Thursday, 28 September 2006

HAMPIR 8,000 PELAJAR TERENGGANU TAK TAHU SOLAT : SISTEM PENDIDIKAN ISLAM HADHARI GAGAL


KUALA TERENGGANU 28 SEPT : Seramai 7,942 pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu dikenal pasti belum pandai mendirikan solat termasuk sembahyang lima waktu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.

Beliau berkata daripada tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri terhadap 70,903 murid sekolah rendah sehingga Ogos lepas, seramai 4,430 atau 6.2 peratus murid belum dapat menguasai sepenuhnya solat manakala daripada tinjauan ke atas 79,919 pelajar sekolah menengah, sebanyak 3,512 pelajar yang belum pandai menunaikan ibadah tersebut.

"Kerajaan negeri mengakui memang ada pelajar-pelajar di negeri ini yang belum pandai mendirikan solat. Sebab itu, Jabatan Pelajaran Negeri sedang mengadakan program Bestari Solat di sekolah-sekolah.

"Kita percaya, angka-angka itu (yang belum pandai solat) akan menurun dengan banyak pada akhir tahun ini (dengan adanya Bestari Solat itu)," katanya ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) pada hari kedua dan terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-11 di sini hari ini.

Ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan Islam Hadhari gagal mendidik pelajar supaya pandai mendirikan solat. Ini semua adalah kerana subjek agama telah lama dipinggirkan dalam sistem pendidikan Islam Hadhari. Inilah malangnya apabila agama dikesampingkan. Malah subjek agama bukanlah subjek wajib dan ianya tidak termasuk dalam subjek peperiksaan UPSR.

Dr Abdul Latiff berkata daripada tinjauan terhadap murid sekolah rendah itu juga, Jabatan Pelajaran Negeri mengenal pasti seramai 13,630 murid belum pandai menguasai bacaan al-Quran dan 14,803 tidak tahu menulis dan membaca jawi.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri juga telah mengadakan kelas-kelas pemulihan al-Quran dan jawi kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Oleh kerana rakyat mestilah menilai semula sokongan mereka kepada kerajaan Islam Hadhari yang memerintah hari ini, kerana mereka sebenarnya telah gagal meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan rakyat.


Projek TTI: Penduduk Pulau Wan Man dakwa terpinggir


KUALA TERENGGANU 28 SEPT : Penduduk di Pulau Wan Man, tapak Taman Tamadun Islam (TTI) yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Terengganu merasakan mereka "dipinggirkan di negeri sendiri" kerana tidak diberi peluang berkerja di projek berkenaan.

Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Losong Atap Zink, Hasan Ismail berkata, kontraktor tempatan yang membangunkan TTI tidak memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di pulau itu.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil tahu hal ini dan bertindak segera menjaga kepentingan dan perasaan penduduk tempatan.


"Dalam keghairahan melaksanakan projek tersebut kerajaan Terengganu perlu memastikan penduduk tempatan tidak merasa mereka dipinggirkan di negeri sendiri," tambahnya.

Menurut laporan Bernama, Hasan mendakwa, kontraktor lebih mengutamakan pekerja asing sementara penduduk tempatan dianaktirikan. Kebanyakan pekerja di kawasan TTI ialah warga asing terutama dari Indonesia.

"Apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila penduduk tempatan pergi meminta kerja, mereka tidak dilayan, malah ada di antara mereka yang dihalau," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh untuk memaklumkan mengenai kesukaran penduduk setempat mendapatkan pekerjaan di tapak pembinaan itu dan serta masalah-masalah lain.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membawa pembangunan di kampung kami. Tetapi, apa salahnya penduduk tempatan juga diberi peluang mencari rezeki di tapak projek yang diusahakan itu," katanya.

Hasan menambah, kontraktor-kontraktor terbabit juga tidak menghormati perasaan penduduk kampung kerana membiarkan lori-lori mereka lalu-lalang di kawasan kampung untuk ke tapak projek, yang mengeluarkan bunyi bising tidak kira sama ada pada waktu siang atau pun malam.


Pulau Wan Man berdekatan Kuala Terengganu dan TTI yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu akan menjadi mercu tanda baru bagi negeri itu. Projek itu dijangka siap dibina akhir tahun depan.

Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan pelbagai kebudayaan dari negara Islam di TTI malah dapat melihat kehebatan seni bina Islam dengan pembinaan 21 buah replika monumen terkenal di seluruh dunia.

Antara monumen itu ialah sebuah masjid kristal bernilai lebih RM200 juta.

Dari : Malaysiakini


SUASANA MERIAH DAN BERLAINAN DI KELANTAN MACAMANA DENGAN NEGERI ISLAM HADHARI?


KOTA BHARU, 28 Sept - Suasana Ramadan di Kelantan berlainan berbanding negeri-negeri lain, benarkah demikian.?

Malah, Ramadan juga dijadikan bulan melancong ke negeri ini sejak lebih 10 tahun lalu. Ia dapat dibuktikan apabila khemah untuk bersolat Tarawih didirikan di tengah-tengah bandar bagi membolehkan orang ramai menunaikan solat sunat tersebut.

Ini tidak berlaku di negeri lain apabila suasana seperti dalam bulan-bulan yang lain. Kalau ada bezanya pun sekadar ujudkan pasar-pasar Ramadhan yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Kadang-kadang di pasar-pasar Ramadhan inilah pula menjadi medan orang berbuka awal. Malah pengunjung ada yang terserempak dengan peniaga yang nampak anak bulan syawal lebih awal.

Ikuti nukilan Harakahdaily berkenaan suasana kelainan di Kelantan dalam Bulan Ramadhan yang mulia ini.

Pada awalnya pada 1991 khemah sementara itu didirikan berhampiran stesen bas SKMK, kemudian dipindah ke Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB - BRI) pada 1997. Sejak diwujudkan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Bagaimanapun mulai tahun lalu dipindah pula ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV, ekoran pembinaan Kota Bharu Trade Centre di Dataran MPKB BRI. Selain itu, masjid-masjid dan madrasah di seluruh Kelantan seperti hari Jumaat kerana sentiasa penuh dengan kehadiran orang ramai.

Malah, setiap pentang bandar Kota Bharu menjadi begitu sendat apabila orang ramai bersesak-sesak membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang diwujudkan termasuk di perkarangan stadium, Wakaf Che Yeh, Lorong Merican, Kubang Kerian dan banyak lagi.

Setiap petang bermula jam 3 Pasar Besar Siti Khadijah dan pasar-pasar utama lain juga penuh sesak dengan orang ramai. Suasana itu semakin terasa selepas kakitangan kerajaan negeri, persekutuan atau swasta pulang dari tempat kerja.

Antara jenis-jenis makanan yang sentiasa mendapat perhatian iaitu cendol, bubur, puteri mandi, akok, ayam percik, ikan bakar, kari ayam dan gulai daging kawah.

Kesesakan jalan raya juga turut berlaku di pinggir bandar termasuk di Kampung Sireh, Paloh, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Kota Jembal dan Pintu Geng apabila orang ramai menyerbu gerai-gerai sementara yang diwujudkan di tepi-tepi jalan.

Misalnya ayam percik Kak Yah Mat Yaman juga menjadi tarikan utama di Jalan Pintu Geng.

Seorang kakitangan kerajaan Rohani Awang, 35 ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa berkata, beliau tidak sempat memasak sendiri hidangan untuk keluarga.

"Walaupun keluar pejabat jam 3.45 petang kami tidak bererti terus keluar waktu itu, kalau nak masak sendiri, kena pergi pasar dulu, cari bahan-bahan lepas tu balik masak, kemudian anak-anak lagi.

"Tengok jam dah hampir jam 6 petang, bila nak masak, akhirnya saya ambil kesempatan untuk membeli yang sudah siap, kecuali hari minggu Jumaat dan Sabtu, baru saya masak sendiri," ujarnya.

Kesesatan jalan raya yang berlaku juga menyebabkan anggota penguatkuasa MPKB-BRI dan anggota polis terpaksa ditempatkan di tempat-tempat berkenaan.

Bagaimanapun sikap orang ramai yang suka meletakkan kenderaan sesuka hati menambahkan lagi kesesakan.

Sementara itu, sambutan orang ramai untuk menunaikan solat sunat Tarawih di khemah terbuka MPKB BRI lebih menggalakkan tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ustaz Ropein Hassan berkata, ia dapat dibuktikan apabila tempat solat berkenaan hampir penuh sejak malam pertama, kedua dan ketiga.

"Berbanding pada tahun lepas hanya tiga saf sahaja, mungkin perkara itu berlaku disebabkan tahun lepas merupakan kali pertama kita berpindah tempat, jadi belum ada keserasian, namun Alhamdulillah tahun ini menggalakkan," ujarnya.

Beliau berkata, tarikan orang ramai kerana imam yang mengimamkan solat sunat Tarawih ialah pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Ustaz Loqman Ibrahim Al-Hafiz.

Tambahnya, selain itu juga beberapa lagi imam hafiz turut dijemput mengimami solat sunat Tarawih. Tazkirah juga diadakan setiap malam.

"Saya harap orang ramai khususnya warga bandar MPKB-BRI menunaikan solat sunat Tarawih beramai-ramai bagi memuliakan bulan yang penuh keberkatan ini," katanya.

Solat sunat Tarawih mula diperkenalkan pada Ramadan tahun 1991 yang dipelopori bekas ahli Majlis, Ustaz Wan Hassan Wan Othman. Ketika itu ia diadakan di Jalan Pendek Kota Bharu sebelum dipindah ke Dataran MPKB pada 1997.

Ropein juga berkata, MPKB BRI juga membekalkan teks tazkirah kepada juruhebah di semua pasar raya untuk dibaca dari semasa ke semasa sebagai peringatan bersama.

"Bukan itu sahaja, mereka juga tidak dibenarkan menyiarkan lagu-lagu irama pop atau sebagainya yang boleh melalaikan selain lagu-lagu nasyid dan ayat-ayat suci al-Quran," ujarnya.

Kakitangan MPKB-BRI turut berpeluang mendengar tazkirah di Bilik Mesyuarat Bunga Raya setiap hari bermula jam 12.30 tangahari hingga 1.30 petang.

Selain itu warga bandar yang datang ke bandar Kota Bharu berpeluang menikmati juadah berbuka puasa dengan bekalan nasi, kuih muih dan minuman di khemah terbuka MPKB BRI dan Masjid Muhammadi.

Di khemah MPKB BRI setiap malam juga diadakan sumbangan kepada fakir miskin yang diadakan selepas selesai solat Tarawih. Kuiz minda juga diadakan pada setiap malam Jumaat.

Qiamulai diadakan pada 10 hari terakhir Ramadan, program Belia Jejak Lailatul Qadar diadakan Pada 27 Ramadan ini bermula jam 3 pagi hingga Subuh. Dan di tempat yang sama diadakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.


NEGARA ISLAM HADHARI JADI DESTINASI DAN TRANSIT PERDAGANGAN BETINA


Malunya menjadi warganegara negara Islam Hadhari apabila negara ini dilaporkan menjadi pengkalan kepada perniagaan pelacuran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam satu pertemuan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hampir 400 juta penduduk di rantau ini, bercakap mengenai usaha pihak polis menangani perdagangan manusia.

Musa menyeru semua bekerjasama dengan pihak polis, mengiktiraf usaha mereka membantu membongkar kumpulan pelacuran menggunakan “hamba-hamba” yang diimport, dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Musa telah bertemu dengan NGO dari beberapa negara, termasuk Indonesia, Myanmar dan Thailand, bagi membincangkan masalah Malaysia sebagai destinasi dan pusat transit bagi wanita dan kanak-kanak yang diperdagangkan.

Usaha sedang dilakukan bagi merangka undang-undang anti perdagangan manusia yang lebih menyeluruh.

Musa berpandangan kekurangan data dan pengetahuan mengenai perdagangan sebagai halangan utama bagi membentuk pelan tindakan menyeluruh.

"Pengkalan data yang sedia ada perlu dikemaskinikan dan diperbaiki bagi memudahkan analisa dilakukan.”

"Isu utama di sini ialah bagi memastikan bahawa mangsa tidak dilihat sebagai penjenayah dan mereka patut tidak diperdagangkan semula," beritahu Musa kepada lebih 200 aktivis dan pegawai kerajaan di Royale Bintang Hotel.

Forum tersebut telah dianjurkan oleh Tenaganita, sebuah kumpulan aktivis wanita.

Musa juga mencadangkan dibentuk satu pasukan khas antara jabatan bagi menangani aspek-aspek seperti rawatan perubatan, "kaunseling dan lain-lain bentuk bantuan untuk mangsa-mangsa yang mengalami trauma".

Musa menambah bahawa usaha-usaha memfokus kepada melindungi saksi dan memberikan tempat perlindungan kepada mangsa-mangsa.

Pengarah Tenaganita Irene Fernandez mengkritik kurangnya Akta Anti Perdagangan, dan menambah bahawa penggunaan undang-undang pencegahan terhadap anggota-anggota sindiket pelacuran yang disyaki tidak berkesan kerana hanya anggota bawahan ditahan.

“Akta yang ada (Ordinan Darurat) sudah lapuk. Akta-akta tersebut tidak dedahkan yang sebenar,” beritahu Irene.

Dia menekankan agar mangsa-mangsa perdagangan yang dipaksa melacur adalah mangsa dan mereka tidak sepatutnya disalahkan seperti penjenayah.

Sebagai contoh, Irene berkata dalam tahun 2005, 4,600 orang wanita asing telah ditahan kerana pelacuran dan ramai daripada mereka didakwa atas kesalahan imigresen walaupun mereka sebenarnya adalah mangsa sindiket jenayah.

Irene mengkritik bahawa buat masa sekarang, tiada program perlindungan bagi menggalakkan mangsa yang dipaksa melacur untuk menjadi saksi terhadap sindiket-sindiket, ataupun dakwaan terhadap pegawai pihak berkuasa dalam korupsi yang berkaitan perdagangan.

“Namun, ia adalah rahsia terbuka bahawa salah satu kunci utama yang menyuburkan industri pelacuran ialah korupsi dan penglibatan sesetengah pegawai-pegawai penguatkuasa,” tambahnya.

Malaysia telah menandatangani perjanjian memerangi jenayah antara sempadan dengan tujuh buah negara, yang dilihat sebagai sumber mangsa-mangsa bagi perdagangan tidak sah itu.

Negara-negara itu termasuk Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Vietnam, Sri Lanka dan China.

Sumber : Malaysia Today


TIMBALAN PM PALESTIN DIBEBASKAN


RAMALLAH 28 Sept. – Seorang hakim tentera Israel semalam mengarahkan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Palestin, Nasseredine al-Shaer, yang sebelum ini ditahan dalam tindakan keras terhadap gerakan kumpulan Hamas.

Peguam Nasseredine, Ussam al-Saadi memberitahu AFP, hakim mengarahkan pembebasan Nasseredine kerana ‘kekurangan bukti’ untuk mengenakan tuduhan terhadapnya.

Nasseredine yang ditahan pada 19 Ogos lalu adalah pegawai kumpulan Hamas yang paling kanan dibebaskan sejak serangan balas negara Yahudi tersebut ke atas Palestin selepas Hamas mengaku turut bertanggungjawab dalam penculikan salah seorang askar Zionis, Koperal Gilad Shalit pada penghujung Jun lalu.

Israel telah menahan lebih 60 orang pegawai Hamas, termasuk satu pertiga daripada Kabinet Palestin dan lebih dari 20 orang ahli Parlimen selepas penculikan serta pembunuhan dua orang askar Yahudi.

Seramai 28 orang ahli Parlimen termasuk Speaker Parlimen, Aziz Dweik dan empat menteri Kabinet masih ditahan atas tuduhan menganggotai pertubuhan pengganas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mendesak Israel supaya melepaskan kesemua menteri Hamas dan menteri-menteri lain sebelum sebuah kerajaan perpaduan dapat ditubuhkan antara kumpulan Hamas dan Fatah.


ISU KUAN YEW : INDONESIA PANGGIL DUTA SINGAPURA, PAK LAH SEKADAR HANTAR SURAT


JAKARTA 28 Sept. – Kementerian Luar Indonesia telah memanggil Duta Singapura di Jakarta berhubung kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahawa kaum minoriti Cina di Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Itulah ketegasan yang ditunjukkan oleh Indonesia berbanding pemimpin Islam Hadhari yang khabarnya sekadar hendak menghantar surat sahaja.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Imron Cotan dipetik akhbar The Jakarta Post, berkata, “kita telah memanggil Duta Singapura di sini hari ini setelah menerima arahan terus daripada Menteri Luar. Kita akan meminta penjelasan, dan menyerahkan nota bantahan kita kepada kerajaan Singapura.”

Menteri Luar, Hassan Wirayuda kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain memanggil Duta Singapura Ashok Kumar Mirpuri, Imron berkata, Kementerian Luar juga telah mengarahkan para pegawainya di Kedutaan Indonesia di Singapura untuk berjumpa pegawai tinggi Kementerian Luar Singapura bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Kami mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Tidak benar kaum etnik Cina di Indonesia dipinggirkan. Kita mempunyai menteri dan anggota parlimen yang berketurunan Cina,” katanya.

Menurut laporan, Lee memberitahu satu forum di Singapura bahawa Malaysia dan Indonesia telah meminggirkan masyarakat Cina yang tinggal di negara mereka secara sistematik.

Kenyataan beliau itu telah menimbulkan kontroversi dengan para pemimpin Malaysia dilaporkan meminta Lee memohon maaf kerana kenyataan itu.

Sebelum ini, beberapa anggota parlimen Indonesia turut membidas kenyataan Lee itu dengan menuduhnya melakukan pembohongan dan mengancam perpaduan di Indonesia dan ASEAN, kata akhbar itu.

Mereka mendesak kerajaan supaya mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Singapura di samping menggesa Lee membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan menjelaskan kenapa beliau hanya merujuk kepada pemimpin dan rakyat Indonesia.

Dianggarkan, rakyat Indonesia keturunan Cina terdiri daripada kira-kira tiga peratus atau sekitar 6.5 juta orang daripada seramai 220 juta orang penduduk negara itu.

Menurut akhbar itu, selain ketegangan hubungan antara masyarakat Islam dan kaum etnik Cina, hubungan Indonesia-Singapura juga sering tegang.

Sebagai contoh, menurut pakar-pakar, Lee telah membuat beberapa kenyataan yang negatif mengenai Indonesia sebelum ini, di mana yang terakhir adalah dengan sengaja dan dikaitkan dengan permintaan Indonesia supaya Singapura mengekstradisi ahli perniagaan Indonesia keturunan Cina yang terlibat dengan kes penggelapan wang di Indonesia dan telah melarikan diri ke Singapura bagi mengelak daripada didakwa.

Ramai rakyat Indonesia mendakwa Singapura dengan sengaja melambat-lambatkan perbincangan mengenai permohonan ekstradisi berkenaan untuk mengambil kesempatan daripada ahli perniagaan Cina yang melarikan diri ke negara itu setelah menggelapkan wang negara manakala sesetengah yang lain menyatakan kebimbangan mereka terhadap pengambilalihan beberapa syarikat milik negara oleh Singapura.


HARGA AYAM NAIK LAGI : RAKYAT KENA 'PUASA' AYAM


KUALA LUMPUR 28 Sept. – Nampak gayanya rakyat negara ini kena 'puasa' ayam kerana harga ayam naik lagi. Tidak sampai seminggu selepas menaikkan harga ayam 65 sen sekilogram, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) semalam mengumumkan kenaikan harga ayam sehingga 40 sen lagi berkuat kuasa esok.

Alasan mewajarkan kenaikan itu ialah permintaan melebihi penawaran dan kenaikan itu masih lagi di bawah harga siling yang ditetapkan.

Pengerusi PPPM, Yap Kim Hwah berkata, langkah menaikkan harga ayam itu wajar memandangkan permintaannya yang meningkat dan ia dianggap perkara biasa dalam perniagaan.

“Para penternak mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap bulan sepanjang tahun ini kerana harga pasaran yang gagal menampung kos pengeluaran.

“Kenaikan ini adalah bagi menampung kerugian penternak pada bulan-bulan sebelumnya,’’ katanya pada sidang akhbar bagi mengumum dan menerangkan punca kenaikan harga ayam itu.

Pada 20 September lalu, harga ayam telah dinaikkan sebanyak 65 sen.

Dengan kenaikan terbaru bermula esok, harga runcit bagi ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal naik 40 sen kepada RM6.05 sekilogram berbanding harga sekarang RM5.65.

Sementara harga runcit baru ayam siang beserta kaki, kepala dan hempedal pula ialah RM5.40 sekilogram dan sebelumnya RM5.05.

Kim Hwah berkata, harga runcit baru bagi ayam hidup ialah RM4.50 sekilogram berbanding RM4.20 sebelumnya dan harga ladang ayam hidup ialah RM3.50, berbanding RM3.20 sebelumnya.

“Harga pemborong untuk ayam siang dan ayam hidup pula, masing-masing akan meningkat kepada RM4.80 dan RM4.00 bagi setiap kilogram berbanding tujuh hari lepas iaitu RM4.45 dan RM3.79,’’ katanya.

Kim Hwah berkata, penternak tidak menetapkan harga ayam sesuka hati, tetapi ia diputus berdasarkan suasana permintaan dan penawaran masa kini.

Menurutnya, keputusan menetapkan harga ayam dibuat melalui mesyuarat yang dipersetujui oleh semua penternak selain turut mengambil kira pandangan pemborong dan peruncit.

“Bekalan boleh ditentukan tapi permintaan tidak, kerana apabila bekalan banyak, harga akan turun dan apabila permintaan pula banyak, harga akan naik melebihi kos pengeluaran.

“Ia perkara biasa, kalau tidak mengikut trend, ramai penternak gulung tikar,’’ katanya.

Sementara itu, Perunding Eksekutif PPPM, Dr. Abd. Rahman Md. Saleh pula berkata, kerugian yang dialami oleh penternak sepanjang tahun ini menyebabkan mereka memutuskan untuk menaikkan lagi harga ayam.

“Penternak rugi lebih kurang RM1 juta hingga RM2 juta sebulan kerana sebelum ini harga ayam rendah ekoran permintaan tidak begitu tinggi dan bahan tersebut banyak di pasaran,’’ katanya.

Oleh itu, jelasnya, memandangkan tahap permintaan yang kini tinggi, penternak bercadang menaikkan harga ayam bagi mengimbangi kerugian sebelumnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59