Thursday, 18 January 2007

BANTUAN MANGSA BANJIR PUN ADA 'DOUBLE STANDARD'


134 mangsa bah berkhemah tanpa bantuan


BATU PAHAT 18 Jan : Ketika ribuan mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan, terdapat 134 orang penduduk Kampung Seri Tanjung dekat sini, memilih mendiami khemah yang mereka dirikan di kawasan tanah tinggi di kampung itu.

Sebanyak 11 buah khemah didirikan di kawasan lapang berhampiran ladang kelapa sawit dan selain ruang untuk tidur, mereka ada kawasan khas untuk memasak, ruang makan, ruang rehat sambil menonton televisyen dan surau, untuk didiami 89 orang dewasa, 40 orang kanak-kanak dan lima orang bayi dengan semua mereka mempunyai pertalian kekeluargaan.


Memandangkan kedudukan khemah berhampiran dengan rumah penduduk, mereka tidak ada masalah dari segi bekalan elektrik dan bekalan air paip.


Menurut Setiausaha Pusat Penempatan Mangsa Banjir Khemah Sementara Kampung Seri Tanjung, Dzainal Abidin Jalil berkata mereka mendiami khemah tersebut pada 14 Jan lepas apabila air naik antara satu dan 1.5 meter menenggelamkan kampung yang mempunyai 23 buah rumah.


Katanya mereka juga pernah mendiami khemah yang sama selama dua minggu ketika banjir pusingan pertama pada Disember lepas melanda kampung berkenaan dan kesemua khemah itu disumbangkan oleh penduduk kampung berkenaan dan mereka secara bergotong-royong mendirikannya.


"Kami bukannya ingkar dengan arahan kerajaan untuk berpindah ke sekolah yang dijadikan pusat pemindahan tetapi kami yakin khemah ini selamat... lagi pun ia didirikan di kawasan tanah tinggi," katanya kepada Bernama yang melawat kampung itu, hari ini.
Kampung yang agak terpencil dari perkampungan lain itu, kini hanya boleh dihubungi dengan kenderaan berat.


Beliau berkata penduduk mengambil inisiatif sendiri mendirikan khemah tersebut bagi mengelakkan kesesakan di pusat pemindahan berdekatan dan mereka juga enggan berpindah jauh dari kampung berkenaan kerana dibimbangi rumah mereka akan dicerobohi oleh pencuri memandangkan kedudukannya yang agak terpencil.


"Di kampung lain, kami pernah mendengar kes rumah penduduk yang ditinggalkan akibat banjir telah dipecah masuk oleh pencuri, kami tidak mahu kes sama terjadi pada kami.


"Polis juga mempunyai banyak tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan dan sudah tentu mereka tidak dapat kerap membuat rondaan di kampung kami. Kami juga secara bergilir-gilir mengawal kawasan khemah ini bagi memastikan keselamatannya terjamin," katanya.


Ditanya tindakan mereka jika air terus naik sehingga ke kawasan khemah, Dzainal berkata: "Insya Allah, selamat, sama-samalah kita doakan, kami yakin air tidak sampai sini".
Katanya walaupun jalan utama menghubungkan kampung itu sudah terputus untuk kenderaan ringan, mereka mempunyai jalan alternatif dalam kawasan ladang kelapa sawit itu untuk ke pekan berdekatan.


Bagaimanapun apa yang mereka persoalkan ialah kenapa pihak berkuasa tidak menghantar bekalan makanan dan barangan lain sebagaimana yang diperolehi mangsa banjir lain.


Dzainal berkata pada banjir pusingan pertama, pada setiap hari mereka menerima bekalan makanan dan keperluan lain yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kini mereka menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan keperluan harian.
Beliau berkata senarai penduduk kampung yang mendiami khemah tersebut telah diserahkan kepada JKM Batu Pahat bagi memohon bantuan barangan keperluan bagaimanapun sehingga kini bantuan belum sampai.


"Setiap kali kami hubungi JKM, jawapannya tiada bekalan diperuntukkan untuk kami di sini. Kononnya pusat penempatan sementara yang kami diami ini tidak digazetkan oleh kerajaan.
"Berilah hak kami sebagai mangsa banjir. Kami tahu kerajaan mempunyai peruntukan lagi pun banyak dermawan yang menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir seperti kami," katanya.


Beliau berkata pihak kerajaan terutama Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan menteri berkaitan patut melawat penempatan tersebut bagi mendapat gambaran sebenar supaya bantuan makanan dan barangan keperluan lain dapat disalurkan ke situ.


TAKKAN MANGSA BANJIR PUN NAK DIJADIKAN MANGSA DISKRIMINASI PULAK

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59