Tuesday, 19 September 2006

TV3 TIDAK SIARKAN BERITA MENGENAI USUL SALAHUDDIN TERHADAP POPE BENEDICT DI PARLIMEN


KUALA LUMPUR, 19 Sept - Usul di Dewan Rakyat menggesa Pope Benedict XVI menarik semula kenyataan menghina Islam tidak disiarkan oleh TV3 salah satu media tunggangan Kerajaan Islam Hadhari oleh kerana usul tersebut dibawa oleh wakil PAS Salahuddin Ayob (PAS-Kubang Kerian).

Nampak jelas bahawa kepentingan politik mengatasi kepentingan Islam apabila berita mengenai usul ini langsung tidak disiarkan oleh TV dalam Buletin 1.30 petang tadi. Kita yakin TV3 begitu taat kepada 'Tuan' mereka kerana dengan penyiaran berita mengenai usul tersebut maka sudah tentu Ahli Parlimen PAS dilihat lebih prihatin dan peka kepada kedaulatan Islam berbanding Ahli Parlimen BN/Umno.

Usul tersebut telah diterima oleh Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Dewan Rakyat hari ini dan ianya akan dibahaskan pada sessi sebelah petang.

Salahuddin dalam membacakan usul di bawah Aturan Urusan Mesyuarat Perkara 18 (1) berkata, kenyataan Pope Benedict tentang Nabi Muhammad s.a.w. telah mencetus reaksi bahawa ia satu penghinaan terhadap Islam itu sendiri.

"Tindakan Pope Benedict memetik kata-kata maharaja Byzantine itu mengenai Nabi Muhammad, bagi mengaitkan Islam dengan keganasan amatlah mengecewakan malah ia satu keterlaluan, " kata Salahuddin ketika membacakan usul ketika sidang ditangguhkan sebentar bagi mendengar usul tersebut.

Kenyataan Benedict ini juga katanya hanya akan mengundang satu suasana yang tidak harmonis antara penganut agama Islam dan Kristian sedangkan hubungan antara dua agama ini satu ketika dahulu sangat harmonis.

"Saya masih ingat kepada mendiang Pope John Paul ketika masih hidup, mendiang amat memelihara hubungan dengan umat Islam, hatta semasa pengebumian mendiang Pope John, ulama' dan pembesar agama Islam turut menziarahinya bagi memberi penghormatan terakhir.Ini seharusnya ditiru oleh Pope Benedict," katanya lagi.

Justeru beliau mendesak Pope Benedict menarik kembali kenyataannya secara ikhlas tanpa sebarang syarat mahupun niat di sebaliknya, katanya.

Usul Salahuddin mengenai Pope Benedict itu akan dibahas di Dewan Rakyat petang ini bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang.

Sementara itu terdahulu, laporan AFP menyebut, kenyataan Benedict mengenai Islam dibuatnya dalam satu ucapan di Jerman yang mengisahkan perbualan antara Maharaja Kristian Empayar Byzantine, Manuel Paleologos II dengan seorang cendekiawan Paris mengenai kebenaran agama Islam dan Kristian.

Benedict dilaporkan memetik kata-kata maharaja Byzantine itu mengenai Nabi Muhammad, iaitu: “Saya memetik kata-katanya, “Tunjuk kepadaku apakah yang baru yang dibawa oleh Muhammad, dan ia hanyalah kejahatan dan ketidak perikemanusiaan, seperti perintahnya untuk mengembangkan (ajarannya) melalui pedang.”

Jurucakap Pope kemudiannya berkata, Benedict menghormati Islam tetapi menolak keganasan yang dikaitkan dengan agama itu. Penjelasan itu, bagaimanapun gagal meredakan kemarahan umat Islam.

Akibat kenyataan itu, Parlimen Pakistan sebulat suara meluluskan resolusi menuntut Pope “menarik balik kenyataan itu demi menjaga keharmonian antara agama.”

Di India, Pengerusi Suruhanjaya Negara bagi Kaum Minoriti, Hamid Ansari berkata: “Bahasa yang digunakan oleh Pope bunyinya sama seperti rakan sejawatannya pada Abad ke-12 yang memerintah supaya dilancarkan Perang Salib”.

Kumpulan Ikhwan al-Muslimin, yang merupakan pembangkang utama di Parlimen Mesir, menyifatkan ucapan Pope itu lebih serius daripada isu lukisan kartun gambar Nabi Muhammad yang telah mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia awal tahun ini.

"Saya rasa Pope itu akan berdepan dengan bantahan keras, kerana kenyataannya lebih memudaratkan berbanding dengan lukisan kartun tersebut, kerana ianya datang dari mulut seorang pemimpin yang mewakili berjuta-juta manusia,” kata pegawai kanan kumpulan tersebut Abdel Moneim Abul Futuh.

Di Turki, pengerusi direktorat halehwal agama negara itu, Ali Bardakoglu pula menyifatkan kenyataan Pope itu “penuh rasa permusuhan dan kebencian” dan menegaskan Pope tersebut tidak harus dibenarkan ke Turki.

Reaksi yang sama tercetus di Iran, iaitu Ahmad Khatami berkata, adalah sesuatu yang amat malang apabila pemimpin masyarakat Kristian dunia tidak faham mengenai Islam dan bercakap dengan begitu biadap sekali.

Manakala golongan ulama Sunni di Iraq pula menggesa kerajaan menghalau wakil Vatican sebagai bantahan terhadap kenyataan Pope tersebut.

Sementara itu Yayasan Ramadan di Britain membandingkan Pope Benedict XVI dengan Pope sebelum ini, John Paul II.

"Mendiang Pope John Paul II menghabis lebih 25 tahun untuk membina jambatan dan hubungan baik dengan masyarakat Islam. Dia telah memperlihatkan kepada dunia bahawa persepsi mereka terhadap Islam adalah salah dan kita adalah satu masyarakat yang cintakan keamanan,” katanya.

Sumber : Harakahdaily.


ISLAM HADHARI GAGAL MEMBENTUK RAKYAT YANG BERTAQWA


SEREMBAN 19 SEPT : Pelbagai gejala sosial di kalangan remaja yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa Islam Hadhari telah gagal untuk membentuk insan yang bertakwa di kalangan rakyat Islam negara ini.

Ini ditambah lagi dengan sistem Islam Hadhari yang menggalakkan program-program hiburan dan maksiat dijalankan. Malah media elektronik kerajaan Islam Hadhari iaitu RTM sendiri tidak henti-henti menyiarkan program yang berunsur hiburan yang dianggarkan mencapai 80 % dari jumlah masa siaran.

Tempat-tempat maksiat seperti Kelab Malam, Karaoke, Dangdut, Rumah Urut, Disko dan sebagainya di beri lesen untuk beroperasi. Lebih teruk lagi dimana tempat-tempat maksiat yang beroperasi tanpa lesen juga bertumbuh bagai cendawan lepas hujan.

Kedai-kedai menjual arak juga boleh didapati di seluruh pelusuk negara antaranya 7 Eleven yang beroperasi 24 jam. Pembeli yang juga terdiri dari orang Islam boleh membelinya sesuka hati tanpa segan silu.

Manakala langkah pencegahan juga tidak mendapatkan kerjasama yang baik di mana anggota penguatkuasa tidak cukup malah seringkali tugas mereka mendapat halangan dari pihak atasan apabila ianya melibatkan orang kenamaan.

Hari ini satu lagi kejadian mengharukan kita berlaku di mana sekumpulan lelaki Islam berpesta arak sampai ke pagi.


Media tersebut melaporkan bahawa keseronokan sekumpulan lelaki Islam berpesta minum arak sampai pagi tidak berpanjangan apabila mereka ditahan dalam operasi bersepadu anggota Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan bantuan polis di Gemencheh, tengah malam kelmarin.

Ketua Unit Penguat kuasa Jheains, Ahmad Khusaini, berkata dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, 17 lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan di sebuah rumah kedai di pekan Gemencheh, dekat Tampin.

Katanya, mereka menjadikan rumah kedai yang diubah suai sebagai pusat karaoke untuk meminum arak beramai-ramai.

“Ketika diserbu, 25 lelaki berada dalam pusat itu sedang asyik minum minuman keras sambil rakan yang lain berkaraoke.

“Selepas pemeriksaan, hanya 17 saja disahkan meminum arak manakala yang lain hanya berkaraoke.

“Mereka yang ditahan dibebaskan dengan jaminan dan diminta hadir di pejabat penguat kuasa JHEAINS Seremban dan Tampin untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, petang semalam.

Ahmad berkata, semua lelaki terbabit akan didakwa mengikut Sekyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Rumah kedai yang diserbu sebelum ini pernah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

“Kami dengan jabatan polis akan terus bekerjasama memantau pusat karaoke itu pada masa depan bagi memastikan aktiviti di situ tidak berterusan yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai,” katanya.

Ini kes yang berjaya di kesan. Tetapi sebenarnya banyak lagi kejadian serupa gagal di kesan dan diambil tindakan.


RAMADHAN TUNTUT MUSLIM MUHASABAH DIRI


RAMADAN akan menjelang dan umat Islam pasti menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Tidak kurang pula, ada sebahagian umat Islam yang mengeluh dan merungut kehadiran Ramadan yang menuntut setiap Muslim melaksanakan kewajipan berpuasa padanya yang dianggapnya sebagai satu beban baginya. Begitulah pelbagai ragam kehidupan umat Islam sempena kedatangan Ramadan yang penuh berkat.

Hadirnya Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim yang bertakwa kepada Allah. Ia kerana Ramadan yang bakal menjelang menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda disediakan Allah kepada Muslim yang benar-benar bertakwa kepada-Nya. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah diri persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

Muhasabah terhadap persediaan ini amat penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun, tambah pula apakah setiap Muslim menyakini bahawa dia akan terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah pada Ramadan kali ini, seseorang Muslim dapat melaksanakan yang terbaik sepanjang bulan mulia ini sebelum ditakdirkan bertemu menghadap Allah pada bila-bila masa.

Di samping itu, seorang Muslim yang bijaksana di sisi Allah adalah seorang yang akan memanfaatkan segala kelebihan dan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani. Ia kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan yang berkaitan dengan amalan zahir dan batin membabitkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Oleh sebab itulah, kita melihat Rasulullah SAW membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.

Begitulah persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut Ramadan supaya hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya Allah, rahmat-Nya dan kurnia-Nya yang tidak terhingga.

Seorang ahli hikmat pernah berkata: Sesungguhnya Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa. Syaaban pula untuk memperbaiki hati daripada segala kecacatan dan Ramadan bagi memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Setiap Muslim juga dituntut mengulang kaji segala persoalan yang berkaitan dengan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah amat bergantung kepada cara pelaksanaannya sama ada berdasarkan sunnah Rasulullah SAW atau sebaliknya. Malah, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul adalah antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat itu kepada umat Islam.

Ketika menjalani ibadat puasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa. Ia kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahupun besar, sama ada berkaitan dengan nikmat jasmani seperti makan, minum dan seks atau penyakit rohani seperti mengumpat, dengki, sombong dan seumpamanya.

Seiringan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan salih pada malam harinya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, solat witir, solat tahajud, tadarus al-Quran, iktikaf dan sebagainya. Pada siangnya, kegiatan seorang Muslim hanya bertumpu pada melaksanakan ibadah wajib iaitu puasa, maka pada malam harinya pula dia mengumpul segala kekuatan yang sedia ada untuk melaksanakan ibadat sunat anjuran Islam. Bukankah Allah sudah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Sepatutnya ‘tawaran istimewa’ yang Allah sediakan pada Ramadan ini menjadi perangsang bagi Muslim yang bertakwa untuk merebut ganjaran berlipat ganda dan tidak ada pada bulan lain.

Seterusnya, seorang Muslim sejati akan tetap melaksanakan kegiatan sehariannya seperti biasa tanpa sebarang keuzuran atau pengecualian. Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim untuk melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah. Perlu ditegaskan bahawa sebarang kegiatan dan kerja seharian jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat. Sedangkan semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda. Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan yang Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini.

Oleh itu, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, di samping persediaan sewajarnya supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi juga. Perumpamaan Ramadan sama seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah.

‘Keberkatan’ buah tangan atau hadiah itu tentunya hanya diberikan kepada tuan rumah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan penuh ceria, bukannya dengan ala kadar. Begitulah juga Ramadan dengan pelbagai aneka keberkatan, kerahmatan dan keistimewaannya hanya dikurniakan kepada setiap Muslim bertakwa yang menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan pengisian amalan salih pada siang dan malamnya demi meraih keredaan Ilahi dan kenikmatan syurga di akhirat kelak.

Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


P'raya kampus: Pertembungan sengit di lima universiti


KUALA LUMPUR 19 SEPT : Penamaan calon pilihanraya kampus berlangsung semalam dengan pertembungan sengit antara kumpulan pro-kerajaan dan pro-pembangkang berlaku di lima universiti manakala di Universiti Putra Malaysia (UPM) kumpulan anti-kerajaan memboikot pilihanraya itu buat kali kedua.

Lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Univerisiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) and Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kumpulan anti-kerajaan yang memboikot pilihanraya kampus pada tahun lalu, kali ini kembali ke gelanggang politik kampus walaupun mendakwa pelbagai peraturan yang tidak adil dikenakan oleh pentadbir universiti.

Sementara itu di UPM, kumpulan anti-kerajaan dalam sdiang medianya pagi semalam melahirkan ketidakpuasan terhadap penggunaan sistem pengundian eletronik yang disifatkan sebagai suatu yang tidak adil dan tidak demokratik.

Mereka akan menjalankan kempen memboikot pilihanraya di kampus tersebut. Tandatangtan para pelajar akan dikumpul untuk dihantar kepada Naib Cancelor UPM, Prof Dr. Nik Mustapha R.Abdullah selepas tamat pilihanraya berkenaan.

Sistem pengundian eletronik diperkenalkan pada tahun 2003 dan telah dikritik hebat oleh kumpulan anti-kerajaan kerana menurut mereka di bawah kaedah itu pengundian dan pengiraan undi sukar dipantau.

Di kampus induk USM pula, kumpulan pro-kerajaan menang tanpa bertanding di 10 kerusi apabila pencalonan ditutup pagi semalam. Sebanyak 15 kerusi akan menjadi rebutan calon kedua-dua pihak.

Sebanyak 34 kerusi ditawarkan di UIAM dengan lapan kerusi dimenangi tanpa bertanding. Kedua-dua kumpulan masing-masing memenangi empat kerusi berkenaan. Sebanyak 22 kerusi lagi akan menjadi rebutan antara kem pro-kerajaan dan pro-pembangkang.

Sementara itu di Universiti Malaya (UM), calon-calon anti-kerajaan bernaung di bawah kem GAGASAN dan kumpulan pro-kerajaan di bawah kem ASPIRASI. Kedua-dua kem memenuhi dewan pencalonan dengan diirinigi lebih 300 penyokong.

Sebanyak 41 kerusi dipertandingkan di UM. Apabila pencalonan ditutup, kumpulan pro-kerajaan memenangi 4 kerusi tanpa bertanding dan kem pro-pembangkang mendapat dua kerusi.

Semasa menghantar borang pencalonan, para calon diiringi dengan poster dan sepanduk serta laungan slogan. Bagaimanapun keadaan adalah terkawal.

Di Kampus UKM, Bangi pula, kedua-dua kumpulan akan bertanding merebut 34 kerusi yang ditawarkan. Dalam pada itu di UTM, situasinya masih tidak dapat dipastikan kerana pihak pentadbir universiti tersebut belum mengeluarkan senarai calon.

Bagi universiti-universiti awam lain termasuk Universiti Institut Teknologi Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan beberapa kolej universiti yang baru ditubuhkan kumpulan pro-kerajaan dikatakan akan menyapu bersih kampus-kampus berkenaan.

Selain Universiti Utara Malaysia (UUM) yang para pelajarnya sedang bercuti, para pelajar di semua 17 IPTA tempatan itu akan memilih wakil Majlis Perwakilan Pelajar masing-masing bagi sesi 2006/2007 pada Khamis ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59