Friday, 29 September 2006

Umno MULA GELABAH : TUDUH PAS BAWA MASUK PENGUNDI HANTU


KUALA LUMPUR 29 OKTOBER : Ketua Umno Bahagian Marang Datuk Abdul Rahman Bakar hari ini mendakwa PAS membawa masuk "pengundi hantu" ke kawasan Parlimen Marang dan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya supaya memastikan mereka ini tidak disenaraikan sebagai pemilih untuk pilihan raya umum akan datang.

Katanya limpahan "pengundi hantu" itu dikesan hasil pemantauan terhadap daftar pemilih dari semasa ke semasa.

"Kami dapati bilangan pengundi di sesetengah kawasan peti undi semakin bertambah, dan siasatan lanjut mengesahkan sebahagian daripada pengundi baru itu bukan terdiri daripada pemastautin di kawasan Parlimen Marang.

"Mereka juga didapati tidak bekerja di Marang dan tidak mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk di kawasan Parlimen itu," katanya dalam satu kenyataan.

Nampaknya Umno mula gelabah dengan kerja kuat dan sistematik yang dijalankan oleh jentera Pilihanraya PAS.

Sebenarnya jumlah peningkatan pengundi baru yang mendadak di peti undi-peti undi adalah kerja kuat petugas-petugas PAS yang tidak kenal penat dan lelah mendaftarkan anak-anak ahli PAS dan penyokong-penyokong PAS menjadi pengundi berdaftar. Sebelum ini dari tinjauan yang dibuat oleh PAS bahawa ramai anak-anak ahli dan penyokong PAS yang tidak berdaftar. Jadi bila SPR membuka pintu kepada parti untuk menjadi agen membantu SPR mencari pengundi baru maka PAS buat kerja 'all out' mendaftar mereka.

Maka Umno pun 'pucat gigi' memikirkan dari mana pengundi baru ini datang. Mereka pun membuat tuduhan melulu di mana seolah-olah PAS yang membawa pengundi hantu sedangkan pelopor pengundi hantu ialah Umno sendiri seperti terbukti dalam sewaktu perbicaraan kes petisyen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tempohari.


Abdul Rahman, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Anggota Parlimen Marang, berkata sebagai contoh, daftar pemilih yang disahkan pada 16 Mac lalu menunjukkan jumlah pengundi di Rhu Rendang, satu daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Marang, adalah 16,220 orang tetapi 310 daripada mereka adalah pengundi yang tidak dikenali dan tidak bermastautin di situ.

Tiga lagi kawasan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Marang ialah Alur Limbat, Bukit Payung dan Pengkalan Berangan.

Abdul Rahman berkata daripada 310 orang itu, 102 adalah dalam kawasan peti undi Kijing, 101 orang di Rusila, 42 orang di Medan Jaya, 24 orang di Seberang Marang, 20 orang di Rhu Muda, 18 orang di Atas Bukit dan tiga orang di Batangan.

"Kita masih menyemak bilangan pengundi hantu di kawasan peti undi Pulau Kerengga, Sentol Patah dan Bandar Marang," katanya.

Abdul Rahman mendakwa faktor pengundi import turut menyumbang kepada kekalahan calon BN kepada PAS di Rhu Rendang pada pilihan raya umum yang lepas.


SANG KELEMBAI KENA PECAT

















Tuan punya Blog sangkelembai2006.blogspot.com, Abd Zarin bin Mohd Yasin atau dalam Utusan Malasyia di tulis sebagai Zaharin Mohd. Yassin (foto) telah dipecat oleh Umno kerana didakwa telah melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli UMNO iaitu berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan parti UMNO di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej dan nama baik parti.

Inilah risikonya menjadi ahli Umno iaitu tidak boleh mengkritik Umno terutama pemimpinnya, seolah-olah pemimpin Umno ini maksum dan tidak melakukan kesalahan. Malah untuk menasihatkan mereka pun tidak boleh.

Ini bertentangan sekali dengan PAS di mana ahlinya bebas memperbetulkan parti dan pemimpinnya.

Catatan : Abd Zarin adalah bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak.

Ikuti tulisan Abd Zarin dalam Blognya mengenai pemecatan beliau ini.

Saya telah dihadapkan kepada Lembaga Disiplin UMNO pada 4hb September 2006 atas 22 pertuduhan yang berkisar kepada tulisan saya yang menyentuh Abdullah Ahmad Badawi dalam blog "Sang Kelembai". Lembaga Disiplin UMNO telah bersetuju untuk mengambil tindakan agar saya dibebaskan tetapi tidak dilepaskan dari tuduhan disiplin, dan saya memberi surat aku janji supaya tidak lagi menulis perkara - perkara yang menyentuh serangan peribadi Abdullah Ahmad Badawi sebaliknya menulis bentuk kritikan kepada perkara - perkara dasar atau pandangan yang boleh membantu parti. Surat "aku janji" itu telah saya serahkan kepada Lembaga Disiplin tersebut.

Sungguhpun demikian pada bulan Ramadhan yang mubarak ini, Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pemecatan saya sebagai ahli UMNO dengan berselindung atas alasan bahawa ahli Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju dengan dengan keputusan pemecatan tersebut. Saya menerima pemecatan tersebut dengan terbuka dan menganggap bahawa pemecatan ini adalah satu rahmat bagi saya dari terus menyokong organisasi yang dipimpin oleh seorang Presiden yang bagi saya cenderung kepada sifat - sifat seorang "munafik"

Pemecatan itu memberi saya ruang untuk bebas dari ikatan Perlembagan UMNO bentuk baru, yang menyekat ruang untuk mengkritik dan menegur pemimpin, satu perkara yang berlawanan dengan prinsip Islam Hadhari. Ini membuktikan teguran saya bahawa konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh Perdana Menteri kita hanya - Islam ada had dan ada hari.

Pemecatan saya juga membuktikan bahawa pemimpin UMNO tidak boleh dikritik atau ditegur dan perbuatan mengkritik kepimpinan khususnya dalam konteks ini "mengkritik Perdana Menteri " merupakan satu dosa besar dalam parti. Pemecatan ini tidak melunturkan sokongan saya terhadap UMNO kerana bagi saya, sokongan setelah saya dipecat menunjukkan komitment saya terhadap perjuangan agenda - agenda UMNO dan sokongan ini bukan sokongan yang mempunyai niat - niat perolehan tertentu. Kita tidak sepatutnya hadir dalam menyokong parti hanya untuk menuntut balasan dari parti untuk kepentingan diri sendiri tetapi kita hadir menyokong kerana kita percaya kepada idealisma dan perjuangan UMNO yang selama ini relevan untuk agama, bangsa dan negara.

Ini adalah kali kedua saya dipecat sebagai ahli UMNO dalam perkara yang sama, iaitu menegur pemimpin UMNO. Pada tahun 1996, kerana menulis berapa surat terbuka kepada Dr Mahathir Mohamed dan Anwar Ibrahim saya dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO dan diterima semula dalam UMNO selepas Anwar Ibrahim dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1998.

Pemecatan ini bagi saya telah membuka ruang yang lebih luas sama ada untuk menulis, hadir dalam mana - mana majlis yang berjuang untuk membongkar pembohongan Abdullah Ahmad Badawi dan jika saya terlibat dalam mana-mana ceramah termasuk ceramah Parti Pembangkang selepas ini, ia lebih merupakan perjuangan saya bagi menghidari rakyat dari ditipu oleh Abdullah Ahmad Badawi. Saya komited untuk memastikan beliau meletakan jawatan atau disingkirkan sebagai Perdana Menteri secara demokrasi dalam pilihanraya yang akan datang. Penyingkirkan seorang Perdana Menteri bukan perkara baru. Ini pernah berlaku dalam pilihanraya 1969. Semua rakyat berbilang kaum dalam menunjukkan protes mereka, telah memberi undi kepada pembangkang sehingga memperolehi banyak kerusi Dewan Negeri dan seterusnya menguasai Pulau Pinang dan Pas kekal di Kelantan. Tindakan rakyat ini juga mengoncang kedudukan Perak dan Selangor. Begitu juga ditahun 1999, apabila seluruh rakyat Terengganu telah mengundi Pas kerana mahu menyingkirkan Wan Mokhtar Ahmad. Tidak mustahil pada pilihararaya yang akan datang rakyat Malaysia terdiri dari Melayu, China,India dan etnik lain akan mengundi parti pembangkang kerana mahu menyingkiran Abdullah Ahmad Badawi.

Saya tidak akan merayu atas keputusan tersebut dan akan hanya memohon menyertai semula UMNO setelah Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak menjadi Presiden UMNO. Saya ingin membawa kepada satu peristiwa Saidina Hamzah yang tidak membunuh musuh perangnya sungguhpun musuh tersebut telah meludah kemukanya. Bila ditanya kenapa beliau tidak membunuh musuh tersebut, beliau menjawab, "bahawa aku berperang menentang musuh Allah dan aku takut kehilangan pahala kerana membunuh dia yang telah meludahku" dan sikap ini saya jadikan landasan perjuangan saya untuk terus membongkar kemunifikan pemimpin yang memperalatkan Islam.

Kepada semua ahli Majli Tertinggi UMNO, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sebulat suara bersetuju memecat saya dari menjadi ahli UMNO. Saya yakin ahli Majlis Tertinggi UMNO tahu dengan beradanya saya diluar UMNO, ini pasti akan memudahkan saya bergerak untuk menyegerakan kejatuhan Abdullah Ahmad Badawi. Saya komited dan tidak akan menghampakan harapan itu. Doakan saya berjaya dalam usaha ini. Saya mengungkap perutusan kemerdekaan tempoh hari :

"APA ERTI KEMERDEKAAN, JIKA TIDAK ADA KEBEBASAN. APA ERTI KEBEBASAN , JIKA TIDAK ADA PERJUANGAN. APA ERTI PERJUANGAN. JIKA TIADA PENGORBANAN. APA ERTI PENGORBANAN, JIKA TIDAK ADA KEBERANIAN. APA ERTI KEBERANIAN, JIKA TIDAK ADA KEMATIAN... dan saya sanggup mati dari berketuakan seorang Presiden Parti yang Munafik.


HANYA PANDAI BERJANJI


KEPALA BATAS 29 SEPTEMBER : Janji hanya tinggal janji. Replika cek yang diserahkan Jawatankuasa Pembinaan SRJK Cina Sin Chung Permatang Sintok pada Januari lalu memang sebenar-benarnya replika sebab sehingga sekarang duitnya belum diserahkan. Inilah kerajaan Islam Hadhari dan pemimpinnya yang kadang-kadang hanya pandai berjanji tetapi susah untuk ditunaikan.

Jawatankuasa Pembinaan SRJK Cina Sin Chung Permatang Sintok, menuntut janji Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyumbang RM200,000.00 seperti mana yang tercatat dalam replika cek yang diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan pada Januari lalu.

Replika cek tersebut diserahkan melalui Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon pada majlis khas sempena sambutan Tahun Baru Cina dekat sini, anjuran Gerakan dan MCA.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Persatuan Bekas Murid sekolah berkenaan, Ong Yew Leng wang yang dijanjikan itu masih belum diterima.

“Perkara ini menjadi buah mulut masyarakat di sini, kerana majlis sumbangan itu telah disiarkan dalam media massa,” katanya yang juga salah seorang ahli jawatankuasa pembinaan.

Menurut Ong pihaknya sangat memerlukan wang berkenaan bagi menampung kos pembinaan sekolah baru berjumlah RM2 juta yang masih belum mencukupi.

Beliau ditemui di sekolah berkenaan selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah baru-baru ini, kerana usaha parti itu membantu mengumpul dana untuk pembinaan sekolah berkenaan.

Jelas Ong pihaknya juga masih menunggu janji Ahli Parlimen Batu Kawan, Huan Cheng Guan yang berikrar akan menyumbang sebanyak RM 6000.00 selepas tabung pembinaan dilancarkan Disember tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Azizah menggesa Abdullah dan Huan menunaikan janji mereka agar tidak menimbulkan masalah kepada pentadbiran sekolah dan pelajar di situ.

Pada 16 Disember tahun lalu, bangunan SRJK Cina Sin Chung hampir dirobohkan oleh pemaju Motif Era Sdn Berhad dengan bantuan 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk tujuan pembangunan.

Bagaimanapun ratusan orang awam daripada ibu bapa, kakitangan sekolah dan pemimpin Keadilan, PAS dan DAP berkumpul di perkarangan sekolah bagi membantah tindakan pemaju terbabit.

Pihak sekolah akhirnya berjaya mendapat perintah sementara mahkamah untuk menghalang hasrat pemaju terbabit. Kes tersebut masih berjalan.

Namun, pada 19 Disember lalu berlaku lagi kekecohan apabila pemaju bertindak mengorek parit bagi menutup jalan masuk ke tapak baru sekolah untuk upacara pecah tanah oleh Ketua Menteri. Pemaju enggan membenarkan pihak sekolah menggunakan sebahagian tanah miliknya sebagai laluan masuk ke tapak sekolah baru berkenaan.

Akibatnya berlaku pertelingkahan menyebabkan dua kakitangan pemaju tercedera sementara dua penduduk ditahan polis kerana insiden itu.

Sejak kemelut itu, Dr Wan Azizah telah melawat sekolah berkenaan sebanyak empat kali.

Kini, sebuah bangunan setinggi dua tingkat berjaya didirikan bagi menggantikan sekolah lama yang dibina pada tahun 1946, mempunyai 48 murid 16 daripadanya Melayu.

Bagaimanapun bangunan sekolah baru itu belum boleh diduduki kerana belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Sumber : Malaysia Today


KERA DI HUTAN DISUSUKAN ANAK DI RUMAH MATI KELAPARAN


Bagaikan perumpamaan kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Itulah ungkapan yang boleh kita simpulkan bila membaca kenyataan bahawa RM500,000 dibelankan sehari untuk menanggung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di pusat-pusat tahanan seluruh negara.

Sedangkan pada masa yang sama masih ramai lagi rakyat tempatan yang terpaksa makan nasi berlaukkan garam, seharian makan ubi kayu, makan nasi sekali sehari dan sebagainya. Ramai lagi rakyat kita yang tidak ada rumah, merempat di tanahair sendiri. Wang RM500,000 itu sepatutnya dibelanjakan untuk memberikan kesejahteraan anak watan sendiri.

Tetapi inilah hakikatnya. Oleh kerana 'terlampau bijak memerintah dan menguruskan hal ehwal PATI' ini wang rakyat dibazirkan. Oleh itu sama-samalah kita menilai kembali sokongan kepada kerajaan Islam Hadhari ini.

Fakta dan kenyataan di atas di buat sendiri oleh Timbalan Menterinya, Datuk Fu Ah Kiow. Beliau berkata kerajaan membelanjakan sebanyak RM30 sehari bagi seorang banduan warga asing apabila mereka ditahan. Kos itu terpaksa ditanggung selagi banduan berkenaan masih ditahan reman di penjara di seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah PATI yang ramai ditahan di pusat tahanan adalah kerana proses pendakwaan di mahkamah yang melibatkan PATI ini mengambil masa yang terlalu lama.

‘‘Kalau segala proses mahkamah untuk dapatkan tahanan reman adalah cepat, kita tidak perlu tanggung kos yang tinggi lagi. Pada masa ini, kerajaan membelanjakan sebanyak RM500,000 untuk penghuni berkenaan yang berada di penjara.

‘‘Perbelanjaan itu mungkin meningkat sekiranya mereka lambat didakwa di mahkamah,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat lebih sejam mengenai Penjara Pengkalan Chepa oleh Pengarahnya, Ab. Basir Mohamad di sini hari ini.

FAKTA

Perbelanjaan yang tinggi itu diperuntukkan kepada lebih 16,303 orang banduan iaitu 38.3 peratus warga asing.

kerajaan pada masa ini membelanjakan sekurang-kurangnya RM1.27 juta sehari bagi menampung perbelanjaan 42,483 banduan dan tahanan di penjara serta depot tahanan pendatang asing tanpa izin di seluruh negara.


WAJAH PATRICK LIM YANG BERKUASA?



INILAH WAJAH PATRICK LIM YANG DIBERI NAMA JOLOKAN PATRICK BADAWI OLEH TUN MAHATHIR DI MANA BELIAU MENDAKWA PATRICK BERSAMA-SAMA DENGAN KHAIRY JAMALUDDIN SEKARANG INI MEMERINTAH TERENGGANU BUKANNYA IDRIS JUSOH.

Keterangan gambar : Gambar wajah Patrick dan gambar beliau bersama 'ayahanda' beliau dan Koh Tsu Kon ketika meninjau satu projek di Pulau Pinang.

SIAPAKAH PATRICK LIM

Nama Patrick Lim melonjak secara tiba-tiba dan menjadi tumpuan awam selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pemaju hartanah itu bersama menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin ‘memerintah’ Terengganu.

Malah, Dr Mahathir membahasakannya sebagai Patrick Badawi. Dr Mahathir menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan tabung bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Kemaman Jumaat lalu.

Jadi, siapakah Patrick Lim? Patrick Lim merupakan seorang pemaju hartanah yang tidak menonjolkan diri. Bapanya adalah seorang yang terkenal dalam arena lumba kuda sehingga logo syarikatnya Equine Capital Bhd turut menggunakan imej kuda.
Patrick adalah Pengerusi Eksekutif Equine Capital Bhd yang beribupejabat di Seri Kembangan, Selangor. Beliau mempunyai tiga projek hartanah yang besar – satu daripadanya adalah di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Projek itu termasuk dalam projek pembangunan jambatan kedua Pulau Pinang. Projek perumahan tersebut dikenali sebagai Crescentia Park – projek campuran komersial dan perumahan – yang akan dimajukan sebagai bandar satelit ketiga di Pulau Pinang.

Kawasan itu merangkumi kawasan seluas 450 ekar. Nilai Pembangunan Kasar dan Kos Pembangunannya dianggarkan masing-masing bernilai RM860 juta dan RM636 juta. Projek itu dijangka disiapkan sepenuhnya pada 2015.

Kawasan tersebut boleh diakses melalui jambatan kedua Pulau Pinang dan melalui lebuhraya. Sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melawat projek pembangunan jambatan kedua itu, beliau turut diberi taklimat oleh Patrick mengenai projek syarikatnya.

Padang lumba kuda

Sebelum ini, salah seorang pengurus anak syarikat milik Patrick terbunuh selepas terkena kipas helikopter yang dinaikinya dan insiden itu menjadi tumpuan laporan media massa.

Selain itu, Patrick juga mendapat hak mereka-bentuk dan membina semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang akan dipindahkan ke kawasan Batu Kawan yang berharga RM375 juta.

Ini menjadikannya Patrick (foto) sebagai seorang pemaju yang mempunyai projek hartanah yang terbesar di Malaysia.

Projek kedua yang diperolehi Patrick adalah pertandingan perahu layar Monsoon Cup di Pulau Duyong, Terengganu – idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri. Projek bernilai RM200 juta termasuk pelaksanaan pembangunan prasarana di pulau tersebut, termasuk pembinaan chalet.

Perdana Menteri mahu dianjurkan satu pertandingan bertaraf antarabangsa sewaktu musim tengkujuh bagi menghapuskan mitos bahawa tiada aktiviti yang dapat dijalankan pada musim tersebut, di mana nelayan tidak keluar menangkap ikan kerana laut yang bergelora.

Bagi sesetengah pihak, pembabitan Patrick dalam projek pembangunan yang termasuk dalam projek jambatan kedua Pulau Pinang dan penganjuran ‘Monsoon Cup’ itu mencerminkan hubungan baik beliau dengan Perdana Menteri.


Monsoon Cup merupakan pertandingan perahu layar bertaraf dunia pertama yang diadakan di Asia dan dimulakan pada Disember tahun lalu, dengan disaksikan oleh 500 juta penonton di seluruh dunia.

Jackie Chan tertarik

Pertandingan tersebut berjaya menarik kehadiran pelakon terkenal seperti Jackie Chan, Michelle Yeoh dan tunangnya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan lumba kereta Formula 1, Ferrari, Datuk Jean Todt.

Abdullah turut menyaksikan pertandingan tersebut untuk memberi sokongan kepada projek berkenaan. Todt sudahpun memiliki dua buah bunglow di pulau tersebut.

Sementara itu akhbar melaporkan baru-baru ini Jackie Chan yang merupakan rakan karib Patrick turut menyuarakan minatnya untuk untuk membeli hartanah di Pulau Duyong.

Pelakon Hong Kong itu dilaporkan berkata, beliau telah jatuh cinta dengan keindahan dan ketenangan pulau tersebut dan sedang menimbang untuk membeli hartanah di situ.

Chan berada di Malaysia baru-baru ini untuk melawat kawasan pertandingan Monsoon Cup itu. Beliau yang datang dari Singapura, menaiki skuter air untuk meninjau sekitar kawasan tersebut.

Atas jemputan Patrick

Jackie berkata beliau datang ke Pulau Duyong atas jemputan Patrick

“Patrick memujuk saya supaya datang menyaksikan pembangunan dan keindahan Pulau duyong. Lawatan saya juga adalah untuk memenuhi tanggungjawab saya sebagai Duta Pelancongan Asia.

Bagaimanapun, Jackie bekata, beliau tidak dapat menyaksikan pertandingan ‘Monsoon Cup’ tahun in kerana sibuk dengan penggambaran filem Rush Hour 111.

Dalam cara pertandingan tahun lalu, pihak penganjur telah mengedarkan 30,000 baju hujan ‘pakai-buang’ kepada penonton yang datang menyaksikan pertandingan tersebut.

Patrick juga berjaya melantik juara kapal layar dunia sebanyak dua kali, Peter Gilmour sebagai pengarah pertandingan tersebut yang berlangsung pada 29 November hingga 4 Disember tahun lalu.

Sumber : Malaysiakini


Umno TAKUT PERPECAHAN DALAM PARTI : TANGGUHKAN PEMILIHAN SEPT 2007 UNTUK HADAPI PRU


KUALA LUMPUR 29 Sept. Oleh kerana takut berlakunya perpecahan Umno semalam mengumumkan bahawa pemilihan pucuk pimpinan parti itu ditangguhkan sehingga selepas Pilihanraya Umum. Ini kerana semua orang tahu bahawa jika pemilihan diadakan sebelum pilihanraya umum sudah tentu akan berlaku pertandingan yang sengit bagi merebut jawatan dalam parti yang menjadi tiket untuk dipilih menjadi calon pilihanraya. Ini kerana di dalam Umno sudah menjadi kebiasaan bagi pimpinan utama di peringkat pusat dan bahagian akan menjadi pilihan utama untuk menjadi calon.

Selain itu Umno juga mungkin takut berlakunya rasuah politik dan kempen tidak sihat yang maha dahsyat semata-semata memenangi jawatan dalam Umno. Sebab semua orang tahu pemimpin Umno hampir semuanya terlibat dengan rasuah politik (politik wang) ketika pemilihan parti dan pilihanraya umum.

Pak Lah juga mungkin merasakan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan ini juga boleh melegakan beliau yang sekarang ini hebat diserang atas kelemahan beliau mentadbir negara ini. Mungkin ada orang yang sedang menginta-intai untuk menentang beliau dan regunya jika pemilihan di adakan pada November tahun depan.

Pilihan raya umum dijangka diadakan akhir tahun depan atau awal 2008. Ramalan itu dibuat setelah Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini melanjutkan tempoh pemilihan pucuk pimpinan parti itu kepada 18 bulan daripada September 2007, bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-12 diadakan terlebih dahulu.

Pemilihan - tiga tahun sekali - UMNO yang lepas berlangsung pada 23 September 2004.

Undang-undang negara menetapkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh lima tahun kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal. Pilihan raya lalu ialah pada 21 Mac 2004. Ini bermakna mandat kerajaan akan berakhir pada Mac 2009.

Sementara setelah pelanjutan 18 bulan itu, mandat anggota MT juga akan berakhir pada Mac 2009.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia telah diputuskan oleh MT bagi memberi ruang kepada parti itu untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya.

Katanya, dengan itu UMNO boleh memfokuskan kepada usaha-usaha meningkatkan pembangunan negara serta yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

Tindakan tersebut juga katanya, merupakan satu prosedur dan juga dasar parti selama ini yang terbukti telah memberi kebaikan kepada ahli.

‘‘Prosedur dan dasar parti ini telah dilaksanakan sebanyak dua kali dan telah terbukti dapat memberi kebaikan kepada parti.

‘‘Ini juga untuk membolehkan parti menumpukan kepada hal-hal berkaitan dengan menjayakan pembangunan negara dan juga pembangunan projek-projek yang telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di sini.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda UMNO telah mencadangkan supaya pemilihan pucuk pimpinan parti yang dijadualkan tahun depan ditunda sehingga selesai pilihan raya umum.

Cadangan itu dibangkitkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kerana bimbang pemilihan yang dilakukan sebelum pilihan raya boleh mencetuskan perpecahan di antara pemimpin dan penyokong parti.

‘‘Kita bimbang kekuatan parti UMNO akan goyah kerana macam-macam boleh berlaku jika pertandingan dilakukan sebelum pilihan raya umum ekoran kekecewaan calon yang kalah boleh mempengaruhi pengikutnya,’’ kata Khairy.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, pemilihan parti boleh ditangguhkan selama 18 bulan.

Mengikut kelaziman pemilihan MT tidak diadakan tepat pada tempoh 18 bulan, dan pilihan raya umum juga tidak diadakan genap lima tahun.


'MENGHARUKAN'


KENYATAAN AKHBAR SETIAUSAHA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT KATIL BERHUBUNG DENGAN IKLAN YANG BERTENTANGAN DENGAN AGAMA

Malam tadi saya berkesempatan menonton rancangan Ehwal Islam terbitan RTM1. Ahli Panelnya terdiri dari Imam Besar Masjid Negara, Dato' Kamaruddin Zakaria;Pengarah KAGAT Brigedier Jeneral Dato' Jamil Khir Jahaya dan Pensyarah UIA Ustaz Wan Shohor Bani Leman. Topik perbincangan berkisar kepada Puasa di Bulan Ramadhan Al Mubarak, di mana forum tersebut dijalankan di Padang Sekolah Menengah Bandar Tasik Selatan Kuala Lumpur.

Apa yang saya kesalkan ialah Forum tersebut telah diselang-selikan dengan iklan yang tidak manis ditonton iaitu iklan syampu yang menampakkan aurat dan bahagian atas badan wanita iaitu bahu dan bahagian atas dada. Adalah jelas bahawa iklan ini tidak sesuai dan tidak manis ditayangkan lebih-lebih lagi ketika rancangan Forum Ehwal Islam.

Apakah ini yang dikatakan Islam Hadhari dimana perkara baik boleh dicampurkan dengan perkara haram. Mungkin inilah yang dikatakan Islam Liberal dan pragmatik.?

SAYA MENYERU RTM MEMBERHENTIKAN SERTA MERTA IKLAN-IKLAN SEUMPAMA INI YANG JELAS MENDEDAHKAN AURAT WANITA DENGAN KETERLALUAN. IKLAN SEBEGINI BUKAN SAHAJA BERTENTANGAN DENGAN AGAMA MALAH IANYA TIDAK MANIS DITONTON LEBIH-LEBIH LAGI KETIKA RANCANGAN AGAMA YANG JELAS SAMA SEKALI BERLAWANAN DENGAN ISI KANDUNGAN FORUM EHWAL ISLAM ITU SENDIRI.

KHAIRUDDIN ISMAIL
SETIAUSAHA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT KATIL


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59