Monday, 4 September 2006

SIAPA KATA PAS ANTI AGAMA LAIN


KUALA LUMPUR, 4 Sept - Tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS anti agama lain sudah dijelaskan oleh pemimpin PAS sejak dahulu lagi. Namun masih ada suara-suara sumbang yang cuba memesongkan fakta sebenar.

Tetapi semua itu dapat ditangkis secara perlahan-lahan apabila pemimpin-pemimpin PAS tetap bersifat terbuka apabila berhadapan dengan isu sebegini.

Harakahdaily melaporkan bahawa Perbezaan kepercayaan pemimpin PAS dengan penganut agama lain tidak menghalang mereka untuk sama-sama mengucapkan takziah dan memberikan penghormatan terakhir buat pemimpin tertinggi agama Buddha semalam.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli merupakan antara tetamu yang hadir memberikan penghormatan kepada Ketua Tertinggi Sami Budhha Malaysia dan Singapura, Dr K Sri Dhammananda Nayake Maha Thera di Dewan Asoka, Kuil Buddha Maha Vihara,Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Ting; Perdana Menteri Sri Lanka, Ratnasiri Wickramanayake; Presiden Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardhana, Sarath W Surende dan Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Sik Jit Heng.

Dr Hatta berkata tujuan beliau dan Husam datang ke majlis tersebut adalah untuk memberikan penghormatan terakhir terhadap kematian pemimpin masyarakat Buddha, Dr Dhammananda.

"Sebagai pemimpin masyarakat, sudah pastilah pengikut beliau sedih akan kematian beliau, jadi untuk menghormati peranan beliau kepada masyarakat Buddha di Malaysia ini, kami datang melawat.

"Difahamkan, Dato' Husam telah membawa perutusan khas daripada Yang Berhormat Menteri Besar (Kelantan). Kami diberi sambutan yang baik dan dibenarkan untuk berada di dalam majlis pengucapan terakhir daripada wakil-wakil i masyarakat Buddha," katanya.

Dhammananda meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada jam 12.42 petang, 31 Ogos lalu ketika berusia 87 tahun. Beliau dilahirkan pada 18 Mac 1919 di selatan Sri Lanka dan datang ke Tanah Melayu pada 2 Januari 1952


Anwar ulangi lagi tidak kembali dalam Umno


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbuatan kalangan tertentu yang mendakwa beliau akan menyertai semula Umno tidak lama lagi, sebagai satu strategi jahat musuh parti itu.

“Saya sedar ada orang mendakwa saya telah mengisi borang keahlian Umno. Mereka kata saya sudah tandatangani borang Umno, mereka dakwa ada bukti. Sebenarnya ini adalah satu strategi jahat mereka. Saya dah tak boleh terima Umno dah...

“Saya tahu masih ada kawan-kawan saya dalam Umno yang mengharapkan saya kembali menyertai parti itu. Saya kalau boleh tak nak cakap lagi isu ini, tapi terpaksa juga menyentuhnya sekali lagi bagi mengulas kenyataan Presiden PKR berhubung isu ini tadi,” jelasnya semasa berucap di majlis bersama Penasihat PKR di akhir Kongres Nasional parti itu di Pulau Pinang semalam.

Sebelum itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semasa menggulung ucapan dasar presiden, telah menyatakan suaminya itu tidak akan menyertai semula Umno bagi menolak spekulasi kebelakangan ini yang mengatakan Anwar adalah orang yang akan menjadi “regu” Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seandainya berlaku pergolakan besar dalam parti pemerintah itu.

Kebelakangan ini, kalangan ahli-ahli Umno dan pemerhati politik membuat andaian bahawa Anwar akan menjadi gandingan Abdullah andainya Presiden Umno itu dicabar oleh mana-mana tokoh berpengaruh dalam parti itu sebagai lanjutan kepada krisis antaranya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kali ini, Anwar bukan sahaja mengulangi pendiriannya tidak menyertai semula Umno, malah membidas kedua-dua pemimpin Umno itu dengan menyifatkan mereka sebagai “sama korup, sama zalim”.

“Mereka mengambil kekayaan negara, membolot AP (import permit kenderaan), rebut saham dan kontrak. Dr Mahathir tahan Wan Adli (anak Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) dan Pak Lah melanjutkan penahanan itu.

Barisan kepimpinan

“Pak Lah mempertahankan dan meneruskan tindakan Dr Mahathir itu atas nama Islam Hadhari. Jadi baik PM dulu atau PM sekarang sama sahaja. Sebab tu saya tak boleh terima Umno lagi,” tambahnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan barisan kepimpinan PKR sekarang berjuang atas prinsip menentang rasuah dan kezaliman serta menegakkan keadilan semua kaum, agama dan bukannya berdasarkan perkauman sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin Umno sekarang.

Katanya, apa yang diperlukan oleh negara ini sekarang ialah pemimpin yang amanah, pemimpin yang tidak korup dan tidak tamak haloba serta adil untuk semua kaum.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin yang bising mahu membela nasib orang Melayu itu sebenarnya meekalah yang merompak hak orang Melayu. Mereka mempermainkan isu perkauman apabila Umno tercabar. Orang Umno mainkan isu sensitif, sentimen Melayu dan hunus keris.

“Saya nak tegaskan, orang yang zalim dan korup ini kita boleh maafkan tetapi bukan menjulang dan menyertai mereka,” tambahnya.

Anwar juga mendakwa pentadbiran sekarang cuba menyembunyikan segala kepincangan dan penyelewengan mereka dengan menafikan segala-gala dakwaan tanpa memberikan alasan-alasan yang menyakinkan.

“Kerajaan kata ekonomi negara berada dalam keadaan baik. Mereka kata pertumbuhan lima peratus setahun cukup baik. Mereka nafi ekonomi kita sedang menghadapi masalah, sedangkan hakikatnya pelabur asing dan tempatan enggan melabur.

Ekonomi lembab

“Mengapa pelabur enggan melabur? Kerana mereka tidak yakin dengan kerajaan yang ada. Pentadbiran sekarang tidak mempunyai rancangan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Anwar juga menegaskan Perdana Menteri tidak boleh mendakwa ekonomi negara lembab akibat tindak-tanduk Dr Mahathir mengkritik kerajaan kebelakangan ini.

“Kita semua tahu ekonomi dah lembab sebelum Dr Mahathir mengkritik Abdullah lagi. Di India, Manmohan Singh (Perdana Menteri negara itu) juga dikritik hebat tapi ekonomi India terus mencatatkan pertumbuhan besar,” ujanya.

Beliau juga menegaskan Manmohan Singh tidak memberikan projek-projek kerajaan kepada kroni atau kaum keluarganya.

Penasihat PKR itu turut menempelak Abdullah kerana mendakwa tidak tahu menahu tentang projek-projek dalam negara yang diperolehi oleh syarikat anaknya, Scomi Berhad

“Mana boleh dia tak tahu, apa dalam mesyuarat kabinet, tak ada ke menteri yang bagi tahu dia? Tak ada alasan dia kata tak tahu turut dilaporkan dalam akhbar,” tempelak beliau.

Menyentuh pendirian PKR mengenai isu keagamaan pula, Anwar menegaskan partinya tetap mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan tetapi pada masa yang sama mengakui hak agama lain di negara ini.

“Saya juga mahu tegaskan bahawa Mahkamah Syariah bukan bertujuan memaksa orang bukan Islam tunduk pada Islam. Apa yang berlaku sekarang hanyalah kekeliruan akibat dari kerajaan yang lemah dalam segala aspek pentadbiran agama,ekonomi dan politik,” jelasnya.

Dari Malaysiakini


CERAMAH MAT SABU 8 SEPT DI KG PENDAMAR, BUKIT LINTANG


Naib Presiden PAS, Hj Mohd Sabu akan berceramah di Kg Pendamar, Bukit Lintang pada 8 September ini. Semua di jemput hadir. Ceramah ini dianjurkan oleh MTD Ayer Molek


PKR: Kehadiran Anwar, konflik Umno untungkan pembangkang


Parti Keadilan Rakyat (PKR) meramalkan pilihanraya umun ke-12 menjanjikan perubahan dalam lanskap politik negara dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke pentas politik serta konflik dalaman Umno sekarang.

Selain dua faktor tersebut, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail juga percaya kesuraman ekonomi negara akan menimbulkan keresahan kepada pengundi, manakala ketiadaan persempadanan semula kawasan pilihanraya, menjanjikan prospek positif kepada pembangkang.

“Kita berharap keempat-empat faktor ini – ditambah dengan wujudnya Pelan Tindakan Strategi PKR yang perlu dan akan dilaksanakan dalam bentuk tindakan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen – boleh memberi peluang kemenangan kepada PKR,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional PKR di Pulau Pinang hari ini, yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Dalam ucapannya yang bertemakan “Masa Untuk Berubah” itu, Dr Wan Azizah menjelaskan, pelan tindakan itu digubal bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12 yang dijangka diadakan lebih awal tahun depan.

Pelan itu, katanya, merangkumi soal memperkukuhkan keberkesanan dalaman parti, meningkatkan profil serta imej PKR di khalayak ramai, membina perpaduan antara parti-parti rakan, mewujudkan pakatan pembangkang yang lebih berwibawa untuk memerintah dan mengambil tindakan strategi bersama bagi menangani medan pertandingan yang tidak sama rata.

“Pelan Tindakan Strategi ini dijelmakan dalam suatu bentuk dokumen yang seterusnya diterjemahkan kepada gerak kerja parti yang melibatkan keseluruhan jentera parti pelbagai peringkat dalam satu projek utama parti yang disebut ‘Menjana Tenaga Kemenangan’ (MTK).

Keputusan bersama

”Projek ini diyakini bakal melakarkan secara terperinci proses pemerkasaan parti, perjuangan reformasi dan penjanaan tenaga dalam kempen memenangi pilihanraya akan datang,” jelasnya

Justeru itu, katanya, agenda perlaksanaan MTK sewajarnya dijadikan agenda utama yang tetap bagi parti dengan memfokuskan kepada tindakan yang wajib diambil berdasarkan keputusan bersama, sejajar mengikut tanggungjawab tugas yang dipersetujui dan terangkum dalam dokumen MTK tersebut.

Selain menyentuh persiapan pilihanraya umum PKR, Dr Wan Azizah turut memperkatakan isu kebebasan dan keadilan dalam proses demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosial ekonomi, isu kehakiman, reformasi pendidikan, kegiatan seni budaya, kesihatan serta kebebasan media.

Mengenai proses demokrasi, beliau berkata, Malaysia tergolong dalam kategori negara yang mengamalkan pilihanraya yang tempang atau berat sebelah, dan “imej baik negara telah dirobek oleh proses pilihanraya yang tidak bebas dan tidak adil”.

Tentang isu kehakiman pula, Presiden PKR itu mendesak kes pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas di disiasat semula oleh sebuah badan bebas supaya kebenaran dan kepalsuan dibongkar.

“Siasatan dan kesimpulan yang dihasilkan dari siasatan itu amat penting bagi menyemarakkan lagi usaha untuk mengembalikan kedudukan maruah Institusi Kehakiman negara.

Permit Suara Keadilan

“PKR juga mahu siasatan terperinci dilakukan terhadap pembongkaran Hakim Datuk Syed Aidid melalui tulisannya mengenai amalan rasuah yang terdapat di dalam badan kehakiman.

“Siasatan juga hendaklah merangkumi isu kriteria kenaikan pangkat para hakim kerana sering diperkatakan bahawa berlaku pilih kasih di dalam proses tersebut di mana Hakim kanan akan tersisih kerana sebab-sebab yang tidak bersangkutan dengan mutu kerja mereka.

“Kami menegaskan bahawa reformasi Badan Kehakiman wajib dilakukan secara keseluruhan jika mahu mengembalikan intergriti badan tersebut setelah tercalar dengan begitu dahsyat pada tahun 1988 dan dimusnahkan sepenuhnya sepuluh tahun kemudian pada tahun 1998,” tegasnya.

Mengenai kebebabsan media, Dr Wan Azizah melahirkan kekesalannya terhadap tindakan Perdana Menteri dan Kementerin Dalam Negeri (KDN) yang sehingga hari ini gagal mengeluarkan permit untuk Suara Keadilan.

“Adalah menjadi hak kita sebagai sebuah parti politik yang sah dan berdaftar untuk mengeluar akhbar parti bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seimbang. Lebih mengecewakan, apabila pegawai KDN bertindak ala mafia dengan merampas akhbar dan mengugut para pengedar. Kami menuntut janji Perdana Menteri di dalam Parlimen pada 27 Oktober 2005 untuk meluluskan permit Suara Keadilan,” katanya.

PKR juga menuntut agar keperluan akhbar memperbaharui lesen setiap tahun dimansuhkan dan parti-parti politik yang berdaftar diberikan peluang memainkan peranan dalam media cetak dan media elektronik khususnya ketika kempen pilihanraya.

Dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59