Monday, 2 October 2006

HUSAM LANCARKAN BLOGNYA


Naib Presiden PAS Datuk Hj Husam Musa yang juga Exco Kerajaan Kelantan melancarkan blog beliau pada 6 Ramadhan lalu. Blog beliau boleh dilayari di cetusan-hati.blogspot.com.

Ikuti nukilan pertama Husam dalam Blognya :-

AHLAN WA SAHLAN

Selamat bertemu. Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Bijaksana, Maha Mengatur, saya mulakan bicara-hati ini, sempena Ramadhan yang mulia.

Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut, maksudnya lebih kurang “jika anda merasa ragu tentang sesuatu, tanyalah hati anda…..”


Fokus utama saya nanti, pembaharuan system pilihanraya Negara kita.

Pilihanraya yang bebas, betul dan adil, amat penting untuk kelangsungan kestabilan politik dan social Negara kita. Jika tidak, penguasa bobrok akan terus mendapat kuasa melanjutkan korupsi mereka, pilihanraya demi pilihanraya, menunggang system pilihanraya yang tempang, berat sebelah dan tidak adil.

Penguasa korup, akan melahirkan system hidup yang tempang pula, pendidikan, ekonomi, social, perundangan, atau apa sahaja.

Penguasaan tiran bertopengkan demokrasi BN, sesuatu yang boleh dicabar. Asal sahaja ada kesedaran dan kesedaran bermula dengan maklumat. Maklumat yang benar dan terkini amat penting tetapi dalam system Negara kita, tentu sahaja ruang untuk itu cuba ditutup serapat mungkin. Apa saja media Alternatif menjadi amat mendesak. Amat mendesak.

Husam Musa
Juma’at, 29 September 2006
Ramadhan, 6, 1427


CILI PULA TAK CUKUP? SHAFEI MAKIN PENING


MELAKA 2 OKT : Khabar yang bertiup kencang tentang kekurangan cili selepas krisis gula benar-benar merumitkan pengguna lebih-lebih di musim perayaan ini. Jika ini benar-benar berlaku maka satu lagi bukti terhidang di depan mata kita bahawa menteri berkenaan, Shafei Apdal gagal mengambil pengajaran dari krisis kekurangan gula yang berlarutan berbulan-bulan lamanya. Adalah lebih baik Shafei letak jawatan dan tumpukan sahaja kerjanya untuk memajukan Parlimen Semporna di Sabah.

Shafei sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada permasalahan ini sepatutnya telah lama membuat analisis dan perancangan terhadap kekurangan apa juga barangan keperluan untuk mengelakkan masalah ini berlaku.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan sikap pemborong mengeksport bahan pertanian ke Singapura, sedangkan bekalan tempatan tidak cukup sebagai satu tindakan tidak bertanggung jawab, penganiayaan dan membelakangkan rakyat sendiri.

Pengarah komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, sepatutnya bekalan dalam negara harus dipenuhi terlebih dulu dan bukan sebaliknya, sehingga menyebabkan harga bahan itu naik mendadak di pasaran tempatan.

Menurut beliau, pemborong seperti itu seharusnya ditarik lesen mereka di samping dikenakan tindakan paling tegas kerana lebih mementingkan keuntungan daripada kepentingan negara.

‘‘Ia merupakan satu penganiayaan kepada golongan pengguna di negara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, hasil kaji selidik yang dilakukan oleh pihak FOMCA, harga siling cili merah RM8 sekilogram sudah cukup tinggi. Berbanding sebelum ini harganya adalah sekitar RM6 sekilogram.

‘‘Oleh itu mereka tidak wajar mengeksport cili merah ke luar negara jika ia menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan. FOMCA yakin bekalannya cukup untuk keperluan kita sekiranya pemborong-pemborong ini lebih bertanggungjawab,’’ tambahnya.

Kata Mohd Yusof, masalah kekurangan bekalan cili merah di pasaran merupakan satu petunjuk bahawa bekalan bahan makanan lain boleh menerima nasib yang sama sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh menangani isu tersebut.

Beliau berkata, pada peringkat ini kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah itu dan antara tindakan segera ialah menyekat sebarang aktiviti eksport yang boleh menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan.

‘‘Cili merah adalah contoh terbaik. Masalah yang menimpa pada cili ini tidak mustahil akan ‘berjangkit’ kepada bahan makanan (mentah) yang lain. Apa yang berlaku ini adalah kesan daripada aktiviti tidak bertanggungjawab pemborong dan peruncit.

‘‘Fomca berpendapat kerajaan perlu lebih campur tangan supaya krisis kekurangan bekalan dapat dielakkan. Jangan benarkan mereka eksport cili merah ke Singapura sekiranya bekalan di negara ini tidak cukup. Jika terus berdegil kenakan tindakan paling tegas ke atas mereka,’’ katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini ini bahawa selepas mengalami kesukaran mendapatkan bekalan gula di pasaran diikuti dengan kenaikan harga ayam, para pengguna kini dijangka berhadapan pula dengan masalah kekurangan cili.

Ini kerana faktor hujan sekarang dan masalah untuk mendapatkan bekalan import dari Indonesia dan Thailand ekoran musim perayaan akan menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan berkurangan.

Keadaan diburukkan lagi dengan sikap pemborong yang lebih suka mengeksport cili tempatan ke Singapura kerana harganya lebih mahal.

Sehubungan itu, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia (PPPSM), Chong Tek Keong tidak menolak kemungkinan kenaikan harga bahan itu dalam masa terdekat.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu mempunyai satu pelan tindakan yang lebih komprehensif serta bersifat jangka masa panjang untuk menangani masalah krisis kekurangan bekalan seperti cili merah.

Katanya, ketika ini pelan hanya berbentuk ad-hoc yang kadang kala hasilnya tidak memuaskan.

‘‘Sekarang ini cili merah dan mungkin pada masa akan datang bahan makanan lain pula susah hendak kita dapati dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.

‘‘Kita tidak mahu setiap kali hari perayaan masalah yang serupa berlaku. Kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh dan jika terpaksa segala pengeluaran, pemasaran dan pengedaran bahan makanan diseliakan oleh syarikat milik kerajaan,’’ tambahnya.


DAH JADI ISU DI MEDIA BARU NAK BERTINDAK


KUALA LUMPUR 2 Okt. – Kalau kes ini tidak di war-warkan di media oleh Ong Tee Keat sudah pasti ianya tidak akan disiasat dan pesalahnya (jika da) sudah pasti terlepas. Inilah fenomena yang sering berlaku dalam pemerintahan kerajaan Islam Hadhari hari ini.

Media melaporkan hari ini bahawa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengakui terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam kerja pembaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor seperti yang didakwa sebelum ini.

Hasil siasatan menteri itu mendapati kos projek yang dibelanja hanya sekitar RM3,000 ke RM4,000, tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membayar kepada kontraktor sebanyak RM29,000.

Menurut Samy Vellu, pihaknya mendapati kakitangan JKR telah membuat salah laku bayaran kepada kontraktor yang terlibat menyiapkan sekolah tersebut.

‘‘Laporan awal yang disediakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II, Datuk Judin Abdul Karim mendapati berlaku salah bayaran dan kerja projek yang tidak sesuai.

‘‘Saya juga telah melihat sendiri keadaan sekolah terbabit dan mendapati banyak kerja tidak siap, malah kos projek yang dibelanja hanya mengambil RM3,000 hingga RM4,000 sahaja tetapi dibayar sebanyak RM29,500,’’ katanya.

Jelas sekali bahawa terdapat 'kebocoran' dalam jentera pentadbiran kementerian ini sehingga penyelewengan sebegini tidak dapat dikesan dari awal sehingga memaksa anggota kabinet lain terpaksa membuat kenyataan media baru hendak bertindak.

Sebenarnya isu sebegini telah lama berbarah dalam sistem pentadbiran kerajaan sebab itulah kos projek sentiasa tinggi dari kos sebenar.


SAMY PERDAYA ORANG ASLI DALAM KEMPEN PILIHANRAYA UMUM?


SUNGAI SIPUT 2 OKT : Seperti kebiasaannya pada setiap kali kempen pilihanraya maka macam-macam janji akan dikeluarkan dari mulut manis calon-calon terutama calon BN yang sudah tentu berjanji akan buat jalan, bagi elektrik, bagi air dan macam-macam lagi.

Media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri S. Samy Vellu diminta menunaikan janjinya dalam pilihan raya umum lalu untuk menyediakan kemudahan asas kepada kira-kira 3,000 pengundi masyarakat Orang Asli di kawasan Parlimennya.

Samy Vellu yang juga merupakan Menteri Kerja Raya dikatakan pernah berjanji memberikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air paip, jalan bertar, pengangkutan dan klinik desa kepada puluhan perkampungan Orang Asli di kawasan Parlimen Sungai Siput.

Wakil masyarakat Orang Asli Sungai Siput, Aluk Pandak, 41, berkata, seluruh masyarakat Orang Asli di Sungai Siput sudah berbincang dan mencapai persetujuan mahu supaya Samy Vellu menunaikan janji itu.

‘‘Datuk Samy Vellu kata kalau (beliau) menang pilihan raya (2004), beliau janji bagi api (elektrik) dan jalan tar.

‘‘Kita mahu (beliau) tunai janjinya itu,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin Ke Pos Poi, Lasah di sini semalam.

Secara sinis, Aluk meminta Abdul Aziz menyampaikan salam kepada Samy Vellu dan meminta beliau segera menunaikan janjinya sebelum ini.

Menurut Aluk, masyarakat Orang Asli di situ masih setia menyokong BN terutama UMNO kerana sejak 60 tahun lalu memang kesetiaan mereka kepada kerajaan yang memerintah tidak pernah berbelah-bahagi.

‘‘Kami bukan tidak menyokong BN tetapi mahu Samy Vellu mengotakan janjinya. Kita sebenarnya amat kecewa kerana sampai hari ini beliau hanya bercakap kosong.

‘‘Dulu, beliau janji mahu membuat jalan tar sejauh 42 kilometer menghubungkan perkampungan Orang Asli dari Lasah menuju ke Pos Kemar di Pangkalan Hulu, Gerik, menyediakan lori kononnya boleh digunakan untuk menghantar penduduk sakit ke hospital dan banyak lagi kemudahan asas yang lain,” ujarnya.

Sepatutnya Batin kena menilai semula sokongan kepada Samy Vellu ini. Sebab dah lama Batin undi BN tetapi keadaan tidak berubah. Jangan Batin tertipu untuk kesekian kalinya.

Bagi yang bukan suku sakat Batin, janganlah kita pun tertipu lagi dengan janji-janji manis BN kerana sekarang semuanya sudah tidak selamat dan senang lagi semuanya akibat kegagalan kerajaan Islam Hadhari memerintah dengan baik. Setiap hari jenayah semakin meningkat, barang semakin naik, minyak naik, elektrik naik dan berbagai lagi masalah.


'SUPPLY' KOMPUTER KE SEKOLAH SIAPA PULA YANG KAYA LEPAS INI?


KLUANG 2 Okt. – Cadangan kerajaan untuk mewujudkan ‘Kafe siber’ di sekolah merupakan cadangan yang baik untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran mengendalikan komputer dan IT. Namun kita mengharapkan ianya tidaklah setakat melepaskan batuk ditangga. Sehingga ada komputer yang rendah mutu dan tidak setimpal dengan harganya. Selain itu pembekal juga mestilah pembekal yang bertanggungjawab dan berkemahiran untuk menyediakan perkhidmatan "after sales service" yang baik. Kita tidak mahu ada pembekal 'instant' yang ujud selepas mengetahui projek ini diujudkan oleh kerajaan.

Pemberian tender juga mestilah mengikut prosedur, tidak sebagaimana dakwaan sesetengah pihak bahawa ada yang tidak layak pun berjaya mendapatkan projek tersebut.

Media hari ini melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran akan membekalkan 10 unit komputer di hampir semua 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Ia akan dikenali sebagai Pusat Akses Komputer, yang konsepnya sama seperti kafe siber.

Melalui pusat itu para pelajar akan menggunakan kemudahan tersebut untuk membuat tugasan sekolah.

Pusat ini berbeza dengan makmal komputer yang sedia ada di sekolah-sekolah, yang kegunaannya adalah mengikut jadual waktu persekolahan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak 1,500 buah sekolah dengan 15,000 unit komputer, 1,500 unit pencetak, perabot dan infrastruktur dengan kos sebanyak RM70 juta terlibat dalam fasa pertama.

Beliau menambah, pelaksanaannya telah bermula di 51 buah sekolah rendah dan menengah di luar bandar Sabah termasuk 10 sekolah dalam Parlimen Kalabakan di negeri itu manakala 33 buah sekolah lagi di Johor.

Dalam fasa seterusnya tahun depan, beliau berkata, sebanyak 12,900 unit komputer lagi bakal dibekalkan kepada 1,290 sekolah secara berperingkat.

“Berbeza dengan makmal komputer, Pusat Akses Komputer memberi ruang kepada pelajar mengenali ICT dan pada masa yang sama ia mungkin boleh dikongsi oleh ibu bapa, satu hari kelak.

“Menerusi pendekatan ini, nisbah komputer terhadap murid-murid di sekolah dapat dikurangkan, usaha membudayakan ICT dapat dipertingkatkan sekali gus merapatkan jurang pelajar luar bandar dan bandar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyatakan demikian kepada pemberita pada majlis tadarus al-Quran, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan untuk penduduk dalam kawasan Parlimen itu di Masjid Felda Ulu Belitong, dekat Kluang, semalam.

Majlis itu adalah anjuran UMNO Sembrong, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sembrong dengan kerjasama Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri.

Hadir sama ialah isteri beliau, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, S. Ramis.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pusat-pusat akses akan lebih banyak diwujudkan di sekolah luar bandar kerana sekolah di bandar sudah jauh ke depan dalam menikmati kemudahan ICT sama ada dibekalkan oleh kerajaan atau pihak ketiga.

Menyedari pendekatan itu sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak telah mula dibekalkan generator berkuasa 30 Watt yang baru dan generator lama dinaik taraf sebagai bekalan elektrik termasuk air bersih, semuanya selesai paling cepat menjelang tahun depan, jelas beliau.

“Agenda ini penting, kalau tiada elektrik tiada guna dibekalkan komputer, seperti yang berlaku dulu dengan menganggap semua sekolah sama taraf tetapi banyak sekolah tiada bekalan elektrik ia menjadi pembaziran kepada kerajaan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, Kementerian Pelajaran menyerahkan kepada budi bicara pihak sekolah untuk mewujudkan pusat akses itu yang dilihat bukanlah satu masalah besar selain mengekalkan makmal komputer yang sedia ada.

Kebimbangan kini ialah faktor keselamatan terhadap komputer-komputer yang dibekalkan dan Hishammuddin mengakui sendiri jika berlaku kehilangan ia mengambil masa yang lama untuk menggantikannya.

“Soal keselamatan perlu diambil kira kerana selepas program ini selesai, isu dari segi insurans, sewa atau jual beli serta menaik taraf kemudahan tersebut masih dalam perbincangan,” katanya.

Namun lebih meresahkan beliau ialah jika segala kemudahan yang disediakan tidak diakses menyebabkan perancangan kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik komputer terbantut.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59