Thursday, 18 January 2007

RAKYAT MESTI SOKONG USAHA PEMBANGKANG BOIKOT PILIHANRAYA YANG TIDAK TELUS


MELAKA 18 JAN - Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Yuhaizad Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia menyokong usaha pembangkang khususnya PAS dan PKR memboikot pilihanraya selagi sistem pilihanraya yang dikendalikan SPR tidak diubah sehingga ianya benar-benar telus dan adil.

"Rakyat seharusnya menyokong usaha ini kerana dengan pilihanraya yang adil dan telus sahajalah negara kita dapat diselamatkan kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat nanti adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan adil" kata Yuhaizad kepada blog ini sini pagi ini.

"Sekiranya sistem ini tidak diubah maka sudah tentu kerajaan yang ada hari ini akan kekal kerana mereka akan sentiasa menang dalam pilihanraya kerana sistem itu sendirilah yang membantu kemenangan mereka" jelas Yuhaizad lagi.

Banyak tindakan yang boleh dibuat oleh rakyat bagi menggesa kerajaan dan SPR mengubah sistem ini. Antaranya jelas beliau ialah mengumpul tandatangan dan menghantar memo menggesa kerajaan dan SPR merombak sistem pilihanraya yang ada. Selain dari itu banyak lagi tindakan yang boleh difikirkan sesuai oleh rakyat tetapi Yuhaizad enggan menyatakan dengan jelas apa tindakan tersebut yang disifatkan oleh beliau lebih berkesan.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan di buat oleh pembangkang, kita serahkan kepada pemimpin tertinggi pembangkang untuk bertindak" jelas Yuhaizad dengan berhati-hati.

Seperti yang diketahui umum pembangkang telah mula menunjukkan kesungguhan untuk menyedarkan rakyat bahawa sistem Pilihanraya Malaysia adalah tidak telus dan berat sebelah apabila pembangkang memulaukan Pilihanraya Kecik Batu Talam. Tindakan ini mendapatkan sokongan padu dari NGO, kesatuan sekerja dan pihak-pihak lain.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan akan memulaukan pilihan raya umum akan datang tetapi segala keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan bila tiba masanya.

‘‘Kemungkinan itu ada kalau tidak diperbaiki, jangan fikir ia tak mungkin (dilakukan). Tetapi saya tidak kata ‘ya’,” kata beliau.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri membayangkan kemungkinan itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihan raya kecil Batu Talam 28 Januari ini kerana tidak mahu bertolak ansur dengan perjalanan sistem pilihan raya dan SPR yang dicemari penyelewengan, kepincangan dan penipuan.

Ditanya tentang penyertaan PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir Disember lalu, beliau berkata, pilihan raya kecil itu adalah kes yang berlainan namun mempunyai kaitan.

Di Pengkalan Pasir, katanya, PAS cuba mempertahankan kerusinya yang dirasakan penting kerana ia boleh menggugat kerajaan Kelantan apabila PAS dan Barisan Nasional memiliki jumlah kerusi yang hampir seimbang.

‘‘Perjalanan pilihan raya di Pengkalan Pasir mengukuhkan keputusan Pas untuk tidak menyertai pilihan raya di Batu Talam kerana wujud kes pengundi hantu, penyamaran dan politik wang yang berleluasa,” ujarnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan.

Pengerusi SPR itu juga mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR.
Abdul Rashid dilihat sebagai memberikan gambaran bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, tidak adil dan tidak saksama apabila berkata, selain memberi lebih kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihan raya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.

Beliau juga dilihat menggambarkan bahawa SPR tidak dapat menjamin keadilan dalam pilihan raya apabila berkata, undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59