Friday, 22 September 2006

Pelajar pro-kerajaan kuasai hampir keseluruhan kerusi MPP


Kumpulan pelajar pro-establishment yang dikenali sebagai Kumpulan Aspirasi memenangi hampir keseluruhan kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam pilihanraya kampus di universiti awam yang berlangsung semalam.

Daripada 17 universiti awam terbabit, hanya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berjaya dikuasai oleh kumpulan anti-establishment selepas memenangi 28 daripada 32 kerusi MPP yang dipertandingkan. Kumpulan Aspirasi menang empat kerusi.

Pihak kerajaan mendakwa kumpulan pelajar anti-establishment di universiti tersebut ada kaitan dengan parti pembangkang Islam, PAS.

Bagaimanapun, di universiti awam yang lain, kumpulan Aspirasi menguasai hampir keseluruhan kerusi MPP, terutama di universiti awam yang baru ditubuhkan.

Di Universiti Malaya – universiti tertua di negara ini – kumpulan Aspirasi memenangi 36 kerusi MPP manakala kumpulan anti-establishment menang tiga kerusi. Bagaimanapun, pengundian semula akan diadakan untuk dua kerusi Rabu ini – kedua-duanya di Fakulti Undang-undang – selepas keputusannya semalam dipertikaikan.

Di Pulau Pinang pula, Kumpulan Aspirasi di University Sains Malaysia turut menang besar apabila mengondol 23 kerusi MPP manakala kumpulan anti-establishment menang lima kerusi. Begitu juga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana Kumpulan Aspirasi memenangi 29 kerusi berbanding lima kerusi yang dimenangi kumpulan anti-establishment.

Sementara itu, keputusan pilihanraya kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga berpihak kepada kumpulan Aspirasi yang memenangi 42 kerusi. Walaupun kumpulan anti-establishment memulaukan pemilihan di UPM, namun calon-calon bebas berjaya memenangi enam kerusi.

Bagaimanapun, kumpulan Aspirasi menghadapi saingan hebat daripada kumpulan anti-establishment. Kumpulan Aspirasi memenangi 27 kerusi manakala kumpulan anti-establishment berjaya memenangi 18 kerusi MPP.

Hilang penguasaan

Sejak tiga tahun lalu, kumpulan Aspirasi, dengan bantuan pihak berkuasa kampus, berjaya menguasai kampus-kampus utama di negara ini.

Pihak universiti juga turut memperkenalkan peraturan baru, termasuk pengundian secara elektronik (e-voting) yang didakwa oleh kumpulan anti-establishment sebagai menguntung pihak Aspirasi.

Mereka juga mempertikaikan peraturan pemilihan yang didakwa tidak adil dan telah berulangkali mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya memantau pilihanraya kampus. Bagaimanapun, ia dibantah oleh pihak berkuasa universiti.

Pada tahun 2004, kumpulan anti-establishment menguasai lebih separuh daripada universiti awam, terutama kampus-kampus universiti utama.

Bagaimanapun, kumpulan anti-establishment memulaukan pilihanraya kampus 2005 sebagai membantah peraturan yang didakwa mereka tidak adil dan taktik kotor oleh pihak lawan mereka.

Berikutan itu, buat pertama dalam sejarah aktivisme pelajar, kumpulan anti-establishment hilang penguasaan di semua universiti awam tahun lalu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak mengadakan pilihanraya kampus semalam kerana pelajarnya sedang bercuti. Ia akan diadakan pada 1 Oktober membabitkan 39 kerusi bagi MPP sesi 2006/2007.


DEMO KECAM POPE DI MELAKA BERJALAN LANCAR


MELAKA 22 SEPT : Demonstrasi mengecam kenyataan Pope Benedict XVI anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka di Masjid Al Azim di sini selepas solat Jumaat berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan. Demo tersebut bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Dalam ucapannya kepada hadirin, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka Us Abdul Ghani Rahman mengecam Pope atas kenyataan biadap terhadap Islam dan Nabi Muhammad S.W.T. Beliau juga turut mengecam kepimpinan negara ini yang dengan senang hati menerima permohonan maaf Pope sedangkan ianya jelas hanya lakonan untuk mengabui Umat Islam. Us Ghani juga kesal di atas kelemahan kerajaan Islam Hadhari yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap isu murtad.

Turut berucap dalam majlis yang sama ialah Ketua DPP Negeri Us Kamaruddin Sidek dan Ketua Dewan Ulama Negeri Us Zulkifli Ismail. Permohonan tersebut dihadiri oleh kira-kira 300 orang hadirin termasuk yang berteduh di dalam masjid. Anggota keselamatan yang hadir memberikan kerjasama yang baik tanpa sebarang masalah.


Pemimpin Islam Thai sokong rampas kuasa


BANGKOK 22 SEPT : Pemimpin pemberontak Islam Thailand yang dibuang negara semalam menyatakan sokongan terhadap rampasan kuasa tentera di negaranya.

Lukman B. Lima yang dibuang negara ke Sweden melahirkan harapan perkembangan terbaru itu akan membuka ruang menyelesaikan isu berdarah kebangkitan masyarakat Islam di Selatan Thailand.

Naib presiden Pattani United Liberation Organisation (Pulo) itu berkata: “Memang sepatutnyalah tentera mengambil alih kuasa daripada kerajaan Thakshin Shinawatra.

“Kami harap masalah politik dapat diselesaikan di bawah Sondhi Boonyaratkalin sebagai pemimpin baru.”

Pulo adalah antara beberapa pertubuhan Islam yang menentang kerajaan pusat Thailand bagi menubuhkan sebuah negara Islam di Selatan Thailand.

Rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah yang berlaku lewat kelmarin diketuai Sondhi, seorang jeneral yang beragama Islam yang juga pemerintah tentera darat Thailand.

Lukman dalam satu jawapan melalui e-mailnya kepada Associated Press berkata Sondhi adalah antara mereka yang “benar-benar faham masalah sebenar” yang dihadapi penduduk Islam di Selatan Thailand.

“Kami akan terus berjuang sehingga kebebasan penuh dicapai di Pattani,” katanya. Kawasan yang dimaksudkan Lukman merangkumi Pattani, Yala dan Narathiwat.

Sondhi, 59, telah mencadangkan beberapa minggu lalu agar kerajaan berbincang dengan kumpulan pemisah Islam di Selatan negara itu, tetapi cadangannya itu ditentang keras kerajaan pimpinan Thaksin.

“Kerajaan Thaksin telah gagal untuk mengekang keganasan, jadi kami meletakkan harapan pada Majlis Pentadbiran Pembaharuan,” kata Srisompob Jitpiromsri, ahli sains politik dari Prince of Songkhla University di Pattani.

Thaksin tiba di London di mana beliau mempunyai kediaman sendiri dari New York semalam.

Sama ada bekas perdana menteri itu akan meminta kebenaran untuk tinggal terus di London atau kembali ke Thailand di mana beliau mungkin menghadapi tuduhan rasuah masih menjadi tanda soal.

Sondhi yang akan bertindak sebagai perdana menteri sementara dalam sidang akhbar pertamanya semalam berkata sesiapa sahaja yang telah melanggar undang-undang akan dibawa ke pengadilan.

Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej semalam secara rasminya menyatakan sokongan terhadap Sondhi dan perkembangan ini dijangka mematahkan sebarang cadangan dari penyokong Thaksin untuk memberi tentangan terhadap rampasan kuasa itu.

Akhbar The Nation hari ini menerbitkan nama 100 orang terdiri daripada ahli politik dan ahli perniagaan yang rapat denganThaksin yang dikatakan berada di bawah pengawasan pemerintahan baru untuk diambil tindakan kerapa pelbagai salah laku.

Kerajaan baru junta Thailand semalam memberi kuasa kepada Ketua Audit Thailand Jaruvan Maintaka untuk mememulakan siasatan terhadap rasuah membabitkan kerajaan lepas yang mungkin juga akan membolehkan harta Thaksin di sita.

Jaruvan yang dikenali di Thailand sebagai “The Iron Lady'' (wanita besi) adalah antara pegawai tinggi yang telah cuba mendedahkan kegiatan rasuah dalam rejim Thaksin. Beliau hampir dipecat tetapi bertahan kerana mendapat sokongan pihak istana.

Pejabat Jaruvan semalam mengumumkan ia akan meneruskan siasatannya terhadap 14 kes rasuah yang berlaku sepanjang pemerintahan Thaksin.

Sementara itu Amerika Syarikat menyelar keras rampasan kuasa tentera itu dan memberi amaran ia mungkin akan menjejaskan bantuan dari negara itu ke Thailand, kerjasama tentera dan hubungan dagangan.

"Tidak ada sebab mengapa ini berlaku,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Tom Casey yang juga menyifatkan perkembangan itu sebagai satu langkah ke belakang bagi demokrasi.

Menurut Casey, program bantuan AS untuk negara itu kini akan dikaji semula.

Di Rumah Putih pula, jurucakap Tony Snow berkata perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Thailand hanya akan diteruskan apabila sistem demokrasi dikembalikan di negara itu.

Sementara itu, belum ada sebarang perkembangan mengenai laporan yang mengatakan bahawa Gabenor Bank of Thailand Pridayadhorn Devakula akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Thailand itu sehingga pilihanraya baru dipanggil paling awal dalam tempoh setahun.


KEMBALI KEPADA ISLAM UNTUK SELESAI MASALAH JENAYAH


Baru-baru Ketua Menteri Islam Hadhari Melaka, Mohd Ali Rustam mengesyorkan supaya jumlah anggota polis di Melaka perlu ditambah bilangannya bagi merapatkan jurang perbezaan nisbah antara polis dan kepadatan penduduk di negeri ini.

Dalam hal ini, beliau meminta kerajaan pusat supaya dapat menghantar lebih ramai anggota polis untuk berkhidmat di negeri ini bagi memastikan keselamatan penduduk dan juga pelancong. Sejak akhir-akhir ini jumlah jenayah di negeri semakin meningkat.

Kes terbaru berlaku Khamis minggu lalu, di mana dianggarkan lebih RM1 juta telah di curi oleh dua lelaki yang memecah masuk rumah seorang pengurup wang di taman tersebut.

Saranan Ali Rustam supaya anggota Polis itu di tambah merupakan suatu cadangan yang baik tetapi sebenarnya ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana langkah menambah tersebut adalah langkah pencegahan sedangkan perkara yang lebih penting ialah kita mesti menghapuskan punca sebenar kepada jenayah tersebut.

Perkara yang paling penting yang mesti dilakukan oleh kerajaan Islam Hadhari ialah kembali mengamalkan undang-undang Islam ciptaan Allah S.W.T kerana undang-undang inilah sahaja yang mampu mencegah kemungkaran dan jenayah kerana ianya mempunyai unsur ' nakalan minALLAH' iaitu pencegahan dari Allah. Undang-undang ciptaan manusia tidak akan dapat mengatasi masalah ini.

Saya juga menyarankan supaya kerajaan negeri pimpinan Islam Hadhari menutup semua tempat-tempat maksiat dan hiburan kerana ianya juga menjadi punca kepada masalah jenayah ini. Pusat-pusat seperti ini menjadi pengkalan pengedar-pengedar dadah, , kaki botol, pelacur dan pelaku maksiat.

Kerajaan Islam Hadhari juga mesti menghentikan serta merta program hiburan dan konsert yang dilihat menjadi 'wirid' harian rakyat sekarang. Ini kerana stesyen TV kerajaan dan swasta sentiasa menayangkan program-program hiburan yang melalaikan serta mengalakkan penayangan filem-filem yang kadang-kadang mengandundi adengan-adengan menjolok mata. Program hiburan menghiasi stesyen TV dan radio hampir 80 peratus. Ini ditambah lagi dengan konsert-konsert 'live' anjuran pihak-pihak tertentu malah juga seringkali dianjurkan kerajaan seperti konsert merdeka dan sebagainya.

Penagih-penagih dadah juga selalu terlibat dengan kegiatan jenayah. Maka kerajaan Islam Hadhari mesti menangani gejala ini dengan cara Islam. Kita lihat langkah pemulihan dan pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini seringkali gagal dan keadaan bertambah kronik sekarang.

Selain dari itu kedai-kedai arak, pusat-pusat perjudian juga mesti dihapuskan keran ianya juga menjadi penyumbang kepada ketidakwarasan otak rakyat. Bila arak menguasai mereka maka mereka akan hilang pertimbangan dan akhirnya bertindak dengan tidak tentu hala yang kadang-kadang sehingga berlakunya perogolan, pergaduhan dan pembunuhan serta jenayah lain. Akibat bertambahnya pusat-pusat judi juga rakyat digalakkan menjadi kaki judi. Bila kalah judi dan duit dah habis mereka mula hinlang pertimbangan sehingga sanggup mencederakan anak bini dan sebagainya.

Selain dari itu perkara yang lebih asas dan paling penting ialah kerajaan mestilah menanamkan kefahaman Islam lebih hebat kepada setiap rakyat dengan menggalakkan kelas-kelas pengajian agama, memperbanyakkan sekolah-sekolah agama. Rakyat mesti dididik supaya kembali mengamalkan Islam dalam kehidupan. Faktor ingin bermewah-mewah, ingin cepat kaya dan sebagainya juga menjadi sebab seseorang itu sanggup melakukan jenayah. Maka langkah menanamkan cara kehidupan sederhana sesuai dengan tuntutan Islam mesti diterap dalam kehidupan rakyat.

Kerajaan Islam Hadhari juga mesti memastikan kesejahteraan rakyat yang kian pudar akibat kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan harga barangan keperluan. Rakyat semakin terhimpit sehingga ramai yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Akibat tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk kehidupan seharian mereka sanggup melakukan jenayah.

Sebenarnya banyak lagi langkah yang perlu diambil kerajaan Islam Hadhari dalam menyelesaikan masalah jenayah ini. Tetapi perkara yang paling asas ialah kembali kepada ISLAM kerana ISLAM adalah penyelesai kepada semua masalah.

Tetapi masalah utamanya sekarang ini pemimpin Islam Hadhari masih degil tidak mahu kembali kepada Islam malah pada masa yang sama sanggup melanggar perintah Allah dengan menghalalkan JUDI, ARAK, PROGRAM MAKSIAT DAN MENGAMALKAN UNDANG-UNDANG BUKAN ISLAM.

Selagi kerajaan Islam Hadhari tidak insaf dan berdegil maka selagi itulah masalah tidak akan dapat diselesaikan seperti juga apa yang berlaku di barat di mana jenayah bukan lagi dikiran dalam jangka hari tetapi dikira berapa jenayah dalam satu saat.

Gambar Hiasan : Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan

Oleh : Danial Fikri, Melaka 2006


KUMPULAN ISLAM MENANG BESAR DI UIA


KUALA LUMPUR 22 SEPT : Calon-calon kumpulan Islam telah mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya kampus bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) semalam.

Kumpulan pelajar tersebut yang dikenali sebagai WUFI (Kami Bersatu Untuk Islam) memenangi 28 daripada 32 kerusi di kampus induk UIA di Gombak, dan menyapu bersih 10 kerusi yang dipertanding di kampus cawangan UIA di Kuantan, Pahang.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Rektor UIA Bahagian Halehwal Pelajar dan Alumni, Hamidon Abdul Hamid.

WUFI meletakkan 14 calon, termasuk empat pelajar antarabangsa (dua dari Palestin, dua dari Afghanistan). WUFI dan kumpulan pro-establishment masing-masing menang empat kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Isnin lalu.

Di Kampus UIA di Kuantan, pertandingan bagi 10 kerusi membabitkan calon individu. Kumpulan Aspirasi tidak meletakkan sebarang calon di kampus Kuantan.

Kemenangan ini merupakan kejayaan manis WUFI selepas ditewaskan akibat peraturan yang berat sebelah tahun lepas.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59