Friday, 19 January 2007

KEMATIAN MENGEJUT PELATIH KHIDMAT NEGARA : DPPNM MAHU PIHAK PLKN BERTANGGUNGJAWAB


MELAKA , 19 Jan - Media malam tadi melaporkan bahawa satu kes yang besar berlaku yang menimpa seorang pelatih PLKN. Kalau sebelum ini berlaku kes rogol, bergaduh, cedera dan sebagainya kali ini kes lebih besar terjadi iaitu melibatkan kematian.

Media melaporkan bahawa seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Ayer Keroh, Melaka, yang menyertai PLKN 1 Januari lalu meninggal dunia selepas sesak nafas di kem itu dua hari lalu.

Ili Ameera Azlan, 17, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar, Seremban, dilaporkan sesak nafas sejurus dikejutkan daripada tidur oleh rakan sebiliknya kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurut laporan sebuah stesyen TV malam tadi, Ili Ameera dihantar ke Hospital Melaka (HM) jam 6 pagi sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.30 pagi.

"Ini merupakan satu kes yang amat berat kerana ianya melibatkan kematian," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Yuhaizad Abdullah di sini pagi tadi.

"Dewan Pemuda Negeri menuntut pihak Polis menyiasat perkara ini dan memberikan laporan terperinci secara terbuka mengapa kes ini berlaku," tambah Yuhaizad.

"Kita tidak mahu kes ini ditutup jika berlaku sebarang kecuaian dan kelemahan PLKN yang menyebabkan kematian Allahyarhamah Ili Ameera, rakyat terutama keluarga yang mempunyai anak di PLKN perlu diyakinkan bahawa keselamatan adalah terjamin" jelas Yuhaizad.

Yuhaizad juga menuntut agar semua program PLKN di Kem Ayer Keroh diberhentikan serta merta sehingga ianya dijamin benar-benar selamat oleh pihak PLKN.

"Kami tidak mahu membuat sebarang andaian tanpa bukti-bukti yang kukuh, tetapi pihak berkuasa mesti melaporkan secara terbuka hasil siasatan nanti supaya orang ramai tidak keliru dan membuat sebarang tohmahan" kata Yuhaizad dalam nada bersungguh-sungguh.

Kita menyatakan rasa simpati ke atas keluarga Allahyarham dan mahu pihak berkuasa dan pihak terbabit membuat siasatan terperinci punca kematian," katanya.

Dalam laporan semalam, Ketua Polis Melaka, Dato' Ayub Yaakub dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan menyiasat dari semua aspek.

"Kita sudah mendapatkan keterangan rakannya. Daripada siasatan awal forensik, kita tidak menemui apa-apa atau tiada unsur jenayah.

"Malah, Allahyarham juga dikatakan seorang yang ceria. Tiada kegiatan berat dilakukan pihak PLKN semalam (kelmarin) berikutan hujan dan kelas malam juga habis pada jam 10.30 malam," katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata siasatan rapi akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian.

"Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian sekarang. Kita tunggu laporan sedikit masa lagi," katanya sambil melahirkan rasa simpati dan sedih atas kematian pelatih itu.

Dipetik dari Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59