Tuesday, 17 October 2006

REBUT PELUANG INI


KUALA LUMPUR 17 Okt – Walaupun kita dilihat sentiasa membangkang dan mengkritik apa juag cadangan dan program kerajaan tetapi hakikat sebenarnya kita hanya membangkang dan mengkritik hanya kepada program dan cadangan yang bertentangan agama dan kepentingan rakyat.

Sebab itulah kita tetap menyokong usaha Majlis Amanah Rakyat (Mara) mensasar untuk mewujudkan lebih 30,000 usahawan baru dalam industri peruncitan dalam usaha melahirkan 150,000 usahawan bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, di bawah Program Peruncitan Bumiputera, Mara akan mengusahakan pelbagai pendekatan untuk mencapai matlamat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Kementeriannya mengenal pasti industri peruncitan sebagai satu teras yang akan diberikan penekanan bagi melahirkan usahawan bumiputera selain mengukuhkan 25,000 usahawan sedia ada.

“Program Pembangunan Usahawan Peruncitan Mikromart Mara yang dilaksanakan dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah salah satu pendekatan bagi menjayakan usaha tersebut,” katanya semasa melancarkan program tersebut bagi peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Selangor merupakan negeri pertama yang menyokong program ini manakala negeri lain yang turut mendapat kelulusan peruntukan adalah Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Pahang dan Sabah.

“(Melalui program ini) Mara mensasarkan untuk mewujudkan 2,160 usahawan mikro lagi di 72 PBT sebelum penghujung tahun 2007 dan bagi tujuan tersebut, Mara akan memperuntukkan bajet sebanyak RM10.8 juta,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata, program tersebut akan terus dilaksanakan sehingga 2010 dan Mara mensasarkan untuk melahirkan 18,000 usahawan melaluinya dengan anggaran belanjawan program sebanyak RM180 juta.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Zamani Md. Noor pula berkata, program pembangunan usahawan peruncitan itu dirangka bagi memperluaskan pasaran produk keluaran bumiputera di pasaran tempatan.

“Kiosk akan dibina untuk disewa oleh usahawan terpilih setelah menjalani kursus asas keusahawan selama 10 hari,” katanya sambil menambah Mara akan melantik perunding yang akan memantau perkembangan perniagaan peserta sekurang-kurangnya satu tahun.

Katanya, program itu yang dianggap sebagai inkubator sehingga peniaga mampu berdikari akan ditumpukan kepada 10 bandar raya dan 32 majlis perbandaran sebelum diperluaskan ke 116 majlis daerah.

Di majlis itu, Mara turut menanda tangani memorandum persefahaman dengan Yayasan Tekun Nasional (Tekun) untuk memberi peluang 610 peserta program mendapatkan pembiayaan sehingga RM30,000 daripada Tekun.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59