Wednesday, 30 August 2006

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dihentikan serta-merta


Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi guru sekolah menengah dihentikan serta-merta bagi mengatasi masalah lebihan graduan pendidikan.

Berkuatkuasa serta-merta, Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesemua 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) akan hanya mengendalikan KPLI bagi guru sekolah rendah dan pra-sekolah.

"KPLI sekolah menengah akan dikendalikan oleh Institusi-instutusi Pengajian Tinggi Awam, termasuk Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Keamanan UPSI di Tanjung Malim malam tadi.

Ekoran itu, katanya, pengambilan guru KPLI sekolah menengah oleh kementerian berkenaan tahun ini dibatalkan dan mereka yang terpilih, akan ditawarkan mengikuti KPLI sekolah rendah dan pra-sekolah.

Kementerian Pelajaran menerima lebih 40,000 permohonan untuk mengikuti program KPLI sekolah rendah dan menengah apabila iklan pengambilannya dibuka tahun lalu. Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 telah ditemuduga baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun tidak memberitahu jumlah pengambil KPLI sekolah rendah pada tahun ini.

Lebihan graduan

Hishammuddin berkata, pemohon yang berjaya bagi KPLI sekolah menengah itu, akan ditawarkan KPLI sekolah rendah dan terpulang kepada mereka sama ada mahu menerimanya.

Keputusan itu, katanya, selaras dengan usaha mengatasi masalah lebihan graduan pendidikan dan Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat unjuran mengenai keperluan sebenar jumlah guru mengikut opsyen dan negeri.

Sebelum ini, kabinet mencadangkan supaya IPTA-IPTA hanya memainkan peranan melatih guru bagi ditempatkan di sekolah menengah, politeknik dan kolej komuniti.

Menurut Hishammuddin, proses pengambilan kira-kira 33,000 guru baru berikutan cadangan Kabinet supaya nisbah guru dinaikkan daripada 1.5 guru kepada 1.7 guru bagi setiap kelas, dijangka diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya, tidak ada sebarang masalah untuk mengisi jawatan tersebut walaupun ia membabitkan perjawatan baru yang turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mengenai isu graduan pendidikan yang masih menghadapi masalah penempatan, beliau berkata, mereka memang diutamakan untuk mengisi kekosongan tersebut, khususnya bagi yang telah lama menamatkan pengajian.

Ingatan pada graduan

Bagaimanapun dalam masa yang sama graduan itu juga jangan ingat bahawa mereka seharusnya diambil berkhidmat sebagai guru secara automatik hanya disebabkan lulus dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, 306 graduan pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sebelum ini mengganggur walaupun telah menerima ijazah, telah diambil menjalani latihan sebelum penempatan.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan para graduan pendidikan yang bakal diambil berkhidmat kelak supaya tidak bersikap memilih mengenai lokasi yang bakal ditempatkan.

Katanya, mereka harus terima keadaan ini jika mahu berkhidmat kerana kekosongan tempat hanya wujud di beberapa negeri sahaja khususnya yang melibatkan kawasan pedalaman.

Selain itu katanya, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan pengambilan guru secara berpusat untuk mengatasi kekurangan guru di negeri-negeri dengan opsyen matapelajaran yang dipilih oleh mereka

Dari Malaysiakini


PROTON TERUS RUGI


Nampaknya zaman pemerintahan Islam Hadhari ini terus memberikan mimpi buruk kepada Proton. Kalau di zaman 'Penerapan nilai-nilai Islam dan Bersih, Cekap dan Amanah dulu Proton gah sebagai syarikat pengeluar kereta nasional nombor satu di Malaysia kini kegemilangan itu gagal dipertahankan.

Nampaknya dakwaan pembangkang dan Tun Mahathir terhadap kelemahan kerajaan dan pentabiran Proton dalam mengendalikan syarikat itu ada benarnya.

Media melaporkan bahawa Proton Holdings terus mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM58.649 juta bagi suku tahun pertama yang berakhir 30 Jun lalu.

Jumlah kerugian itu semakin meningkat berbanding dengan kerugian RM12.661 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Proton melalui situasi yang tidak menentu sejak setahun yang lalu ketika ia berusaha untuk memulihkan kemerosotan penguasaan pasaran ekoran persaingan hebat daripada kereta keluaran asing.

Proton berkata, kerugian itu adalah ekoran kemerosotan jualan kereta keseluruhannya di negara dan kekurangan barisan model kereta baru apabila syarikat itu menjangka memperkenalkan model baru mulai 2007.

Kerugian pracukainya meningkat kepada RM95.536 jua dari RM7.361 juta apabila perolehan merosot kepada RM1.418 bilion daripada RM2.054 bilion sebelum ini.

Jualan kereta Proton bagi suku pertama mencatatkan 32,200 unit berbanding dengan 44,367 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu, kata Pengarah Urusan Proton, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Model terbaru Proton ialah Savvy – yang dilancarkan tahun lalu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan (kiri) – manakala yang terkini ialah Satria Neo yang diperkenalkan baru-baru ini.

Syarikat kereta nasional itu mengakui menghadapi persaingan hebat di dalam negeri serta pasaran eksport dan berkata Proton akan melancarkan enam model baru dalam tempoh dua tahun bagi mengatasi kemerosotan jualannya.

Penguasaan pasaran kereta Proton telah merosot kepada 41 peratus pada 2005 kepada 60 peratus pada 2002.

Tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melancarkan Proton pada 1980-an, mengingatkan bahawa penguasaan pasaran Proton boleh merosot sehingga 10 peratus jika kerajaan tidak mengambil langkah mengawal import kereta.

Sumber : Malaysiakini.


SEKALI LAGI RAKYAT MENJADI MANGSA


Sekali lagi rakyat menjadi mangsa apabila kerajaan menggunakan wang rakyat untuk menguasai semula Pantai Holdings Bhd. (Pantai Holdings)yang sebelum ini dikuasai sebuah syarikat Singapura, Parkway Holding Ltd.

Setelah dikritik hebat oleh pembangkang dan Tun Mahathir akhirnya Imam Al Badawi terpaksa 'menjilat' ludahnya kembali dengan membeli saham Parkway dalam Pantai Holdings. Tetapi ini semua tidak dapat menebus 'dosa'nya kerana membiarkan Parkway menguasai Pantai Holdings sebelum ini. Malah rakyat semakin marah apabila kerajaan sekali lagi mengorbankan wang rakyat untuk menguasai semula Pantai Holdings.

Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) muncul sebagai pemegang saham utama Pantai Holdings dengan pengambilalihan sebahagian kepentingan syarikat itu daripada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway).

Pengambilalihan itu, yang dimeterai oleh syarikat pelaburan milik kerajaan tersebut dengan Parkway beberapa hari lalu, sekali gus mengembalikan penguasaan syarikat konsesi itu ke tangan pelabur tempatan.

Keputusan tersebut selaras dengan kehendak pembangkang dan rakyat yang mahukan pemilikan Pantai Holdings dikembalikan kepada pelabur tempatan memandangkan syarikat itu menguasai dua konsesi kerajaan, Fomema dan Pantai Medivest.

Amat dikesali, mengapa pertama sekali saham Pantai Holdings telah dijual kepada pelabur Singapura? Siapakah yang telah meluluskan penjualan tersebut. Parkway telah membeli 30.68% saham Pantai yang sepatutnya mencetuskan tawaran awam mandatori, tetapi Parkway telah dikecualikan. Siapa yang telah memberi pengecualian tersebut?

Khazanah telah membazirkan wang rakyat sebanyak RM394.9 juta bagi membeli saham-saham tersebut semula.

Menurut Khazanah, urus niaga tersebut menyaksikan anak syarikat milik penuhnya, Pantai Irama Ventures Sdn. Bhd. (Pantai Irama) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Parkway dan anak syarikatnya, Swiss Zone Sdn. Bhd. (Swiss Zone), bagi mengambil alih 134.7 juta saham Pantai Holdings pada harga RM2.65 sesaham.

Pantai Irama dianggarkan membayar sebanyak RM356.955 juta bagi membeli saham-saham tersebut.

Parkway pula kemudiannya akan membeli 49 peratus kepentingan dalam Pantai Irama dengan meletakkan saham-saham Pantai Holdings pada harga yang sama iaitu RM2.65 sesaham, kata Khazanah dalam kenyataannya di sini hari ini.

Selain itu, Pantai Irama turut membeli secara langsung lebih 30.92 juta saham-saham Pantai Holdings yang mewakili 6.6 peratus kepentingannya, dipercayai di pasaran terbuka pada harga antara RM2.30 hingga RM2.40 sesaham atau kira-kira RM72 juta.

Ia bermakna Khazanah membelanjakan lebih RM429 juta bagi menguasai kira-kira 35 peratus kepentingan dalam Pantai Holdings, tanpa mengambil kira pelaburan semula Parkway di dalam Pantai Irama.

September lalu, Parkway membeli 31 peratus Pantai Holdings pada harga RM311.8 juta.

Parkway sebenarnya mendapat dua kali laba. Pertama, saham yang dibeli semula oleh Khazanah ialah pada harga RM356,955 juta, sedangkan Parkway telah membeli daripada Pantai pada September lalu, dengan harga RM311.8 juta. Kedua, walaupun Parkway telah menjual sahamnya dalam Pantai, ia membeli pula 49% saham daripada Pantai Irama.

Khazanah dalam kenyataannya menyatakan, syarikat itu, Pantai Irama, Parkway dan Swiss Zone turut menandatangani Perjanjian Pemegang Saham yang menetapkan bahawa Khazanah akan memegang kepentingan majoriti dalam Pantai Holdings.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Azman Mokhtar berkata, “Khazanah akan memiliki ekuiti majoriti manakala tanggungjawab operasi dan pengurusan untuk hospital akan dikendalikan melalui kontrak pengurusan yang akan ditandatangani dengan Parkway kelak, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Pantai Holdings.

Nampaknya, Parkway akan terus memonopoli pengurusan hospital-hospital milik Pantai dan akan mengenakan bayaran bagi perkhidmatannya dalam sektor tersebut. Sama ada untung atau rugi, Parkway tetap akan mendapat bayaran pengurusannya, yang mana selepas itu baru dibahagikan keuntungan kepada dua.

Khazanah juga telah melabur dalam Apollo Hospital di India tanpa kepakaran pengurusan. Dalam hal ini, Khazanah bergantung kepada Parkway sekali lagi bagi membantu mengurus pelaburannya dalam Apollo Hospital di India.

Persoalannya, mengapa Khazanah terlalu bergantung kepada kepakaran Singapura untuk mengurus pelaburannya di India? Siapa yang mengesyorkan pelaburan tersebut?

Pendedahan di atas jelas membuktikan kelemahan pimpinan Islam Hadhari yang menerajui negara sekarang.


ALI RUSTAM LEMBAP - PKR


MELAKA 30 OGOS : Disebabkan kelembapan pengurusan dan tindakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam terutama dalam menangani kes-kes yang mudah, namun Ali Rustam memakan masa yang panjang untuk menyelesaikannya.

Antara kes yang menimbulkan kemarahan kepada rakyat Melaka ialah masalah peniaga medan selera Melaka Sentral dan kes gaji pemain bolasepak Melaka (MAFA).

Parti Keadilan Rakyat yang mengumpulkan maklumat mengenai kedua-dua isu itu mendapati, cara permasalahan tersebut ditangani hanya menunjukkan betapa tidak profesionalnya cara pengurusan Ali.

Menurut Ketua Angkatan Muda Melaka, Md. Yusof Abdullah, Ketua Menteri Melaka bertindak dengan cara tidak profesional dalam menangani permasalahan tersebut.

Dalam kes peniaga medan selera Melaka Sentral, Yusof berkata, peniaga dikenakan kadar sewa yang tidak setimpal dengan saiz gerai serta kadar persaingan yang tinggi.

“Pada masa ini, kadar sewaan yang dikenakan adalah sebanyak RM 680.00 sebulan yang mana berbanding dengan purata pendapatan kasar sebulan sekitar RM 1500 akan menghasilkan pulangan bulanan sebanyak RM 400 atau kurang setelah ditolak sewa dan utiliti,” kata Yusof.

Tambahnya lagi, “pendapatan itu hanya lebih sedikit dari kadar kemiskinan iaitu yang digariskan oleh Kerajaan Negeri Melaka.”

Menurut beberapa orang peniaga yang ditemui, mereka telah berniaga di antara 20 – 30 tahun di kawasan tapak lama dengan penghasilan yang agak munasabah tetapi dengan perpindahan di tempat baru menjadikan mereka tidak mampu walaupun untuk membayar sewa.

Menurut pemerhatian yang dijalankan oleh keADILan, daripada sejumlah 50 gerai yang beroperasi, sepuluh daripadanya telah menutup perniagaan dan beberapa lagi akan menurut di dalam tempoh terdekat.

Menurut Yusof yang juga Pemangku Ketua Bahagian keADILan Bukit Katil, perkara itu telah disampaikan oleh persatuan peniaga-peniaga Medan Selera Melaka Sentral kepada pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd sejak 21 Februari 2006 dan disusuli pada 30 Mac 2006.

Malah, menurut Yusof lagi, rayuan juga telah dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka pada 30 Mac lalu dan disusuli sekali lagi pada 11 Mei dengan mengemukakan alasan-alasan seperti ruang kecil (lapan kaki persegi dan empat buah meja) yang tidak membolehkan mereka menempatkan pelanggan yang mencukupi untuk sesuatu masa, kadar kunjungan yang rendah, ruang masak yang kecil serta kedudukan kedai yang tidak berada di laluan yang mudah dan memberi keselesaan kepada pengunjung. Malahan, kerusi yang dibekalkan yang dikatakan berharga RM45 sebuah tidak berkualiti dan mudah pecah serta memudaratkan pelanggan.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd hanya memberikan jawapan pada 18 Mei 2006 dengan mengekalkan kadar sewa tersebut.

Yusof mempersoalkan kelambatan Ali Rustam selaku ketua Menteri Melaka, mengambil masa yang begitu panjang untuk hanya memberi jawapan yang tidak diperlukan oleh peniaga.

“Yang lebih menyedihkan, ada beberapa peniaga yang tanpa segan silu telah menunjukkan surat-surat pajak-gadai dan surat ‘Along’ sebagai bukti bahawa mereka terpaksa berhempas-pulas dan bergolok-bergadai hanya untuk membayar “sewa kedai” kepada syarikat milik kerajaan negeri Melaka,” kata Yusof lagi.

Pengurusan Pasukan Bolasepak Melaka

Yusof juga mendedahkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran Ketua Menteri Melaka ini juga terserlah di dalam pengurusan pasukan bolasepak Melaka.

Menurut Yusof, isu tunggakan gaji dan pembayaran kos-kos pengurusan telah berlarutan dalam satu tempoh yang panjang.

“Ketua Menteri Melaka selaku Presiden MAFA telah menyelar pemain-pemain seolah-olah prestasi buruk mereka berpunca dari sikap mereka yang hanya mementingkan pendapatan atau gaji yang tinggi dan tidak mempertingkatkan kemahiran dan corak permainan mereka,” kata Yusof.

Bagaimanapun, laporan beberapa akhbar tempatan menjelaskan bahawa pengurusan MAFA tidak mampu membayar gaji yang telah mereka tawarkan kepada pemain-pemain.

Yusof mendakwa pihak pengurusan telah menyalahgunakan kuasa yang ada pada Ketua Menteri untuk mengarahkan ketua-ketua jabatan menjalankan operasi meminta sumbangan daripada syarikat-syarikat yang berurusan dengan kerajaan negeri.

Menurut salah seorang pengarah syarikat yang terbabit, pihaknya yang berurusan dengan beberapa jabatan telah dipanggil oleh ketua-ketua jabatan tersebut untuk memberikan sumbangan bagi tujuan membantu pengurusan MAFA menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Dari Malasyia-today


PEMUDA MELAKA ANJURKAN EKSPEDISI DAKWAH DEKATI REMAJA DI MALAM MERDEKA


MELAKA 30 OGOS : Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Melaka akan mengadakan program ekspedisi dakwah mendekati remaja pada malam merdeka iaitu malam ini. Program ini akan bermula di Masjid MITC, Ayer Keroh bermula pada jam 9.15 malam.

Ketua Penerangan DPPN Melaka, Yuhaizad Abdullah berkata, program ini yang menjadi rutin tahunan DPPN Melaka adalah bertujuan untuk mendekati remaja di samping memberikan kefahaman kepada mereka tentang erti sebenar kemerdekaan melalui risalah-risalah yang akan diedarkan kepada mereka.

"Selain itu kita juga ingin menerangkan kepada tentang gejala sosial yang hebat melanda remaja sekarang disebabkan kurangnya didikan dan pegangan agaman di kalangan remaja" jelas Yuhaizad yang juga merupakan NYDP PAS Kawasan Jasin.

Lokasi lain selain dari MITC yang akan dikunjungi oleh DPPN Melaka dalam ekspedisi ini ialah sekitar kawasan pantai di negeri ini.


AHLI UMNO DITARBIYAH SUPAYA JADI 'YES MAN' WALAUPUN PEMIMPIN BUAT SALAH


SEGAMAT, 30 Ogos : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya terus menunjukkan kesetiaan mereka terhadap pucuk pimpinan parti dan negara bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda memajukan rakyat dan negara.

Menurutnya, kesetiaan kepada pemimpin parti dan negara amat penting kerana ia merupakan kunci kejayaan UMNO selama ini dalam berdepan dengan pelbagai masalah yang boleh menjejaskan keutuhan parti.

“Kesetiaan kepada pemimpin amat penting, ini kunci kejayaan kita selama ini, parti tidak kuat kalau sendirian, parti kuat jika pemimpin kuat dan mendapat sokongan secara total,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di sini pada 27 Ogos lalu.

Inilah tarbiyah yang diberikan oleh Umno kepada pengikut-pengikut mereka. Walaupun pemimpin mereka melakukan kesalahan dari segi agama dan undang-undang mereka mesti taat setia dan tidak membangkang. Itulah sebabnya walaupun pemimpin sekarang dikritik hebat kerana melakukan pelbagai kesalahan dan penyelewengan ahli-ahli dan pengikut Umno tetap setia membuta tuli kerana ianya telah menjadi darah daging mereka.

Sedangkan Islam mengajar penganutnya menyatakan yang hak walaupun pahit. Oleh kerana itulah kita lihat pemimpin Umno bebas melakukan kesalahan seperti politik wang, rasuah, penyalahgunaan kuasa tetapi ahli-ahli mereka tetap menyokong dan setia kepada pemimpin sedemikian.

Bekas Perdana Menteri yang hebat mengkritik pimpinan Umno sekarang baru sedar bahawa ahli Umno sekarang tetap akan menyokong Pak Lah walaupun apapun tuduhan dan dakwaan yang Mahathir buat terhadap Pak Lah. Ini kerana Mahathir dan pemimpin Umno terdahulu telah mengajar pengikutnya dengan 'akidah' ini.

Pengikut-pengikut Umno ini rata-rata berbuat demikian kerana terikat dengan kepentingan 'perut' dan kuasa.


HIZBULLAH DAN HAMAS BUKAN PENGGANAS - MENTERI LUAR ITALI


ROME 30 OGOS : Menteri Luar Itali, Massiomo D'Alema, berkata kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas bukan pertubuhan pengganas dan usaha menjadikan pergerakan itu sebagai parti politik perlu digalakkan.

Hamas dan Hizbullah bukan al-Qaeda. Selain daripada pengakuan mereka melakukan keganasan, mereka juga mempunyai peranan politik dan terbabit dalam memberikan bantuan,kata D'Alema kepada majalah Corriere della Sera.

Daripada pertubuhan pengganas, IRA dan ETA akhirnya menjadi pergerakan politik. Kita mesti menggalakkan keadaan seperti ini di Asia Barat,katanya merujuk kepada kumpulan pengganas kulit putih di Ireland Utara dan Sepanyol.

Bagaimanapun, kumpulan pengganas hakiki mesti diperangi dan dikalahkan, katanya lagi.

Amerika Syarikat sebelum ini menyenaraikan Hizbullah dan Hamas sebagai pertubuhan pengganas kerana tindakan kumpulan itu melancarkan serangan ke atas Israel dalam perjuangan mereka mendapatkan semula tanah air mereka yang ditakluk rejim Zionis.

Kesatuan Eropah pula menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas tetapi senarai itu tidak termasuk Hizbullah.

D'Alema membuat kenyataan itu ketika Itali bersetuju menghantar 1,000 tentera ke Lubnan sebagai sebahagian daripada proses mengukuhkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, berkata beliau merasakan pertubuhan yang terbabit dalam keganasan tidak boleh menjadi sebahagian daripada sistem politik.

Pergerakan ini menggunakan demokrasi untuk menyebarkan faham antidemokrasi.

Mereka boleh menjadi sebahagian daripada sistem politik Lubnan jika bersetuju meletakkan senjata, berhenti mendokong ideologi Iran dan menamatkan perjuangan menghapuskan Israel,katanya.

Sementara itu, Israel yang mengakui gagal menewaskan Hizbullah dalam perang selama 34 hari yang berakhir 14 Ogos lalu, sejak lewat kelmarin meningkatkan kembali serangannya ke atas wilayah Palestin menyaksikan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh.

Semalam, Israel melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, menyebabkan lapan orang cedera.

B'Tselem, agensi hak asasi manusia Israel, kelmarin melaporkan, rejim Yahudi mengambil kesempatan meningkatkan pencabulan hak asasi di Palestin ketika krisis Lubnan, kerana media menumpukan berita peperangan itu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59