Thursday, 14 September 2006

DEMONSTRASI BESAR-BESARAN PELAJAR MENENTANG KETIDAKTELUSAN PILIHANRAYA KAMPUS JUMAAT INI?


PETALING JAYA 14 Sept :Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)pada 21 September ini yang bakal melihat 850 calon bertanding dijangka tegang apabila kumpulan pelajar anti-establishment dikatakan akan mengadakan demonstrasi 'besar-besaran' Jumaat ini untuk menarik sokongan pelajar bagi memboikot pilihanraya depan, menurut sebuah laman web komuniti pelajar yang dibangunkan untuk "mendedahkan kemelut politik kampus IPTA.

Walaupun bahang pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi 2006/2007 baru hendak mula hangat, ada pihak yang telah menjangka keputusannya -- iaitu tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu yang didakwa dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Dakwaan mengenai ketidaktelusan proses pemilihan MPP juga masih galak di samping kebimbangan mengenai penggunaan isu perkauman yang boleh memecah-belahkan pelajar bagi memancing populariti.

"Setakat ini, tidak nampak Mahasiswa yang membawa idea jati mahasiswa sendiri. Mereka seolah-olah menyambung pemikiran daripada luar sama ada dengan mengambil pandangan parti kerajaan mahupun pembangkang," kata Aqil Fithri, seorang pelajar sarjana semasa dihubungi The Star hari ini.

"Pemimpin pelajar sekarang masih belum mampu membina idea daripada kerangka fikiran mereka sendiri. Mereka sekadar memugarkan lagi idea-idea sesetengah pihak berkepentingan semasa berkempen," jelasnya.

Beliau yang berpengalaman memerhatikan pilihanraya kampus selama lebih lima tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pemilihan wakil pelajar di universiti itu tidak melalui proses yang telus sepenuhnya dan khuatir ia akan berulang lagi tahun ini.

"Tidak wujud suasana di mana pelajar berani menyuarakan pandangan walaupun bercanggah dengan ketetapan pihak berkuasa sedangkan pelajar harus diberi peluang untuk membuat pilihan dan bereksperimen dalam suasana demokratik.

"Kalau idealisme sebegini dibungkam, mahasiswa kita sebenarnya tidak dilayan sebagai penuntut institusi pengajian tinggi tetapi lebih kepada pelajar sekolah yang masih perlu dilarang itu dan ini setiap masa," kata Aqil.

Antara perkara yang masih menjadi pertikaian adalah peraturan berkempen yang ketat dan keperluan gred minimum untuk menjadi calon. Ramai melihat suasana ini sebagai peraturan yang mengekang intelektualisme mahasiswa daripada menjana idea-idea baru yang boleh dimanfaatkan.

Pemerhati juga menjangkakan pertembungan sengit berlaku di antara calon-calon Aspirasi (penyokong kerajaan) dan pelajar-pelajar anti-establishment Isnin ini.

Di UKM, bahang pilihanraya sudah mula dirasai sejak minggu lalu (minggu orientasi pelajar) apabila risalah-risalah "berbau perkauman" dilaporkan mula diedarkan ke kolej-kolej kediaman pelajar.

Bagi seorang bekas calon MPP di UPM, Amiruddin Sari, pilihanraya kali ini seolah-olah akan "melengkapkan lagi proses membunuh demokrasi di kampus."

Beliau mendakwa perkara ini berlaku kesan daripada kebaculan golongan bekas pelajar yang kini menjadi pentadbir kampus. Golongan inilah juga, dakwanya, yang bertanggungjawab memastikan kampus IPTA di seluruh negara "diambil-alih oleh golongan tententu dalam satu operasi besar-besaran" pada 2005.

Amiruddin berpendapat pilihanraya kampus pada Disember tahun lalu adalah di antara projek paling berjaya bagi golongan itu.

Pun begitu, pemilihan kali ini tetap menarik untuk diperhatikan kerana ini adalah kali kedua pemilihan MPP dijalankan serentak di kesemua IPTA, memandangkan pilihanraya pertama yang memakai kaedah ini tahun lepas berakhir dengan calon Aspirasi (prokerajaan) memenangi kesemua kerusi tanpa bertanding di tujuh kampus pada hari penamaan calon di samping majoriti kerusi di empat universiti lain.

"Perkara yang paling berbahaya di dalam kampus adalah kebaculan intelektual, apabila mereka tidak berani bersuara sedangkan mereka melihat sendiri ketidakadilan yang berlaku.

"Bila diasak sedikit dengan undang-undang Akta Universiti dan Kokej Universiti, takut. Pelajar sudah terdidik supaya takut dengan pentadbir dan pelajar junior pula sudah dipupuk supaya takut dengan pelajar senior," katanya.

Senario baru menjelang pilihanraya Isnin ini lebih membimbangkan kerana menurutnya para pelajar sudah mula dilaga-lagakan di antara mereka sendiri oleh pihak tertentu

Hal ini, menurutnya dikesan daripada aduan terdapat penceramah dalam program tersebut didakwa cuba mengapi-apikan pelajar Cina dengan pelajar Melayu/Islam dengan mengaitkan beberapa kumpulan pelajar Cina dengan pertubuhan Yahudi.

"Bila mereka dipisah-pisahkan dan diasuh supaya mencurigai satu sama lain, lebih senanglah mereka menerima apa saja saranan daripada pihak tertentu," kata Aminuddin.

Beliau percaya isu perkauman yang dijangka akan memanaskan lagi suasana pilihanraya kampus kali ini berpunca daripada program orientasi yang dijalankan oleh Biro Tata Negara kepada pelajar-pelajar baru sesi pengajian ini minggu lalu.

Beliau berkata, ketelusan tidak wujud di dalam pilihanraya kali ini selagi pelajar tidak dibenar menyatakan pendapat dengan bebas dan membentuk kumpulan mereka sendiri.

Dipetik dari The Star.


MENTERI YANG BERMASALAH MESTI DIBERHENTIKAN SEGERA


BUKIT KATIL 14 SEPT : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar memberhentikan perkhidmatan menteri kabinetnya yang bermasalah dengan serta merta.

"Ini penting agar menteri yang berkhidmat dapat menjalankan tugas dengan sepenuhnya tanpa dibelenggu oleh masalah peribadi dan sebagainya" kata Timbalan Ketua DPP Kawasan Us Abu Bakar Ramli(Gambar) di sini petang ini.

"Jangankan mentadbir negara mentadbir rumahtangga sendiri pun sesetengahnya tak mampu" tambah Abu Bakar lagi.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes Mahkamah Syariah melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi.

Abu Bakar dalam kenyataan itu menggesa Imam Al Hadhari supaya memberhentikan Effendi serta merta kerana kes ini sudah tentu menjejaskan prestasi kerja Effendi dan ianya juga mencalarkan imej kabinet Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Perdana Menteri sekarang.

Media melaporkan hari ini bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi untuk menggantung pendengaran kes penyerahan harta berjumlah lebih RM50 juta kepada bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi.

Effendi sebaliknya diperintahkan oleh Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid supaya menyediakan afidavit jawapan berhubung keingkarannya melaksanakan perintah mahkamah.

Untuk itu, Effendi diberi tempoh 14 hari mulai hari ini dan beliau akan membuat keputusan pada 18 Okt depan.

Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Effendi sebelum itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan notis waran tangkap terhadap Effendi (kerana ingkar dengan perintah mahkamah) pada 8 Ogos lepas dan dia memohon agar kes pembahagian harta didengar selepas kes itu selesai.

Pertikaian mengenai penyerahan harta sepencarian yang telah dipersetujui bersama sebelum penceraian itu berlaku, telah berlanjutan sejak pertengahan tahun lepas.

Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Januari 2005, Effendi, 58, bersetuju untuk menyerahkan hartanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas dari sebarang bebanan.

Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham Syarikat Encorp Utility Sdn Bhd, nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk sebuah di London.

Perjanjian yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.

Terdahulu peguam syarie Dr Mohd Rafie Shafie yang mewakili Farida, 55, berkata kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung pembahagian harta itu walaupun telah diberi peluang supaya menyelesaikannya secara baik.

Katanya, Effendi tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan pertikaian tersebut dan dia juga tidak pernah hadir sepanjang kes itu berjalan.

"Saya memohon satu penegasan dari mahkamah supaya responden (Effendi) menghormati mahkamah dan hadir untuk menjawab berhubung permohonan pemohon dan tidak ada undangundang yang memperuntukkan bahawa menteri diberi kelonggaran untuk tidak hadir ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun Kamar Ainiah memberitahu bahawa dakwaan Mohd Rafie yang mengatakan Effendi, 58, tidak bersungguhsungguh adalah tidak benar kerana anak guamnya telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak Farida tetapi tidak mencapai persetujuan bersama.

"Saya menghadiri perbincangan dengan pihak Farida tetapi setakat ini perjanjian dan perundingan itu menghadapi jalan buntu, ia bukannya gagal. Ini kerana tawaran responden (Effendi) tidak dipersetujui plaintif (Farida) di saat-saat akhir selepas draf disediakan.

"Perbezaan jumlah penyelesaian sangat jauh dan di situlah keadaannya sekarang," katanya.

Mohd Rafie berkata anak guamnya tidak bersetuju dalam perbincangan secara sulh itu kerana pihak Effendi telah memasukkan perjanjian baru dalam perjanjian yang telahpun dipersetujui sebelum ini.

Sementara itu, mengenai permohonan Kamar Ainiah untuk membatalkan waran tangkap ke atas Effendi, Mohamad Shakir berkata permohonan itu boleh dijadikan sebahagian daripada afidavit jawapan Effendi.

Untuk catatan anggota kabinet Islam Hadhari hari ini dianggotai oleh pelbagai menteri yang bermasalah sejak dari zaman Mahathir tetapi dikekal atau dilantik semula oleh Imam Hadhari.


500 PROTES DEPAN PARLIMEN


KUALA LUMPUR 14 SEPT : Seramai 500 penduduk kampung peneroka sekitar Kuala Lumpur dan Selangor hari ini mengadakan protes secara aman di hadapan Parlimen di sini bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan kerajaan Persekutuan dan Negeri merobohkan rumah mereka.

Protes selama dua jam oleh penduduk dari 15 kampung itu, yang dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), telah diadakan di pintu masuk ke Parlimen.

Satu memorandum turut diserahkan oleh wakil gabungan itu E. Parameiswary kepada pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Gabungan itu menuntut agar pengusiran paksa, terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur, dihentikan dengan segera dan segala keputusan dan penyelesaian harus melalui rundingan bersama.

Kerajaan juga diminta untuk menyediakan perumahan kos rendah yang tetap, sesuai dan selesa untuk mereka yang diarah berpindah ini, katanya.

Gabungan itu mendakwa antara kampung yang telah dirobohkan secara paksa ialah Kampung Rimba Jaya di Shah Alam, Kampung Maha Tambahan di Petaling Jaya, Kampung Berembang dan Kampung Batu Lapan di Ampang.

Kita juga ingin mengajak penduduk-penduduk yang membuat protes itu menilai kembali sokongan kepada kerajaan BN yang berkuasa hari ini. Ini kerana mungkin ramai di kalangan yang memprotes tersebut mengundi BN dalam pilihanraya lalu yang menyebabkan BN terus berkuasa dan menindas rakyat.

Kita mengharapkan mereka tidak tersalah pilih dalam Pilihanraya Umum akan datang kerana pemimpin-pemimpin kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai berjanji semasa kempen pilihanraya. Selepas BN menang mereka tidak lagi menghiraukan nasib rakyat seperti yang berlaku sekarang.


KU LI BERGANDING DENGAN MAHATHIR TENTANG PAK LAH?



Ku Li: Amalan kroni masih berleluasa di bawah pentadbiran Pak Lah

Sejak-sejak akhir ini Ku Li seringkali mengeluarkan kenyataan mengkritik Imam Al Hadhari. Beliau juga sentiasa memenuhi permintaan pengajur program seperti seminar, konvesnyen, ceramah dan sebagainya walaupun penganjurnya adalah pembangkang.

Sikap terbuka Ku Li sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kepimpinan Imam Al Hadhari yang dilihat terlalu lemah, tidak demokratik dan gagal mendaulatkan bangsa melayu. Malah Ku Li juga mengkritik kepimpinan Imam Al Badawi yang juga gagal menangani isu murtad. Ku Li juga hadir dalam perjumpaan yang dianjurkan oleh NGO Islam di Masjid Jalan Duta tempohari.

Apakah Ku Li akan bergandingan dengan Tun Mahathir menentang Imam Al Hadhari?

Hari ini media melaporkan bahawa Ku Li dengan tegas mengatakan bahawa amalan kroni masih berleluasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meskipun ada cakap-cakap mengenai peningkatan keterbukaan dan ketelusan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu Dewan Rakyat semalam, kontrak dan projek kerajaan masih diberikan berdasarkan kepada hubungan rapat dengan mereka yang berkuasa dan bukannya kerana merit atau kebolehan sebenar.

Razaleigh berkata, pada suatu masa dahulu, mereka yang menjual projek kepada orang lain dikecam tetapi sekarang ianya sudah berkurangan kerana ‘wujudnya golongan yang sama dalam bentuk baru’.

Beliau percaya persepsi ini boleh dihapuskan jika pemimpin kerajaan lebih tegas, berani dan mempunyai keazaman politik yang kuat.

Razaleigh menegaskan, tindakan bukan sahaja diambil terhadap mereka di bawah tetapi juga terhadap mereka yang di atas.

Di mana rancangannya?

Mengenai ekonomi pula, bekas Menteri Kewangan itu berkata pendukung industri tempatan, yang berdepan dengan cabaran globalisasi dan persaingan hebat dari negara-negara jiran, tertanya-tanya mana rancangan kerajaan dan mengapa ekonomi masih lembab.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), katanya, bukan saja dikritik kerana dianggap tidak menarik, tetapi selepas satu tahun berlalu, rakyat tertanya-tanya mana projek-projek besar yang telah dimulakan.

Katanya, masyarakat perniagaan telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan akan ketinggalan kepada negara-negara seperti Cina, India dan Vietnam yang mempunyai kos pengeluaran yang rendah atau malah kepada negara maju seperti Singapura dan Taiwan.

“Mereka kata kita tidak mempunyai kelebihan persaingan untuk bersaing dengan (negara-negara tersebut) dalam jangka panjang,” tambahnya.

Mengenai kenaikan harga minyak dunia, Tengku Razaleigh berkata, ia mungkin tidak menjejaskan Malaysia sebagai negara pengeksport petrolum dan ia akan menguntungkan syarikat minyak negara, Petronas.

Menurutnya, kenaikan harga minyak juga, secara tidak langsung, akan menguntungkan industri getah dan kelapa sawit.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan supaya jangan leka dengan trend dunia sekarang dan perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Oleh itu, katanya, langkah kerajaan menggalakkan Petronas supaya mencari simpanan minyak patut dipuji.

‘Dedahkan pendapatan Petronas’

Dalam hubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, rakyat juga ingin tahu mengenai pendapatan yang diperolehi oleh Petronas.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya mengenai beberapa insiden di Sudan dan Chad yang membabitkan Petronas dan menegaskan, ia memerlukan penjelasan.

“Setakat manakah selamatnya pelaburan kita di Burma atau Iran sekiranya ianya membabitkan tekanan antarabangsa dan faktor politik,” soalnya.

Razaleigh juga mencadangkan supaya Malaysia menjadi hub bagi industri petroleum dan gas di rantau ini.
Beliau percaya, melalui satu rancangan strategik kebangsaan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar di rantau ini, tetapi juga lokasinya yang strategik di antara Selat Melaka dan Laut Chia Selatan menjadi satu kelebihan.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Meneri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Suliman berkata, kerajaan akan terus memastikan kepentingan strategik syarikat tempatan tidak jatuh ke tangan orang asing.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat) sewaktu sesi soal jawab semalam.

Ahli Parlimen PAS itu bertanya sama ada kerajaan sedar orang asing, terutama dari Singapura, membeli syarikat tempatan dalam bidang pengangkutan, telekomunikasi, pembankan dan kejuruteraan sejak dua tahun lalu.

Sambil mengambil syarikat perkhidmatan jagaan kesihatan, Pantai Holdings Bhd sebagai contohnya, beliau berkata, syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd mesti memastikan kepentingan negara dilindungi.

Sumber : Malaysiakini.


KU LI JAUH LEBIH CERDIK DARI PEMIMPIN Umno LAIN


Benarkan Dr M bercakap: Ku Li

KUALA LUMPUR 14 Sept : Pandangan dan idea Ku Li jauh lebih rasional dan cerdik dari pemimpin Islam Hadhari lain termasuk Imam Al Hadhari, Abdullah Badawi.

Sebuah akhbar internet melaporkan semalam bahawa Tengku Razaleigh Hamzah terkejut dengan kekalahan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya untuk menjadi perwakilan dari Bahagian Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung November depan.


Ahli politik veteran itu menyifatkan kekalahan Dr Mahathir sebagai sesuatu yang memeranjatkan kerana ia pemilihan itu sepatutnya "satu kemenangan mudah" bagi bekas Perdana Menteri itu.

Tengku Razaleigh percaya ada kuasa lain yang menyebabkan kekalahan Dr Mahathir -- kuasa yang tidak mahu beliau menjadi perwakilan pada perhimpunan agung kelak.

"Mesti ada pihak yang cuba menghalang beliau daripada dipilih kerana saya tidak fikir orang Melayu tidak tahu berterima kasih.

"Dr Mahathir hanya ingin menjadi ahli perwakilan dan beliau tidak ada apa-apa kepentingan untuk menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

"Saya sungguh terkejut kerana ia sepatutnya sesuatu yang mudah bagi beliau. Beliau bukan hanya seorang pemimpin, tetapi seorang pemimpin yang unggul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Katanya sukar untuk percaya bahawa Dr Mahathir yang telah banyak menaikkan nama negara akan dilayan demikian rupa oleh perwakilan dari bahagian yang dipimpinnya berpuluh tahun.

"Dalam keadaan sekarang, memanglah Dr Mahathir akan kalah kerana saya kira pihak yang tidak mahu beliau dipilih memang bersungguh-sungguh tidak mahu beliau menang," katanya.

Tengku Razaleigh yang pernah satu masa bersengketa dengan Dr Mahathir berkata beliau tidak faham mengapa banyak pihak bimbang sekiranya Dr Mahathir di pilih menjadi perwakilan.

"Saya tidak nampak bagaimana Dr Mahathir boleh menjejaskan kestabilan Umno? Mengapa kita mesti takut dengan beliau?" soal Tengku Razaleigh.

Beliau juga mencadangkan supaya perhimpunan agung khas diadakan bagi memberi platform kepada Dr Mahathir untuk berinteraksi dengan ahli parti.

"Saya tidak fikir ahli dan pemimpin Umno perlu bimbang. Jika Dr Mahathir mahu bercakap, biarkan dia bercakap. Kita boleh bangkang dia kalau apa yang dikatakannya itu tidak boleh diterima.

"Kalau dia salah anggap, kita perbetulkan. Kalau dia cakap betul, kita kena betulkan diri kita," katanya.

Sumber : Malaysiakini


KEDAULATAN BAHASA MELAYU. RAIS CAKAP KOSONG


AYER KEROH, 14 Sept : Penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan dalam setiap aspek kerana sekiranya hilang bahasa ini, maka sebahagian budaya Melayu turut akan pupus.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai cabaran yang perlu disahut oleh bangsa Melayu ke arah memperjuangkan bahasa Melayu.

Menurut beliau, bangsa Melayu perlu mempertahankan bahasa Melayu sebagai warisan budaya walaupun tuntutan ilmu memerlukan kemahiran dalam bahasa Inggeris.

“Tidak bermakna kita melangit tinggi dalam mendapatkan ilmu menerusi bahasa Inggeris jika kita melupakan bahasa Melayu di

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke-7 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Tetapi sedarkah Rais bahawa kata-katanya hanya omongan kosong kerana kerajaan Umno/BN sendiri yang meminggirkan bahasa melayu apabila mengubah bahasa pengantar untuk pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik di sekolah dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

Selain itu kita juga melihat pimpinan Umno/BN lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris dalam majlis-majlis rasmi kerajaan walaupun majlis tersebut di anjurkan di dalam negara. Inilah hakikat yang berlaku di dalam negara kita apabila bahasa ibunda sendiri di anaktirikan.

Ianya jauh berbeza dengan Indonesia dan Brunei apabila kita melihat pimpinan mereka lebih mementingkan bahasa sendiri dari bahasa asing.

Lihat sahaja Jepun mereka lebih mengagungkan bahasa mereka. Begitu juga dengan Presiden Iran yang menggunakan Bahasa Parsi pada setiap kali sidang akhbarnya. Namun begitu Iran jauh lebih maju dari Malaysia dari segi teknologi dan perindustrian.

Kalau Rais hendak mengembali dan memulihkan kedaulatan Bahasa Melayu langkah pertama yang mesti dilakukan beliau ialah mengguna semula Bahasa Melayu dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi. Selain pemimpin negara dan agensi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Melayu dalam semua majlis kerajaan.

Tulisan jawi juga mesti dipulihkan semula dan ianya hendaklah dijadikan subjek wajib bagi pelajar melayu.


KERAJAAN PAK LAH LEMAH SERBA SERBI


Gula kasar masih tiada -- Pengguna terpaksa beli gula halus sehingga RM2.80 sekilogram

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Pak Lah dilihat lemah serba serbi. Bukan sahaja masalah besar seperti isu murtad, isu kedaulatan melayu, isu bahasa malah isu kecil seperti isu kekurangan gula juga gagal ditangani sejak berbulan-bulan lalu.

Media hari ini melaporkan bahawa masalah kekurangan bekalan gula sejak beberapa bulan ini belum berakhir apabila gula kasar masih sukar diperoleh di beberapa negeri walaupun gula halus sudah dijadikan barang kawalan berkuat kuasa hari ini.

Kesukaran memperoleh bekalan gula kasar itu menyebabkan para pengguna terpaksa membeli gula halus pada harga sehingga RM2.80 sekilogram iaitu tidak mematuhi harga siling yang ditetapkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di ibu negara, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah mendapati hampir kesemua pasar raya dan kedai runcit tidak mempunyai bekalan gula secukupnya.

Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan gula halus termasuk dalam senarai barangan kawalan dengan harga RM1.55 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia dan RM1.65 di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan itu berikutan kecenderungan pengilang mengeluarkan lebih banyak gula halus kerana harganya tidak dikawal, menyebabkan bekalan gula kasar berkurangan di pasaran.

Di KUALA LUMPUR, gula kasar di dua buah pasar raya terkemuka di sekitar Cheras dikatakan kehabisan bekalan dan hanya gula halus tersusun di rak.

Menurut seorang pekerja di pasar raya tersebut, harga gula halus di pasar raya itu diturunkan daripada RM1.80 kepada RM1.55 sekilogram bermula hari ini.

Namun, sebuah pasar raya berdekatan pula menampakkan keadaan yang lebih serius apabila semua stok gula kasar dan gula halusnya telah habis dijual.

Kehabisan bekalan itu dikatakan berpunca daripada langkah pasar raya tersebut menjual gula pada harga lebih rendah berbanding harga siling iaitu RM1.35 sekilogram bagi gula kasar dan RM1.45 sekilogram bagi gula halus.

Di kebanyakan kedai runcit di sekitar Cheras, Ampang dan Bandar Tasik Permaisuri pula masih menetapkan harga RM2 sekilogram untuk gula halus dengan alasan ia adalah stok lama dan perlu dijual mengikut harga lama bagi mengelak berlakunya kerugian.

Sementara itu, krisis gula di NEGERI SEMBILAN juga masih berlarutan dengan kebanyakan pasar raya kehabisan bekalan malah ada yang terputus bekalan sejak seminggu lepas.

Beberapa pengguna yang ditemui turut menggesa kerajaan agar mengambil tindakan lebih tegas bagi membendung aktiviti menyorok gula kerana masih terdapat perbezaan harga antara gula kasar dan gula halus.

Seorang pesara guru, Faridah Hashim, 59, berkata, masalah bekalan gula tidak akan selesai sekiranya masih ada perbezaan harga di antara gula halus dan kasar kerana pengilang tetap cenderung untuk mengeluarkan gula halus yang lebih tinggi harganya.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, harga gula halus di sebuah pasar raya terkenal dan beberapa kedai runcit telah diturunkan mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perkara sebaliknya berlaku di PERAK dengan kebanyakan pasar raya dan kedai runcit di sekitar bandar raya Ipoh didapati tidak menjual gula halus pada harga RM1.55 sekilogram seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Malah harga gula halus di negeri berkenaan jauh lebih mahal berbanding negeri lain iaitu RM2.80 sekilogram sementara penjualan gula kasar dihadkan kepada dua kilogram bagi setiap pengguna.

Di SABAH, masalah bekalan gula paling dirasai bagi penduduk pedalaman yang terpaksa menghadapi kekurangan stok serta harga yang tinggi.

Penduduk pedalaman di Sabah terpaksa berhadapan dengan harga gula kasar yang lebih tinggi dan berbeza-beza mengikut lokasi, atas alasan kos pengangkutan.

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu berkata, terdapat daerah atau kawasan pedalaman seperti Tenom, kira-kira 176 kilometer dari Kota Kinabalu yang menjual gula kasar pada harga RM3 sekilogram.

Sehubungan itu katanya, langkah pengawalan lebih tegas perlu dilakukan bagi mengelak pengguna tertindas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S. Veerasingam berkata, kementerian tidak bercadang untuk menyeragamkan harga kedua-dua bahan itu.

‘‘Jika penyeragaman harga dibuat, ia akan menyebabkan harga untuk gula kasar dinaikkan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.


Pak Lah telah gagal, kata Penyokong Kuat Artikel 11 & IFC


KUALA LUMPUR 14 SEPT : Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal melaksanakan pembaharuan walaupun beliau telah berikrar untuk melakukannya, kata seorang ahli Parlimen Barisan Nasional di Dewan Rakyat semalam.

Penyokong kuat kumpulan Artikel 11 dan IFC Datuk Zaid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen BN-Kota Baru berkata Abdullah juga gagal untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, walaupun ada Islam Hadhari (yang diilhamkan oleh Abdullah) dan penekanannya terhadap ketelusan, integriti dan keterbukaan, tetapi Perdana Menteri belum lagi dilihat membawa sebarang pembaharuan sebenar.

Katanya, ini mungkin kerana Abdullah kekurangan sokongan politik.

Beliau juga mempersoal mengapa perdana menteri yang memegang kuasa pada 2003 kurang kesungguhan untuk memerangi rasuah dan melaksanakan pelan integriti nasional.

Katanya, Islam Hadhari bukan setakat cara berpakaian dan mengenai agama, tetapi perlu ada nilai politik yang berbeza yang mempertahankan mereka yang menjadi mangsa atau yang mencari kebenaran.

Jika tidak, beliau bertanya, apakah bentuk budaya yang harus diteruskan.

Zaid mengulangi gesaannya supaya Abdullah perlu memperbetulkan segala kesilapan yang dilakukan oleh Dr Mahathir selama 22 tahun mentadbir negara ini.

Di zaman Dr Mahathir, katanya, wujud jutawan segera, hakim yang dipecat, Perlembagaan Persekutuan dipinda dan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri dimansuhkan.

Katanya, intipati demokrasi juga telah terhakis di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
'Mangsa keenam'

Beliau mengingatkan bahawa jika Abdullah tidak melaksanakan perubahan, maka tiada bezanya antara beliau dan Dr Mahathir.

“Kita tidak harus terlalu memikirkan mengenai pertikaian mereka (Abdullah-Mahathir). Persoalan politik tidak penting, apa yang penting ialah halatuju kerajaan?.

“Jika kita perlukan perubahan radikal, kita harus melakukannya,” tambahnya.

Zaid juga berkata, beliau tidak mahu Abdullah menjadi mangsa “keenam” Dr Mahathir. Beliau jelas merujuk dua bekas perdana menteri dan apa yang berlaku terhadap tiga orang timbalan Dr Mahathir.

Pada suatu ketika, seorang ahli Parlimen BN bangun mencelah tetapi Zaid memberitahunya: “Biar saya habiskan dahulu, kerana Melayu mudah lupa”.

Dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59