Monday, 18 September 2006

MACAM-MACAM BOLEH BERLAKU : MAUT AKIBAT WANITA CANTIK


KUALA TERENGGANU 18 SEPT : Seorang penunggang maut setelah motosikalnya tersangkut di palang besi gara-gara menoleh ke arah seorang penungang wanita dalam kejadian berhampiran kawasan lampu isyarat Bukit Tumbuh di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Farid Mahmud berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 2.00 pagi ketika mangsa Mohd Zaidi Mohd Arifin, 26, bersama rakannya Marzuki Mat, 24, dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Batu Enam.

"Selepas persimpangan lampu isyarat tersebut, mangsa telah memotong sebuah motosikal dipercayai ditunggang oleh seorang wanita dan mangsa dilaporkan sempat menoleh ke arah wanita tersebut.

"Tanpa disedari mangsa, jalan di hadapannya merupakan selekoh yang kemudiannya mengakibatkan motosikalnya bergesel dengan pagar besi sebelah kiri jalan.

"Mangsa selepas itu tersangkut pada pagar tersebut dan motosikal yang masih dibonceng oleh rakannya itu meluncur laju ke hadapan melebihi 50 meter," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Mohd Zaidi, seorang pekerja swasta, yang berasal dari Bukit Pepari, Setiu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di dada dan kepala.

Manakala rakannya Marzuki dari Kampung Che Long, Permasuri, patah tulang rusuk kiri serta luka di mulut dan kini dirawat di Hospital Kuala Terengganu.


Pas minta SPR hapus undi pos


KUALA LUMPUR 17 SEPT : PAS meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghapuskan sistem undi pos dalam pilihan raya kerana sistem itu yang diwarisi daripada penjajah British dianggap oleh parti pembangkang itu sebagai sesuatu yang mencemarkan amalan demokrasi di negara ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Malaysia telah hampir setengah abad mencapai kemerdekaan maka adalah wajar sistem itu yang diamalkan sejak dahulu lagi diubah kepada bentuk lain yang lebih sesuai dengan kehendak rakyat negara ini.

"Undi pos perlu dihapuskan kerana ia merupakan ruang untuk kemasukan undi yang tidak dikenal pasti atau undi hantu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ulama Penggerak Demokrasi di markas PAS di Taman Melewar di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan penghapusan undi pos, yang pernah dibuat oleh PAS sebelum ini ialah antara beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS semasa pertemuan mereka dengan SPR baru-baru ini.

Katanya cadangan lain termasuk mereka yang mencapai usia 21 tahun menjadi pengundi secara automatik dan menanda jari penggundi dengan dakwat yang tidak mudah dihapuskan bagi memastikan seseorang itu tidak mengundi lebih daripada sekali.

Bagaimanapun, katanya, cadangan yang dikemukakan itu sehingga ini belum mendapat maklum balas daripada SPR.

Abdul Hadi bimbang sekiranya SPR tidak mengambil langkah segera, pilihan raya di negara ini pada masa depan akan terus dicemari oleh gejala tidak sihat yang boleh mencemar proses demokrasi.

"Ini termasuk perbuatan memindahkan nama pengundi ke tempat lain tanpa pengetahuan pengundi berkenaan, pengundi hantu serta gejala politik wang," katanya.

Sebubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memandang serius gejala yang boleh menghakis sistem demokrasi di negara ini dan mengambil langkah segera menanganinya.

Katanya PAS telah menghantar dua pucuk surat kepada pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan tarikh untuk mengadakan pertemuan dengan Abdullah mengenai sistem demokrasi di negara ini tetapi masih belum mendapat jawapan.

Mengenai isu Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdul Hadi berkata bekas perdana menteri itu mempunyai ketokohan tersendiri dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ditanya sama ada PAS akan mengambil kesempatan daripada kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap kerajaan, Abdul Hadi berkata: "Soal menggunakan kesempatan tidak timbul ... apa yang berlaku ialah Dr Mahathir menjalankan kewajipannya dan kita (PAS) pula menjalankan kewajipan kita."


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59