Tuesday, 12 September 2006

DI SAAT RAKYAT MENDERITA, MB ISLAM HADHARI UBAHSUAI RUMAH SAMPAI RM4.5 JUTA


SEREMBAN 12 SEPT : Ketika ramai rakyat di negara ini menderita umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, MB negeri Islam Hadhari iaitu Negeri Sembilan di dakwa sesuka hati mengubahsuai rumahnya bernilai RM4.5 juta.

Hal ini didakwa oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sembilan, Loke Siew Fook hari ini yang membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan bernilai RM4.5 juta itu.

Loke (DAP-Lobak) berkata laporan itu dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan wang dana khas yang diperuntukkan sebanyak RM41.4 juta pada 2004 dan 2005 kepada Negeri Sembilan untuk tujuan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan telah digunakan untuk membiayai kos pengubahsuaian itu.

Pengarah BPR Negeri Sembilan Mohd Yusoff Md Zain ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan Loke.

Dalam reaksi serta mertanya, Mohamad berkata terdapat pelbagai dana khas yang diperolehi dan dana khas bagi pengubahsuaian kediaman rasmi menteri besar tidak menyentuh dana khas yang diperolehi sebanyak RM41.4 juta berkenaan.

"Ada tajuk tertentu seperti ibu tunggal, pelajar, orang miskin. Yang ini kita `strict' dan tidak boleh disentuh. Pembiayaan itu adalah dana khas untuk pengubahsuaian yang dalam waran terperinci bukan dana khas yang dimaksudkan," katanya.

"Saya memohon peruntukan itu menerusi Kementerian Kewangan dan ia diluluskan sebanyak RM4.5 juta," kata Mohamad ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Gotong Royong Perdana di sini.

Loke yang ditemui pemberita di hadapan pejabat BPR negeri berkata pihaknya membuat laporan itu berdasarkan laporan audit terbabit yang mengulas `perbelanjaan ini adalah tidak menepati tujuan dana khas diberikan'

Inilah pemimpin Islam Hadhari yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Apakah rumahnya itu sudah hendak runtuh atau bocor sana bocor sini?


BILAKAH AGAKNYA PAS MELAKA MILIKI KOMPLEKS/PEJABAT SETARAF KELANTAN?


Bila membaca Harakahdaily sebentar tadi terdetik didalam hati ini bilakah agaknya PAS Melaka atau PAS Kawasan di dalam Negeri Melaka akan mempunyai kompleks atau pejabat setaraf dengan PAS Kelantan atau PAS Kawasan-Kawasan di Kelantan.

PAS Kelantan mempunyai PUTIK, Pejabat PAS di tengah Bandar Kota Bharu dan hampir semua PAS Kawasan di sama mempunyai pejabat atau kompleks yang bernilai jutaan ringgit.

Tetapi kita di Melaka Pejabat Perhubungan kita dhaif bagaikan Pejabat PAS Cawangan di Kelantan. Malah banyak Cawangan PAS di Kelantan mempunyai pejabat atau markaz yang jauh lebih besar dan canggih dari Pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok.

Usaha mesti dilakukan oleh pimpinan PAS Melaka untuk menaikkan imej PAS di mata rakyat agar ianya menjadikan rakyat lebih yakin kepada PAS. Kalau PAS Kawasan atau PAS Cawangan di Kelantan mampu menyiapkan kompleks atau pejabat bernilai jutaan ringgit mengapa tidak kita di Melaka juga berkemampuan untuk mengikut jejak langkah mereka.

Harakahdaily menyiarkan berita hari ini bahawa PAS Pengkalan Chepa sedang dalam rangka menyiapkan bangunan setinggi empat tingkat untuk kegunaan mereka.

Bangunan itu akan menempatkan pejabat pentadbiran PAS kawasan, bilik mesyuarat, hostel dan enam unit kedai. Bangunan baru yang dijangka melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta kini sudah 40 peratus siap.

Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga sekarang sebanyak RM400,000 telah dibelanjakan bagi membina bangunan berkenaan.

"Biar pun kita sudah banyak berbelanja namun masih kekurangan dana untuk menyiapkan sepenuhnya bangunan ini. Oleh itu sumbangan derma daripada orang ramai amat dialu-alukan," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan mengumpul dana di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Haji Yusof Ludin, anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman dan Adun Kijang, Dato' Husam Musa.

Oleh itu mereka yang ingin menderma bagi menyiapkan bangunan terbabit boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB), no akaun 3018010090388.


KERAJAAN PINCANG KERANA RASUAH


Mat rempit, pendatang asing, penagih dadah dan penganggur adalah golongan yang sering dipersalahkan apabila berlaku kes-kes jenayah seperti samun dan ragut tetapi ramai yang tidak sedar sebenarnya keadaan tersebut juga terhasil kesan daripada kegiatan rasuah di sektor awam dan swasta.

Menurut seorang pakar pengurusan awam dan etika Dr Denis Osborne, kesan rasuah lebih menyeluruh termasuk menyebabkan wujudnya jenayah yang akan mengancam nyawa masyarakat dan juga menggugat kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Tambahnya lagi, apabila kepercayaan masyarakat hilang, kerajaan akan menghadapi masalah dalam mengembalikan kepercayaan itu kerana integriti penjawat awamnya sentiasa dicurigai.

Beliau turut menjelaskan perlakuan rasuah mampu sampai ke peringkat membunuh, contohnya apabila polis dan hakim sendiri menerima rasuah daripada penjenayah.

Bercakap pada ceramah umum di Insititut Integriti Malaysia semalam Osborne berkata golongan yang paling teruk terjejas oleh amalan rasuah ini adalah golongan minoriti, miskin dan terpinggir, "lebih-lebih lagi apabila bantuan yang sepatutnya disalurkan oleh kepada mereka dikebas oleh segelintir pihak berkepentingan."

Bagi mengatasi masalah itu, beliau turut menyarankan supaya budaya dan amalan kerja penjawat awam di Malaysia diubah supaya golongan tersebut lebih bertanggungjawab dan mengelak daripada menerima rasuah.

Bagi tujuan itu Osborne berpendapat rakyat dan kerajaan negara ini perlu dididik untuk meletakkan nilai kehidupan lebih tinggi berbanding harta kekayaan.

Seorang perunding pembangunan dasar Dr K. J. John pula berpendapat pembangunan di Malaysia juga masih terlalu didefinisikan secara materialistik manakala budaya dan amalan penjawat awam pada masa kini mendorong kepada perlakuan rasuah.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun itu juga berpendapat keadaan itu timbul kesan daripada sistem pengurusan awam di Malaysia yang memerlukan keseimbangan kuasa di antara badan pentadbiran, perundangan dan kehakiman.

Hal ini, tambahnya, mendorong kepada perlakuan rasuah "kerana kita hanya akan mengambil kira soal pengekalan kuasa, sedangkan perkara tersebut ditentukan setiap lima tahun sekali," katanya dalam satu sesi soal jawab bersama Dr Denis Osborne di majlis yang sama.

"Sepatutnya kita mengambil pendekatan yang lebih luas untuk merangkumi ketiga-tiga elemen tersebut dan dengan mengambil kira masyarakat terpinggir yang tidak dijadikan sebahagian daripada dasar-dasar tersebut," katanya

Beliau turut menganjurkan supaya pengurusan awam di Malaysia diubah kepada bentuk yang lebih spiritual dan penjawat awam disarankan membiasakan diri dengan amalan bertanggungjawab.

Amalan menandatangani perutusan rasmi dengan frasa "Saya yang menurut perintah", katanya, patut dihapuskan kerana ia mendorong seseorang penjawat awam melepaskan tanggungjawab kerana beranggapan segala masalah yang timbul daripada tindakannya sebenarnya ditanggung oleh pegawai atasan.

"Ayat tersebut sebenarnya bermaksud 'saya tidak bertanggungjawab.'

"Sepatutnya kita tandatangan dengan 'saya yang bertanggungjawab' atau lebih baik lagi, 'saya yang bertanggung hisab,' kerana dihisab lebih baik daripada menjawab sahaja," katanya yang berkata cadangan itu telah dikemukakannya sejak tahun lepas tetapi masih gagal dipraktikkan.

SALHAN K. AHMAD
salhan@mstar.com.my


TAK PAYAH SIASAT LAH PAK LAH KEPUTUSANNYA KITA DAH TAHU


Umno bahagian Kubang Pasu mungkin diminta mengemukakan laporan kepada pucuk pimpinan ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa berlaku rasuah dalam pemilihan Sabtu lalu untuk memilih perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Sambil menyifatkan dakwaan Dr Mahathir itu sebagai "amat berat", Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun berkata, Umno mempunyai mekanisme untuk mengambil tindakan berhubung perkara seperti tersebut.

Dalam pertandingan tersebut Sabtu lalu, Dr Mahathir gagal terpilih apabila hanya mendapat 227 undi ditangga kesembilan. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung umno, iaitu enam dari kalangan pemimpin bahagian dan tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat perwakilan.

Bercakap kepada pemberita di Putraya semalam, Dr Mahathir mendakwa politik wang menjadi punca utama kekalahannya. Beliau mendakwa, perwakilan telah dirasuah dengan wang RM200 yang diberikan dalam sampul surat yang turut mengandungi senarai nama perwakilan yang perlu dipilih.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Abdullah berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohamed Johari Baharom kerana mereka lebih tahu mengenainya.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Asia-Eropah di Helsinki semalam, Abdullah menarik perhatian bahawa beliau sebelum ini ada berpesan kepada Mahdzir dan Johari supaya tidak membawa orang luar bagi mencampuri urusan Umno Kubang Pasu.

"Apa yang saya kata, yang saya ingat dalam ingatan saya, jangan bawa orang luar masuk untuk ganggu anggota Umno atau Bahagian Umno Kubang Pasu.

"Itu yang saya kata pada mereka. Saya beritahu Mahdzir dan Johari jangan bawa orang lain masuk, bahagian lain tak usahlah. Ini cerita Kubang Pasu, biarlah Kubang Pasu buat keputusan," katanya.

Tak payah siasat lah Pak Lah sebab semua orang dah tahu keputusannya. Mesti keputusannya macam ini " TIADA APA-APA UNSUR RASUAH DAN UGUTAN DIDAPATI BERLAKU DALAM PEMILIHAN PERWAKILAN UMNO KUBANG PASU". Sebab yang nak menyiasatnya iaitu MB Kedah dan Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu pun dikatakan terlibat sama. Apa yang nak disiasat lagi.


PENEROKA FELDA SEKALI LAGI 'DIJUAL' DENGAN HARGA RM350


Duit raya RM350 untuk peneroka Felda

BENTONG 12 Sept : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Felda akan membayar sumbangan Aidilfitri sebanyak RM350 kepada setiap peneroka.

Beliau berkata pembayaran itu akan dibuat pada bulan puasa nanti kepada 112,775 peneroka di seluruh negara membabitkan jumlah keseluruhan RM39.5 juta.

"Pembayaran itu meliputi 104,946 peneroka dari 278 rancangan yang diurus tadbir oleh Felda, 447 orang peserta Felda Chuping dan 7,382 peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Felda Jaya Timur Mempaga, dekat sini, hari ini.

Katanya bayaran insentif itu adalah bagi menghargai penglibatan peneroka dalam pengeluaran komoditi sawit dan getah negara serta sebagai galakan untuk peneroka berusaha lebih gigih lagi di samping membantu perbelanjaan peneroka untuk menyambut Aidilfitri dan persekolahan anak mereka di tahun baru.

Apakah dengan wang RM350 ini peneroka akan sekali lagi 'dijual' sebagaimana peneroka dijual dengan pelbagai bentuk bayaran menjelang setiap kali pilihanraya umum atau kecil.

Apakah peneroka boleh memejamkan mata dengan segala bentuk penyelewengan dan kekejaman kerajaan terhadap mereka dan rakyat Malaysia keseluruhannya apabila kerajaan menaikkan harga minyak, tarif elektrik serta kenaikan harga barang. Tidak cukup dengan itu kerajaan juga hampir menghapuskan biasiswa terhadap pelajar di mana hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang mendapat nikmat tersebut.

Apakah dengan wang RM350 itu boleh menampung keperluan peneroka untuk menyambut bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri di saat barang keperluan melambung naik?

Apakah peneroka boleh memejamkan mata dengan kegagalan kerajaan mengawal dan membenteras gejala dadah yang sangat serius di rancangan Felda?

Apakah peneroka dapat memejamkan mata dengan kegagalan kerajaan menyediakan pekerjaan kepada anak-anak mereka yang mempunyai lulus dari IPTA atau IPTS.

Apakah peneroka dapat memejamkan mata dengan kegagalan kerajaan mengukuhkan kedudukan ekonomi orang melayu termasuk peneroka Felda?

Apakah peneroka dapat memejamkan mata seribu satu macam kegagalan Kerajaan Islam Hadhari dalam mentadbir negara?


HISHAMUDDIN MULA TUNJUKKAN 'KEJANTANAN'NYA SETELAH NASI HAMPIR MENJADI BUBUR


PULAU PINANG 12 SEPT : Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein dilaporkan membidas KM Pulau Pinang Koh Tsu Kon kerana meletakkan syarat untuk bertemu sambil menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya segera menyelesaikan yang dibangkitkan oleh pergerakan itu secara lebih efisyen.

Sebelum ini, Koh dilaporkan media meletakkan syarat sebelum ingin bertemu dengan Pemuda Umno untuk membincangkan isu yang dianggap panas itu.

Hebat juga nampaknya Ketua Pemuda Umno, yang mula menunjukkan taringnya yang tersimpan lama. Kalau sebelum ini hanya Naib Ketuanya sahaja yang lantang bersuara, tetapi kini selepas Si Khairy itu diberi 'amaran' oleh MCA dan Gerakan dia pun dah 'sunyi sepi' menyorok entah di mana.

Kini tiba pula giliran Hishamuddin untuk menjadi juara. Tetapi Hishamuddin lupa bahawa Koh berani melakukan apa sahaja sebelum ini kerana 'kelembikan' dan kealpaan Pemuda Umno yang lansung tidak peduli tentang apa yang terjadi Pulau Pinang. Tetapi setelah nasi hampir menjadi bubur kini barulah Hishamuddin 'terhegeh-hegeh' nak bersuara menuntut itu dan ini.

Sudahlah Hishamuddin dan Pemuda kamu dah kenyang yang susah rakyat dan orang melayu.!!!!


KELANTAN JAGUH HAFAL AL QURAN, TERENGGANU JAGUH AKADEMI FANTASIA - US HARUN TAIB


HULU TERENGGANU, 12 Sept - “Kelantan yang jadi jaguh dan juara ialah yang hafal Quran tetapi Terengganu yang jadi jaguh adalah menyanyi dalam Akademi Fantasia (AF),” begitulah kata-kata Us Harun Taib ketika berucap pada majlis ceramah di perkarangan Markas Tarbiyyah Kubang Lembek, Manir, baru-baru ini.

Beliau membandingkan perbezaan pentadbiran antara Kelantan dan Terengganu. Kalau sejak dahulu lagi Kelantan berjaya melahirkan para hafiz dan hafizah Terengganu pula sejak akhir-akhir ini berjaya melahirkan para penyanyi seperi Saleem, Aming dan lain-lain. Terbaru Terengganu berjaya melahirkan Faizal juara Akademi Fantasia 4 dari Marang.

Malah rakyat negeri Terengganu juga digalakkan memberikan sokongan terbuka kepada Faizal semasa berlangsungnya pertandingan Akademi Fantasia tersebut.

Inilah bezanya pentadbiran kerajaan Islam PAS di Kelantan dan Kerajaan Islam Hadhari Terengganu Bestari.

Sumber : Harakahdaily.


KINI BARU KAU SEDAR - BAHAGIAN 5


PUTRAJAYA 12 SEPT : Takkan Tun baru sedar yang Umno telah lama menggunakan rasuah untuk memancing undi terutama dalam pilihanraya umum dan juga semasa pemilihan Umno. Perkara ini telah lama berlaku malah ianya juga di amalkan di zaman Tun sendiri. Sekarang bila terkena atas kepala Tun baru Tun hendak 'komplen'.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad yang gagal menjadi salah seorang perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno mendakwa politik wang adalah salah satu punca dia tidak dipilih.

Para perwakilan, dakwanya, telah diberikan RM200 di dalam satu sampul surat yang juga berisi senarai calon-calon tertentu. (Inilah nilai orang melayu yang boleh dibeli dengan RM200)

"Saya mengaku saya tidak boleh beri bukti yang cukup tetapi salah seorang perwakilan yang mengundi menyerahkan sekeping kertas mengandungi nombor-nombor tujuh calon daripada 15 orang yang bertanding untuk menjadi perwakilan bahagian ke perhimpunan itu November ini, sewaktu bersalaman dengan saya.

Bekas presiden Umno itu berkata dia menyimpan kertas itu dan apabila keputusannya diumumkan, enam daripada tujuh nombor-nombor tersebut dipilih manakala anaknya, Mukhriz, turut dipilih walaupun nombornya tidak tersenarai di dalam kertas tersebut.

"Inilah nilai maruah orang Melayu - RM200. Saya sedih kerana saya tahu kewujudan politik wang dalam parti. Walau bagaimanapun, saya tak percaya bahawa kepimpinan parti menggunakan wang untuk memastikan kekalahan saya," katanya kepada sekumpulan penyokong-penyokong yang datang ke Yayasan Kepimpinan Perdana setelah kekalahannya hujung minggu lalu.

Satu lagi sebab kekalahannya, katanya, adalah penggunaan jentera kerajaan negeri dan persekutuan, sambil menambah bahawa ahli-ahli Umno Kubang Pasu tidak mahu membuat aduan kerana "akan disoal pelbagai perkara."

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau akan terus mendedahkan kesalahan-kesalahan pengurusan kerajaan sekarang.

"Saya tidak perduli jika mereka tidak menyukai saya - orang-orang yang menguruskan kerajaan. Saya ambil berat tentang orang-orang biasa. Saya rasa mereka belum menolak saya.

"Mereka masih mesra, masih cium tangan saya. Daripada senyuman di wajah mereka, saya boleh agak mereka tidak bencikan saya tetapi saya dengar ramai yang tidak suka kerajaan sekarang."

Katanya kerajaan sekarang boleh cuba untuk menutup mulutnya, sambil berkata: "Mulut saya besar dan saya akan gunakan mulut besar ini untuk dedahkan kesalahan-kesalahan kerajaan.

"Mereka boleh cuba untuk menghentikan saya daripada bercakap, satu caranya ialah dengan menghumban saya ke dalam penjara.

"Mereka akan cuba untuk mengekalkan kuasa dan suatu hari nanti kebenaran akan terserlah."

Pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata dia masih belum memutuskan samada akan hadir sebagai jemputan ke perhimpunan tersebut.

Berkaitan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa dia boleh mencurahkan baktinya kepada negara dengan cara lain, Dr Mahathir berkata salah satu khidmat yang ingin ditawarkannnya adalah kebebasan berucap kepada ahli Umno.

Ditanya samada pendedahan kesalahan-kesalahan kerajaan yang ingin dilakukannya itu bertujuan melihat perubahan pada kerajaan atau pun supaya Abdullah meletakkan jawatan, jawabnya: "Samada dia berubah atau letak jawatan. Kalau dia berubah pun okay."

Kalau Tun benar-benar dah sedar tentang penyelewengan dalam Umno sekarang Tun sewajibnya keluar dari Umno dan berjuang bersama-sama pembangkang menumbangkan kerajaan Umno/BN yang sememangnya terkenal dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan bermacam-macam lagi.

Tun tak payah masuk PAS atau PKR, Tun boleh berceramah atas kapasiti Tun sendiri serta boleh buat roadshow seluruh negara dedahkan kepincangan Umno/BN dan yang penting sekali Tun mesti minta maaf kepada semua rakyat yang pernah Tun zalimi terutama keluarga para syuhada memali, mangsa ISA di zaman Tun dan seluruh rakyat yang pernah Tun tipu, rasuah, ugut dan sebagainya.

Baki usia yang Tun ada ini mesti digunakan untuk 'membasuh' segala kejahatan Tun dahulu.

Gambar : Tun menunjukkan kertas yang digunakan untuk 'menjahanamkan' beliau dalam pemilihan Bahagian Umno Kubang Pasu Sabtu lalu.

KINI BARU KAU SEDAR


ORANG DAH TAK PAKAI KERIS LAGI WAHAI ALI RUSTAM


MELAKA 12 Sept. – Di saat bangsa maju menggunakan roket, peluru berpandu dan pelbagai senjata canggih, KM Melaka masih setia dengan keris 'telanjangnya'. Iran sebagai contohnya telah berjaya mencipta senjata dan jet pejuang canggih.

Tetapi malangnya KM Melaka, Ali Rustam masih bangga dengan lambang keris terhunus pada bendera UMNO.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, lambang tersebut tidak perlu diubah kerana yang penting semangat perpaduan yang wujud dalam UMNO sekarang perlu dikekalkan.

Tetapi sedarkah beliau bahawa Umno tidak pernah bersatu sejak sekian lama. Ada sahaja perbalahan dan perpecahan yang berlaku sejak dahulu, kini dan selamanya.

Kita masih ingat bagaimana kes Ku Li, Anwar dan kini kisah Tun Mahathir pula.

Ketua Menteri Melaka itu menegaskan, adalah lebih elok jika ahli-ahli UMNO menjauhkan diri daripada masalah yang boleh menimbulkan suasana yang kurang elok dalam parti.

Sebab itulah pemimpin Umno terpaksa menggunakan kuasa, rasuah, ugutan dan sebagainya untuk mengekalkan kuasa dan perpaduan ahlinya.


TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG TIADA KUASA


BUTTERWORTH 12 Sept. – Nampaknya sekarang baru Umno sedar bahawa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa khusus dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi membolehkan beliau memutuskan sebarang ketetapan bagi memperkukuhkan kedudukan orang Melayu di negeri ini.

Takkan baru sekarang sedar, sedangkan perkara ini telah lama berlaku. Mungkin kerana masing-masing 'buncit perut' kerana kenyang mendapat projek baru sekarang pemimpin dan ahli Umno sedar sedangkan melayu telah lama 'dijual' di Pulau Pinang.

Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdullah semalam. Katanya sejak menyandang jawatan itu pada 2004, beliau hanya diberi tanggungjawab memegang tugas-tugas pentadbiran termasuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Hal Ehwal Pembangunan Tanah serta Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

Dalam hubungan ini, katanya, walaupun memegang jawatan nombor dua dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri, beliau hanya menjalankan tugas atas bidang kuasa yang terhad dalam hal-hal berkaitan portfolio berkenaan sahaja.

‘‘Kalau ditanya apa tanggungjawab saya (sebagai Timbalan Ketua Menteri), saya juga seperti barisan Exco lain yang menjalankan tugas-tugas pentadbiran dalam kerajaan negeri.

‘‘Saya tidak mempunyai bidang kuasa khusus selain dari memegang portfolio berkenaan, itu sahaja, tapi kalau diberi tugas lain atas kapasiti sedia ada, saya sentiasa bersedia untuk memikulnya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini mengenai kesediaan Ketua Menteri itu untuk mengukuhkan bidang kuasa dan tanggungjawab Abdul Rashid sebagai timbalannya dalam usaha membangunkan orang Melayu di negeri itu.

Tsu Koon yang menerima kritikan keras pemimpin UMNO kebelakangan ini bagaimanapun menegaskan, tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum di negeri itu tidak akan berubah walaupun berlaku pengukuhan kuasa dan tanggungjawab Abdul Rashid sebagai timbalannya.

Kenyataan Tsu Koon itu menyusul ekoran penegasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Timbalan Presiden Gerakan itu berpegang kepada kenyataannya sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum di Pulau Pinang dan bukan hanya sekadar retorik semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sebagai sokongan kepada perjuangan orang Melayu di Pulau Pinang agar tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan, pemimpin Melayu harus mencari satu formula untuk memperkasakan kaum Melayu dengan menyusun semula sistem sedia ada.

Sehubungan itu, Najib menjelaskan, jawatan Timbalan Ketua Menteri yang disandang oleh Abdul Rashid perlu diperkasakan.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, sebagai antara pemimpin di Pulau Mutiara itu, beliau sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar terutama dalam usaha membangunkan masyarakat Melayu yang dikatakan semakin terpinggir di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau sentiasa bersedia untuk diberikan tanggung jawab lebih besar atas kapasiti beliau sebagai orang nombor dua dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi merencana dan memperkukuhkan proses pembangunan orang Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

‘‘Kalau ada ruang, saya akan terima apa sahaja bidang tugas yang diberikan sama ada dari kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat sesuai dengan peraturan-peraturan atau prosedur yang ditetapkan,’’ katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan antaranya dengan Tsu Koon atau ahli Exco kerajaan negeri mengenai perkembangan terbaru itu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59