Thursday, 4 January 2007

KERAJAAN GAGAL TANGANI KRISIS BANJIR


Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan sering ditohmah sebagai lemah dan gagal menangani krisis banjir yang berlaku hampir setiap tahun di Kelantan. Tetapi pada tahun ini Allah membalas tohmahan dan kata nista Umno/BN apabila 2 negeri terkuat Umno/BN iaitu Johor dan Melaka telah dilanda banjir besar dan kerajaan negeri-negeri tersebut gagal menanganinya dengan baik malah mereka seolah-olah tidak bersedia langsung.

Di Melaka misalnya, sudah hampir 30 tahun banjir tidak berlaku di sana menyebabkan kerajaan negerinya mengambil mudah seolah-olah langsung tidak membuat persediaan. Tiga daerah paling teruk dilanda banjir iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Amaran banjir tidak diberikan, bantuan lambat diterima, agihan wang ehsan yang caca marba adalah antara aduan yang sehingga hari ini gagal dijawab oleh Ali Rustam. Malah di Daerah Alor Gajah banjir dikatakan berlaku disebabkan kelemahan agensi kerajaan negeri dan kerajaan negeri sendiri yang gagal mengambil langkah awal mengawal paras air Empangan Durian Tunggal. Sehingga air melimpah dan terpaksa dilepaskan menyebab kawasan disekitarnya mengalami banjir dengan teruk.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengatakan bahawa kerajaan telahpun mengeluarkan amaran banjir seawal lima hari sebelum hampir keseluruhan negeri Johor, serta sebahagian Melaka dan Negeri Sembilan ditenggelami air bah bermula Selasa minggu lepas.

Kebenaran kenyataan menteri itu boleh dipertikaikan banyak pihak, lebih-lebih lagi oleh berpuluh-ribu rakyat yang menderita akibat bencana alam paling buruk dalam tempoh 30 tahun itu.

Dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu, Nazri seolah-olah mempersoalkan mengapa mangsa gagal mengambil langkah awal menyelamatkan diri dan harta benda sedangkan amaran telah lama dikeluarkan.

Sekiranya kenyataan Nazri itu benar, tidaklah sampai ada penduduk di bandar-bandar seperti Segamat dan Kota Tinggi terpaksa tidur di atas atap rumah masing-masing dalam hujan yang lebat kerana tidak sempat menyelamatkan diri mahupun harta benda.

Dalam keaadaan mangsa banjir memerlukan keprihatinan pemerintah, kenyataan rambang yang dibuat tanpa selidik oleh pihak atasan seperti yang dikeluarkan oleh Nazri itu tidak membantu, malah hanya menimbulkan kemarahan rakyat banyak.

Apakah sebenarnya maksud "amaran awal" yang dikatakan oleh Nazri itu?


Dengan panjang lebar, beliau dipetik oleh media sebagai berkata, amaran dikeluarkan pada 13 Dis apabila air di beberapa batang sungai di Johor melepasi tahap berbahaya.

Tetapi, apakah bentuk amaran yang dimaksudkan oleh menteri itu? Jika amaran yang dimaksudkannya itu membabitkan memo pemberitahuan daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) kepada pihak menteri itu bahawa paras air sudah mencapai tahap berbahaya, itu bukan amaran namanya.

Amaran ialah apabila orang ramai diberitahu dengan jelas tentang bahaya yang semakin mendekat, sama ada melalui media, melalui masjid, surau atau badan-badan bertauliah, melalui pembesar suara, atau paling tidak melalui siren bomba.

Jika maklumat mengenai keadaan yang semakin meruncing itu hanya diketahui jabatan-jabatan terbabit seperti JPS, Jabatan Meteorologi, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) dan Jabatan Perdana Menteri sahaja, ia tidak memberi apa-apa makna melainkan jika ia dipanjangkan pula kepada orang ramai dan kemudian digunakan sebagai asas untuk menubuhkan pasukan membantu dan menyelamat yang efisien.

Persoalannya, jika apa yang dikatakan Nazri itu benar, bahawa pihak berkuasa sudahpun tahu keadaan semakin meruncing seawal 13 Dis, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap BKN yang menjalankan kerja penyelarasan bagi bencana alam di negara ini, mengapakah beliau tidak bertindak lebih awal?

Mengapakah semua pihak, termasuk pihak JPS, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam huru-hara, tidak tahu apa yang perlu dibuat sebaik banjir melanda pada hari Selasa? Mengapa boleh berlaku kejadian mangsa banjir terpaksa bersejuk tanpa selimut, apatah lagi bantal dan tilam dan hampir kebuluran pada hari pertama dan kedua dipindahkah ke pusat pemindahan?

Selimut, alas tidur dan makanan serta minuman adalah keperluan bantuan paling asas, yang sepatutnya telah dapat disediakan oleh pihak berwajib sebaik air sungai sudah mencapai tahap bahaya -- di dalam kes ini pada 13 Dis, jika kenyataan Nazri itu tepat.

Sebagai seorang Menteri yang boleh dikira veteran dalam Kabinet, Nazri sepatutnya lebih memahami perasaan rakyat yang menderita dan tidak terlalu ghairah membuat kenyataan yang hanya menyakitkan hati mereka yang telahpun gundah-gulana.

Untuk pengetahuan menteri, telah kedengaran suara-suara sumbang rakyat yang mempersoalkan apakah perlunya kerajaan bermegah-megah atas keupayaannya menghulur bantuan kepada mangsa bencana di seberang laut, sedangkan apabila rakyat sendiri ditimpa musibah, nasib mereka seolah-olah tidak terbela.

Nazri juga perlu belajar daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang lebih berlapik apabila mengulas kenyataan beliau itu.

Najib yang sama-sama menyingsing seluar mengharungi air keruh meninjau nasib rakyat jelata sejak hari kedua banjir lagi tentu faham dan prihatin dengan perasaan rakyat jelata.

Kerana itu, apabila diminta mengulas kenyataan Nazri itu, beliau tidak mengiya atau menidakkannya, sebaliknya hanya menyatakan hakikat, bahawa banjir kali ini adalah suatu bencana yang luar biasa.

"Bayangkan di Johor, di sesetengah tempat, hujan yang turun dalam masa 24 jam itu sama seperti hujan dalam tempoh dua bulan, hujan begitu lebat sekali dan luar biasa. Rumah pula, air bila masuk sampai paras pinggang dalam masa dua tiga jam saja, jadi sesuatu yang cukup luar biasa, sebab itulah pada masa sehari dua, agak kecoh sikit, tidak menentu tetapi sekarang sudah lebih tenteram," beliau dipetik sebagai berkata.

Sifat mahu mengaku kelemahan inilah yang sedikit sebanyak dapat mengubat lara di hati mangsa. Mereka tidak perlu mendengar menteri atau wakil pemerintahan yang bercakap seolah-olah menidakkan kesukaran yang telah mereka tempoh.

Sangat penting bagi pemerintah mengakui bahawa pihak yang sepatutnya telah sedikit sebanyak "gagal" menangani masalah banjir kali dan tidak dapat memenuhi harapan rakyat. Hanya dengan cara ini sahaja keupayaan boleh diperbaiki dengan mengambil iktibar daripada kesilapan mereka minggu lalu supaya kesilapan sama tidak berulang.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59