Wednesday, 10 January 2007

PAS HAMPIR PASTI BERTANDING DI BATU TALAM


RAUB, 10 Jan -Pesuruhajaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS Pahang sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, beliau bekata demikian dipetik dari laporan Bernama hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim menunjukkan bahawa spekulasi PAS memboikot Pilihanraya Kecil mungkin tidak menjadi kenyataan. Spekulasi ini bertiup kencang apabila pimpinan tertinggi PAS sehingga ke hari ini masih belum memberikan kata putus samada ingin bertanding atau memulaukannya.

Adalah dijangkakan keputusan ini akan diumumkan dalam program ceramah dua tokoh utama pembangkang, yang akan diadakan malam ini di Markaz PAS Sega di sini. Dua tokoh yang akan memberikan amanat mereka malam ini ialah Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Awang dan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai calon, Tuan Ibrahim berkata PAS meletakkan prinsip memberikan keutamaan kepada anak tempatan kerana mereka lebih dekat dengan penduduk dan memahami masalah yang dihadapi.

Antara calon-calon yang disebut-sebut akan mewakili PAS ialah Dr Muhammad Nilam Abdul Manap, Calon PAS pada Pilihanraya Umum 1999 dan 2004. Beliau merupakan anak jati Batu Talam berpendidikan Ijazah Pergigian, Universiti Malaya dan mempunyai Klinik Gigi di Raub. Dr Nilam merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Raub.

Sementara itu Parti DAP Pahang mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan memberikan "bantuan dan kerjasama" sekiranya PAS bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam pada 28 Jan ini.

Pengerusinya Leong Ngah Ngah berkata pihaknya belum menerima apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan parti berhubung kerjasama atau bantuan sebagai rakan pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

"Biasaannya bila ada pertandingan kita di parti pembangkang memberikan kerjasama, tetapi setakat hari ini DAP Pahang belum menerima apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Triang dan satu-satunya anggota pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pahang berkata Batu Talam adalah kawasan orang Melayu dan parti PAS berhak bertanding.

"PAS negeri belum menghubungi kita sehingga kini walaupun kita pernah bersama-sama saling membantu pada pilihan raya sebelum ini. Pilihan raya kecil ini tidak boleh dipandang ringan kerana semua jentera kerajaan BN (Barisan Nasional) akan turun padang dan menumpukan perhatian ke kawasan tersebut," katanya.

DAP Pahang dan PAS Pahang sebenarnya mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi, lebih-lebih pada tahun 1999-2004 apabila ADUN PAS dipilih sebagai Ketua Pembangkang di DUN Pahang ketika itu. Sejak itu DAP dan PAS Pahang sering mengadakan program bersama terutamanya di kawasan Parlimen Bera.

Pilihan raya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Dis lepas kerana barah usus, dan SPR menetapkan 16 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon dan 28 Jan hari pengundian.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59