Wednesday, 20 September 2006

TV PAS DILANCARKAN DENGAN JAYANYA


TAMAN MELEWAR 20 SEPT : PAS menempa satu lagi sejarah apabila TV PAS dilancarkan Dewan Dato' Hj Fadzil Mohd Noor di sini hari ini. 'Menjana Kesejahteraan' adalah tema pelancaran Web TVPAS.com.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Turut dalam upacara perasmian tersebut ialah Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Paduka Husam Musa dan Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang.

Pelancaran Web TV PAS ini dilihat merupakan satu lagi usaha murni PAS untuk menyampaikan berita alternatif kepada rakyat. Adalah TV PAS dapat menjadi wadah alternatif kepada TV konvesional yang menjadi kuda tunggangan parti pemerintah.


PROGRAM PERHIMPUNAN MAT REMPIT ANJURAN PUTERA UMNO GALAKKAN MAKSIAT?


Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria mahu Putera Umno mengkaji semula cadangan mengadakan program perhimpunan 50,000 Mat Rempit di Bukit Jalil dengan menggantikannya dengan program berbentuk lain yang memisahkan antara lelaki dan perempuan.
"Adalah lebih baik Putera Umno menganjurkan program motivasi atau perkhemahan membabitkan Mat Rempit, daripada mengadakan progam seperti yang diadakan di Lumut dan yang dirancangkan di Bukit Jalil itu," katanya.

Harussani berkata semua program yang dianjur melibatkan lelaki dan perempuan perlu diasingkan bagi mengelak maksiat.

"Adakan program motivasi dan yang penting pisahkan antara kumpulan lelaki dan perempuan... bukannya bercampur seperti yang diadakan sebelum ini (di Lumut)," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas program Putera Umno itu yang mendapat pelbagai kritikan masyarakat.

Harussani berkata kalau program berkumpulan melibatkan lelaki dan perempuan terutama golongan remaja seperti mat rempit memang tidak sesuai dianjurkan kerana ia mendatangkan banyak masalah termasuk maksiat dan gejala tidak senonoh.

Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Lumut yang membabitkan 8,000 peserta minggu lalu dilaporkan tercemar dengan beberapa insiden memalukan termasuk dakwaan kegiatan maksiat, minum arak, gaduh serta mencemarkan masjid.

Katanya, gelagat peserta yang tidak senonoh dan bercampur lelaki perempuan seperti yang berlaku di Lumut telah mendapat reaksi negatif masyarakat.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik jika Putera Umno dapat menganjurkan program lain yang mudah dikawal sama ada bercorak perkhemahan, aktiviti lasak atau sukan bermotor.

"Pisahkan lelaki dan perempuan dan buat program motivasi, bina semangat jati diri, berdikari dan sebagainya. Jika adakan program agama, saya rasa majlis-majlis agama Islam tiada masalah untuk turut serta termasuk menyediakan penceramah," katanya.

"Kita mempunyai ramai pakar-pakar motivasi yang mempunyai perancangan dan tahu bagaimana mengendalikan golongan remaja," katanya.

Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum ini berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.

Katanya program yang diadakan antara Putera Umno dan mat rempit bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif dan merupakan usaha untuk mendampingi mat rempit bagi memperbaiki diri supaya tidak terjebak dengan jenayah.

Sementara itu Timbalan Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Us Abu Bakar Ramli menyokong gesaan Us Harussani yang menggesa program Mat Rempit Putera Umno di kaji semula.

"Kita semua tahu bahawa program anjuran Umno samada anjuran Pemuda, Puteri atau Putera malah anjuran 'orang tua' Umno sekalipun sudah tentu dipenuhi dengan program maksiat kerana Umno memang tidak mau kepada Islam", kata Us Bakar ketika dihubungi Blog ini malam ini.

"Kalau tak ada pergaulan lelaki perempuan, nyanyian, konsert sudah tentu program itu 'tidak sah'" tambah Us Bakar lagi yang juga merupakan Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Bukit Katil.


RAKYAT SEMAKIN TERHIMPIT


KUALA LUMPUR, 20 Sept - Satu demi satu harga barangan naik akibat kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Malah sebenarnya kenaikan ini telah berlaku sebaik sahaja pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik dan minyak.

Cuma barangan kawalan sahaja yang memerlukan pengumuman dari kerajaan manakala barangan bukan kawalan dinaikkan harga sewenang-wenangnya oleh peniaga.

Hari ini rakyat terus menderita apabila harga ayam naik dengan mendadak iaitu 65 sen. Inilah hadiah Ramadhan yang dikurniakan oleh kerajaan Islam Hadhari.


Ketika beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak, mereka dan seluruh rakyat negara ini dikeringkan lagi poket mereka apabila harga ayam diumumkan naik lagi.

Kali ini harga ayam daging seluruh negara naik sehingga 65 sen berkuatkuasa hari ini.

Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia berkata dalam satu kenyataan bahawa kenaikan adalah disebabkan oleh faktor permintaan dan bekalan semasa.

Harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal kini RM5.65 sekilo berbanding RM5 sebelum ini. Harga siling yang ditetapkan ialah RM6.70 sekilo.

Menurut kenyataan itu harga ayam siang berserta kaki, kepala, hati dan hempedal pula naik 60 sen kepada RM5.05 sen sekilo berbanding RM4.45 sebelum ini. Harga siling ialah RM6.

Harga runcit ayam hidup pula naik 50 sen menjadi RM4.20 sekilo berbanding harga siling RM5, harga pemborong ayam siang naik 60 sen menjadi RM4.45 (harga siling RM5.40), harga pemborong ayam hidup naik 50 sen menjadi RM3.70 (harga siling RM4.50) dan harga ladang naik 50 sen menjadi RM3.20 sen (harga siling RM4).

Menurut kenyataan itu lagi, biarpun mengalami kenaikan, harga ayam masih di bawah harga siling yang disyorkan oleh kerajaan

Sumber : Harakahdaily


BERITA ANTARABANGSA : RAMPASAN KUASA DI THAILAND


BANGKOK 20 SEPT : Pemerintah tentera Thailand lewat malam tadi bertindak merampas kuasa daripada Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan mengisytiharkan undang-undang tentera berkuatkuasa serta-merta dan memansuhkan Perlembagaan.

Berikutan itu, Thaksin yang kini berada di New York bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meisytiharkan darurat di negara yang telah menyaksikan sekurang-kurangnya 17 rampasan kuasa sejak 1930an.

Beliau yang dijadualkan berucap di sidang kemuncak itu beberapa jam selepas rampasan kuasa berlaku, telah membatalkan ucapannya, tetapi tindakan beliau mengisytiharkan darurat dilihat pemerhati sebagai satu tindakan yang tidak memberikan sebarang kesan kepada perkembangan terbaru di negaranya itu.

Laporan terkini AP menyebut, Jeneral Sondhi Boonyaratkalin yang dikatakan rapat dengan Raja Thai yang memang sangat dihormati rakyat mengepalai rampasan kuasa itu tanpa melepaskan walau satu das tembakan.

Juga tidak ada sebarang tanda bahawa rampasan kuasa itu menerima sebarang tentangan dari mana-mana pihak.

Jurucakap tentera Kolonel Akara Chitroj mengumumkan bahawa Sondhi yang beragama Islam di negara yang kebanyakan rakyatnya beraga Buddha itu akan bertindak sebagai pemangku perdana menteri.


Thaksin yang dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2001 sebelum ini menghadapi gesaan supaya meletakkan jawatan berikutan dakwaan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

"Pemerintah tentera dan polis kebangsaan telah berjaya menguasai Bangkok dan kawasan sekitarnya bagi mengawal keamanan. Tidak ada sebarang tentangan terhadap kami," demikian umum pemerintah kumpulan yang baru berkuasa itu dalam kenyataan mereka melalui saluran televisyen kebangsaan.

"Kami juga meminta kerjasama rakyat dan meminta maaf atas sebarang kesulitan," tambah mereka lagi.

Anggota dan kenderaan tentera termasuk kereta kebal kelihatan bergerak di beberapa bahagian bandaraya Bangkok yang mengalami hujan sejak beberapa hari lalu.

Pihak tentera juga telah mengisytiharkan kerajaan sementara yang setia kepada Raja Bhumibol Adulyadej dan memanggil diri mereka sebagai Majlis Pentadbiran Reformasi.

Majlis itu, menurut pihak tentera, akan menyerahkan semula kuasa kepada kerajaan yang dipilih secara demokrasi, tetapi tidak pula menyebut apakah bentuk reformasi yang akan dilaksanakannya sebelum penyerahan kuasa itu.

Berikutan rampasan kuasa, sekolah, bank dan pasaran saham Thailand akan ditutup hari ini sementara kakitangan kerajaan berpangkat tinggi termasuk setiausaha tetap di semua kementerian, ketua semua agensi kerajaan dan ketua universiti di sekitar metropolitan Bangkok diarah melaporkan diri kepda majlis berkenaan awal pagi ini.

Akara juga mengumumkan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Chitchai Wannashit.

Menurut sumber tentera, Chitchai dan seorang Menteri Pertahanan Thammarak Isaragura n Ayuthaya -- dua pemimpin yang dikatakan sangat setia dengan Thaksin -- kini telah ditangkap.

Jurucakap kerajaan Surapong Suebwonglee yang kini bersama Thaksin di New York dilaporkan sebagai berkata tindakan rampasan kuasa oleh tentera itu tidak akan berjaya kerana demokrasi di Thailand sudah matang.

Ketika rampasan kuasa berlaku, sekurang-kurangnya 14 kereta kebal mengepong pejabat Thaksin. Satu konvoi melibatkan empat kereta kebal yang dipasang pembesar suara bergerak melalui kawasan tumpuan awam di Bangkok bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya pulang ke rumah masing-masing bagi menjamin keselamatan diri mereka.

Bagaimanapun, rampasan kuasa itu hampir tidak disedari di kawasan pelancongan terkenal di bandaraya itu, di mana warga asing memenuhi pusat-pusat hiburan saban malam. Mereka hanya menyedarinya apabila penjaja yang menjual baju-T dan pelbagai barangan lain di sepanjang jalan bergegas menyimpan barangan jajaan mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, beratus-ratus orang kelihatan berkumpul di hadapan pejabat Thaksin sambil mengambil gambar dengan kereta kebal.

Bekas Perdana Menteri Chuan Leekpai yang juga ahli parti pembangkang Parti Demokrat berkata tindakan Thaksin sendiri yang enggan meletakkan jawatan walaupun menerima desakan pelbagai pihak telah memaksa pihak tentera bertindak.

"Sebagai ahli politik kita tidak menyokong sebarang rampasan kuasa tetapi sejak lima tahun kebelakangan, Thaksin telah menimbulkan krisis di dalam negara dan ini memaksa tentera bertindak," katanya kepada AP.

Rampasan kuasa terakhir di Thailand ialah pada 1992 apabila tentera menembak penunjuk perasaan dalam pemberontakan terhadap Perdana Menteri ketika itu, seorang jeneral tentera darat Suchinda Kraprayoon. Keadaan hanya pulih apabila Raja Bhumibol masuk campur menenangkan keadaan.

Sejak itu, pihak tentera tidak pernah terlibat dalam urusan politik dan pentadbiran negara.

Tunjuk perasaan besar-besaran di Thailand awal tahun ini telah memaksa Thaksin untuk membubarkan Parlimen dan memanggil pilihanraya tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya.

Pilihanraya itu yang diboikot oleh parti pembangkang bagaimanapun kemudian diisytihar tidak sah oleh mahkamah tertinggi Thailand.

Parti Thaksin, Thai Rak Thai, menang dengan besar pada pilihanraya pada 2001 dan 2005. Ia juga dikatakan akan memenangi mudah pilihanraya yang dijadualkan pada 15 Oktober depan kerana mendapat sokongan kuat daripada penduduk luar bandar.

Pada bulan Mac Sondhi berkata tentera tidak akan melibatkan diri dalam politik negara itu, sepertimana yang kerap berlaku sebelum 1992.

Beliau ketika itu dilaporkan berkata krisis politik patut diselesaikan oleh ahli politik sendiri dan rampasan kuasa tentera kini tinggal sejarah.

Sehari sebelum rampasan kuasa berlaku, Thaksin berkata beliau mungkin akan meletakkan jawatan kerajaan selepas pilihanraya bulan depan, tetapi akan kekal memang jawatan tertinggi parti.

Tanda awal akan berlaku rampasan kuasa dikesan apabila saluran TV tentera, Channel 5, menghentikan program biasanya dan mula menyiarkan rakaman lagu-lagu patriotik di samping menayangkan gambar Raja Bhumibol.

Golongan yang mengkritik Thaksin mahu supaya cara pemerintahannya yang terlalu menekankan pada pengswastaan dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dihentikan.

Tentangan terhadap Thaksin semakin kuat apabila keluarganya mengumumkan penjualan saham majoriti dalam syarikat telekomunikasi negara itu Shin Corp. kepada syarikat kepunyaan negara Singapura Temasek Holdings dengan harga tanpa cukai US$1.9 bil.

Mereka menuduh penjualan itu dibuat berdasarkan "dagangan dalam" dan marah kerana aset negara yang penting telah jatuh ke tangan pihak asing.

Beliau juga dituduh mengekang kebebasan media dan melakukan banyak kesilapan di dalam menghadapi masalah kebangkitan kegiatan militan Islam di Selatan Thailand yang telah menyebabkan sekurang-kurang 1,700 orang terbunuh setakat ini.

Kuasa Raja Bhumibol, 78, adalah terhad, tetapi beliau mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati di kalangan hampir semua rakyat.

Beliau adalah raja yang paling lama bertakhta di dunia. Jun lalu beliau telah menyambut ulangtahun pemerintahannya ke-60 yang telah dihadiri oleh hampir semula keluarga di raja di dunia.

Dari : The Star


Penginapan percuma di hotel untuk calon pro-kerajaan


Mahu menikmati makanan lazat dan menginap di hotel mewah? Ada satu cara untuk mendapatkannya – jadilah calon pro-kerajaan dalam pilihanraya kampus.

Malaysiakini difahamkan seramai 42 pelajar menginap di sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya minggu lalu sebagai sebahagian daripada tanda terima kasih daripada kerajaan.

Pelajar dari Universiti Malaya (UM) ini menjadi calon pro-kerajaan dalam pilihanraya kampus yang akan berlangsung Khamis ini.

Semakan yang dibuat mendapati bil yang berjumlah lebih RM5,000 dibayar oleh pejabat Menteri Besar Selangor, atau dalam perkataan lain, dengan wang rakyat.
Malaysiakini dapat mengesahkan bahawa pelajar berkenaan menginap di Hotel Crystal Crown. Mereka kemudiannya menjamu selera di restoran hotel tersebut.

Mereka menginap di 32 bilik – termasuk beberapa bilik eksekutif yang terletak di tingkat tertinggi hotel tersebut – yang turut ditempah.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada sebarang program telah diadakan untuk pelajar terbabit.

Perkembangan ini merupakan usaha terbaru di pihak kerajaan untuk memastikan kumpulan pelajar anti-establishment, tewas dalam pilihanraya kampus kali ini.

Bengkel untuk pelajar

Sumber-seumber mengesahkan bahawa bengkel membina perwatakan dianjurkan oleh pihak pentadbiran UM pada 12-13 September di Hotel Pearl International di Kuala Lumpur.

Bengkel tersebut memberi penekanan kepada aspek kemahiran berucap dan kerjasama sebagai satu pasukan.

Menurut sumber-sumber lagi, majoriti pelajar yang menghadiri bengkel tersebut adalah dari kumpulan pro-kerajaan, termasuk yang disenarai-pendekkan sebagai calon.

Timbalan Naib Canselor UM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohd Razali Agus dan beberapa pegawai lain turut hadir. Di universiti awam, Timbalan Naib Canselor juga merupakan pengerusi jawatankuasa pilihanraya kampus.

Sepertimana yang lainnya, kumpulan anti-establishment di UM – yang dikenali sebagai GMUM (Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya) – juga dijangka berdepan dengan cabaran hebat.

Daripada sejumlah 41 kerusi yang dipertandingkan, kumpulan pro-kerajaan telah memenangi enam kerusi tanpa bertanding, manakala kumpulan anti-establishment menang dua.

Tidak seperti tahun lalu di mana ‘kumpulan anti-establishment’ memboikot pilihanraya kampus sebagai membantah peraturan yang didakwa tidak adil, pada tahun ini, hanya pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja yang berbuat demikian.

Ketika dihubungi, Mohd Razali berkata, beliau sedang sibuk dan hanya boleh memberi sebarang komen pada minggu depan.

Dari: Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59