Tuesday, 19 December 2006

JOHOR BAH, RIBUAN DAH DIPINDAHKAN


JOHOR BARU 19 DIS : Ujian Allah datang lagi. Kali ini berupa air bah pula. Setelah hujan lebat dari pagi semalam sehingga pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di seluruh Johor ditenggelami air dan lebih 2,000 orang dipindahkan.

Penduduk Kampung Laut, Skudai bersesak di pusat perpindahan banjir di bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Johor berkata penduduk yanag terlibat adalah dari Batu Pahat, Pontian, Johor Baru dan Kota Tinggi yang sudah diarah berpindah secara berperingkat-peringkat sejak tengah malam tadi.

Di Batu Pahat lima keluarga yang tinggal di Kampung Parit Haji Kamisan, Yong Peng, dipindahkan ke balai raya Kampung Parit Haji Kamisan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng manakala di Parit Raja, empat keluarga dari Kampung Parit Daun, dipindahkan ke Kompleks Penghulu Mukim 8.

Turut dipindahkan ialah tiga keluarga dari Kampung Parit Jambul ke dewan Sekolah Kebangsaan Pintas Puding dan 19 keluarga dari Kampung Seri Paya ke balai raya Kampung Seri Paya.

Di kawasan Pekan Nenas, Pontian, 20 keluarga dari Kampung Paya Embun diarah berpindah ke kawasan selamat manakala tujuh keluarga lagi dari Kampung Melayu Raya diarah berpindah ke Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Raya.

Di daerah Kota Tinggi pula sembilan keluarga dari Kampung Sungai Berangan dan 11 keluarga dari Kampung Paya Sungai Redan dipindah ke balai raya kampung berkenaan manakala di Kluang, banjir turut melanda Kampung Bentong Dalam, Kampung Melayu dan Yap Tau Sah.


Mangsa bah Kampung Laut mengharung kepayahan ke pusat perpindahan di bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah semalam. (foto Oriental Daily)

Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Johor Baru berkata beberapa pusat pemindahan banjir dibuka sejak awal pagi bagi menempatkan 22 mangsa dari Kampung Melayu Sengkang, Kulai, dan 722 mangsa dari Kampung Laut Batu 10, Skudai.

Turut terlibat ialah Lorong Arif Taman Tun Aminah (170 orang), Kampung Sungai Besui, Sedenak (113), Kampung Maju Jaya (243), Kampung Oren, Tiram (200), Kampung Mohd Amin (102), Kampung Kangkar Tebrau (150), Kampung Pasir Tebrau (200).

Kampung ialah Kampung Paya Kenangan Tebrau (150), Kampung Plentong Baru (200), Kampung Sentosa/Sentosa Barat (100), Kampung Rinting Masai (200), Batu 10 Sungai Tiram (30).

Di Kampung Paya Nam Heng, Tiram, 11 keluarga terlibat dan di Kampung Mados 19, sebanyak 14 keluarga diarah berpindah.

Jurucakap itu berkata hujan yang lebat turut mengakibatkan Jalan Kolam Air di Bandar Raya Johor Baru ditutup kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh.

Tinjauan Bernama pada 10.30 pagi tadi mendapati anggota Jabatan Pertahanan Awam sudah dikerahkan ke kawasan tersebut.

Laluan dari Skudai menuju ke pusat bandar serta jalan-jalan utama di pusat bandar juga mengalami kesesakan teruk.

Adalah dijangkakan negeri-negeri lain turut sama akan menghadapi ujian ini kerana hujan tidak berhenti-henti di hampir kesemua negeri di Semenanjung.

Kita mendoakan Allah S.W.T tidak menguji kita dengan ujian yang tidak mampu kita tanggung.

Dipetik dari Bernama dan The Star.


JOM BANTAH KENAIKAN TOL 7 JANUARI DEPAN


KUALA LUMPUR 19 DIS : Cengkaman dan penindasan oleh kerajaan dan pihak swasta keatas rakyat mesti di ajar. Rakyat tidak boleh berdiam diri dengan hanya tunduk dan patuh membuta tuli tanpa sebarang tindakan di ambil. Begitu reaksi Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan, Hamzah Yusof ketikan diminta mengulas perkembangan terbaru tentang demonstrasi bantahan kenaikan harga tol bulan depan.

"Rakyat jangan leka dan lalai dengan gula-gula kerajaan yang saban hari menyatakan mahu membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama menekan rakyat, tol naik, minyak naik, keselamatan semakin longgar dan sebagainya" jelas Hamzah dengan bersungguh-sungguh.

"Sudah sampai masanya rakyat keluar beramai-ramai membantah sebarang tindakan kerajaan yang jelas menekan rakyat yang sudah sedia terbeban" tambah Hamzah lagi.

Sementara itu malam tadi, beberapa pihak telah mengadakan perbincangan untuk mengadakan bantahan besar-besaran terhadap kenaikan harga tol yang diumumkan oleh Samy Vellu baru-baru ini.

Adalah dijangkakan beribu-ribu pengguna jalanraya dijangka menyertai demonstrasi anti-kenaikan tol pada 7 Januari depan di plaza tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) bandar Sunway, Selangor.

Bantahan besar-besaran itu akan disertai oleh ahli-ahli parti pembangkang, kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

Pengerusi jawatankuasa bantahan kenaikan tol, Syed Shahir Syed Mohamad berkata, sebelum mengadakan demonstrasi tersebut, pada 27 Disember ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Perdana Menteri.

Jawatankuasa berkenaan membuat keputusan itu dalama satu mesyuarat di ibunegara malam tadi. Turut menyertai jawatankuasa itu ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, Bendahari PAS, Hatta Ramli dan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat tersebut, Syed Shahir berkata, antara lain memorandum tersebut katanya, mendesak kerajaan mendedahkan butiran perjanjian tol dengan konsesi kepada umum supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar projek pembinaan tol di negara ini.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC) juga berkata, kesatuan itu menghantar ramai ahlinya ke program tersebut.

Pemuda PAS pula dijangka menghantar antara 5, 000 dan 10,000 ahlinya untuk menyertai bantahan kenaikan tol itu.

Beban pengguna

Menurut ketuanya, Salahuddin Ayub, Pemuda PAS sangat prihatin dengan kenaikan tol yang membebankan pengguna jalan raya terutama yang berpendapatan rendah.

“Mereka baru menanggung beban akibat kenaikan harga minyak dan kini tidak sampai setahun terpaksa membayar tol yang lebih mahal,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kenaikan tol yang berterusan sebenarnya tidak perlu kerana pemegang konsesi lebuh raya telah mendapat keuntungan besar kerana pertambahan kenderaan setiap tahun.


“Nampaknya kenaikan tol sudah menjadi satu trend yang tidak dapat dielak di negara ini,” katanya lagi.

Katanya, orang sudah bosan dengan alasan pihak berkuasa setiap kali mahu menaikkan kadar tol .

Sementara itu Ahad lalu, dalam satu majlis di Petaling Jaya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar tol berlaku kerana ada unsur-unsur rasuah dalam perjanjian di antara konsesi dengan kerajaan.

Katanya, proses penjanjian tol yang dibuat oleh tiga pihak iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan konsesi lebuh raya boleh dipersoalkan.

Menurutnya, semasa beliau menjadi Menteri Kewangan, konsesi datang melobi untuk menaikkan kadar tol beliau tetap menolak kerana ia amat membebankan pengguna jalan raya.


TAKZIAH BUAT HJ MOHD DIAH


PAS Kawasan Bukit Katil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Hj Mohd Diah Abdul, AJK PAS Kawasan Bukit Katil atas kembalinya ke Rahmatullah anakanda perempuan beliau, Allahyarhamah Zahirah Binti Hj Mohd Diah minggu lalu.

PAS Kawasan melalui Setiausahanya Hj Yassim Musa mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah dan seluruh keluarganya sabar menghadapi ujian Allah ini.

Dewan Pemuda PAS Kawasan juga merakamkan ucapan yang sama kepada Hj Mohd Diah, Jalaluddin Mohd Diah, Dahlan Mohd Diah dan Us Mohd Zaki Mohd Diah di atas pemergiannya anak dan kakak mereka.


NEGARA ISLAM HADHARI JADI 'SYURGA' PELAKU MAKSIAT


KUALA LUMPUR 19 DIS : Membaca laporan sebuah akhbar hari ini kita berasa seolah-olah negara Islam Hadhari ini menjadi syurga bagi pelaku-pelaku maksiat. Kes zina dan khalwayt bukannya semakin berkurangan malah berlaku berlipat kaliganda. Semua ini adalah akibat dasar Islam Hadhari yang memperkecil-kecil kerja-kerja amal makhruf nahi mungkar. Malah pemimpin-pemimpin Islam Hadhari lebih suka menjalankan amal maksiat nahi makhrur. Sebab-sebab itulah konsert-konsert digalakkan, hiburan di TV 24 jam, muda-mudi bergaul bebas dibiarkan dan bermacam-macam tindakan mereka.

Media melaporkan bahawa sejak awal tahun ini, kira-kira 30 orang kenamaan (VIP), termasuk beberapa wanita yang menjadikan kondominium mewah di ibu kota sebagai tempat menyimpan gundik dan teman lelaki, diberkas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana berkhalwat.

Difahamkan, gundik dan teman lelaki VIP terbabit menjadi pelampias nafsu mereka terutama pada hujung minggu.

Mereka disembunyikan di kediaman mewah berkenaan bagi mengelak dikesan isteri masing-masing.

Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohamad Zain Dolah, berkata VIP wanita terbabit dicekup ketika berdua-duaan bersama ‘gundik lelaki’ mereka.

“Golongan VIP lelaki dan wanita mengumpan ‘gundik’ mereka dengan menabur pelbagai janji manis selain kemewahan, termasuk kereta dan wang saku bulanan.

“Kebanyakan wanita dan lelaki simpanan terbabit bekerja di pejabat dengan jawatan biasa tapi mempunyai wajah cantik dan tampan, sekali gus memudahkan VIP terbabit menggunakan ‘ayat power’ untuk menjerat mereka,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, sejak Januari lalu hingga bulan ini, pihaknya melakukan 400 tangkapan khalwat kebanyakannya membabitkan remaja.

Golongan remaja lebih gemar menjadikan taman rekreasi dan hotel murah sekitar ibu kota sebagai pangkalan untuk bermanja dengan pasangan masing-masing.

Ada yang ditahan di kawasan terbabit memberikan alasan mahu merehatkan fikiran sambil mengenali lebih dekat hati budi pasangan.

“Bagaimanapun, semua alasan itu tidak masuk akal kerana mereka tiada sebarang hubungan mahram selain dikesan sering ke lokasi sama,” katanya.

Menurut Mohamad Zain, jumlah tangkapan itu mungkin lebih rendah berbanding pasangan yang dapat melepaskan diri atau tidak dapat dikesan ketika operasi pencegahan dijalankan Jawi.

Katanya, terdapat pasangan yang pernah ditahan tetapi tidak serik mengulangi kegiatan sama.

“Ketika ditahan, sesetengah mereka dalam keadaan memalukan selain berlagak seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Ada pasangan yang mendakwa mereka tidak salah selagi tidak melakukan ‘sesuatu’ bersama pasangan sedangkan sudah nyata mereka berkhalwat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Zain menggesa remaja tidak terbawa-bawa dengan emosi atau naluri melampau sehingga mendorong melakukan perbuatan terkutuk.

Beliau turut meminta ibu bapa mengambil berat anak masing-masing, khasnya gadis kerana dibimbangi terpengaruh dengan janji manis individu yang hanya ingin mengambil kesempatan.

“Walaupun sedang hangat bercinta, remaja diminta menjauhkan diri daripada perkara berunsur maksiat kerana lebih banyak merosakkan diri masing-masing.

“Jawi akan mengadakan operasi mencegah maksiat dari semasa ke semasa dan sesiapa saja akan ditahan tidak kira VIP atau orang biasa,” katanya.


KEGAGALAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM HADHARI TERUS TERBUKTI


Satu demi satu kejadian jenayah dan perkara buruk yang dilakukan oleh remaja hari ini jelas membuktikan bahawa sistem pendidikan Islam Hadhari gagal mendidik dan membentuk remaja yang berakhlaq dan berpekerti mulia.

Jenayah seperti bunuh, rogol, samun, curi, peras ugut dan sebagainya menjadi hiasan dada-dada akhbar setiap hari.

Semalam kes keganasan remaja berlaku dimana 40 remaja bertindak liar merosakkan tujuh kenderaan milik penduduk sebuah taman perumahan di Lorong PJS 2C/11N, Kampung Medan.

Jurucakap polis memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, sekumpulan remaja yang menaiki motosikal tersebut pada mulanya membuat bising di kawasan perumahan berkenaan sebelum merosakkan kenderaan yang diletakkan penduduk di tepi jalan.

‘‘Daripada keterangan yang kita terima, remaja-remaja tersebut bersenjatakan parang, tukul besi, besi, kayu, pasu dan batu.

‘‘Mereka bertindak memecahkan cermin dan mencalarkan tujuh kereta milik penduduk di situ,’’ katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Antara kereta yang dirosakkan dalam kejadian itu ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Iswara, Perodua Kelisa dan Nissan Sentra.

Menurutnya, kekecohan tersebut dikatakan berlaku ekoran rasa tidak puas hati suspek terhadap beberapa orang remaja di taman perumahan tersebut.

‘‘Sebelum kejadian dipercayai berlaku sedikit perselisihan faham di antara dua remaja di taman berkenaan dengan beberapa orang daripada suspek yang terlibat.

‘‘Ekoran perselisihan faham itu, suspek tersebut memanggil beberapa lagi rakannya sehingga berlaku kekecohan di situ,’’ ujarnya.

Tambahnya, buat masa ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, seorang penduduk, Asmara Murni Hussin, 50, memberitahu, dia dan ahli keluarganya berada di rumah ketika kejadian berlaku.

‘‘Kami dengar bunyi bising macam orang bergaduh.

‘‘Bila jenguk keluar nampak budak-budak naik motor siap dengan parang,’’ katanya.


Kelantan nafi benarkan disko, kelab malam


KOTA BARU 18 DIS: Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah bercadang untuk membenarkan pusat hiburan seperti disko atau kelab malam beroperasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan YB Hj Takiyuddin Hassan berkata pusat hiburan seperti itu tidak mungkin akan bertapak di Kelantan walaupun untuk tujuan menarik pelancong ke negeri ini selagi PAS memerintah Kelantan.

"Jika ada laporan media yang menyebut Kelantan akan benarkan disko dan kelab malam, itu tidak benar. Saya sendiri terkejut bila ada orang tanya saya betul ke Kelantan nak benarkan disko dan kelab malam. Tidak benar tu...," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) di sini, hari ini.

Majlis perbandaran itu kini diterajui Shafie Ismail, bekas Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan. Shafie menggantikan Abd Aziz Abd Rahman yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan membenarkan operasi pusat hiburan di negeri ini sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris beberapa hari lepas.

"Laporan itu lari dari konteks sebenar. Apa yang saya katakan, kalau ada tari menari dalam satu majlis, umpamanya, yang hanya melibatkan lelaki sahaja atau wanita sahaja, pada saya, itu tidak menjadi masalah.

"Begitu juga kalau suami isteri nak menari dalam satu majlis, tetapi dengan ada batas-batas tertentu, pada pandangan peribadi saya, itu juga tidak ada masalah," katanya.
Katanya kerajaan negeri mengamalkan prinsip keterbukaan, namun tetap tegas jika ia melibatkan dasar kerajaan.

"Kita sentiasa terbuka, contohnya dalam hal persembahan kebudayaan seperti Makyong. Kerajaan negeri tidak benarkan kerana mantera yang dibaca itu mempunyai unsur-unsur khurafat.

"Tetapi jika ada pihak, penggiat seni atau sesiapa sahaja yang boleh tunjukkan bahawa bacaan itu tidak membawa apa-apa unsur sedemikian, mereka boleh datang jumpa kita, kita akan sokong dan benarkan persembahan kebudayaan yang tidak bertentangan dengan Islam," tambahnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59