Tuesday, 16 January 2007

SATU LAWAN SATU BN-BEBAS DI BATU TALAM


Pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dengan calon bebas. Parti pembangkang memboikotnya.

Dua orang calon itu telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing di pejabat daerah Raub apabila tempoh penamaan calon ditutup jam 10 pagi ini.

Selepas tamat waktu bantahan, pegawai pengurus pilihanraya, Abdul Kadir Abu Bakar mengumumkan pertandingan antara calon BN, Abdul Aziz Kiram, 47, dengan calon bebas, Ng Chee Pang, 22, seorang peniaga.

Abdul Aziz yang juga setiausaha Umno bahagian Raub (foto) diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ribuan penyokong BN.

Manakala Ng pula hanya diiringi oleh beberapa orang penyokongnya. Ng adalah anak kepada seorang pemimpin DAP Pahang yang pernah bertanding kerusi Parlimen Raub pada 1995 dan 1999.

Kerusi Batu Talam menjadi kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 66 dari BN pada 27 Disember lalu akibat sakit barah.
Batu Talam mempunyai 10,525 pemilih berdaftar dengan 73 peratus pengundi Melayu, 14 peratus pengundi Cina dan 13 peratus lagi terdiri daripada pengundi India dan Orang Asli.

Mafrel puashati

Sementara itu, Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) berpuashati dengan proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Batu Talam pagi ini.

Pengerusinya, Abdul Malek Hussin berkata, kali ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menampal senarai calon untuk tatapan umum.

Dengan ini, katanya, orang ramai boleh melihat butiran diri calon dan jika meraguinya, mereka boleh membuat bantahan kepada pegawai SPR yang bertugas.

Menurutnya, SPR telah gagal menampal senarai calon sewaktu pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis pada 2001 dan ini tidak mematuhi peraturan pilihanraya.

Tugas Mafrel selanjut, kata Malek, adalah untuk memantau kempen pilihanraya sehingga hari pengundian pada 28 Januari ini.

Calon bebas

Sementara itu, Ng kelihatan gementar dan tidak bercakap banyak ketika sidang akhbar diadakan untuk memperkenalkan dirnya.

Sebaliknya, bapanya, Ng Kui Ling yang banyak menjawab soalan wartawan bagi pihak anaknya. Kui Ling adalah bendahari DAP Pahang. Ibu Ng juga hadir di sidang akhbar tersebut.

Ng berkata, beliau bertanding sebagai calon bebas untuk memastikan amalan demokrasi berterusan di mana rakyat mempunyai pilihan untuk mengundi.

Sehubungan itu, beliau meminta pemilih supaya mengundinya dan juga berharap tidak akan kehilangan wang deposit calon.

Ketika ditanya wartawan siapakah yang menajanya, Ng berkata, beliau tidak tahu.

Sebaliknya, Ng menafikan mewakili mana-mana parti atau puak, dan menegaskan tetapi didorong oleh minatnya melihat bapanya yang aktif dalam politik sejak berusia 28 tahun lagi.

Manakala pemimpin DAP Ronnie Liu, yang turut berada di Batu Talam sebagai wakil Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih), menafikan Ng mendapat sokongan parti untuk bertanding sebagai calon bebas.

Malah, katanya, Ng juga bukan ahli parti itu.

'Helah pembangkang'

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Najib mendakwa, pihak pembangkang meletakkan calon bebas untuk menguji sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya kecil Batu Talam.

Katanya, pembangkang mahu melihat tahap sokongan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu kepada calon bukan Melayu.

“Walaupun calon bebas, tetapi pada hakikatnya, dia sebenarnya ditaja oleh DAP,” kata Najib.

Sehubungan itu, Najib berkata, BN tidak akan mengambil mudah pilihanraya kecil ini semata-mata kerana ia ditentang oleh seorang calon.

Katanya, BN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti undi pemilih Cina untuk menyokong calonnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59