Tuesday, 5 September 2006

NAMA TUN MAHATHIR KENA BOO DI PARLIMEN


KUALA LUMPUR 5 SEPT: Apabila telah hilang kuasa maka hilang semua keistimewaan dan penghormatan orang ramai. Kalau dulu dia disanjung, dipuja, dipuji dan ditatang bagai minyak yang penuh kini semuanya hanya tinggal kenangan. Inilah nasib yang menimpa Tun Mahathir.

Malah ada suara-suara yang menggelarkannya iblis, orang tua nyanyuk dan sebagainya. Hari ini dalam sidang parlimen nama beliau tanpa segan-silu di'boo' oleh ahli parlimen kerajaan.

Semuanya bermula apabila Dato' Kamaruddin Jaffar Ahli Parlimen PAS Tumpat (Gambar) yang mencadangkan di Dewan Rakyat supaya ditukarkan nama Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapanganterbang Antarabangsa Tun Dr Mahathir Mohamad. Lantas cadangan ini diejek oleh ahli parlimen lain terutamanya para penyokong kerajaan.

Wakil PAS tersebut yang bertanyakan soalan tambahan berkata, nama KLIA tidak sesuai kerana ia tidak terletak di Kuala Lumpur tetapi di Sepang.

"Di negara lain Lapanganterbang dinamakan sempen nama pemimpin besar mereka atau mengikut nama lokasi berkenaan. Saya cadangkan nama KLIA ditukar kepada nama bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa membangunkan negara ini,"katanya dengan jelas merujuk kepada Dr Mahathir.

Sebaik sahaja Kamarudin membuat cadangannya kedengaran bunyi ejekan dan "boo" oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional manakala wakil-wakil pembangkang lain kelihatan tersenyum dan ketawa.

“Saya rasa ia bukan satu cadangan yang ikhlas," Badruddin bin Amiruddin (BN-Jerai) pula mencelah.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk S Subramaniam yang mengulas cadangan Kamaruddin itu pula berkata, terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menimbangkan syor tersebut kerana KLIA terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

KINI BARU KAU SEDAR


KAWALAN KESELAMATAN DI KEM PLKN AMAT LONGGAR


MELAKA 5 SEPT : Kawalan keselamatan di sesetengah kem PLKN terbukti longgar berikutan pelbagai kes yang melibatkan keselamatan pelatih dan kehilangan barangan kepunyaan mereka. Sebelum pelbagai kejadian seperti rogol, pergaduhan dan sebagainya dilaporkan.

Semalam satu lagi kes berlaku di mana barangan kepunyaan pelatih dicuri di dalam kem PLKN. Ini jelas membuktikan kelemahan pentadbiran PKLN dalam menguruskan hal-hal keselamatan dalam kem.

Media melaporkan hari ini bahawa Polis masih menyiasat dakwaan 190 telefon bimbit milik peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ayer Keroh dekat sini, yang disimpan dalam sebuah bilik hilang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ayub Yaakob, berkata telefon bimbit itu disimpan dalam sebuah bekas dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

Katanya, kejadian disedari pengurusan kem kira-kira jam 7 pagi apabila mendapati bilik berkenaan terbuka.

Selepas diperiksa didapati 190 telefon bimbit yang disimpan dalam sebuah bekas di bilik itu lesap.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekas menyimpan telefon bimbit itu mempunyai kesan umpilan dan mereka yang melakukan kegiatan itu dipercayai memasuki kawasan berkenaan dengan memotong pagar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebiasaannya telefon bimbit peserta PLKN akan disimpan pengurusan dan hanya akan diberikan kepada mereka pada hujung minggu.

"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan berharap polis menjalankan siasatan rapi," katanya.

Kita pun berasa hairan bagaimana kem yang sepatutnya di kawal ketat ini boleh bolos kepada anasir-anasir luar atau ianya pun mungkin ianya dilakukan oleh 'orang dalam'. Nasib baik telefon yang dicuri bagaimana kalau pelatih yang 'dicuri'?


ARAK DIJUAL DI KAKI LIMA DI NEGARA ISLAM HADHARI


LANGKAWI 5 SEPT : Di dalam negara Islam Hadhari ini semuanya boleh. Ianya selaras dengan slogan 'Malaysia Boleh'.

Arak juga boleh dijual secara terang-terang dengan harga yang sangat murah malah lebih murah dari sebotol air mineral. Apa yang lebih membimbangkan ianya mudah dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Tindakan peniaga menjual arak di sekitar kaki lima jalan dan kedai runcit di pulau ini secara berleluasa menyebabkan ramai remaja Islam kini membelinya dengan harga paling murah sehingga 80 sen hingga RM1 setin.

Pekan `Mini Hadyai’ di pekan Kuah di sini, pula bagaikan pesta setiap malam dengan dibanjiri ramai pengunjung luar dan tempatan pulau itu yang berpesta arak sehingga pagi.

Sebuah akhbar harian difahamkan, arak kini turut dijual di kedai runcit di sekitar kampung kerana harganya yang murah selain tidak dikenakan cukai.

Ramai remaja termasuk lelaki dan wanita Islam seolah-olah berbangga apabila mereka mabuk akibat minum terlalu banyak arak.

Arak dipercayai dijual mengikut jenis sama tin atau botol bergantung pada citarasa orang ramai dan dijual antara harga 80 sen hingga RM70 dan mampu dibeli sesiapa termasuk remaja belasan tahun.

Difahamkan, selepas pekan Kuah satu lagi kawasan dikenali `Mini Hadyai 2’ berkemungkinan akan muncul di kawasan Pantai Cenang, dekat sini, kerana ramai remaja Islam dilihat membeli minuman keras di beberapa pasar mini secara terbuka tanpa segan silu.

Seorang peniaga, Hashim Saad, 57, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan terhadap pengusaha restoran, premis atau tempat yang menjual arak secara terbuka yang boleh menarik minat orang ramai terutama remaja belasan tahun untuk mencuba minuman itu.

Menurutnya, pelajar sekolah turut dilihat membeli minuman itu sekadar mencuba kerana selain harganya murah ia turut dipengaruhi rakan sebaya.

“Kami penduduk di sini berharap supaya penjualan arak dibendung bagi mengelakkan akhlak remaja di pulau ini terus rosak disebabkan minuman yang diharam Islam.

“PBT juga perlu merampas minuman keras berkenaan jika terus dijual di kaki lima dan menghentikan penjualan kepada orang Islam dan kami tidak mahu pekan `Mini Hadyai 2’ ditubuhkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (Padal), Abdul Halim Adam, berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan di sekitar pulau Langkawi dan menahan mereka yang didapati minum minuman keras di khalayak ramai.

Beliau berkata, walaupun pihaknya kekurangan penguat kuasa tetapi mereka tetap menjalankan operasi dan serbuan jika menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan terbabit.

“Tahun ini, kita menahan 12 remaja yang didapati minum arak di tempat awam dan dua daripadanya sudah menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Star.

“Mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Undang-undang ciptaan manusia di atas sudah pasti gagal menangani gejala ini tetapi pemimpin Islam Hadhari tetap degil dan tidak mahu kembali kepada undang-undang Allah.


KINI BARU KAU SEDAR - BAHAGIAN 2


Kini baru Tun sedar bahawa orang di sekeliling Tun hanya memuji dan memuja bila Tun ada kuasa,
Bila kuasa dah hilang mereka pun beralih memuja dan memuji orang lain yang lebih berkuasa,

Kini baru Tun sedar bahawa Demokrasi telah mati dalam Umno,
Tapi Tun tak sedar bahawa sebenarnya demokrasi telah lama mati dalam kamus kami anggota pembangkang,
Sedangkan kami telakh lama dinafikan hak bersuara, hak mengeluarkan suratkhabar, hak bercakap di media, hak asasi manusia dan hak kami sebagai orang yang merdeka,

Kini baru Tun sedar bahawa nak bercakap di media pun tak boleh,
Sedangkan kami telah lama dianaktirikan,

Kini baru Tun sedar bahawa jerih penat Tun tidak dihargai,
Sedangkan jerih penat pemimpin kami memperbetulkan pentadbiran negara di balas dengan ugutan, tangkapan dan sebagainya,

Kini baru Tun sedar bahawa beramai ramainya musuh dalam selimut Tun,
Sedangkan kami telah lama menghadapinya, SB yang menyamar dan menyelinap masuk dalam organisasi kami,

Kini baru Tun sedar bahawa anak didik Tun yang berkuasa sekarang semuanya 'tak terpakai',
Sedangkan kami telah lama menyatakannya, termasuklah kami juga menyedari bahawa Tun pun 2 X 5 dengan mereka,

bersambung .............


TANGAN KANAN MEMADAM API TANGAN KIRI TERUS MENJIRUSKAN MINYAK


MALAM 31 Ogos 2006 berlalu dengan seribu kenangan. KLCC yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara dipenuhi pengunjung berbilang bangsa. Tidak kurang juga, ada yang memilih Dataran Merdeka sinonim dengan sambutan kemerdekaan negara.

Putrajaya juga menjadi tumpuan warga kota yang ingin berkongsi kemeriahan sambutan kemerdekaan. Masing-masing menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Inilah senario yang berlaku saban tahun. Percikan bunga api dan acara hiburan yang menghiasi sambutan malam kemerdekaan sentiasa menggamit ramai penonton. Semua rakyat Malaysia ingin berkongsi kegembiraan termasuklah warga kota dan desa tidak kira agama atau bangsa

Namun, di sebalik kegirangan menyambut kemerdekaan negara kali ke-49, kita sepatutnya menyedari bahawa masih ramai masyarakat yang masih belum memerdekakan diri mereka sepenuhnya. Erti kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi harus tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.

Begitulah yang terjadi pada malam sambutan kemerdekaan lalu. Kita bimbang jika anak-anak muda mudah hanyut dibawa arus dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?

Begitulah tulisan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini tentang sambutan kemerdekaan pagi 31 Ogos lalu.

Berikut dipaparkan gelagat dan ragam mereka sepanjang sambutan malam kemerdekaan lalu semasa penulis dan jurugambar menyertai Ops Masih Ada Yang Sayang III di sekitar Lembah Klang. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.

Hilang minat belajar menyebabkan Hazrin Ismail (bukan nama sebenar) terperangkap dengan kawan-kawan yang mengheretnya ke dunia mengkhayalkan. Dia baru berusia 15 tahun dan masih mentah tentang asam garam hidup dan tidak berupaya menilai perkara baik dan buruk. Malah, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini juga tidak pernah mengambil peduli segala nasihat keluarga yang amat menyayanginya.

“Masa tu, saya tak fikir apa-apa pun untuk masa depan, nak belajar bidang apa atau kerja sebagai apa. Jiwa saya hendak berseronok saja dan pelajaran bukan lagi keutamaan dalam hidup. Macam malam merdeka ni, lebih meriah dan ramai orang.

“Tapi kak, saya ada juga terfikir sampai bila nak hidup macam ni. Bila saya tengok kejayaan orang lain, saya juga nak berjaya tetapi boleh ke saya mengejar balik apa yang hilang?,” katanya dengan nada sayu.

Alif Mohd (bukan nama sebenar) ditemui bersama pasangannya, Mira Husin (bukan nama sebenar) dalam keadaan mencurigakan dan berpakaian seksi. Setelah disoal siasat, mereka bukan mahram dan masing-masing berusia 20 dan 19 tahun.

Mereka baru berkenalan selama dua minggu. Rupa-rupanya Mira pernah lari dari rumah sehingga menyebabkan ibunya hampir buta kerana menangisi sikap anak perempuan kesayangannya itu.

Malah teguran ibunya supaya Mira jangan berpakaian seksi juga tidak pernah dihiraukan. Bosan dengan bebelan dan kongkongan keluarga, akhirnya Mira memilih untuk hidup sendiri.

Alif pula pada malam itu, keluar tanpa keizinan kakaknya kerana dia tinggal bersama-sama dengan kakaknya di Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran di kolej swasta.

Gadis muda berusia 16 tahun ini memilih dunia keseronokan bersama rakan-rakannya kerana tidak tahan dengan sikap ibunya yang gemar membawa teman lelaki pulang ke rumah hampir setiap hari. Bagi Sarah Ahmad (bukan nama sebenar), rumah bukan lagi tempat yang sesuai untuk menenangkan fikirannya. Lalu mengambil keputusan untuk berhibur di luar.

“Sebenarnya inilah pertama kali saya keluar berhibur dengan kawan-kawan hingga lewat pagi. Saya sudah puas bersabar tetapi segala-galanya tidak pernah berubah.

“Jadi, jalan keluar terbaik ialah dunia di luar rumah yang mungkin dapat berikan saya sedikit ketenangan,” cerita Sarah.

Dia ditemui bersama rakan-rakannya dengan pakaian yang dikenali sebagai emo-gohtic (berskirt pendek di atas paras lutut dan kemudiannya mengenakan stoking panjang yang berbelang-belang).

Nampaknya media ini seperti juga pemimpin Kerajaan Islam Hadhari yang langsung tidak nampak mengapa remaja dan muda-mudi berjaga malam sehingga ke pagi pada setiap malam menyambut kemerdekaan. Mereka langsung tidak terfikir bahawa program-program wajib yang dijalankan pada malam tersebut seperti konsert merdeka, nyanyian dan sebagainya menjadi penyebab mengapa remaja-remaja datang berdua-duaan tanpa segan silu.

Konsert yang diadakan menjadi tempat tumpuan remaja yang berpasangan ini bergaul bebas, berpelukan dan sebagainya. Bukan itu sahaja apabila konsert ini tamat mereka akan mencari tempat lain yang sesuai untuk mereka terus berdua-duaan.

Mengapa pihak berwajib masih mahu meneruskan program-program konsert dan nyanyian yang tidak berfaedah ini sedangkan ianya mengundang seribu satu masalah. Mengapakah Islam Hadhari menghalalkan program seperti ini yang jelas menjadi medan tempat remaja-remaja ini 'berkepit' dan melepaskan 'rindu' masing-masing.


Sebenarnya inilah punca terbesar yang mesti dihapuskan dalam malam merdeka kerana tempat-tempat maksiat yang sedia ada pun sudah berjumlah ratusan(mungkin ribuan) di tambah lagi dengan konsert 'instant' malam merdeka ini.

Ops Masih Ada Yang Sayang III pada tahun ini membabitkan 1,400 sukarelawan berbanding 300 pada tahun lalu. Setiap pasukan dibahagikan kepada 10 kawasan iaitu KLCC, Bangsar, Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Ampang, Hulu Langat, Titiwangsa, Selayang, Shah Alam, Bukit Bintang, Damansara, Dataran Merdeka dan Sunway Lagoon.

Setiap pasukan bergerak ke lokasi berkaitan selepas sesi taklimat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC kira-kira pukul 1 pagi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Masridzi Sat berkata, bilangan sukarelawan bertambah kerana operasi ini dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida). Operasi ini juga mendapat kelulusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan-badan dakwah institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Gejala sosial yang semakin kronik di kalangan anak-anak muda terutama yang masih di bangku sekolah mendorong Perkid turun padang sebagai usaha untuk membanteras masalah ini berleluasa. Beliau berpendapat pendekatan dakwah secara halus lebih berkesan berbanding menggunakan kekerasan dengan menghukum.

“Anak-anak muda ini perlukan perhatian dan kasih sayang kerana ibu bapa mereka lalai dalam menunaikan tanggungjawab.

“Akhirnya, keseronokan bukan lagi terletak di rumah tetapi bersama kawan-kawan. Inilah kebebasan yang mereka cari di luar rumah,” ujar Masridzi.


Rawatan pemulihan

Rumah Kebajikan Perkid ditubuhkan pada Mac 2004 di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Ia berperanan memberikan rawatan pemulihan alternatif kepada mangsa khususnya yang berumur 13 hingga 25 tahun dan menawarkan rawatan as-syifa bagi membantu ibu bapa dan guru sekolah merawat anak-anak atau pelajar yang bermasalah.

Rumah dua tingkat yang terletak di Taman Sentosa itu, turut menempatkan klinik Baitus Syifa (Rumah Rawatan Perkid) dan asrama Raudhatus Solehah (pusat bimbingan puteri).

Dalam operasi selama kira-kira lima jam itu, seramai 260 remaja ditahan dan dibawa ke Masjid Asy-Syakirin KLCC. Bagi kawasan-kawasan yang jauh daripada KLCC, sesi dakwah dan kaunseling diadakan di kawasan terbabit dengan dikendalikan ketua operasi masing-masing.

Untuk menyedarkan golongan remaja yang semakin hanyut ini, mereka yang ditahan akan mengikuti sesi kaunseling oleh para sukarelawan Perkid termasuk latar belakang dan tujuan berada di lokasi terbabit hingga lewat pagi.

Setelah semua remaja dikumpul, sesi muhasabah diri diadakan sekitar pukul 5 hingga 6.30 pagi. Ketika sesi ini berjalan, masih terdapat remaja yang degil dan tidak menunjukkan sebarang riak kekesalan walaupun menyedari kesalahan yang mereka lakukan bertentangan dengan batas agama.

Namun, suasana pagi yang hening itu tanpa diduga diiringi dengan esak tangis mereka apabila soal pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa yang membesarkan mereka disentuh dengan penuh emosi. Wajah-wajah yang pada mulanya tidak menunjukkan sebarang reaksi akhirnya meratapi kesalahan yang mereka lakukan.

Episod sedih ini turut membuatkan beberapa remaja lelaki yang asalnya kelihatan ganas, dilihat mengalirkan air mata. Selepas menunaikan solat subuh berjemaah, mereka sekali lagi diberikan motivasi supaya dapat melihat kehidupan dan masa depan dengan lebih positif. Kesemua remaja yang ditahan kemudiannya ‘dibebaskan’ pada pukul 7.30

pagi.


MESTI BACA !! Timbalan Perdana Menteri Kedua?


Al-lunasi menulis "Assalamualaikum, Saudara / Saudari yang dihormati,

Saya terpanggil untuk membuat satu kajian terhadap isu yang ditimbulkan oleh YB Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun yang bertanyakan adakah Kerajaan Malaysia akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua di dalam negara.


Hasil kajian saya mendapati timbulnya isu tesebut adalah kerana daripada 219 ahli Parlimen di Malaysia 119 adalah terdiri daripada wakil rakyat Melayu yang beragama Islam termasuk wakil rakyat Pas sebanyak 6 orang dan Keadilan 1 orang. Sementara 100 orang ahli Parlimen terdiri daripada wakil rakyat bukan Melayu yang bukan beragama Islam. Kalau dari segi peratus ianya adalah 54.34 % wakil rakyat Melayu yang beragama Islam dan 45.66% wakil rakyat bukan Melayu bukan beragama Islam.

Pertanyaan oleh YB Bukit Bintang telah terjawab apabila kita melihat jumlah ahli Parlimen Melayu dan ahli Parlimen bukan Melayu masa kini menunjukkan perbezaan sedikit antara keduanya. Mengapa ini terjadi ? Disini saya kemukakan salah satu sebab utama menyebabkan perkara ini terjadi dan pemimpin-pemimpin Melayu harus dipertanggungjawabkan. Sebab Utama Hasil kajian saya mendapati terdapat 15 kawasan parlimen dimana orang Melayu melebihi 50% diwakili oleh wakil rakyat yang bukan Melayu.

Antara kawasan terbabit adalah :

KEDAH
1) Parlimen P.009 Alor Setar 57313 pengundi
Pengundi Melayu 58.40%, Cina 36.0%, India 4.7%, Lain-Lain 0.9%

2) Parlimen P. 017 Padang Serai 53,925 pengundi
Pengundi Melayu 52.50%, Cina 24.4%, India 22.6%, Lain-Lain 0.5%

PERAK

3) Parlimen P. 059 Bukit Gantang 53,880 pengundi
Pengundi Melayu 63.0%, Cina 27.3%, India 9.6%, Lain-lain 0.1%
# Wakil Rakyat penggal 1999 Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan (UMNO)

4) Parlimen P. 074 Lumut 68,522 pengundi
Pengundi Melayu 67.0%, Cina 26.8%, India 4.2%, Lain-Lain 2.0%

PAHANG
5) Parlimen P. 083 Kuantan 45,935 pengundi
Pengundi Melayu 58.2%, Cina 36.8%, India 4.6%, Lain-lain 0.4%
# Wakil Rakyat penggal 1999 adalah Tan Sri Khalil Yaakob (UMNO)

SELANGOR
6) Parlimen P. 094 Hulu Selangor 58,533 pengundi
Pengundi Melayu 50.5%, Cina 28.9%, India 19.0%, Lain-lain 1.6%

7) Parlimen P. 100 Pandan 57,884 pengundi
Pengundi Melayu 51.4%, Cina 42.6%, India 5.4%, Lain-lain 0.6%
# Parlimen Baru

8) Parlimen P. 111 Kota Raja 58,374 pengundi
Pengundi Melayu 50.0%, Cina 21.9 %, India 27.3%, Lain-Lain 0.8%
#Parlimen Baru

KUALA LUMPUR
9) Parlimen P. 116 Wangsa Maju 50,682 pengundi
Pengundi Melayu 52.7%, Cina 38.2%, India 8.0%, Lain-lain 1.1%# Wakil Rakyat penggal 1999 Datuk Zulhasnan Rafique (UMNO)

10) Parlimen P. 124 Bandar Tun Razak 67,241 pengundi
Pengundi Melayu 51.1%, Cina 40.0%, India 8.1%, Lain-lain 0.8%

MELAKA
11) Parlimen P. 135 Alor Gajah 51,588 pengundi
Pengundi Melayu 56.0%, Cina 31.1%, India 12.5%, Lain-lain 0.4%

JOHOR
12) Parlimen P. 148 Ayer Hitam 32,804 pengundi
Pengundi Melayu 55.3%, Cina 40.2%, India 4.3%, Lain-Lain 0.2%
# Parlimen Baru

13) Parlimen P. 151 Simpang Renggam 34,240 pengundi Pengundi Melayu 54.3%, Cina 34.8%, India 10.6%,Lain-lain 0.3%
# Parlimen Baru

14) Parlimen P. 158 Tebrau 52,812 pengundi
Pengundi Melayu 51.1%, Cina 34.5%, India 13.8%, Lain-lain 0.6%
#Wakil Rakyat penggal 1999 Datuk Mohd Ali Hassan (UMNO)

15) Parlimen P. 165 Tanjong Piai 44,575 pengundi Pengundi Melayu 50.8%, Cina 48.00%, India 1.0%, Lain-lain 0.2%
# Parlimen Baru

Terdapat juga 10 kawasan parlimen dimana peratus pengundi Melayu kurang daripada 50% tetapi melebihi daripada pengundi lain dan wakil rakyatnya juga terdiri daripada bukan Melayu. Kawasan-kawasan terbabit adalah :-

PERAK
1) Parlimen P. 072 Tapah 38,899 pengundi
Pengundi Melayu 44.1%, Cina 33.4%, India 13.8%, Lain-lain 8.7%

2) Parlimen P. 077 Tanjung Malim 52,743 pengundi
Pengundi Melayu 48.6%, Cina 32.3%, India 15.6%, Lain-lain 3.5%

PAHANG
3) Parlimen P.076 Cameron Highlands 23,061 pengundi
Pengundi Melayu 35.9, Cina 32.8%, India 15.3%, Lain-lain 16.0%

4) Parlimen P.080 Raub 44,543 pengundi
Pengundi Melayu 47.7%, Cina 43.5%, India 7.1%, Lain-lain 1.7%

SELANGOR
5) Parlimen P. 097 Selayang 71,152 pengundi
Pengundi Melayu 43.9%, Cina 39.0%, India 16.5%, Lain-lain 0.6%

6) Parlimen P. 103 Puchong 59,694 pengundi
Pengundi Melayu 46.2%, Cina 37.1%, India 15.9%, Lain-lain 0.8%

7) Parlimen P. 104 Kelana Jaya 72,518 pengundi
Pengundi Melayu 42.1%, Cina 37.5%, India 19.4%, Lain-lain 1.00%

8) Parlimen P. 107 Subang 68,739 pengundi
Pengundi Melayu 49.2%, Cina 34.3%, India 15.6%, Lain-lain 0.9%

9) Parlimen P.109 Kapar 104,185 pengundi
Pengundi Melayu 49.5%, Cina 37.5%, India 12.7%, Lain-lain 0.3%

KUALA LUMPUR
10) Parlimen P.115 Batu 67,652 pengundi
Pengundi Melayu 41.6%, Cina 41.1%, India 16.3%, Lain-lain 1.00%

Hanya 3 kawasan parlimen yang peratus pengundi Melayu kurang 50% tetapi melebihi pengundi bangsa lain diwakili oleh wakil rakyat Melayu iaitu :

PULAU PINANG
1) Parlimen P. 047 Nibong Tebal 41,161 pengundi
Pengundi Melayu 43.4%, Cina 40.7%, India 15.3%, Lain-lain 0.6%

JOHOR
2) Parlimen P. 153 Sembrong 30,767 pengundi
Pengundi Melayu 49.8%, Cina 38.7%, India 10.6%, Lain-lain 0.9%

3) Parlimen P. 159 Pasir Gudang 61,003 pengundi
Pengundi Melayu 46.9%, Cina 40.2%, India 11.9%, Lain-lain 1.0%

Inilah yang sepatutnya berlaku kita mengambil hak yang sewajarnya diberikan kepada kita. Kita tidak meminta untuk mewakili kawasan majoriti berbangsa lain. Biarkan kawasan majoriti kaum Cina diwakili oleh wakil rakyat berbangsa Cina. Kita tiada keinginan untuk meletak wakil rakyat Melayu di kawasan Parlimen Bukit Bintang begitu juga di Parlimen Tanjung. Mengapa pada 3 kawasan parlimen ini kita boleh mengikut cara sepatutnya dan tidak kepada 25 kawasan parlimen yang lain. Cuba kita perhatikan jika kita mengambil hak kita tersebut wakil rakyat Melayu di parlimen adalah sebanyak 144 orang dan bangsa-bangsa lain menurun kepada 75 orang . Dari segi peratusannya meningkat kepada 65.75 % sementara wakil rakyat bukan Melayu menurun kepada 34.25%.

Bangsa Melayu hanya memerlukan 0.92 % sahaja lagi untuk mempunyai suara majoriti 2/3 di dalam parlimen Malaysia. Adakah akan kedengaran lagi suara-suara yang mahukan kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua??? Sebenarnya bangsa Melayu mempunyai majoriti dikebanyakkan kawasan di negara ini . Buat pemimpin-pemimpin Melayu umum mengetahui Melayu itu semestinya beragama Islam fikirlah dan renungkanlah perjuangan anda untuk generasi masa hadapan dan janganlah kita membiarkan tanahair kita tergadai kerana sikap dan toleransi kita yang berlebihan.

Sedarlah bangsaku! Bangsa-bangsa lain sudah mulai mempertikai laungan azan, mempertikaikan Negara Islam. Tidak cukup dengan itu menampal poster-poster NO TO ISLAMIC STATE khasnya di Pulau Pinang tanpa memikirkan perasaan orang-orang Melayu Islam. Kepada ahli atau pemimpin UMNO yang terbaca artikel ini, bangkitkan di dalam mesyuarat cawangan atau bahagian berhubung sikap kita yang terlalu toleransi. Terbaru kita lepaskan 4 kawasan Parlimen yang menjadi hak bangsa Melayu sejak dahulu sehingga tahun 1999 iaitu Parlimen Kuantan, Parlimen Bukit Gantang, Parlimen Tebrau dan Parlimen Wangsa Maju.

Sekian.


Ibnu Rashid
Kepala Batas, Pulau Pinang. "

Dipetik dari Tranungkite


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59