Thursday, 4 January 2007

PILIHANRAYA KECIL BATU TALAM 28 JAN - MENGUNDI, 16 JAN - PENAMAAN CALON


PUTRAJAYA, 4 Jan - Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam ialah pada 16 Jan ini, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 28 Jan.

Seramai 10,525 pemilih termasuk 14 pengundi pos, layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terakhir yang diwartakan pada 30 Nov 2006, dan diperakui semula hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada satu sidang akhbar di sini.

PAS akan menjadikan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, sebagai medan "warm up" menghadapi tahun pilihan raya.

Sementara itu Naib Presidennya Datuk Husam Musa berkata melalui pilihan raya kecil itu juga PAS mahu menjadikannya sebagai saluran untuk menghantar mesej kepada kerajaan Barisan Nasional supaya mempertimbangkan keputusan menaikkan pelbagai kos hidup.

Beliau yang juga anggota Exco Kelantan berharap pengundi Cina dan Melayu yang cara tradisinya menyokong PAS supaya mempertingkatkan sokongan itu bagi membolehkan mesej itu dihantar kepada kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan tol, harga minyak, gas memasak dan tarif elektrik.

"Saya yakin kepimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya ini walaupun sebelum ini ada cadangan untuk memboikotnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu semalam.

Beliau yakin PAS akan bertanding di kawasan itu berasaskan ia merupakan kerusi tradisi PAS walaupun barisan pembangkang belum membuat keputusan muktamad berhubung parti mana yang akan bertanding.

Katanya penyertaan dalam pilihan raya itu juga bertujuan mengurangkan majoriti Barisan dan dengan sokongan semua pengundi, matlamat itu akan tercapai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan dari Barisan Nasional pada 27 Dis lepas kerana barah paru-paru dan usus.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang selepas mendapat 5,414 undi menewaskan calon PAS Dr Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653 undi bagi majoriti 2,761 undi. Manakala dalam Pilihanraya Umum 1999 Dr Mohamed Nilam tewas majoriti 931 undi kepada Tengku Paris, di mana Tengku Paris memperolehi 4353 dan Dr Nilam mendapat 3,422 undi.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59