Friday, 15 September 2006

KETUA PUTERA UMNO BERBOHONG


Pejabat agama: Peserta ekspedisi Putera Umno bercampur gaul secara bebas

Pegawai Pejabat Agama Islam terpaksa memberi amaran kepada peserta ekspedisi Merdeka anjuran Putera Umno di pantai Teluk Batik, Lumut apabila mendapati mereka bercampur-gaul secara bebas di dalam khemah bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak elok.

Peserta ekspedisi tersebut seramai kira-kira 8,000 orang, terdiri daripada Mat dan Minah Rempit yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Manjong, Muhamad Zainuddin Muhamad Zaini berkata, sebelum itu, pelbagai agensi kerajaan di daerah tersebut mengadakan mesyuarat mengenai persiapan mengadakan ekspedisi itu pada hari Sabtu dan Ahad lalu.

Ketika dihubungi malaysiakini, Zainuddin berkata, beliau turut menghadiri mesyuarat tersebut bersama wakil dari Pejabat Daerah, Jabatan Kerjaraya, Jabatan Air serta pasukan polis diraja Malaysia serta empat wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Zainuddin berkata, tugas pejabatnya adalah mengadakan rondaan untuk memastikan program itu berjalan lancar memandang ia membabitkan beribu-ribu orang peserta remaja lelaki dan perempuan.

Katanya, pada malam Sabtu tersebut, beliau bersama 25 anggota penguatkuasa dari majlis agama Manjung, Sri Iskandar dan Kampung Gajah membuat rondaan di kawasan perkhemahan di tepi pantai Teluk Batik mulai kira-kira jam 10 malam.

Di sana mereka mendapati para peserta termasuk kira-kira 300 peserta wanita bercampur gaul secara bebas di dalam kemah-kemah yang disediakan di situ, walaupun telah ditetapkan sebelum ini bahawa peserta lelaki dan wanita dipisahkan di tempat yang berasingan.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya telah memberi amaran kepada para peserta terbabit supaya tidak bercampur antara lelaki dan perempuan dalam khemah tersebut.

Peserta diasingkan

Selepas itu, katanya, beliau telah menemui penyelia ekspedisi itu dari Putera Umno dan memintanya supaya mengasingkan peserta lelaki dan perempuan ekspedisi tersebut seperti mana yang telah ditetapkan sebelumnya.

“Kita mengingatkan beliau, jika para peserta terbabit tidak diasingkan, kami akan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Selepas itu, Zainuddin berkata, beliau dan anggota yang lain beredar dari situ dan datang semula kemudiannya untuk memastikan arahan tersebut dipatuhi.

Katanya, beliau mendapati arahan tersebut dipatuhi di mana peserta lelaki seramai kira-kira 7,700 orang di tempatkan di kawasan perkhemahan di kawasan pantai, manakala 300 peserta wanita ditempatkan di chalet di situ.

Selepas itu, katanya, mereka beredar untuk menjalankan rondaan dan pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya turut memeriksa sebuah chalet di mana mereka menahan sembilan orang Mat dan Minah Rempit berusia antara 15 dan 19 tahun kerana disyaki berkhalwat. Mereka berasal dari dari Kuala Lumpur, Selangor dn Kedah yang juga peserta ekspedisi tersebut.

“Kami memeriksa dua bilik – satu bilik mengandungi lima orang iaitu tiga lelaki dan dua perempuan dan di satu bilik lagi terdapat empat orang iaitu satu lelaki dan dua perempuan. Kami menahan mereka kerana tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah,” katanya.

Sekatan jalanraya

Mengenai kenyataan Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa 100 anggota Rela dan Polis ditugaskan mengawal termasuk mengadakan tiga sekatan jalanraya atau pusat pemeriksaan keselamatan, Zainuddin berkata:

“Dakwaan bahawa pihak polis membuat tiga sekatan jalan juga tidak benar kerana hanya satu sekatan sahaja dibuat di kawasan berkenaan.”

Beliau berkata, adalah sesuatu yang amat sukar bagi penganjur untuk mengawal 8,000 Mat Rempit yang berkumpul di pantai Teluk Batik yang panjangnya lima kilometer.

Sementara itu, Imam Masjid Telok Muroh, Mat Junoh Mat Sidek juga menolak dakwaan Abdul Azeez bahawa tidak berlaku perkara tidak senonoh yang membabitkan konvoi Mat Rempit anjuran Putera Umno itu.

Katanya, apabila diberitahu mengenai perkara tersebut, beliau pergi ke masjid dan ternampak kira-kira 10 remaja Mat Rempit termasuk perempuan berpakaian seksi berada di situ.

Menurutnya, seorang daripada mereka berada di dalam kolah wuduk dan apabila ditanya, dia menjawab dia ditolak oleh kawan-kawan.

Menurutnya, adalah tidak benar untuk mengatakan mereka berada di situ untuk menyertai program membersih masjid kerana tiada kelengkapan seperti sabun dan berus dibawa bersama mereka.

Katanya lagi, pihak pengurusan masjid juga tidak dimaklum mengenai program tersebut sehinggalah kedatangan kumpulan ekspedisi tersebut di masjid berkenaan.

Dari : Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59