Wednesday, 27 September 2006

MENJUAL DAN MAKAN DI SIANG HARI RAMADHAN PERLU DILAPOR KEPADA JAIM


BANDARAYA MELAKA, 27 Sept : Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan menjual dan ‘makan di siang hari’ di sepanjang bulan Ramadan diminta melaporkan terus ke bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, kerjasama itu diperlukan bagi membantu Jaim untuk mengenal pasti premis yang terlibat serta menahan mana-mana mereka yang didapati melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, Kempen Penghayatan Bulan Ramadan yang bermula Ahad lalu bertujuan untuk mendidik masyarakat beragama Islam di negeri ini supaya lebih menghormati bulan Ramadan al-Mubarak dan bersama-sama untuk menghayatinya dengan memperbanyakkan amal ibadah.

“Justeru itu, mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan itu diminta untuk menghubungi kami di talian 06-288 1534 atau 288 1280 bagi bersama-sama menjaga kesucian bulan Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi oleh ahkabr Melaka Hari Ini (MHI), di sini.

Menurutnya, umat Islam yang didapati melanggar undang-undang itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 49 Enakman Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan sabit kesalahan akan dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan untuk kesalahan pertama, sementara denda RM3,000 atau penjara setahun untuk kesalahan kedua.

Rahimin menambah, bagi kesalahan merokok di waktu siang hari dalam bulan Ramadan jika diberkas mereka akan dikenakan denda RM500 untuk kesalahan pertama manakala RM1,000 bagi kesalahan kedua.

“Pemantauan akan giat dilakukan ke setiap premis makanan termasuk di pusat membeli belah di negeri ini untuk mengesan mereka yang ponteng puasa.

Selain itu, kerjasama juga diperlukan daripada JKKK untuk turut sama memantau kegiatan ini daripada berlaku di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Ujarnya lagi, salah satu cara untuk menyalurkan maklumat kepada umum ialah melalui pemasangan kain rentang di tempat-tempat awam di sekitar bandaraya termasuk di Melaka Sentral dan Pantai Puteri sebagai makluman mengenai denda dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah.

“Pemasangan kain rentang akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri ini dari masa ke semasa selama sebulan ini untuk mengingatkan masyarakat mengenai hal ini dan Jaim tidak akan teragak-agak untuk menahan sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan,” katanya.

Rahimin menjelaskan, pihaknya akan menggunakan perkhidmatan kereta jenazah sekiranya kenderaan Jaim tidak mencukupi untuk menangkap mereka yang didapati tidak berpuasa pada waktu siang dalam bulan Ramadan.


ISU ISA : Dr M LEBIH BAIK DARI PAK LAH?


Semasa membaca wawancara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 3 Julai lalu yang dipetik oleh malaysiakini, saya terserempak dengan kenyataan berikut yang dibuat oleh Dr. Mahathir;

"The first thing I did when I became Prime Minister was to release people who were detained under ISA because of political belief". [Perkara pertama yang saya lakukan apabila menjadi Perdana Menteri ialah membebaskan semua yang ditahan di bawah ISA kerana fahaman politik]

Lalu terlintas di fikiran saya, betapa licik dan pintarnya jawapan Dr. Mahathir ini.

Memang benar beliau membebaskan tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) apabila beliau jadi Perdana Menteri (PM). Tetapi soalnya, mengapa menahan beratus-ratus orang politik dalam Operasi Lalang 1987? Mengapa menahan Jeffrey Kitingan dan pemimpin PBS pada tahun 1991?

Lebih awal dari itu, mengapa menahan pimpinan PAS seperti Bunyamin Yaakob, Abu Bakar Chik dan Mohamed Sabu pada tahun 1984?

Jangan lupa pula insiden Memali tahun 1985, 18 orang terbunuh dan beratus orang ditahan, 36 orang darinya ditahan di bawah ISA. Ibrahim Libya mati syahid dalam insiden ini.

Macamana pula dengan penahanan orang nombor dua negara, bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) , Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998? Ramai dari kalangan pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan Anwar juga ditahan di bawah ISA. Antaranya ialah Datauk Ahmad Zahid Hamidi, Ruslan Kassim, Dr Zambri Abd Kadir dan lain-lain.

Dari kalangan NGO termasuklah Presiden pertama JIM, Hj Saari Sungib, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika itu, Ahmad Azam Abd Rahman dan tiga pemimpin kanannya. Juga aktivis Malek Hussin. Mereka ditahan di bawah Ops Dalil.

Apakah penahanan ini semua bukan bermotif politik? Berbau politik? Berasaskan perbezaan politik dengan pemerintah negara yang pada ketika itu dipimpin Dr.Mahathir?

Apa pula sebabnya seramai 10 orang aktivis reformasi dan pemimpin politik ditahan pada tahun 2001? Bukankah kerana mereka berbeza pendapat politik dengan Dr.Mahathir?

Justeru timbul lagi persoalan dalam minda saya, di mana letaknya kebenaran kata-kata Dr.Mahathir apabila beliau tidak akan menahan seseorang kerana fahaman politiknya?

Kalau diselidiki dengan lebih mendalam, penahanan 'KMM', 'JI' dan terkini 'DI' (Darul Islam) juga berbau politik. Tahanan 'KMM' ditahan pada Ogos 2001 sebelum berlakunya trageedi 9/11 di New York.

Tragedi 9/11

Pada asalnya mahu dikaitkan PAS dengan keganasan khususnya apabila anak Tok Guru Nik Abd Aziz sendiri iaitu Nik Adli turut ditahan. Tetapi niat jahat itu tidak berjaya lalu dikaitkan pula mereka dengan tragedi 9/11.

Tahanan 'KMM' dan 'JI' ini pula mahu dikaitkan dengan senarai 200 orang yang dikatakan 'pengganas' yang dijanjikan kepada Amerika Syarikat. Adakah tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat itu dengan ‘mengkambinghitamkan’ beberapa puluh orang rakyat Malaysia tidak dianggap tindakan politik?

Bagi saya, Dr.Mahathir atau Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dipertanggungjawabkan terhadap kezaliman yang menimpa tahanan ISA, bekas tahanan ISA dan keluarga mereka.

Era Abdullah tidak membawa perubahan kepada keadaan tahanan ISA. Tradisi dan legasi Dr.Mahathir menahan atas kepentingan politik tetap diteruskan malah bertambah buruk apabila ada tahanan yang terus menerus ditahan untuk tahun ke-5.

Kini berlakunya krisis antara Dr.Mahathir dan Abdullah. Kalau Dr. Mahathir itu orang awam malah mungkin seorang menteri cabuk, sudah lama agaknya bekas Perdana Menteri itu dikenakan ISA oleh Abdullah kerana boleh dianggap memudaratkan keselamatan dan ekonomi negara dengan kritikan-kritikan tajamnya.

Tapi semua orang tahu perkara yang dikritik itu memang banyak tanda-tanya kebenarannya. Soalnya adakah perkara itu lebih berat kepada kepentingan rakyat dan negara atau kepada kepentingan politik dan peribadi?

Mungkin jasa Dr. Mahathir selama 22 tahun sebagai PM telah menyelamatkannya daripada hukuman berat. Jasa Anwar Ibrahim sebagai TPM bagaimanapun tidak menyelamatkan beliau daripada ISA dan hukuman penjara.

Akta zalim

Oleh kerana itu, jelaslah perbezaan kepercayaan politik tidak melepaskan seseorang dari ditahan ISA malah itulah antara alasan utama mengapa ramai ditahan. Justeru, adakah patut Mahathir dikenakan ISA sebagaimana beliau bertindak menghukum lawan dan musuh politiknya?

Sezalim manapun manusia, kita tidak akan mencontohi kezaliman itu dan membalas balik kezaliman itu dengan akta yang sama. Jika kita juga menggunakan ISA, kita juga tidak ubah seperti mereka. Mungkin orang lain pula akan mendoakan semoga kita dibalas dengan kezaliman oleh Allah Taala dan mungkin orang lain pula akan menuntut hak mereka dari kita di akhirat kelak!

Dr.Mahathir atau sesiapa sahaja tidak patut dikenakan ISA. Cukuplah! Sebaliknya, jika mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara, maka bawa mereka ke muka pengadilan. Hadapkan mereka ke mahkamah. Berhujahlah dengan fakta dan bukti. Jika sabit kesalahan maka hukum dan sumbatkanlah mereka dalam penjara.

Dalam Islam dan mana-mana piagam hak asasi manusia, seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Seseorang itu berhak membela diri terhadap tuduhan yang dilempa kepadanya. ISA nyata bercanggah dengan prinsip ini dari sudut mana sekali pun. Ia menjadi sangat zalim apabila digunakan dengan alasan yang sewenang-wenangnya.

Menjadi bertambah-tambah zalim apabila tahanan diseksa secara fizikal dan mental, terpisah dari keluarga yang turut menderita kehilangan tempat bergantung. Hanya kerana perbezaan kepercayaan politik. Sanggupkah kita menggunakan ISA dan menanggung beban dosa begini?

Hakikatnya, tiada apa-apa alasan diperlukan untuk menahan seseorang di bawah ISA. Label memudaratkan keselamatan negara dengan mudah boleh digunakan untuk mengekang pengaruh politik musuh dan lawan. Jangan percaya jika ada pemimpin yang mengatakan tahanan ISA ditahan bukan kerana pendekatan politiknya.

Tidak ada mahkamah yang boleh mempersoalkannya melainkan mahkamah akhirat. Begitulah ibarat kebalannya ISA.

Untuk lebih mengerti mengapa dan bagaimana tahanan ISA dikaitkan dengan kepercayaan politik, saya galakkan rakyat untuk melihat dan meneliti sendiri fakta dan gambar-gambar yang dipamerkan di Pameran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mansuhkan ISA! Bebaskan Tahanan!

Oleh : Syed Ibrahim Syed Noh

Sumber : Malaysiakini


Ekuiti bumiputra melebihi 30 peratus diragui - Prof. Shamsul Amree


BANGI 26 SEPT : Seorang penganalisis politik hari ini mempertikaikan ketepatan hasil kajian yang mendakwa pemilikan ekuiti korporat bumiputera sudah melebih 30 peratus.

Pensyarah politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Shamsul Amree Baharuddin berkata, kajian tersebut amat diragui kerana tidak disertakan fakta yang tepat.
“Saya amat sangsi dengan kajian yang dibuat oleh kaum tertentu terhadap pemilikan ekuiti bumiputera. Selalunya mereka mempunyai agenda sendiri.

“Jadi saya ingin tahu siapa yang membuat kajian tersebut? Bila kajian itu dibuat dan kelompok mana? Dari sudut mana dia tengok?

“Apa motif dia buat kajian tersebut? Adakah kajian itu dibentang kepada umum atau hanya untuk peserta forum tertentu,” persoal beliau.

Minggu lalu malaysiakini melaporkan kajian yang dijalankan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) yang mendapati pegangan ekuiti bumiputera telah mencapai 45 peratus, berdasarkan perangkaan Bursa Malaysia pada September 2005.

Kertas kajian tersebut yang yang bertajuk “Pengagihan Ekuiti Korporat – Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang’ dikeluarkan oleh firma UBS Equity Research Malaysia. Kajian firma itu mengkategorikan 70 peratus pemilikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dianggap sebagai milik bumiputera.

Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam Asli, Dr Lim Teck Ghee yang memetik hasil kajian tersebut berkata, GLC menguasai sehingga kira-kira satu pertiga daripada jumlah nilai pasaran pada waktu berkenaan.

Katanya, laporan UBS itu menunjukkan 10 GLC utama – termasuk Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Maybank Bhd – menguasai sehingga kira-kira satu pertiga daripada nilai pasaran pada 2005.

Seorang lagi pensyarah, Judhiana Abdul Ghani dari fakulti ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mempertikaikan hasil kajian tersebut.

Katanya, orang ramai sukar mempercayai hasil kajian itu kerana pengagihan kekayaan itu tidak menyeluruh.

“Mungkin secara keseluruhannya jika dicampur dengan GLC, pemilikan ekuiti bumiputera telah mencapai tahap tersebut tetapi ia tertumpu di tangan kelompok tertentu sahaja sedangkan masyarakat ramai tidak menekmatinya.

“ Sebenarnya dalam hal ini pengagihan meluas adalah lebih penting bagi membolehkan lebih ramai bumiputera mendapat ekuiti yang dimaksudkan itu,”ujarnya.

Sementara itu Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Kedah, Datuk Zainol Abidin Abdul Hamid ketika dihubungi pula berkata, kajian itu tidak boleh diterima kerana fakta yang dikemukakan adalah tidak betul.

“Kerajaan sendiri kata pemilikan ekuiti korporat bumiputera antara 18 dan 19 peratus macam mana Asli boleh kata sampai 45 peratus,” tanyanya.

Beliau berkata, kajian tersebut menimbulkan tanya tanya dan sehubungan itu pihaknya menganggap ia tidak perlu diberi perhatian serius.

Zainol Abidin juga berkata, secara keseluruhannya pemilikan ekuiti tidak menggambarkan kejayaan usahawan bumiputera.

Katanya, pembabitan usahawan bumiputera masih rendah dan mereka juga terpaksa bersaing dengan syarikat GLC dan agensi kerajaan negeri.

Sumber : Malaysiakini


PAS: Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam bazir wang rakyat


TERENGGANU 27 SEPT : PAS Terengganu menyifatkan projek pelancongan di Pulau Duyong dan Pulau Wan Man bukan sahaja tidak memberi faedah tetapi juga mahu "menjual" pulau itu kepada orang luar.

Setiausaha Pemuda PAS negeri itu, Wan Sakairi Abdullah berkata, “apa yang rakyat Terengganu terutamanya orang Melayu dapat dari projek tersebut.”

“Ia sama seperti Monsoon Cup. Kita tengok memang cantik tetapi apa yang kita dapat.” katanya ketika dihubungi bagi mengulas pembinaan projek Taman Tamadun Islam berharga hampir RM1 bilion di Pulau Wan Man.

Kontroversi kejohanan kapal layar antarabangsa ini menjadi berbangkit ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu yang mendakwa menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dan rakannya Patrick Lim menguasai projek-projek di negeri itu. Salah satu daripada rojek yang disahkan dikendalikan oleh Patrick Lim ialah Monsoon Cup.

Projek Taman Tamadun Islam itu mengandungi dewan konvensyen, Masjid Kristal dan beberapa prasarana lain yang bertujuan menarik pelancong luar ke kawasan tersebut.

Wan Sakairi berkata, apa keperluan membina Masjid Kristal yang berharga RM250 juta melainkan hanya untuk bermegah-megah.

“Kami berpendapat projek Taman Tamadun Islam tidak perlu buat masa sekarang dan kerajaan negeri sepatutnya memberi perhatian kepada membasmi kemiskinan yang masih tinggi di kalangan orang Melayu di kampung-kampung,” katanya lagi.

Beliau berkata, mungkin kerajaan negeri melaksanakan projek tersebut untuk memberi wang kepada kontraktor-kontraktor kroni mereka.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali pula berkata, duit yang dibelanjakan untuk projek Taman Tamadun Islam itu adalah dari royalti minyak yang ditarik oleh kerajaan Pusat ketika PAS memerintah Terengganu.

“Sepatutnya wang tersebut diagihkan untuk projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat seperti dalam bidang pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, hanya sekumpulan rakyat terutama kontraktor yang rapat dengan Umno mendapat manfaat dari projek tersebut.

Katanya, mengikut perkiraan yang dibuat oleh beberapa kontraktor, harga yang diberikan kepada pemaju projek tersebut sepatutnya jauh lebih rendah daripada yang ditawarkan.

Sementara itu, seorang pegawai Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang menjadi pengurus projek tersebut menolak dakwaan kontraktuar membolot projek tersebut.

“Walaupun pemajunya orang luar tetapi ia dibuat oleh anak tempatan. Tujuh dari sembilan kontraktor utama adalah kontraktor bumiputera anak Terengganu termasuk anak syarikat PMINT sendiri,” katanya lagi.


ISU SUNGAI KELANTAN : TENGKU MAHKOTA KELANTAN MALUKAN TV3


TV3 yang menjadi 'tali barut' dan 'kuda tunggangan' kerajaan Islam Hadhari sudah beberapa kali memainkan isu bahawa air Sungai Kelantan kotor dan terjejas teruk akibat pembalakan yang tidak terkawal. Beberapa minggu lalu sekali lagi wartawan TV3, Khaidir Ahmad mendedahkankan bahawa air Sungai Kelantan dalam keadaan 'nazak'.

Namun dalam siaran tersebut TV3 telah dimalukan apabila Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan bertitah bahawa air Sungai Kelantan tidaklah seteruk air Sungai di negeri-negeri lain.

Baginda bertitah demikian ketika membuat komen semasa baginda, Adun Dabong Datuk Ramzi Abdul Rahman bersama rombongan mereka menyusuri Sungai Kelantan. Nampaknya Baginda Tengku Mahkota Kelantan jauh lebih cerdik dan rasional dari TV3 dan pemimpin BN seperti Datuk Ramzi dan kuncu-kuncunya.

Sepatutnya TV3 malu dan menuntut maaf dari baginda kerana telah membuat tohmahan yang tidak berasas dan terlampau.

Semua orang tahu bahawa air sungai di negeri-negeri lain lebih teruk umpamanya Sungai Pinang di Pulau Pinang yang berwarna hitam dan tidak mengalir. Begitu juga air sungai di Melaka yang tidak pernah jernih seperti sungai yang tidak tercemar.

Bagi sesiapa yang tinggal di tebing sungai tentu tahu bahawa air sungai akan sentiasa keruh jika adanya hujan lebih yang turun. Air sungai akan secara automatik akan terus menjadi keruh jika hujan turun setiap hari dan air menjadi pasang. Saya rasa wartawan TV3 Khaidir Ahmad sudah tentu tahu akan fakta ini kerana beliau sendiri tinggal dan dibesarkan di tebing Sungai Pahang. Janganlah cuba mengabui mata rakyat yang tidak tahu akan hal ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal terhadap agenda pihak tertentu yang cuba memburukkan kerajaan negeri sehingga air yang keruh di Sungai Kelantan didakwa sebagai kotor.

Katanya, sungai Kelantan tidak kotor seperti yang cuba digambarkan sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini. Sehubungan itu beliau berkata, pihak terbabit perlu pandai membezakan di antara keruh dan kotor.

"Kelantan tidak pernah melakukan aktiviti perlombongan di luar garis panduan ditetapkan sehingga berlakunya pencemaran sungai-sungai di negeri ini," katanya sebagai mengulas segmen air Sungai Kelantan kotor yang disiarkan sebuah stesen televisyen, baru-baru ini.

Menurut Ahmad air sungai keruh yang diambil pihak terbabit di Hulu Sungai Kelantan sebenarnya berlaku selepas hujan lebat di kawasan pedalaman.

"Semua orang tahu, air sungai mana-mana sekalipun kalau hujan lebat tentu warnanya berubah dan menjadi keruh. Setakat ini saya belum mendapat maklumat lagi adanya ikan-ikan yang mati kerana air sungai yang dianggap kotor.

"Ada sebuah negeri di negara ini sungainya begitu kotor sehingga ikan pun mati, tetapi di Kelantan tidak berlaku lagi kejadian tersebut," ujarnya.

Beliau juga berkata, pembangunan tanah kawasan hutan di negeri ini termasuk aktiviti perlombongan dilakukan mengikut piawaian ditetapkan serta mengikut nasihat pakar.

Tambahnya, kerajaan negeri hanya meluluskan kepada mana-mana syarikat yang mengikut sepenuhnya peraturan ditetapkan seperti menyediakan takungan air sebelum ia dilepaskan ke sungai.

"Mana-mana syarikat yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan negeri, kita membatalkan segera kontrak mereka demi menjaga kualiti air dan alam sekitar,"ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau hasil kegiatan pembangunan dan perlombongan sedikit sebanyak memberi kesan kepada air sungai di kawasan berdekatan, namun masih dalam keadaan terkawal.

Baru-baru ini, stesen televisyen terbabit menyiarkan slot khas mengenai dakwaan pencemaran Sungai Kelantan. Namun, paparan yang dikemuka tidak dibuktikan melalui fakta yang tepat hanya sekadar cakap-cakap penduduk kampung dan Adun Dabong.


KERAJAAN DAN WAKIL RAKYAT BN HANYA PANDAI BERJANJI


KUALA LUMPUR 27 SEPT : Seperti kebiasaannya setiap kali kempen pilihanraya calon-calon akan berjanji macam-macam sehingga kadang-kadang tidak masuk akal.

Inilah yang terjadi kepada penduduk Kampung Sri Aman, Mukim Ijok, Senagor.

Setelah 48 tahun mendiami Kampung tersebut, lebih 700 penduduk daripada 155 keluarga, menuntut wakil rakyat kawasan itu menunaikan janji untuk mendapatkan geran tanah kawasan berkenaan.

Pengerusi persatuan penduduk kampung berkenaan, Robert Vanathiah berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk K. Siva Lingam dan Anggota Parlimen Kuala Selangor Mohd Daud Tarihep berjanji mendapatkan geran tanah daripada kerajaan negeri sejak Mac 2004.

Robert, 52, berkata kedua-dua wakil rakyat itu berjanji sebelum pilihan raya umum ke-11 untuk membantu mendapatkan geran tanah yang mereka duduki itu setelah kerajaan negeri menghentikan lesen tumpangan sementara (TOL) pada 1992.

"Sejak pilihan raya pertama hingga pilihan raya umum 2004, kami dijanjikan perkara yang sama oleh ADUN dan Anggota Parlimen BN tapi semua janji kosong," katanya yang mengunjungi pejabat Bernama di sini bagi mengadu masalah penduduk kampung itu.

Menurut Robert, keluarga beliau bersama beberapa keluarga lain telah menduduki tanah di Kampung Sri Aman dari Ladang Coalfields sejak 1958 dan mendakwa mereka telah diberikan kebenaran oleh kerajaan negeri untuk menduduki tanah itu apabila membayar TOL.

Beliau berkata ibu bapa mereka yang merupakan pekerja ladang, membina rumah di kawasan itu menggunakan wang caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka yang tidak seberapa dan sumber-sumber lain.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri telah memberhentikan TOL pada 1992 tanpa sebarang alasan menyebabkan penduduk kampung itu berada dalam dilema dan telah memohon untuk mendapatkan geran tanah dari Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor.

Robert berkata pihaknya telah memajukan masalah itu kepada Pejabat Daerah tetapi tiada sebarang jawapan, selain pernah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor dan yang terbaru kepada Perdana Menteri pada 13 Ogos lepas.

Pejabat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam surat bertarikh 14 Sept lepas, memaklumkan bahawa suratnya diterima dan akan dimajukan kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Bagaimanapun, katanya pejabat daerah telah menampal notis supaya mereka mengosongkan rumah dalam tempoh sebulan bagi memberi laluan kepada pembinaan rumah kos rendah di atas lot 199 Kg.Sri Aman, pada 15 Ogos lepas.

"Kami mahu kerajaan negeri kembalikan tanah kami. Jangan beri kepada pemaju sebab tanah itu telah dijanjikan kepada kami," katanya.

Mengikut notis pengosongan yang dikeluarkan pejabat daerah bertarikh 11 Ogos lalu, penduduk kampung itu ditawarkan rumah kos rendah berharga RM35,000 dan elaun perpindahan sebanyak RM2,000 bagi setiap ketua isi rumah.

Bagi penduduk yang terlibat dengan perpindahan kerana terlibat dengan kerja fasa pertama dan kedua projek perumahan itu, mereka diberi pilihan berpindah ke rumah panjang yang disediakan pemaju atau berpindah ke tempat lain dan menerima elaun sewa RM500 sebulan, sehingga rumah mereka siap, kata notis itu.

Pejabat Daerah Kuala Selangor bagaimanapun gagal memberikan reaksi setelah dihubungi Bernama hari ini bagi mengesahkan mengenai status sebenar tanah itu


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59