Thursday, 9 November 2006

MAHATHIR MASUK IJN


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara awal pagi tadi kerana menghadapi masalah jantung.

Menurut anaknya, Datuk Mukriz Mahathir, bapanya mengalami sakit dada kira-kira jam 3.30 pagi tadi semasa berada di rumahnya di The Mines, Sri Kembangan.

“Tun terus dikejarkan ke hospital dan menurut doktor beliau perlukan rehat dan pengawasan selama seminggu. Tun berada dalam keadaan stabil sekarang,” katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Beliau berkata, bapanya yang baru kembali dari New Zealand pada kira-kira jam 5 petang semalam telah bersama-sama meraikan tetamu di rumah terbuka Aidilfitri anak-anaknya yang diadakan di kediaman mereka di Seri Cahaya, Mines Resort, Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, Dr Mahathir kelihatan amat ceria menyambut pelbagai tetamu dan mereka yang datang untuk berhari Raya dengan anggota keluarganya.

Dr Mahathir dijadualkan menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Umno Rabu depan dan Program Seminar Kepimpinan bersama Tun Dr Mahathir di Johor Bharu pada Sabtu ini.

Tiga tempat tersumbat

Dr Mahathir pernah melalui pembedahan pintasan koronari di IJN pada 1989.

Kali terakhir beliau dirawat di IJN ialah pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, IJN berkata bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke institut tersebut setelah diserang sakit jantung ringan.

Dr Mahathir, yang akan mencapai usia 81 tahun bulan depan, mengadu sakit dada pagi ini dan dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), kata kenyataan tersebut.

"Beliau dalam keadaan stabil dan dijangka dirawat selama seminggu," kata kenyataan itu.

Manakala akhbar The International Herald Tribune melaporkan awal minggu ini bahawa Dr Mahathir telah dimaklumkan oleh doktornya mengenai jantungnya yang tersumbat di tiga tempat.

Dengar taklimat

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di IJN kira-kira jam 2.15 petang untuk menziarah Dr Mahathir.

Ketibaan Abdullah disambut oleh Mukhzani. Perdana Menteri dilihat meninggalkan IJN kira-kira jam 2.28 petang.

Mukhzani kemudiannya memberitahu pemberita, Abdullah diberi taklimat oleh pakar kardiologi, Dr Sarjev Joshi mengenai keadaan Dr Mahathir.

Katanya, Perdana Menteri tidak dapat menemui Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu sedang tidur.

Mukhzani berkata, menurut doktor, keadaan bapanya kini stabil dan tidak perlu menjalani sebarang pembedahan pintasan koronori.

Doktor juga, kata beliau, menasihatkan Dr Mahathir supaya berihat.

Menurut Mukhzani lagi, keadaan bapanya mungkin disebabkan oleh terlalu banyak perjalanan dan baru pulang dari New Zealand malam tadi.

Di samping itu, katanya, dalam majlis sambutan hari raya yang diadakan malam tadi, Dr Mahathir telah melayan ramai tetamu yang hadir.

Turut menziarahi Dr Mahathir di IJN adalah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.


Muslim pertama anggota Dewan Perwakilan Amerika


MINNEAPOLIS/WASHINGTON 9 Nov : Anggota Demokrat, Keith Ellison, mencipta sejarah menjadi orang Islam pertama dilantik sebagai ahli Kongres Amerika Syarikat selepas menewaskan calon Republikan dan calon ketiga yang bertanding.

Ellison, 43, akan menggantikan anggota Demokrat Minnesota yang bersara, Martin Sabo, di Dewan Perwakilan.

Penganut Islam berkulit gelap dari negeri yang diduduki ramai warga kulit putih, kemenangan Ellison bermakna serangan peribadi tajam terhadapnya ketika pertandingan oleh pencabarnya, menemui kegagalan.

Ketika berkempen, Ellison, seorang peguam dan ahli perundangan selama dua penggal, tidak menghebohkan agamanya dan menyalahkan media terus memainkan isu itu.

Beliau menggesa tentera Amerika segera berundur dari Iraq, mencadangkan penggunaan sumber tenaga yang dapat diperbaharui dan sistem penjagaan kesihatan percuma.

Saingannya dari Parti Republikan, Alan Fine, berkempen dengan menekankan hubungan rapat Ellison dengan Louis Farrakhan, pemimpin kumpulan Nation of Islam sebagai petanda Ellison bersikap anti-Semitik atau anti-Israel.

Ellison yang memeluk Islam ketika di kolej, menegaskan pembabitannya dengan Farrakhan terhad kepada membantu menganjurkan perarakan di Washington pada 1995 yang bertujuan menggalakkan masyarakat kulit hitam memperbaiki hidup mereka.

Dia disokong Majlis Demokratik Yahudi Kebangsaan selain akhbar Yahudi Minneapolis terkemuka yang jelas menyebelahinya berbanding Fine, seorang Yahudi.


PAS CAWANGAN TMN CEMPAKA ANJURKAN PROGRAM KORBAN SEMPENA AIDIL ADHA


PAS Cawangan Tmn. Seri Cempaka, Peringgit, Melaka akan menganjurkan Program Korban Berkelompok pada Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 31.12.2006 akan datang ini.

Peserta akan dikenakan bayaran sebanyak RM300/bahagian. Muslimin/muslimat yang
berminat untuk menyertai program ini bolehlah menghubungi Tuan Hj.
Baharim Endin, Tel:06-2841612 untuk mendapatkan keterangan lanjut.


PROGRAM KHATAN BERAMAI-RAMAI ANJURAN BALAI ISLAM TAMAN CEMPAKA


Balai Islam, Tmn. Seri Cempaka, Peringgit, Melaka akan mengajurkan Program
Berkhatan Beramai-ramai semasa cuti persekolahan penghujung tahun ini
iaitu pada bulan November/Disember 2006 yang akan datang.

Muslimin/Muslimat di Negeri Melaka khususnya mereka yang tinggal di Tmn.
Seri Cempaka/Tmn. Peringgit Jaya yang bercadang untuk mengkhatankan
anak-anak masing-masing adalah dijemput menyertai program ini.

Setiap peserta akan dikenakan bayaran sebanyak RM70.00 sahaja. Untuk keterangan
lanjut, bolehlah menghubungi Tuan Hj.Ismaon, Tel:019-2000115.


MENGAPA TUNGGU HINGGA 2008


PUTRAJAYA 9 Nov. – Keputusan sama ada mahu meneruskan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah hanya akan dibuat pada tahun 2008.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa itu murid Tahun Satu yang mula-mula terlibat dengan dasar yang diperkenalkan pada tahun 2003 itu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurutnya, walaupun terdapat banyak desakan tetapi kerajaan tidak boleh menukar dasar itu ‘di tengah jalan’ kerana ia tidak adil dan boleh menganiaya pelajar yang sudah melaluinya.

“Kita kena menunggu dua tahun lagi sebelum memutuskan sebarang tindakan kerana kita mahu penilaian keseluruhannya dibuat ke atas kumpulan pelajar yang mula-mula mengikuti sistem itu pada tahun 2003,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak yang meminta kerajaan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Isu tersebut yang pernah dibincangkan oleh beberapa pihak sebelum ini telah dicetuskan semula pada konvensyen UMNO Johor baru-baru ini.

MENGAPA TUNGGU SEHINGGA 2008 BARU HENDAK DIBUAT KEPUTUSAN SAMADA MENERUSKAN DASAR INI ATAU KEMBALI KEPADA DASAR LAMA. BUKAN HAMPIR SEMUA CERDIK PANDAI MELAYU SEPAKAT BAHAWA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH DAN UNIVERSITI MESTILAH MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU KERANA IANYA MEMUDAHKAN PELAJAR MEMAHAMI PELAJARAN MEREKA.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN YANG TIDAK MENURUN TIDAK BOLEH DIJADIKAN UKURAN KERANA KEPUTUSAN ITU BOLEH DIMANIPULASI DENGAN MENURUNKAN MARKAH LULUS 'PASSING MARK' SEPERTI YANG DIDAKWA OLEH BANYAK PIHAK. JANGAN CUBA HENDAK TIPU RAKYAT. RAKYAT BUKAN BODOH LAGI.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59