Thursday, 5 October 2006

NEGERA ISLAM HADHARI GALAK PENERBITAN MAJALAH LUCAH


Dengan tajuk 'Rela isteri disetubuhi orang', 'Beri servis lebih ikut nafsu', 'Aku kesal kerana berzina' adalah antara paparan cerita-cerita ternoda akhbar-akhbar tabloid, majalah, buku picisan dan komik yang cuba menggoda khalayak, tidak kira dewasa atau pada awal usia muda.

Tidak cukup dengan itu, paparan tubuh wanita dalam aksi seksi dan pakaian yang amat mengghairahkan mengumpan mata pembaca menatapinya seterusnya tanpa banyak soal membeli jauh sekali untuk merasa malu. Sedangkan isi kandungan dan gambarnya langsung tidak membawa teladan yang baik malah seolah-olah 'mengajar' atau paling tidak merangsang pembaca untuk terbabit sama dalam perlakuan sumbang.

Inilah natijah dan bahaya bahan bacaan seumpama ini yang semakin membanjiri pasaran tanpa ada usaha konkrit membendung daripada pihak berkuasa dan bantahan daripada masyarakat yang cintakan nilai moral dan akhlak yang tinggi.

Tinjauan mendapati beberapa akhbar tabloid seperti Mingguan Prima, Buletin Jempol, Warta Seni dan buku-buku picisan seperti Suria Permata dan Kehidupan Realiti menggunakan pendekatan sama demi mengaut keuntungan sedangkan tulisan dan mesejnya tidak langsung meningkatkan budaya ilmu malah banyak menyemai benih negatif yang merosakkan budaya fikir dan akhlak masyarakat.

Di samping itu, bahan bacaan tersebut turut menawarkan bayaran pada kadar tertentu kepada pembaca yang ingin memuatkan kisah peribadi yang sensasi dan foto peribadi mereka, malah dalam buku tersebut disediakan borang pengakuan benar!

Mengecewakan lagi, akhbar-akhbar tersebut turut mengiklankan perkhidmatan meramalkan nombor empat angka atau nombor ekor bagi pembaca untuk mengatasi kemelut kewangan dan dalam masa yang sama mempersendakan hukum agama dengan meletakkan nota kecil diiklan tersebut: Haram bagi orang Islam berjudi!

Pantau apa yang anak anda baca

Rungutan masyarakat mempertikai nilai-nilai yang cuba diterapkan oleh sebuah majalah popular kanak-kanak yang dirasakan amat tidak sesuai pada usia tersebut iaitu - lima soalan tentang payu dara, tiru macam saya (kaedah bermekap), inilah gayaku (berfesyen) selain menyiarkan 'horoskop'(melihat ramalan bintang yang jelas bertentangan dengan Islam).

Selain itu, ibu bapa disarankan supaya tidak terlepas pandang dan memantau apa yang ditatapi oleh anak-anak mereka kerana kalau komik sekalipun pastikan terlebih dahulu isi kandungannya agar tidak menyongsang ceritanya seperti buku komik 'Kalau Itu takdirnya', yang memaparkan babak persetubuhan yang jelas merosakkan fikiran remaja dan kanak-kanak.

Lebih menyesak dada, sebuah buku komik terbitan sebuah syarikat di Puchong bertajuk 'Cinta Asmara Dua Lelaki' yang mengisahkan kehidupan dua lelaki homoseks termasuk paparan ilustrasi lucah perlakuan sumbang mereka yang jelas mempengaruhi pembaca khususnya kanak-kanak terhadap seks luar tabii ini,malah buku komik ini mendapat permit penerbitan PP 12713/5/2007.

KDN beri lesen penerbitan berunsur lucah

Ya, jangan terkejut, sebilangan besar bahan berunsur lucah ini mendapat kebenaran dan permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang menterinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi! Barangkali kerana itulah, tinjauan mendapati kedai-kedai buku dan runcit di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual bahan bacaan yang mencolok mata dan merangsang nafsu berahi tanpa segan silu apatah lagi untuk menghormati suasana Ramadan mulia ini, kerana mempunyai 'kebenaran' KDN.

Tidak seperti mempamerkan akhbar politik seperti Harakah yang mengundang rasa ketakutan kepada para peniaga untuk menjualnya (sebelumnya, KDN bertindak nekad mengurangkan kekerapan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan).

Lambakan bahan bercetak tersebut , menimbulkan persoalan sama ada KDN dibawah pimpinan Abdullah bersikap sambil lewa ataupun berlunak kepada penerbitan yang mengandungi unsur lucah selagi penerbitaan itu tidak membicara hal ehwal politik yang yang dianggap boleh menggugat dan menyinggung kerajaan?

Sikap 'double standard' dan acuh tak acuh dapat dilihat melalui tindakan KDN menyenaraikan penerbitan haram 2006 yang antaranya ialah buku bertajuk 'Sexual Pleasure' yang ditulis Barbara Keesling sedangkan buku terbitan sebuah syarikat di Batu Caves Centerpoint, Selangor bertajuk Seksologi yang jelas membicarakan 15 cara dan gaya seks, seks ideal cara untuk menikmatinya mendapat kelulusan KDN dan dijual secara terang-terangan!

Dalam laman web KDN menyenaraikan antara larangan ke atas sebarang penerbitan menyiarkan: 1. Gambar-gambar wanita yang menunjukkan buah dada atau memakai baju tetapi sebahagian buah dadanya dibuka; 2. Gambar wanita yang hampir bogel di dalam pos-pos yang mengghairahkan; 3. Gambar-gambar wanita yang memakai seluar dalam dan coli sahaja; 4. Gambar-gambar wanita yang memakai bikini.

Peraturan KDN dipersenda

Namun lucunya, hampir tiada bahan bercetak yang mematuhinya termasuklah akhbar-akhbar tempatan arus perdana! Hasrat 'Minda Kelas Pertama' dan slogan 'Modal Insan' yang dicanangkan Abdullah bakal menemui kegagalan sekiranya (KDN) di bawah pentadbirannya berterusan memberi lesen kepada penerbitan berunsur lucah tersebut yang merosakkan pemikiran masyarakat. 'Matlamat tidak menghalalkan cara' demikian nasihat Abdullah baru-baru ini, oleh yang demikian kementerian di bawahnya harus bersungguh-sungguh membanteras, membendung seterusnya mengharamkan penerbitan berunsur lucah supaya cita-citanya untuk melihat rakyatnya berketrampilan serta memiliki minda yang tinggi tercapai.

Jika tidak, Abdullah akan dilihat sekali lagi sebagai seorang pemimpin yang 'hilang kawalan' kerana tidak mampu membendung 'sepahan' dan 'timbunan' bahan bacaan yang merosakkan rakyat.

Harakahdaily.


UMAT ISLAM MASIH DIBURU KETAKUTAN DISELURUH DUNIA


SYDNEY : Umat Islam masih diburu ketakutan diseluruh dunia. Ini kerana dendam kesumat golongan kafir masih berterusan walaupun motif sebenar serangan dan diskriminasi ke atas tidak jelas.

Islam sekarang diserang di segenap sudut dengan dakwaan penganjur kepada kegiatan pengganas. Apa yang lebih malang kerajaan negara-negara umat Islam juga terikut-ikut dengan label dan dakwaan musuh-musuh Islam seperti AS dan Britain. Pemimpin-pemimpin Umat Islam ini sentiasa mengikut telunjuk pemimpin mustakbirin ini sehingga berlakulah penutupan sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat pengajian Islam. Malah ramai dikalangan orang Islam yang tidak dibuktikan bersalah disumbat di dalam penjara.

Baru-baru ini satu lagi kejadian tembakan di sebuah masjid di pantai barat Australia dilakukan oleh pihak tertentu.

Polis belum mengenal pasti lelaki bersenjata yang menembak ke arah masjid yang dipenuhi jemaah di Perth Jumaat lalu ketika 400 lelaki, wanita dan kanak-kanak menyambut Ramadan.

Lelaki berkenaan melarikan diri dengan kereta selepas melepaskan satu tembakan.

Tiada yang cedera tetapi saksi berkata, tembakan itu hampir mengenai orang ramai dan menyebabkan kanak-kanak ketakutan.


PAS DAN PKR SOKONG DPCPP


PULAU PINANG 5 OKT : Parti-parti pembangkang menyokong tindakan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang menolak Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang yang mengekalkan elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS, elemen-elemen DEB yang tidak berjaya meningkatkan ekonomi bumiputera dan gagal membela rakyat miskin tidak perlu diteruskan.

Kata mereka, cadangan pemilikan 30 peratus orang Melayu dalam bidang ekonomi di Pulau Pinang tidak akan membantu keseluruhan orang Melayu yang miskin di negeri itu.

PAS Pulau Pinang mendakwa draf program pembangunan itu hanya nampak baik di atas kertas tetapi kosong pada realitinya.

“Semua orang tahu bahawa agensi kerajaan seperti Mara, Perda dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) gagal membantu orang Melayu, saya tidak percaya program tersebut akan berjaya,” kata ahli jawatankuasa PAS negeri Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, draf rancangan itu jika dilaksanakan bakal mengulangi apa yang berlaku kepada orang Melayu semasa perlaksanaan DEB.

Menurut Mujahid, punca sebenar kegagalan orang Melayu Pulau Pinang ialah ketiadaan keazaman politik pemimpin Umno untuk memajukan orang Melayu.

Selain itu, katanya, pemikiran pemimpin Umno juga sangat rendah sehingga mereka tidak mampu merancang pembangunan ekonomi yang berkesan untuk orang Melayu negeri itu.

“Akibatnya orang Melayu Pulau Pinang bukan lagi dipinggir tetapi dihina. Masalah ini hanya dapat diatasi jika orang Melayu sendiri menukar pemimpin,” tegasnya.
Naib Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, cadangan dalam draf tersebut adalah idea lapuk DEB yang terbukti gagal membantu orang Melayu.
“DEB bukan untuk membantu orang Melayu yang miskin tetapi untuk mengkayakan beberapa elit politik yang ada hubungkait dengan pemerintah.

“Bukan itu sahaja, PKR juga menolak sebarang usaha yang berbentuk perkauman. Draf tersebut jelas menuju ke arah itu dan bantahan DPCPP itu ada asasnya,” kata beliau.

Shamsul mengulas bantahan DPCPP terhadap Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang (2005 2020) yang memberi penekanan kepada penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Presiden Kehormat pertubuhan itu, Tan Sri Tan Kok Ping semalam menyatakan, ahli-ahli dewan itu membantah tujuh cadangan dalam draf berkenaan yang antara lain menghendaki penglibatan 30 peratus bumiputera dalam pemilikan dan projek perumahan, perindustrian, pertanian serta peruntukan khas ruang niaga pada kadar yang munasabah.

Tanpa kira kaum

Menurut Shamsul lagi, apa yang perlu dibuat sekarang ialah memanggil pakar-pakar ekonomi Melayu untuk merancang dan melaksanakan satu pelan ekonomi yang benar-benar boleh meningkatkan ekonomi orang Melayu Pulau Pinang.

Beliau berkata, agenda ekonomi PKR ialah memperkasakan ekonomi rakyat tanpa mengira kaum kerana jika `kaum rosak negara akan rosak’.

Dari Malaysiakini


ISRAEL TERUS MENGGANAS SEORANG LAGI PEMIMPIN HAMAS SYAHID


RAMALLAH 5 Okt. – Seorang lagi pemimpin Hamas syahid ditembak sewaktu beliau meninggalkan sebuah masjid di Tebing Barat awal semalam.

Keganasan itu berlaku sehari selepas sayap bersenjata pergerakan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, Briged Jihad Al-Aqsa mengancam untuk membunuh pemimpin kanan Hamas.

Kumpulan bersenjata itu keluar dari sebuah kenderaan dan menembak Mohammed Odeh, 37, ketika mangsa meninggalkan masjid selepas solat subuh di kampung Hableh, dekat Qalqilya, barat laut Ramallah, menurut saksi.

Penyerang terbabit kemudian melarikan diri dengan kenderaan bernombor pendaftaran Israel, kata mereka.

Mohammed yang digambarkan sebagai seorang pemimpin tempatan Hamas meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Fatah dan Hamas terlibat dalam pertarungan kuasa yang mencetuskan keganasan pada awal minggu ini.

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam pertempuran antara penyokong kedua-dua pihak di seluruh Tebing Barat dan Genting Gaza.

Bagaimanapun beberapa saksi memberitahu kumpulan bersenjata yang membunuh Mohammad mungkin ejen perisikan Israel.

Israel pernah melakukan serangan sedemikian terhadap pemimpin pejuang Palestin di Tebing Barat.

Tentera Israel menafikan mereka terlibat dalam serangan di Hableh.

“Kami tidak terlibat dengan sebarang insiden dekat Qalqilya,” kata seorang jurucakap tentera.

Marilah kita berdoa agar semua pejuang Hamas supaya dilindungi Allah S.W.T dan diberikan kemenangan dalam menghadapi Israel dan Umno Palestin.


KERAJAAN ISLAM HADHARI LAH YANG SEPATUTNYA DI DAKWA DAHULU?


KUALA LUMPUR 5 Okt. – Media melaporkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi kuasa mendenda pihak yang didapati bersalah mencemar bahasa kebangsaan tidak lama lagi.

Denda itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan Parlimen pada sidang yang akan bersambung selepas cuti perayaan ini.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Kabinet bersetuju supaya ‘pencemar bahasa kebangsaan’ itu didenda RM1,000.

Tetapi sedarkan kita bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja dicemarkan tetapi sedang dipinggir dan 'dibunuh' sekarang ini. Fakta yang sangat jelas ialah bilamana bahasa pengantar subjek-subjek sains dan matematik di sekolah-sekolah bukan lagi Bahasa Melayu tetapi telah ditukar kepada Bahasa Inggeris sejak zaman Tun Mahathir lagi. Kerajaan Islam Hadharilah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap perkara ini. Kita menyarankan supaya DBP mengambil tindakan serta merta terhadap kerajaan Islam Hadhari yang jelas sedang membunuh Bahasa Melayu.


BAHASA JAWA DIDAULATKAN BAHASA MELAYU TERANCAM?


Surat dari Pembaca The Star

Surat dari salah seorang pembaca The Star yang kesal dengan penggunaan Bahasa Jawa di Pejabat MB Selangor. Kita memang menyokong sebarang pengekalan Bahasa Ibunda di kalangan suku-suku dan puak-puak di negara kita seperti Bahasa Banjar, Bugis, Mandalain, Kadazan dan lain-lain. Tetapi kita juga kena sedar bahawa paling penting kita mesti mempertahankan Bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan setelah beberapa subjek di sekolah diajar dalam Bahasa Inggeris. Selain itu kita juga kerap melihat bahawa pimpinan Islam Hadhari juga lebih suka menggunakan bahasa asing pada majlis-majlis rasmi terutama jika majlis tersebut dihadiri segelintir orang asing. Ini sangat berlawanan dengan pemimpin Indonesia, Brunei, Iran, Jepun, Korea yang dilihat lebih megah menggunakan bahasa ibunda sendiri walau di mana-mana pun.

Inilah masalahnya dengan pimpinan kita yang kononnya pejuang melayu tulen.


Di bawah ini adalah surat pembaca di petik dari The Star.

Saya berurusan dengan pejabat Menteri Besar Selangor bukannya baru. Sejak zaman Tan Seri Muhamad Muhammad Taib lagi saya telah kerap ke pejabat di tingkat 21 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu untuk urusan rasmi.

Bagaimanapun, Menteri Besar sekarang ini, Datuk Seri Khir Toyo, saya lihat tidak pandai menjaga hal ehwal pejabatnya. Sudah lebih sepuluh kali saya berurusan dengan kakitangan pejabat beliau mengenai urusan majlis amal anak yatim.

Apa yang dilihat ialah penggunaan bahasa Jawa sudah seperti tiada kawalan lagi. Lebih hebat lagi bahasa Jawa sudah menjadi seperti bahasa rasmi pejabat MB itu.

Sangat menyedihkan apabila pegawai-pegawai beliau, terutamanya Setiausaha Politik beliau, berbahasa Jawa dengan tetamu yang beliau kenali. Dengan sombong dan bangganya mereka tidak segan silu bertutur dalam bahasa Jawa di pejabat.

Tidakkah mereka tahu bahawa itu menjadi kesalahan kerana tidak bertutur dalam bahasa kebangsaan untuk urusan rasmi di pejabat?

Tidak malukan mereka dengan tetamu yang lain yang berbilang bangsa? Lebih hebat lagi Setiausaha Politik beliau pernah berkata dalam bahasa Jawa kepada tetamunya yang setelah diterjemahkan bermaksud "orang Jawa kuasai Selangor sekarang ini. Kalau orang Jawa tak tolong Jawa siapa lagi. Jangan takut, tiga suku wakil rakyat Selangor orang kita".

Itulah pertuturan yang saya dengar dan mereka seolah tidak tahu malu dan ingat mereka sahaja yang pandai berbahasa Jawa. Saya juga faham bahasa Jawa tetapi tidaklah kurang ajar dan bodoh sombong seperti kakitangan MB Selangor ini.

Saya telah membuat aduan kepada Ketua Setiausaha Sulit pejabat MB Selangor mengenai isu ini. Jawapan beliau seperti sudah dijangka dan bercorak streotype sahaja iaitu "saya akan ambil tindakan dan memaklumkan kepada MB".

Tetapi sampai sekarang suasananya bukannya berubah malah semakin hebat, mengalahkan pejabat Presiden Indonesia pula.

Sedarilah politik suku kaum jangan dipermainkan kerana boleh menyinggung orang lain. Selangor bukan dihuni oleh hanya orang Jawa. Datuk Seri Dr Khir Toyo mesti lakukan sesuatu kerana ramai sangat yang telah mengadu tentang perangai buruk pegawainya yang kurang ajar berbahasa Jawa di pejabat.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59