulan akan datang, golongan ini memang tidak ada sebarang sumber kewangan melainkan mereka beralih kepada kegiatan ekonomi lain.
"Mereka sangat memerlukan bantuan bagi menghadapi bencana ini, tetapi, yang menyedihkan, ramai daripada mereka ini belum lagi mendapatnya.

Tanpa bantuan yang sistematik dan berkesan dan keprihatinan daripada pihak berwajib, tidak mustahil jika sebahagian besar daripada petani Johor akan terus meninggalkan sektor itu,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Prof Fatimah baru-baru ini mengetui sekumpulan penyelidik UPM melawat tiga daerah paling teruk dilanda banjir -- Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi -- bagi meninjau kesan bencana itu terhadap sektor pertanian di samping membuat anggaran jumlah kerugian yang ditanggung petani.

Hasil tinjauan itu yang dilengkapi temubual dengan golongan yang terjejas, katanya, jelas bahawa pemberian bantuan oleh kerajaan itu bukan sahaja tidak mencapai sasarannya, tetapi berat sebelah.

"Ada golongan yang mempunyai pengaruh mendapat bantuan berganda kerana mereka pandai mendapatkannya daripada agensi-agensi pengagih yang berbeza-beza, sementara mereka yang kurang arif, terutama golongan petani dan pekebun di pedalaman, terus tidak mendapat bantuan langsung.

"Selain unsur tidak amanah, keadaan ini timbul kerana tiada pangkalan data yang lengkap mengenai sektor pertanian serta mereka yang terlibat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan penyelarasan antara agensi-agensi bantuan," katanya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menambah peruntukan dan subsidi bagi membantu petani dalam waktu pemulihan ini bagi membolehkan mereka membangunkan semula perusahaan masing-masing dan subsidi ini bolehlah ditarik secara berperingkat-peringkat apabila mereka dapat berdikari.

Prof Fatimah juga menggesa pihak berwajib mengambill iktibar daripada bencana ini dengan memperkemaskan persediaan menghadapi kemungkinan serupa di masa akan datang dengan membina pangkalan data lengkap mengenai golongan petani, hasil tanaman dan kadar pengeluaran supaya mereka tidak terpinggir apabila bencana menimpa.

Di samping itu, katanya, inilah masa yang paling sesuai bagi kerajaan memperbaiki sistem pengairan dan infrastruktur lain yang telah musnah akibat bah besar itu dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih mesra alam dan mesra penduduk.

“Fenomena banjir termenung mesti diberi perhatian. Tidak ada sebab mengapa rakyat mesti terus dibebankan dengan fenomena ini tanpa sebarang inisiatif daripada kerajaan untuk mengatasinya.

“Faktor kemanusiaan mesti diberikan fokus di samping pengurusan pantai, sungai dan penelitian semula ke atas dasar pembangunan seperti membendung pembogelan hutan dan bukit yang tidak terancang agar ia tidak terlalu membebankan alam sekitar,” katanya.
Prof Fatimah juga mencadang agar insurans ke atas hasil tanaman diperkenalkan bagi meminimumkan risiko pendapatan golongan petani yang tidak stabil.

Insurans tanaman, katanya, boleh menyediakan pampasan di masa hadapan apabila berlaku bencana atau malapetaka.

“Bagaimanapun kerajaan perlu memberikan insentif kewangan bagi menggalakkan syarikat menceburi bidang ini dan golongan petani diberikan inisiatif bersesuaian untuk menyertainya,” kata beliau.

Pampasan dan bantuan yang diumumkan kerajaan setakat ini termasuk wang tunai RM200 sekeluarga bagi mangsa banjir pertama, RM200 bagi banjir kedua dan tambahan RM500 setelah mereka pulang ke rumah masing-masing. (Apakah semuanya telah diterima oleh mangsa?)

Pampasan kepada petani pula ialah RM573 setiap hektar bagi padi, RM2,000 sehektar bagi sayuran, buah-buahan (RM1,000 sehektar), lembu (RM700 seekor) dan RM1,500 sehektar bagi pengusaha akuakultur.

DARI THE STAR

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59