Thursday, 11 January 2007

BA BOIKOT PILIHANRAYA KECIL BATU TALAM


KENYATAAN BA YANG DIBACAKAN OLEH TIMBALAN PRESIDEN PAS USTAZ NASHARUDDIN MAT ISA

PEMBOIKOTAN PENGLIBATAN DALAM PILIHAN RAYA KECIL DUN O6 BATU TALAM

Pilihan raya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihan raya adalah mekanisme penting untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.

Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendakki.

Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihan raya yang lalu dan khasnya Pilihan raya Umum ke-11, sesungguhnya kami meyakini bahawa pilihan raya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekali gus menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan yang memerintah.

Serentak dengan itu, rakyat semakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demokrasi ini, yang kini dilihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama-rata.

Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:

i. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
ii. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
iii.Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
iv.Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
v. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
vi. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.


Berlatarbelakangkan kesemua faktor yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihan raya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi. Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan.

Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan baru-baru ini bahawa ”undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah”.

Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.

Presiden Parti Islam SeMalaysia,
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang,


Presiden Parti Keadilan Rakyat
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59