Wednesday, 13 September 2006

Petisyen Terbuka Buat Yang DiPertuan Agung


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Ampun Tuanku!

Adalah dengan penuh rasa rendah diri, patik, selaku rakyat Tuanku dan warganegara Malaysia merafaq sembah memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar menasihatkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi meletakkan jawatannya selaku Perdana Menteri Malaysia yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Tuanku selepas pilihanraya umum 2004.

Ampun Tuanku,

Adalah patik merasakan bahawa Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi sudah tidak lagi layak menerajui negara di atas alasan-alasan berikut :

1. Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat di dalam manifesto pilihanraya 2004.

2. Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat setelah di lantik selaku Perdana Menteri untuk membersihkan Malaysia dari gejala rasuah.

3. Beliau telah gagal menjalankan usul Suruhanjaya DiRaja berhubung penubuhan IPCMC.

4. Beliau telah gagal mempertahankan maruah negara Malaysia di dalam hubungan diplomatik.

5. Beliau telah gagal mempertahankan kedaulatan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan dua hala.

6. Beliau telah gagal mempertahankan nama baik Y.Bhg Tun Dr. Mahathir, seorang negarawan ulung yang telah begitu besar jasanya kepada negara daripada di keji dan dihina.

7. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menantunya yang mengusulkan bahawa Y.Bhg Tun Dr. Mahathir adalah Beruk.

8. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menteri-menteri kabinet beliau yang bersikap kurang ajar terhadap Y. Bhg. Tun Dr. Mahathir.

9. Beliau sendiri telah menghina Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir dengan mengusulkan bahawa Tun Dr. Mahathir ibarat Iblis.

10. Beliau telah gagal menjamin kebebasan bersuara yang diperuntukan oleh perlembagaan mengakibatkan Tun Dr. Mahathir merasakan dirinya lebih hina dari mana-mana pacar Tuanku yang terhina.

11. Beliau telah secara terbuka menipu rakyat Malaysia dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercangah dengan kebenaran hakiki.

12. Beliau telah menipu rakyat Malaysia dengan tujuan mempertahankan anaknya sendiri.

13. Beliau telah menggadaikan maruah agama Islam di mana Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu adalah ketuanya.

14. Beliau telah gagal membendung sentimen perkauman yang semakin menular dan didalangi sendiri oleh menantunya.

15. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menantunya yang telah memalukan negara dengan bertindak menyerang persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur dan menghalau seorang pembesar negara yang merupakan tetamu negara yang juga bererti tetamu Ke Bawah Duli Tuanku.

16. Beliau telah gagal menjadikan dirinya teladan yang baik dengan tidak mengamalkan disiplin tinggi seperti lewat dalam menepati waktu dan sering tidur di dalam majlis-majlis rasmi.

17. Beliau telah berkali-kali menggunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri Malaysia untuk merasmikan atau menghadiri program anjuran arwah isterinya, anaknya dan menantunya sedangkan janjinya memakmurkan Malaysia masih terbengkalai.

18. Beliau telah dengan bongkak dan biadap mengaku bahawa beliau adalah Perdana Menteri Malaysia dengan tujuan menghina dan mengeji pengkritiknya.

19. Beliau telah memastikan nepostisme berleluasa di dalam kerajaan.

20. Beliau telah gagal mempertahankan aset negara dari menjadi milik negara asing.

21. Beliau telah gagal menyelamatkan negara dari gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing.

22. Beliau telah mengakibatkan negara kerugian berjuta-juta ringgit di dalam masa yang singkat dengan menarik balik projek-projek yang sudah berjalan di atas kesedaran beliau sebelum ini.

23. Beliau telah gagal membuktikan ketegasannya di dalam membuat keputusan dan seringkali membatalkan semula keputusan yang telah dibuatnya mengakibatkan maruah kerajaan tercalar dan negara kerugian berjuta-juta ringgit.

24. Beliau sering gagal mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dan sering mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarganya.

25. Beliau telah gagal memberi jawapan terhadap persoalan-persoalan isu semasa yang di inginkan oleh rakyat Tuanku.

26. Sebaliknya beliau telah mengarahkan kuncu-kuncunya menabur fitnah dan memutar belit fakta di dalam menjawab persoalan yang di dahagakan jawapannya oleh rakyat Tuanku.

27. Beliau lebih senang pergi bercuti bersama keluarga ke Australia daripada berdepan dengan masalah negara dan masalah dunia Islam yang ditindas zionis.

28. Beliau secara fizikal membawa personalitinya secara lembik, lesu dan lemah sedangkan menjanjikan kepada rakyat Tuanku kepimpimpinan yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

29. Beliau lebih suka menitiskan airmata dan bersajak daripada menjadi seorang pemimpin tabah yang di harapkan oleh rakyat Tuanku.

30. Di atas alasan-alasan di atas, Beliau telah mengakibatkan rakyat ke bawah Duli Tuanku tidak lagi mempunyai perasaan bangga diri menjadi rakyat Malaysia, tidak seperti di zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir. Akibatnya, rakyat Tuanku telah tidak lagi bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada musim ulangtahun Kemerdekaan walaupun berkali-kali di seru.


Ampun Tuanku,

Pada takrifan patik, tindakan kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memundurkan imej negara dan melemahkan rakyat Tuanku.

Ini adalah suatu pengkhianatan terhadap Negara Malaysia dan seluruh Wilayah-Wilayah di Bawah Naungannya.

Dengan yang demikian, patik sekali lagi merafaq sembah dengan penuh rasa hina memohon Ke Bawah Duli Tuanku mempertimbangkan rayuan patik rakyat jelata ini.

Ampun Tuanku!

Patik pacar yang hina,
Sheih http://kickdefella.blogspot.com/


DUA ORANG LAGI PEMIMPIN ISLAM HADHARI PERTIKAI LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA


MELAKA 13 SEPT : Kalau sebelum ini dua orang pemimpin peringkat pusat dan negeri mempertikaikan laporan Ketua Audit Negara, hari ini dua orang lagi pemimpin Islam Hadhari juga berbuat demikian. Nampaknya mereka ini mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang dilantik oleh kerajaan mereka sendiri.

Kalau perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu tidak benar masakan ianya dijadikan laporan rasmi. Nampaknya pemimpin Islam Hadhari ini sanggup mempertikaikan laporan tersebut walaupun ianya disertakan dengan fakta dan bukti. Inilah perangai pemimpin Islam Hadhari yang sanggup menyangkal segala kebenaran apabila terkena 'batang hidung' mereka. Bukannya mereka hendak memperbetulkan keadaan atau insaf malah mereka tidak menerima dan menempelak laporan tersebut.


Baru-baru ini media melaporkan bahawa Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan perbelanjaan menaik taraf rumah tetamu sebagai kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan bernilai RM4.5 juta yang diambil daripada program dana khas bertujuan membantu mereka yang memerlukan, dianggap tidak tepat dan mengelirukan.

Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata laporan tidak tepat itu boleh menyentuh kewibawaannya selaku ketua negeri.

"Itu sebab saya memanggil Pengarah Audit Negeri Sembilan supaya berhubung dengan ketua audit negara supaya memperbetulkan kenyataan tersebut.

"Saya harap selidik perkara ini dan kalau boleh dibuatkan satu kenyataan mengatakan bahawa laporan itu tidak betul. Saya tak perlu berhubung dengan audit negara kerana rekod kita semua betul.

"Saya tak tahu di mana ketua audit negara mendapat laporan tersebut atau boleh keluar laporan begitu rupa sebab kita ada pelbagai tabung amanah dan akaun berasingan seperti yang saya umum semalam," kata Mohamad Hassan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seremban hari ini.

Mohamad mengulangi bahawa peruntukan untuk membaikpulih dan menaiktaraf rumah tetamu menjadi kediaman rasminya itu diberikan oleh Kementerian Kewangan secara waran khas yang tidak membabitkan dana lain termasuk dana khas yang dimaksudkan laporan itu.

Semalam, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP, Loke Siew Fook membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Mohamad yang bernilai RM4.5 juta.

Loke dipetik sebagai berkata laporan itu dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan wang dana khas yang diperuntukkan sebanyak RM41.4 juta pada 2004 dan 2005 kepada Negeri Sembilan untuk tujuan memberi manfaat kepada kepada mereka yang memerlukan telah digunakan untuk membiayai kos pengubahsuaian itu.

Sementara itu, Loke dalam kenyataan di sini hari ini berkata respons Mohamad terhadap laporannya semalam telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Dengan itu, DAP sedang menimbangkan untuk menghantar satu memorandum kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Parlimen (PAC) secepat mungkin bagi menggesa PAC menjalankan penyiasatan terperinci terhadap perkara itu.

Loke juga menggesa Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang membuat kenyataan bagi menyangkal isu ketidaktepatan laporan Ketua Audit seperti didakwa Mohamad kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kewibawaan institusi Ketua Audit Negara.

Sementara itu di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini berkata kerajaan tidak mengalami sebarang kerugian apabila 155 projek di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal dilaksanakan di Perak.

Ini kerana 116 daripada 155 projek yang dikatakan gagal dilaksanakan itu sebenarnya tidak diberikan sebarang peruntukan walaupun RM10, katanya.

"Saya pun hairan bagaimana mereka (laporan audit) boleh mengemukakan laporan kerajaan negeri tidak melaksanakan projek dan membazirkan wang kerajaan pusat kerana kami tidak diberi wang untuk melakukannya walaupun pun ada disebut projek itu," katanya kepada pemberita di sini.

Tajol Rosli berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengulas laporan akhbar minggu lalu yang memetik Laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyebut tentang kelemahan aspek pelaksanaan dan pemantauan projek kerajaan hingga menyebabkan negeri rugi berjuta-juta ringgit.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporannya memberi contoh Kedah dan Perak sebagai antara negeri yang gagal memanfaatkan peruntukan dan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan mengikut RMK8.

Ambrin berkata daripada 159 projek yang belum dimulakan di Perak, 155 daripadanya terletak dalam bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tajol Rosli berkata beliau tidak tahu pihak mana yang mengemukakan laporan tidak tepat itu kepada Ketua Audit Negara tetapi ia telah memberi gambaran kurang elok mengenai kerajaan negeri dan JKR Perak.

Katanya gambaran yang diberikan berdasarkan laporan itu memburukkan kerajaan negeri dan JKR Perak sedangkan ia tidak membabitkan kerugian kerana tiada langsung peruntukan diberikan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Perbendaharaan sudah menyerahkan peruntukan itu kepada kementerian berkenaan tetapi ia tidak disalurkan kepada kerajaan negeri.

"Kami juga hendak tahu ke mana wang itu pergi," katanya.

Mengenai projek terbabit, Tajol Rosli berkata projek yang tidak menerima peruntukan itu terdiri daripada 109 projek bangunan dan tujuh projek pembinaan jalan.

Selebihnya, iaitu 39 projek yang menerima peruntukan kira-kira RM1 juta, 11 projek membabitkan bayaran bagi pengambilan tanah manakala 28 projek lagi masih dalam proses reka bentuk iaitu 25 projek jalan dan tiga projek bangunan.

"Sebenarnya, jika mereka (kerajaan pusat) meletakkan peruntukan RM10 bagi setiap projek, kita boleh membuat permohonan tambahan peruntukan tetapi jika tidak diletakkan langsung jumlah wangnya, bagaimana kerajaan negeri mahu melaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajol Rosli turut meminta kerajaan persekutuan membatalkan cadangan projek pembinaan landasan kereta api berkembar Padang Rengas-Changkat Jering bernilai RM795 juta seperti yang diumumkan dalam RMK9 dan digantikan dengan projek alternatif lain dengan peruntukan sama.

Katanya projek itu boleh dianggap sebagai pembaziran kerana pembinaan landasan kereta api berkembar tidak pula dilakukan bagi laluan Ipoh-Padang Rengas dan Changkat Jering-Butterworth


PAS GESA KERAJAAN JANGAN ABAIKAN PENDIDIKAN CINA


KUALA LUMPUR 13 SEPT : Pemuda PAS mengingatkan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran supaya memandang serius isu-isu yang berkaitan dengan soal kepentingan pendidikan kaum Cina di negara ini.

Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, antara isu tersebut ialah deklarasi pendidikan bahasa ibunda Dong Jiau Zong 1999, masalah pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), masalah kekurangan guru terlatih di SJKC.

Selain itu, katanya, ia juga membabitkan masalah pengisian jawatankuasa penolong kanan kokurikulum di SJKC, kursus pengurusan dan kepimpinan SJKC, isu penutupan SJKC Damansara yang telah berlarutan lebih enam tahun dan masalah pengajaran Sains dan Matematik di SJKC.

“Isu-isu di atas menjadi agenda pendidikan yang sangat penting bagi kaum Cina yang telah diabaikan okeh kerajaan. Seminar, forum, dialog dan pelbagai resolusi telah dibuat dan disalurkan kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS pusat berkata, PAS sendiri telah melawat SJKC Damansara yang terpaksa menumpang di sebuah tokong sampai hari ini apabila sekolah tersebut ditutup.

Katanya, memorandum mengenainya telah diserahkan kepada Menteri Pelajaran tetapi tiada sebarang reaksi sehingga hari ini.

“Pemuda PAS ingin mempertegaskan bahawa layanan terhadap semua kaum untuk mendapat kualiti pendidikan tidak boleh dipolitikkan hingga tercetus tidak puas hati mana-mana kaum.

“Amalan diskriminasi, jika wujud, adalah sangat memalukan, sepertimana ketidakadilan yang dilakukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR),” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS menggesa Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya bertindak pantas terhadap kepincangan tersebut.

“Jika beliau tidak berkeupayaan, letak sahaja jawatan, bagi membolehkan Menteri Pelajaran baru yang benar-benar memahami serta menjiwai dunia pendidikan, dapat dilantik,” katanya.

Mazlan turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat yang secara terbuka mendakwa pegawai kerajaan melesapkan wang peruntukan khas untuk SJKC Kung Yu dan SJKC Ai Hwa di Johor.

Katanya, Pemuda PAS memandang berat dakwaan tersebut kerana ia dibuat oleh seorang timbalan menteri yang juga Naib Presiden MCA.

“Badan Pencegah Rasuah (BPR) mesti menyegerakan siasatan terhadap dakwaan tersebut kerana ia adalah soal integriti dan maruah kerajaan terbabit,” tegasnya.

Dari : Malaysiakini


TIADA PERUBAHAN DALAM PILIHANRAYA KAMPUS MALAH IANYA SEMAKIN KETAT


KUALA LUMPUR 13 SEPT : Pilihanraya kampus kali ini semakin tidak demokratik dengan adanya peraturan dan syarat bertanding dan berkempen yang semakin ketat, dakwa seorang pemimpin pelajar Universiti Malaya.

Beliau yang akan bertanding dalam pilihanraya berkenaan berkata, tempoh berkempen yang hanya selama dua hari sahaja adalah tidak munasabah.

Pilihanraya di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini diadakan serentak pada 21 September ini. Hari penamaan calonnya ialah pada 18 September.

Ini adalah tahun kedua pilihanraya IPTA diadakan secara serentak di seluruh negara. Pada tahun lalu kumpulan pelajara yang pro-pembangkang memboikot pilihanraya berkenaan kerana tidak puas hati dengan layanan yang diberikan oleh pihak universiti.

Ini menyebabkan semua 18 kampus awam di seluruh negara dimenangi oleh kumpulan pelajar pro-aspirasi atau pro-kerajaan.

Menurut pelajar UM itu lagi, bukan sahaja tempoh berkempen sangat singkat malah syarat-syarat untuk berkempen juga amat ketat hingga menyukarkan calon-calon yang bertanding.

Syarat ketat kempen

Pelajar UM dari kumpulan pro-pembangkang itu berkata, tempat dan tempoh berkempen yang sangat terhad yang ditetapkan oleh pihak Hal Ehwal pelajar (HEP) ini bertujuan mengekang calon-calon dari berkempen dengan bebas.

Menurutnya, antara syarat ketat yang dikenakan oleh bahagian HEP ialah para calon mesti mendapatkan kelulusan daripada Timbalan Naib Canselor (TNC), jawatankuasa pilihanraya kampus, bahagian keselamatan universiti dan pihak yang berkuasa terhadap premis berkenaan.

“Kelulusan itu pula mesti diperolehi enam jam sebelum kempen dimulakan. Ini adalah tidak munasabah kerana ia menyukarkan calon-caloon yang bertanding.”

“Bayangkan dalam tempoh dua hari ini sebahagian besarnya perlu dihabiskan untuk proses mendapatkan kelulusan berkempen. Sepatutnya sepanjang tempoh dua hari yang dibenarkan itu kami diberikan kebebasan bergerak” ujarnya.

Menurut bakal calon itu lagi, para pelajar juga dilarang menggedarkan risalah atau bahan kempen lain, selain gambar dan manifesto sendiri.

Di samping itu, mereka juga dikehendaki membiayai sendiri kos pilihanraya masing-masing yang dianggarkan mencapai RM800 bagi setiap calon.

Wang cagaran tinggi

“Kami perlu membayar wang cagaran antara RM5 hingga RM50, membeli borang pencalonan berharga RM30 dan membayar RM300 untuk membuat sebarang bantahan.

“Selain itu kos fotostat poster dan manifesto juga perlu ditanggung sendiri. Sebelum tahun 2004 semua kos membuat poster dan manifesto ditanggung oleh pihak HEP,” tambahnya.

Menurutnya, kos pilihanraya antara IPTA mungkin berbeza kerana ia ditetapkan oleh pihak HEP masing-masing.

“Bagaimana kami para pelajar mahu menampung semua kos-kos itu? Bayangkan kalau kami mencetak 20,000 poster pada harga antara 4 sen, berapa yang perlu dikeluarkan.

“Ini hanya politik pelajar, kami bertanding atas tiket individu, bukannya secara berkumpulan. Sepatutnya pentadbir universiti membiayai sebahagian daripada kos tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kumpulan calon-calon yang tidak berpuas hati dengan penghakisan demokarasi di kampus akan menghantar memorandan kepada Suhakam hari ini.

Dari Malaysiakini


8 ORANG MAT DAN MINAH REMPIT YANG IKUTI PROGRAM PUTERA UMNO DITANGKAP BERKHALWAT DALAM KEADAAN MABUK


LUMUT 13 SEPT : Usaha murni Putera Umno kononnya untuk mendisiplinkan kira-kira 8,000 Mat dan Minah Rempit di Teluk Batik di sini, Sabtu dan Ahad lalu bukan sahaja gagal malah ianya terbukti 'menjahanamkan' Mat dan Minah Rempit yang mengikuti program tersebut. Beberapa insiden yang memalukan termasuk kegiatan maksiat, minum arak, bergaduh serta mencemarkan masjid.

Antara insiden memalukan yang membabitkan peserta Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Teluk Batik 2006 anjuran Putera Umno itu ialah kejadian mereka mandi serta berendam dalam kolah mengambil wuduk di Masjid Teluk Muroh, dekat sini, ketika program membersihkan masjid dilaksanakan.

Beberapa penduduk setempat dikatakan menegur perbuatan tidak senonoh itu tetapi tidak diendahkan sehingga mereka terpaksa membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Manjung (PAIDM) di sini.

Pegawai Bahagian Penguat kuasa PAIDM, Mohd Zainudin Mohamed Zaini, mengesahkan menerima laporan jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan.

Selain aduan itu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai perbuatan sebahagian daripada 8,000 Mat dan Minah Rempit terbabit yang berkumpul selama dua hari di Teluk Batik pada 9 dan 10 September lalu.

“Antara aduan diterima daripada orang ramai ialah ada antara mereka bebas minum arak, berkhalwat dan menyalahgunakan kemudahan masjid,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Zainuddin berkata, penduduk juga mengadu mengenai pakaian menjolok mata beberapa peserta perempuan yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai terutama ketika menjalankan aktiviti membersihkan kawasan masjid atau kubur.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya menjalankan operasi bersepadu dengan Pejabat Agama Daerah Seri Iskandar dan Kampung Gajah termasuk memantau hotel di sekitar bandar Lumut.

Katanya, hasil pemantauan itu, lapan remaja lelaki dan perempuan berusia 15 hingga 19 tahun yang menyertai ekspedisi berkenaan ditahan di sebuah hotel.

Menurutnya, kumpulan remaja terbabit memilih untuk menyewa bilik hotel dengan alasan kurang selesa berkhemah di pesisiran pantai bersama peserta lain.

“Dalam serbuan jam 4 pagi itu, semua lapan remaja berkenaan sedang tidur dalam keadaan mabuk dalam dua bilik hotel di Lumut.

“Kami dapati sebuah bilik dikongsi tiga lelaki bersama seorang remaja perempuan.

“Bilik kedua pula dikongsi dua remaja lelaki berusia 18 tahun dan dua remaja perempuan masing-masing 18 dan 15 tahun yang ditemui dalam keadaan mabuk.

“Turut ditemui ialah botol arak. Remaja dari Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah dan mereka menunjukkan surat penyertaan ekspedisi,” katanya.

Beliau berkata, semua remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Syariah Manjung atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 54(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 pada 7 November depan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Pengerusi Penganjur ekspedisi berkenaan ketika diminta mengulas kejadian itu, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai salah laku itu.

Katanya, peserta terbabit dijaga secara ketat dengan bantuan lebih 100 anggota Rela dan polis yang bertugas secara bergilir-gilir.

“Malah, untuk keluar masuk dari kawasan perkhemahan di Teluk Batik juga diberi kawalan ketat apabila kita mengadakan tiga sekatan jalan atau pusat pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis trafik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Azeez berkata, daripada sejumlah 8,000 peserta, seramai 7,700 peserta lelaki diletakkan di kawasan perkhemahan di kawasan pantai, manakala 300 peserta wanita pula diletakkan di motel di situ.

Katanya, langkah mengasingkan peserta lelaki dan perempuan terbabit perlu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya menafikan sebarang kemungkinan ada peserta ekspedisi berkenaan terlepas sehingga ditangkap atas kesalahan melakukan khalwat di sebuah hotel di Lumut sepanjang tempoh program berkenaan.

“Malah, saya juga tidak tahu mengenai dakwaan pengurusan Masjid Teluk Muroh bahawa segelintir peserta berendam di dalam kolah wuduk masjid.

“Kejadian itu tidak mungkin berlaku kerana ada lebih 100 orang di masjid berkenaan ketika program dijalankan,” katanya.

Abdul Azeez bagaimanapun berkata, walaupun ada pergaduhan antara Mat Rempit tempatan dengan peserta ekspedisi, ia dapat diselesaikan secara baik.

Memang jelas dan nyata bahawa program anjuran Umno memang tidak mementingkan pengisian agama dan peningkatan akhlaq. Hajat mereka kononnya untuk memperbetulkan perangai Mat dan Minah Rempit ini sebenarnya hanyalah omongan kosong kerana jelas terbukti perkara yang lebih buruk berlaku iaitu khalwat, minum arak dan sebagainya.


GAJI POLIS RENDAH. PAS SUDAH LAMA CADANGKAN GAJI MEREKA DINAIKKAN


Melaka 13 Sept : PAS sudah lama menyuarakan pandangan kepada kerajaan supaya gaji polis dinaikkan. Perkara pernah diusulkan oleh Ahli Parlimen PAS Hj Mohamad Sabu ketika beliau menjadi Ahli Parlimen dahulu. Namun usul dan candangan Hj Mohamad Sabu itu tidak diterima oleh kerajaan.

Sehubungan dengan itu adalah diharapkan kerajaan mengkaji semula cadangan yang dikemukakan tersebut sebagai satu cara untuk membantu anggota polis agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik selain ianya juga boleh membantu mengurangkan gejala rasuah yang sering di dakwa dilakukan oleh anggota polis.

Media melaporkan bahawa Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Musa Hassan berkata anggota polis berpangkat konstabel hidup di bawah garis kemiskinan kerana gaji mereka sangat rendah.

Katanya, dengan gaji permulaan RM650 bagi konstabel, polis merupakan pekerja bergaji paling rendah di Malaysia.

Musa berkata, kalau seseorang membandingkan jenis dan beban kerja anggota polis berpangkat rendah dengan gaji yang diterima, tidak menghairankan tidak ramai orang yang mahu menyertai perkhidmatan polis.

"Kadang-kadang, saya fikir pekerja asing mendapat bayaran lebih," katanya sewaktu dialog antara polis dan Majlis Keselamatan serta penduduk Petaling Jaya Utara di Petelaing Jaya semalam.


Terdahulu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow, yang turut hadir pada dialog itu, mendedahkan bahawa gaji seorang konstabel hanya sehingga RM1,100, jauh berbanding garis kemiskinan RM1,500 di Kuala Lumpur.

Musa berkata antara keutamaan beliau sebagai KPN yang baru adalah untuk memastikan gaji anggota polis daripada pangkat konstabel ke ACP dinaikkan.

Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara pengambilan anggota polis sekarang iaitu dengan cara temuduga terbuka.

"Saya lebih suka jika mereka yang diambil untuk menyertai polis diperiksa dengan teliti kerana mereka adalah orang yang akan diamanahkan dengan begitu banyak kuasa," katanya.

Musa berkata beliau telah "diperiksa selama tiga bulan" apabila beliau menyertai polis dan beliau berharap beliau dapat melakukan perkara yang sama kepada calon-calon baru polis.

Apabila penduduk membawa kes kekurangan pegawai penyiasat (IO) untuk mencatatkan kenyataan dan aduan, beliau berkata masalah itu kerana bilangan IO yang terhad di polis daerah.

"Kami kini hanya mempunyai enam IO bekerja setiap hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Jika banyak kes pada hari itu, mereka semua akan keluar dan pengadu terpaksa menunggu sehingga mereka pulang.

"Saya mahu menempatkan sekurang-kurangnya tujuh IO bertugas setiap hari, dengan enam dalam keadaan bersedia dan 20 sarjan untuk membantu IO ini tetapi dengan hanya 7,000 anggota CID (Jabatan Siasatan Jenayah) di seluruh negara, saya tidak mampu untuk melakukannya," katanya.

Katanya nisbah terkini antara polis dan orang ramai di Petaling Jaya adalah 1:149.

Musa berkata beliau akan mengerahkan anggota-anggota dari Unit Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am untuk membantu unit rondaan polis sewaktu rondaan di kawasan berpenduduk ramai dan kawasan banyak berlaku jenayah.

Polis trafik, anggota polis tidak berunifom dan detektif juga akan ditempatkan di jalan-jalan untuk memantau kawasan berisiko tinggi, katanya.

Dialog tiga jam itu yang berakhir pukul 11 malam, juga dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hadi Ho Abdullah, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Hazam Abdul Halim dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Datin Paduka Chew Mei Fun.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59