Tuesday, 7 November 2006

TIMBALAN MENTERI DILINDUNGI?


Seorang lagi anggotan kabinet Pak Lah di dakwa terlibat dengan jenayah dan rasuah. Kali ini Timbalan Menteri pula.

Petang tadi seorang pengeksport buah, Mohamad Tahir Fazal Mohamad, telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan mendakwa seorang timbalan menteri terlibat dalam pemindahan wang haram sejumlah RM10 juta.

Mohamad Tahir memfailkan laporan itu kepada BPR pada 23 Ogos dengan mengemukakan dokumen sokongan, antaranya, salinan resit pembayaran yang disahkan dibuat kepada kepada timbalan menteri berkenaan sejak tahun 2000 sehingga kini dan lejer umum sebuah syarikat, yang dipengerusikan oleh timbalan menteri terbabit.

Beliau mendakwa dokumen tersebut menunjukkan timbalan menteri terbabit telah melanggar Akta Penggubahan Wang Haram dan garis panduan Bank Negara dengan memindahkan sejumlah besar wang secara haram.

"Saya sudah berjumpa dengan BPR empat kali sejak memfailkan laporan itu tetapi tidak ada apa-apa tindakan diambil. Mereka tidak pun merekodkan keterangan saya saya," katanya dalam sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Pada majlis tersebut, beliau diiringi peguam peribadinya Damian Pheny dan seorang lagi peguam Sivarasa Rasiah, yang juga naib presiden PKR.

"Jika tiada apa-apa maklum balas daripada BPR selepas ini, kami (PKR) akan membantu untuk membawa kesnya hingga ke Putrajaya di Jabatan Perdana Menteri," kata Sivarasa.


OMONG KOSONG IMAM AL HADHARI TERBUKTI


Omongan kosong Imam Al Hadhari untuk memerangi rasuah ketika mengambilalih kepimpinan negara terbukti apabila semalam, Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon V Navaratnam berkata kedudukan Malaysia dalam CPI 2006 jatuh ke tangga ke-44 tahun ini berbanding tangga ke-39 tahun lalu daripada 163 negara yang terbabit dalam kajian berkenaan.

Navaratnam dilaporkan berkata CPI merosot 5.0 mata tahun ini berbanding 5.1 tahun lalu.

Berikutan kemerosotan itu, kedudukan Malaysia di Asia Pasifik berada pada kedudukan ke-10, mengatasi negara serantau lain seperti Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Inilah 'kejayaan' besar Pak Lah memerangi rasuah. Segala tuduhan dan dakwaan PAS dan pembangkang lain yang menyatakan Pak Lah hanya menanam tebu di bibir mulut jelas terbukti.

Manakan tidak sehingga kini tidak seorang pun orang kanannya yang didakwa di Mahkamah walaupun bertan-tan laporan BPR dibuat oleh Ezam, Ahmad Lutfi, PAS, DAP dan lain-lain semuanya dibakulsampahkan.

Kini gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin Umno dan suku-sakatnya.

Inilah Imam Al Hadhari yang sebenarnya.


SOKONG KAJI SEMULA PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS


Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil memang konsisten menggesa kerajaan pimpinan PAk Lah mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan negara.

Ketua DPP Kawasan Bukit Katil Hj Salamat Aman berkata demikian ketika menyatakan sokongan kepada pendirian Ku Li yang mahu kerajaan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu serta bahasa penyatu.

Pengerusi Kongres Kepentingan Bahasa, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kajian itu juga perlu bagi menjawab persoalan banyak pihak tentang rasional penggunaan bahasa itu.

‘‘Ramai yang bercakap untuk apa kena mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, apakah ia menjamin kita akan lebih maju, rakyatnya akan lebih berpadu dan adakah soal kemerosotan mutu pendidikan serta kedudukan universiti-universiti kita berkaitan soal ini?

‘‘Jika hakikatnya bahasa itu (Inggeris) penting kerana sifat dan keperluan globalnya, pelbagai kaedah perlu dibuat untuk meningkat keupayaan dan penguasaan dalam bahasa itu,’’ katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 di sini malam ini.

Kongres yang berlangsung sehingga Rabu ini bertemakan Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Melayu/Kebangsaan: Pengalaman 50 tahun yang lampau dalam memperkasai setengah abad mendatang.

Kongres itu adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Gabungan Persatuan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, kejayaan beberapa buah negara yang tidak bergantung kepada bahasa itu membuktikan negara ini juga boleh berjaya jika rakyatnya lebih berani dan bersemangat.

‘‘Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand adalah negara yang bergelut dengan soal pembinaan negara dan bangsanya membahaskan perkara yang sama.

‘‘Nasionalis mereka kata boleh maju tanpa bahasa Inggeris, rakyat mereka kata boleh, maka pemimpin mereka akur dan menjadikan ia sebagai dasar yang tidak boleh diubah dengan sewenang-wenangnya,’’ katanya.

Tambahnya, Malaysia juga boleh menjadi seperti negara-negara terbabit jika kerajaan berusaha dengan gigih mengemas kini, menterjemah dan memajukan bahasa sehingga boleh diterima pakai oleh semua.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59