Wednesday, 6 September 2006

KINI BARU KAU SEDAR - BAHAGIAN 3


ALOR SETAR 6 SEPT : Kini baru Tun sedar bahawa musuh politik yang di berasal dari spesies Umno yang dididik oleh Tun sendiri akan menggunakan segenap kekuatan termasuk yang berlawanan dengan demokrasi, undang-undang, etika dan wang ringgit bagi mengalahkan musuh mereka.

Kini tiba giliran Tun menerima tempias dari didikan dan asuhan Tun dulu. Kalau dulu pembangkang menerima pelbagai tekanan dan kekangan dari spesis ini sekarang tibalah masa menerimanya pula.

Media melaporkan hari ini bahawa kempen pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno di bahagian Kubang Pasu, Kedah semakin sengit dengan pihak tertentu menggunakan pelbagai taktik untuk memastikan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terpilih.

Dengan hari pemilihan tinggal tiga hari sahaja lagi, kedua-dua pihak yang pro dan anti-Dr Mahathir meningkatkan usaha masing-masing bagi meraih undi daripada 408 orang perwakilan.

Jentera kempen bekas Perdana Menteri itu diketuai oleh anaknya, Datuk Mukhriz. Anak keempat Dr Mahathir itu turut bertanding mempertahankan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa bahagian dan bertanding merebut salah satu daripada tujuh kerusi perwakilan.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung - enam terdiri daripada ketua, timbalan dan naib ketua bahagian, ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Manakala tujuh lagi dipilih sewaktu mesyuarat perwakilan bahagian.

Menurut sumber, Mukhriz yang jug ahli jawatankuasa bahagian berkenaan tiba di Kubang Pasu hari ini untuk berkempen bagi dirinya dan ayahnya.

Dr Mahathir pula dikatakan akan kembali ke Kubang Pasu pada pagi Sabtu ini - hari berlangsung mesyuarat bahagian dan pemilihan para perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno dikatakan mempunyai jadual ketat hari ini hingga Jumaat ini untuk mengunjungi ketua-ketua cawangan untuk meraih undi dan menyampaikan “salam" ayahnya kepada ahli Umno Kubang Pasu.

Mengikut senarai jumlah pencalonan yang bertanding sebagai perwakilan, Mukhriz berada di tempat kedua dengan mendapat lebih 50 pencalonan cawangan.

Setiausaha Umno bahagian berkenaan, Shamsuddin Ahmad menduduki senarai teratas dengan lebih 70 pencalonan. Seramai 17 orang akan bertanding merebut kerusi perwakilan tersebut. Dr Mahathir mendapat 16 pencalonan.

Kumpulan anti-Dr Mahathir dikatakan telah memulakan kempen mereka sejak dua minggu lalu. Kumpulan ini dikatakan menggunakan tokoh dari dalam dan luar Kubang Pasu untuk melobi ahli supaya jangan memilih bekas Perdana Menteri itu.

Mereka dikatakan “mengumpan” ahli jawatankuasa cawangan yang akan mengundi di pemilihan itu dengan alasan “jangan pilih Dr Mahathir bagi menjaga maruah beliau sebagai bekas Presiden parti kerana sebagai seorang pemimpin besar, Dr Mahathir tidak wajar merendah diri sebagai perwakilan bahagian.”

Sementara itu satu sumber lain mendakwa, kumpulan anti-Dr Mahathir turut mendapat bantuan daripada beberapa jentera kerajaan, terutamanya Biro Tata Negara (BTN).

Guna taktik kotor

Sumber yang mendakwa rapat dengan barisan kepimpinan Umno Kubang Pasu itu memberitahu, beberapa pemimpin Umno cawangan yang dikenalpasti menyokong Dr Mahathir telah dipanggil oleh orang tertentu dan dinasihatkan supaya “jangan aktif dalam pemilihan kali ini “.

Bagaimanapun semalam Ketua Umno Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum menafikan adanya campurtangan luar dan arahan dari pucuk pimpinan untuk menghalang Dr Mahathir bertanding atau terpilih sebagai perwakilan.

Beliau juga menegaskan, Setiausaha Agung Umno, Datuk Razdi Sheikh Ahmad (foto kanan) tidak pernah turun berkempen ke Kubang Pasu tetapi sekadar “singgah” dalam perjalannya pulang ke kampungnya di Perlis.

Satu sumber lain pula berkata, pelajar institusi pengajian tinggi dan anggota Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut digunakan dalam kempen dari rumah ke rumah.

“Penggunaan jentera kerajaan biasanya berlaku dalam pilihanraya umum sahaja tapi kali ini sampai ke pemilihan di bahagian Umno. Ini adalah suatu yang tidak adil dan amat memalukan,” kata ketua cawangan dari zon Jitra itu.

Menurutnya lagi, tindakan seorang tokoh Umno menghantar pelajar IPTA dan GPMS ke kancah politik Kubang Pasu ini juga tidak wajar kerana para pelajar dilarang terbabit dalam politik kepartian.

Sumber itu juga mendakwa, kumpulan anti - Mahathir turut menjalankan kempen yang menyalahi peraturan dengan membawa anggota di cawangan “makan ikan bakar di Kuala Kedah”.

Mesyuarat Umno Kubang Pasu pada 9 September ini akan dihadiri oleh 408 orang perwakilan daripada 143 cawangan di bahagian tersebut.


TUMBANGKAN KERAJAAN ISLAM HADHARI CARA BERKESAN ATASI GEJALA MURTAD DAN MAKSIAT


BUKIT BARU 6 SEPT : Bekas tahanan ISA yang juga aktivis PAS, Ustaz Sidek Nor berkata hanya ada satu sahaja cara berkesan untuk menangani gejala murtad dan maksiat iaitu menumbangkan kerajaan Islam Hadhari yang memerintah Malaysia sekarang.

"Kerajaan Islam Hadhari hari ini langsung tidak kisah kepada gejala murtad dan maksiat ini kerana mereka tamak dan haloba dalam mencari kekayaan dunia. Hal-hal lain tidak penting bagi mereka" kata beliau.

"Rakyat dan umat Islam di negara ini mesti menukar pemerintah yang ada pada hari ini demi masa depan negara dan umat Islam" tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Markaz PAS Bukit Baru malam tadi.

"Lihat sahaja konsert malam merdeka, mereka menggalakkan muda-mudi berhibur tanpa batas sehingga ke larut malam, yang akhirnya kondom dan tin-tin arak berselerak dijumpai di tempat-tempat tertentu" tambah beliau.

Dalam kejadian berasingan beliau menceritakan bagaimana 4 remaja 3 lelaki dan seorang wanita mati dalam kemalangan di Perak dalam perjalanan untuk menyambut merdeka dan apabila diperiksa di dalam kereta yang mereka naiki banyak tin-tin arak dijumpai.

Selain dari Ustaz Sidek Nor, turut berceramah malam tadi ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil.

Sementara itu Pengerusi Majlis Tindakan DUN Bukit Baru, Mohd Dan Sirun menyatakan kekesalan beliau diatas kejadian membaling telur busuk di Markas PAS Bukit Baru pagi semalam. Dalam kejadian tersebut beberapa biji telur busuk telah dibaling di perkarangan markaz tersebut oleh golongan tidak bertanggungjawab.

"Ini adalah kerja puak-puak yang bankrap modal politik mereka sehingga bertindak secara kebudak-budakan" ujarnya ketika diminta memberi komen selepas majlis ceramah di sini malam tadi.


KERAJAAN ISLAM HADHARI MASIH DEGIL TIDAK MAHU LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM WALAU INDEKS JENAYAH MELAMBUNG


KUALA LUMPUR 6 SEPT : Walaupun Indeks Jenayah Negara telah meningkat 11 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini kepada 130,457 kes berbanding 117,200 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, tetapi kerajaan Islam Hadhari masih degil dan tidak mahu kembali kepada Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kadar jenayah di semua negeri telah meningkat dengan Selangor mencatatkan 32,921 kes, Johor (19,004), Kuala Lumpur (15,420) dan Pulau Pinang (11,902).

Dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat hari ini, beliau juga berkata kebanyakan kes rogol telah dikenal pasti berpunca daripada masalah sosial yang kian berleluasa di kalangan remaja.

"Pergaulan bebas dan kegiatan luar batasan terutamanya di pusat-pusat hiburan telah menyumbang kepada perlakuan tidak terbatas di kalangan remaja dan menjurus kepada kejadian rogol.

"Di antara faktor penyumbang yang lain termasuklah pengaruh filem lucah, penyalahgunaan dadah, cara pemakaian mangsa dan terpengaruh dengan kata-kata teman lelaki," kata Abdullah.

Kerajaan Islam Hadhari hari ini seolah-olah bingung dan buta Islam apabila masih tidak mahu kembalikan mengamalkan undang-undang Islam yang dijamin mempunyai keberkatan oleh Allah. Pemimpin Islam Hadhari ini juga masih tidak mahu menerima hakikat bahawa pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, disko, pusat dangdut, Pusat karaoke, konsert, budaya hiburan melampau menjadi punca kepada permasalahan tersebut selain dari dadah dan sebagainya. Sepatutnya pusat-pusat maksiat ini mestilah ditutup dan dibenteras.

Selain itu pimpinan Islam Hahdari ini juga masih tidak mahu mengakui kegagalan sistem pendidikan negara dalam mentarbiyah anak-anak muda supaya menjadi insan yang berakhlaq dan berdisiplin. Sudah masanya sistem pendidikan negara di kaji dan dirombak supaya ianya sesuai dengan Islam.

Hadis nabi yang menggesa perkara-perkara mungkar mesti dicegah dengan kuasa dan lisan juga seolah-olah dipinggirkan oleh Islam Hadhari. Ini kerana langkah-langkah pencegahan kemungkaran ini tidak dijalankan dengan serius. Malah kerajaan Islam Hadhari pula dalam masa yang sama menggalakkan program-program maksiat dijalankan seperti program konsert merdeka, program-program hiburan di TV serta konsert-konsert terbuka terus diberi galakan dari masa ke semasa.

Dalam masa yang sama porgram ilmu di masjid dan di surau dipantau dan ada yang diarahkan supaya dihentikan kerana kononnya berbau politik. Akhirnya program ilmu semakin berkurangan dan muda-mudi tidak minat lagi ke masjid dan surau.

Artis-artis terus diagung-agungkan oleh kerajaan Islam dan dalam masa yang sama ulama' dihina dan dicerca. Inilah rupa sebenar Islam Hadhari yang lebih rela maksiat berleluasa dan menular asalkan pelaku-pelaku maksiat ini menyokong mereka dalam pilihanraya. Apa yang digusarkan oleh mereka ialah kalau golongan tersebut sedar dan kembali kepada Islam dan akhirnya menyokong pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menambah, masalah kes ragut pula berpunca daripada kadar migrasi ke bandaraya dan bandar besar, kekurangan peluang pekerjaan, penagihan dadah, kebanjiran pekerja asing dan kos sara hidup yang tinggi di bandaraya.

Bagi menangani jenayah ragut, katanya pihak polis telah mengambil tujuh pendekatan termasuk mengadakan lebih banyak rondaan di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku jenayah ragut.

Pasukan khas juga diwujudkan untuk membuat serbuan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat di mana mereka yang melakukan ragut secara berkumpulan.

Perdana Menteri berkata polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menambahkan pemasangan papan tanda dan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sibuk dan kerap berlaku jenayah ragut.

Selain itu, undang-undang baru sedang digubal termasuk Rang Undang-undang Indentifikasi DNA yang membolehkan polis menyimpan sampel dan data mengenai DNA seseorang penjenayah.


Nasib Melayu Pulau Pinang terbela akhirnya?


PULAU PINANG 6 SEPT : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk mengadakan perbincangan segera dengan semua pihak bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam memajukan orang Melayu di negeri itu.

Apakah dengan arahan di atas nasib orang melayu Pulau Pinang terbela? Persoalan ini sebenarnya sudah lama terjawab kerana orang melayu Pulau Pinang sudah sekian lama terpinggir dari arus ekonomi Pulau Pinang. Kalau dari segi politik Umno sudah lama menggadaikan maruah orang melayu kerana menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Gerakan sedangkan Umno mempunyai kerusi DUN paling banyak dikalangan komponen BN di negeri itu.

Selagi jawatan penting ini tidak dipegang oleh orang melayu selagi itulah kepentingan orang melayu akan terabai. Kalaupun ianya dipegang oleh orang melayu, belum tentu ianya dapat mengembalikan hak orang melayu di sana kerana Umno sendiripun menggadaikan kedaulatan orang melayu.

Lihat sahaja di negeri-negeri lain yang MB dan KM mereka adalah orang melayu, orang melayupun kian lama kian terpingir. Sekarang ini hanya tinggal Kelantan yang masih berjaya mempertahankan ketuanan melayu dari segi pemilikan tanah, peratus penyertaan orang melayu dalam kegiatan ekonomi dan sebagainya.

Perdana Menteri dalam laporan media hari ini berkata perbincangan itu haruslah diadakan segera supaya ia tidak berlarutan dan tidak ada pihak yang merasa dipinggirkan dalam pembangunan di negeri itu.

Pada masa yang sama, semua agensi yang berkaitan dengan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi di Pulau Pinang perlu membuat pembaharuan dan dirombak semula supaya lebih berdaya maju dan benar-benar dapat membantu Bumiputera, katanya ketika merasmikan Bangunan Umno Bahagian Tanjong di sini.

Abdullah turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Unit Penyertaan dan Penyelarasan Bumiputera Pulau Pinang bagi membantu merangka program pendidikan untuk meningkatkan modal insan Bumiputera di negeri itu.

Katanya masalah yang melibatkan orang Melayu Pulau Pinang itu penting untuk diberi perhatian oleh semua negeri kerana apabila pembangunan sesebuah negeri hendak dirancang, kerajaan harus memastikan tidak ada mana-mana masyarakat yang rasa terbiar atau tertinggal

Perdana Menteri berkata beliau telah mengeluarkan arahan agar kawasan Balik Pulau yang banyak didiami orang Melayu dan dianggap masih ketinggalan berbanding kawasan lain, diberi perhatian sebagai kawasan pembangunan baru.

"Kalau tidak, kawasan Balik Pulau akan terbiar,"' katanya.

Abdullah berkata beliau yakin penduduk Balik Pulau akan menikmati pembangunan hasil daripada pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pada sidang akhbarnya pula, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa anggota Pemuda Umno di sini yang menaikkan pemidang atau banner untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Koh.

Abdullah berkata tindakan seumpama itu tidak akan membantu, malah akan mengeruhkan lagi keadaan, kerana isu-isu seperti itu sepatutnya dibincangkan menerusi saluran yang betul.

Beberapa anggota Pemuda Umno menyambut kehadiran Abdullah dengan menaikkan beberapa pemidang yang antaranya tertulis perkataan "Koh Tsu Koon tidak ikhlas", "Kami diusir secara diam" dan "Kerajaan negeri harus bekukan polisi perumahan", pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Koh.

Abdullah berkata perkara itu tidak harus berlaku memandangkan Koh hadir sebagai tetamu.

"Tak payahlah main politik banner. Kadang-kadang kalau orang terlalu marah, jadilah begitu tetapi kita selesaikan dengan berbincang dan gunakan saluran yang betul," katanya.

Perdana Menteri berkata masalah orang Melayu di Pulau Pinang akan dibincang berdasarkan kepada fakta-fakta yang dikemukakan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, yang dipengerusikannya.


HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI


SUNGAI PETANI 6 SEPT : Kalau di Iran tenteranya sanggup mati syahid untuk mempertahankan negara mereka dari diserang oleh Amerika dan kuncu-kuncunya, di Malaysia lain pula ceritanya. Tentera kita bukan sahaja tidak seberani tentera Iran malah berani melakukan kerja-kerja jenayah. Tentera yang sepatutnya sama-sama menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat tidak berbuat demikian malah mereka pula yang melakukan jenayah.

Sudah banyak kes rompakan dan jenayah yang dilakukan oleh anggota tentera kita. Inilah bahananya apabila anggota tentera hanya dilatih dari segi ilmu ketenteraan sahaja tanpa mengambil kira kepentingan takwa di kalangan mereka.

Media melaporkan bahawa tiga lagi anggota tentera yang disyaki terbabit dalam kejadian menyamun sebuah kedai menjual telefon di Tikam Batu di sini, awal pagi kelmarin ditahan reman selama enam hari.

Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, V Kanasan membenarkan polis menahan reman tiga anggota tentera itu bermula semalam sehingga 10 September ini untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, dua rakan mereka yang cedera di kaki kiri bersama seorang lagi anggota tentera direman bermula kelmarin sehingga tarikh sama.

Keenam-enam anggota tentera berusia 21 hingga 25 tahun dari Batalion 165 Kor Risik, Kem Lapangan Terbang itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian memecah masuk sebuah kedai menjual telefon.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga daripada enam anggota tentera yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil memecah masuk ke kedai terbabit sebelum dikesan oleh anggota polis yang membuat rondaan.

Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri tetapi gagal lalu bertindak menyerang dua anggota polis yang terpaksa melepaskan empat das tembakan dan terkena kaki kiri dua anggota tentera terbabit.

Seorang daripada anggota itu menyerah diri manakala tiga daripada rakannya berjaya melarikan diri dengan kereta.

Namun, ketiga-tiga anggota itu dapat ditahan ketika pulang ke berek bujang oleh sepasukan anggota polis yang dibantu Polis Tentera, Kem Lapangan Terbang.


ISU JENAZAH SAUDARA BARU DI BAKAR IKUT AGAMA HINDU. APA CERITA SEBENARNYA?


KULAI 6 SEPT: Apa cerita sebenarnya disebalik berita yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian di bawah ini. Jika benar si mati telah memeluk Islam, siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini. Apa yang pasti jenazah ini mesti diuruskan dengan cara Islam.
Laporan media tersebut adalah seperti dibawah :

“Saya terkejut apabila diberitahu jenazah Mahendran akan dihantar ke pusat pembakaran mayat di Jalan Kota Tinggi,” kata Firdaus Goh Abdullah, 52, rakan kepada seorang peguam saudara baru yang jenazahnya didakwa dibakar mengikut upacara agama asal oleh keluarganya, petang semalam.

Menurut Firdaus, beliau terkejut apabila mendapati jenazah rakan baiknya R R Mahendran, 40, atau nama Islamnya Rafie Syazwan Abdullah berada di dalam sebuah van ketika mahu menziarahinya di rumahnya di Taman Nong Chik kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Saya mahu menziarahi jenazahnya. Bagaimanapun sebaik sampai di rumahnya didapati keranda yang mengandungi jenazah rakan baik saya berada di dalam sebuah van.

“Saya bertanya kepada pemandu van terbabit dan diberitahu mahu di bawa ke tempat pembakaran mayat di di Jalan Kota Tinggi,” katanya.

Firdaus seorang saudara baru berkata, dia mengenali Allahyarham sejak 10 tahun lalu dan mendapat berita rakannya itu meninggal dunia di Kuala Lumpur awal pagi semalam dan jenazahnya dibawa ke rumahnya di Taman Nong Chik.

“Bagaimanapun, hasrat saya memberikan penghormatan terakhir sebagai orang Islam tidak kesampaian kerana apabila tiba, Mahendran sudah pun di dalam keranda dan van,” katanya.

Difahamkan jenazah Mahendran yang dipercayai memeluk Islam kira-kira lima tahun lalu, diuruskan mengikut upacara agama asalnya oleh keluarganya.

Mahendran, dipercayai meninggal dunia di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 pagi semalam akibat serangan sakit jantung dan jenazahnya dibawa pulang ke Johor Bahru oleh isterinya yang juga dipercayai seorang saudara baru berasal dari Sarawak.

Firdaus berkata, dia ke pusat pembakaran mayat dan nampak ahli keluarga Mahendran termasuk isterinya ada di situ.

Katanya, dia tahu Mahendran memeluk Islam dan mendakwa Mahendran sering membuat rumah terbuka setiap kali menyambut Aidilfitri dan menyifatkan rakannya itu seorang yang sangat baik dan bijak mengendali pelbagai kes jenayah di mahkamah.

Wakil media yang tiba di pusat pembakaran itu kira-kira jam 7 malam, semalam, dimaklumkan ahli keluarga sudah pulang selepas menghantar jenazah Mahendran.

Wakil Jabatan Agama Johor (JAJ) yang turut berada di pusat pembakaran itu bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Zainal Abidin Osman dan Pengarah JAJ, Datuk Mohd Zaini Osman juga gagal dihubungi.

Sementara itu, keluarga Mahendran yang ditemui di rumahnya kira-kira jam 9 malam tadi juga enggan mengulas lanjut.


K’jaan negeri guna dana khas bantu rakyat miskin untuk tujuan lain


KUALA LUMPUR 6 SEPT : Wang Dana Khas disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membiayai program untuk golongan misikin tetapi sebahagiannya telah dibelanjakan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan program tersebut, seperti mengubahsuai kediaman rasmi menteri besar dan membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2005, wang tersebut juga telah dibelanja untuk memasang papan iklan sempena lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Kedah.

Menurut laporan itu lagi, pada umumnya, dana khas itu terdiri daripada wang yang diterima dari Petronas dan disalurkan oleh Perbendaharaan, termasuk kepada kerajaan negeri melalui pejabat pembangunan negeri atau pejabat kewangan negeri.

Bagi tempoh tahun 2001 hingga 2005, sejumlah RM1.63 bilion diperuntukkan, termasuk kepada kerajaan-kerajaan negeri. Daripada jumlah itu, RM1.04 bilion telah dibelanjakan. Selain Kedah, negeri lain yang menerima wang dana khas tersebut ialah Kelantan, Terengganu , Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menurut laporan itu lagi, program dana khas itu yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dapat dinikmati oleh rakyat, tetapi di peringkat negeri, peruntukan tersebut turut digunakan untuk membiayai projek dan aktiviti yang tidak berkaitan dengannya dan ini telah menjejaskan matlamat program tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Kedah diperuntukkan RM40 juta dana khas bagi tempoh 2003 hingga 2005. Selain memasang papan iklan di atas, kerajaan negeri membelanjakan RM701,222 daripada dana itu untuk membeli label pin untuk orang kenamaan, topi, pakaian untuk pasukan kawat Ahli Dewan Undangan Negeri sempena Hari Kemerdekaan.

Wang itu juga digunakan untuk bayaran membekal permaidani dan ‘timber blind’ untuk kegunaan Pejabat Menteri Besar; peralatan penggambaraan untuk krew NTV7.

Biaya tuisyen Puteri Umno

Laporan itu menyebut, mengikut maklum balas yang diterima daripada Perbendaharaan Malaysia, perbelanjaan tersebut dibuat atas arahan Menteri Besar Kedah.

Di samping itu, peruntukan itu juga diguna untuk bayaran sumbangan bagi Program Pusat Tuisyen anjuran Puteri Umno Sungai Petani sebanyak RM110,000 hanya berdasarkan kepada kertas kerja cadangannya.

Sepatutnya, tegas laporan tersebut, pembayaran tersebut dibuat berdasarkan bil tuntutan bulanan daripada tenaga pengajr kelas tuisyen.

Manakala 700 komputer bernilai RM2.10 juta turut dibeli dengan dana itu pada 2004 untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh Kedah tanpa memanggil tender.

Di samping itu, RM190,374 dibelanjakan, antaranya untuk bayaran iklan ucapan tahniah di akhbar, penginapan dan peralatan pejabat, yang dibuat tanpa mendapat kelulusan pihak Perbendaharaan terlebih dahulu.

Kerajaan Negeri Kedah juga, katanya, telah membelanjakan dana itu untuk membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Terengganu pula telah diperuntukan wang dana khas sebanyak RM665 (2004-2005) tetapi ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri itu, seperti membayar emolumen, perkhidmatan, aset dan melaksanakan projek pembangunan.

“Sesungguhnya perbelanjaan yang dibuat tidak selaras dengan tujuan asal penubuhan dana khas, namun perbelanjaan yang dibuat, telah mendapat kelulusan daripada Perbendaharaan Malaysia,” kata laporan audit itu.

Bina kediman MB

Manakala Kerajaan Negeri Perlis pula membelanjakan RM17,800 daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kursus ketatanegaraan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pelis, sedang ia sepatutnya dibiayai oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perlis.

Kerajaan Negeri Pahang pula didapati membelanjakan RM0.92 juta daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kos tambahan pembinaan Kompleks Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Sepatutnya, menurut laporan tersebut, lebihan kos itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam Pahang.

Kerajaan Negeri sembilan pula telah membelanjakan RM5.44 juta daripada wang dana khas untuk membekalkan perabot di Kompleks Pentadbiran Pejabat Daerah Port Dickson dan Seremban.

Manakala RM4.50 juta lagi daripada peruntukan dana khas itu dibelanjakan untuk projek mengubahsuai rumah tetamu Kerajaan Negeri Sembilan untuk kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Laporan Ketua Audit Negara itu berkata, perbelanjaan tersebut adalah tidak menepati tujuan sebenar penyaluarn wang dana khas itu.

Di Kelantan pula, projek-projek dengan biayai dana khas itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu dan bukannya ketua pengarah unit penyelarasan pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, seperti sepatutnya.

Sumber : Malaysiakini


MELAYU SUDAH TIDAK APA-APA LAGI


KUALA LUMPUR 6 Sept. – Walaupun orang melayu mempunyai hak keistimewaannya di dalam negara ini, tetapi sebenarnya kedaulatan orang melayu sudah lama berkubur.

Keistimewaan raja-raja melayu telah dilucutkan oleh kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir pada tahun 90-an dahulu. Bahasa Melayu sudah kian layu apabila ianya kian terpinggir dengan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Ekonomi orang melayu masih jauh ketinggalan di belakang malah DEB yang mensasarkan 20 % ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga hanya tinggi 'mimpin di siang hari'. Kuasa politik orang melayu juga kian luntur apabila hanya bilangan kerusi parlimen orang melayu hanya tinggal kurang dari 54.34 % sahaja disebabkan dasar SPR yang menjadi kuda kayu kerajaan tidak menambahkan kerusi melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya. Pemilikan tanah bumiputera juga kian terhakis kerana dasar pembangunan kerajaan yang tidak mengambil kira kepentingan orang melayu.

Dalam isu pendidikan, biasiswa kepada orang melayu telah lama berkubur. Hanya segelintir kecil sahaja yang mungkin memperolehi keistimewaan ini.

Banyak lagi kepentingan orang melayu yang dilacurkan oleh Umno/BN yang tidak cukup masa untuk ditulis. Semua ini adalah gara-gara orang melayu yang tersilap pilih kerajaan.

Dalam media hari ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan terus mengekalkan kedudukan istimewa kaum Melayu dan bumiputera lain sejajar dengan kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak merdeka.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan bagi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera lain terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, kedudukan istimewa itu termasuk dari segi jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, bantuan pendidikan dan bantuan dalam bidang perniagaan serta perdagangan.

‘‘Namun begitu, dasar yang diperuntukkan oleh Perkara 153 perlu dilaksanakan mengikut undang-undang tanpa menganiaya, menidakkan atau mengabaikan mana-mana kaum lain,” kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Tetapi hakikat sebenarnya keistimewaan orang melayu telah lama berkubur.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59