Tuesday, 29 August 2006

MERDEKALARA - 31 OGOS SEKADAR TARIKH CUTI


Merdekalara...

Gurindam dari Dubai.........


Mengimbas tahun-tahun merdeka
Turun naik gelombang masa
Darah, airmata dan nyawa perwira
Semangat, pengorbanan rakyat biasa
Sejarah dan cerita penglipur lara
Kisah benar atau sandiwara
Menjadi siri drama semasa
Sitcom 49 sebuah merdekalara

Marhaen dan elit bercakap pelat
Kasta politik menjurang darjat
Yang korup bermaharajalela
Yang khianat hidup bahagia
Media masa tanpa keramat suara
Parlimen tempat badut bersengketa
Kabinet (dapur) half past 6 berbau puaka
Di atas nama ketuanan bangsa

Ramai yang ketawa dalam tangisan
Ramai yang menangis dalam kelucahan
Ramai yang lucah dalam kebobrokan
Lebih ramai yang lemas dalam hiburan
Setelah anak-anak tanpa haluan
Ada ijazah menambah pengangguran
Pusat serenti kian menjadi kediaman
Berteduh generasi dari seribu kekalutan

Slogan merapu menyilau kepalsuan janji
Bertukar ganti ke kabut hadhari
Cakap-cakap kedai kopi menjadi polisi
Bisik anak menantu sebagai inspirasi
Bersama heboh kejayaan ekonomi
Statistik superfisial menjadi rasmi
Selagi bernafas dalam lumpur
Negara tempang semakin tersungkur

Ke mana kan di bawa nestapa diri
Tanahair makmur yang kian berduri
Bangun pagi terus bermimpi
Terkial-kial mencari rezeki
Kroni terus merompak khazanah bumi
Pemimpin tidur kekenyangan disiang hari
Retorik yang berputar semakin basi
31 Ogos pun sekadar tarikh cuti!


Fudzail
24 Ogos 2006
Dubai, UAE

Dipetik dari Harakahdaily


MENTALITI MENTERI ISLAM HADHARI SAMA DENGAN MENTALITI BUDAK BELASAN TAHUN


Nampaknya mentaliti menteri dalam kabinet kerajaan Islam Hadhari ini sama dengan mentaliti budak-budak belasan tahun yang hidupnya hanya untuk berhibur tanpa batasan dan masa.

Ini dibuktikan apabila Zainuddin selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM) sendiri yang menyokong dan mengalakkan rancangan-rancangan hiburan di RTM tanpa mengira waktu dan keadaan. Di saat rata-rata umat Islam dunia dihimpit dan dibunuh kita kerajaan lebih suka rakyat berhibur tanpa mengira waktu.

Mungkin juga kementerian penerangan mengadakan program hiburan sebegini sebagai satu usaha untuk melekakan rakyat dari memikirkan isu berkenaan kepentingan rakyat dan negara masih belum dapat dileraikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Rata-rata pemerhati politik tidak faham dan hairan bagaimana RTM boleh menyiarkan satu program yang langsung tidak berfaedah kepada rakyat iaitu program menampilkan artis popular sekarang iaitu Mawi dan bekas tunangnya Ina malam tadi. Program di lihat tidak langsung mempunyai unsur-unsur meningkatkan minda masyarakat.

"Mana-mana stesen tv yang sanggup berkongsi tugas suci ini, RTM sendiri sanggup bekerjasama dengan mereka," demikianlah jawapan Zainuddin Maidin kepada Bernama apabila diminta mengulas kerjasama antara RTM dan Astro malam tadi dalam menyiarkan secara langsung rancangan mempertemukan juara Akademi Fantasia 3 Mawi dengan bekas tunangnya Nordiana Mohamed Naim atau Ina.

Zainuddin menyifatkan rancangan bersama itu sebagai salah satu tugas suci RTM untuk menghiburkan rakyat. Itulah yang agaknya bermain di kepala menteri ini, tidak ubah seperti remaja belasan tahun sahaja corak pemikirannya.

Rakyat digula-gulakan dengan program santai yang tidak berfaedah. Apa yang dipentingkan oleh Zainuddin adalah untuk menarik seramai mungkin penonton tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat. Rakyat diajar supaya membuang masa 'menjengilkan' mata mereka di depan TV berjam-jam tanpa faedah. Apa yang dikesalkan sebahagian besar penontonnya adalah orang melayu Islam.

Inilah bentuk 'tarbiyah' yang dihidangkan oleh Islam Hadhari kepada rakyat. Malang sungguh rakyat Malaysia mempunyai kerajaan sebegini.


PAK LAH SERU NEGARA UMAT ISLAM TANGANI RASUAH, RASUAH DALAM NEGARA SENDIRI PUN TAK MAMPU DIKURANGKAN


KUALA LUMPUR 29 Ogos – Bagai ketam mengajar anak berjalan sendiri, itulah ungkapan yang sesuai ditujukan kepada Imam Al-Hadhdari, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggesa negara umat Islam menangani gejala rasuah yang kian meruncing. Malaysia sendiri yang ditadbir oleh Imam Al-Hadhari sendiri pun bergelumang dengan dosa rasuah dan gagal ditangani oleh beliau. Malaysia sendiri menduduki tangga ke-39 negara paling korup di dunia.

Dari kajian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke atas 158 negara, negara Islam yang terbaik hanya menduduki tangga ke-29.

Semasa berucap merasmikan Forum Pertama Mengenai Antirasuah anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) hari ini, Perdana Menteri berkata, jika purata mata keseluruhan diambil kira, negara Islam hanya memperoleh 3.06 daripada 10 mata, meletakkan negara-negara Islam di tempat ke-89.

‘‘Sungguhpun CPI hanyalah satu kajian persepsi, ia telah dijadikan satu mata rujukan untuk bakal pelabur,’’ katanya yang juga Pengerusi OIC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Negara yang menduduki tangga ke-29 itu ialah Oman manakala Chad, yang juga sebuah negara anggota OIC, menduduki tangga teratas negara paling korup di dunia.

“Lebih malang lagi daripada 10 tempat terbawah mengikut CPI, separuh daripadanya terdiri daripada negara Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, OIC perlu memainkan peranan lebih aktif dalam usaha memerangi rasuah di peringkat global demi kepentingan ummah.

Katanya, usaha itu bukan sahaja bagi memenuhi tanggungjawab kepada masyarakat antarabangsa, tetapi juga untuk membina masa depan ekonomi, sosial dan politik ummah.

‘‘Adalah penting bagi negara Islam memberi fokus kepada usaha memperbaiki kedudukan CPI demi kepentingan ekonomi dan politik mereka,” katanya.

Katanya, OIC memikul tanggungjawab penting bagi membina ummah yang bebas rasuah.

‘‘Tidak ada jalan pintas bagi memerangi rasuah, tetapi kita boleh membuat banyak kemajuan jika kita melaksanakan pelbagai strategi serta tindakan reformasi perundangan dan pentadbiran.

‘‘Ia bukanlah mudah untuk menghapuskan rasuah, tetapi kita perlu berusaha bagi mengurangkannya,” kata beliau.

Beliau berkata, rasuah jika tidak diperangi akan membawa kerosakan kepada ekonomi, politik, budaya dan manusia.

‘‘Rasuah bukan sahaja merupakan masalah generasi sekarang tetapi ia juga akan menjadi masalah kepada generasi akan datang.

Nampaknya Imam Al Hadhari ini hanya pandai bercakap sahaja tetapi beliau sendiri gagal mengambil langkah-langkah berkesan. Beliau sendiri teruk dikritik oleh bekas PM, Tun Mahathir dan pembangkang apabila anak dan menantunya menjadi kaya raya dalam sekelip mata melalui empayar perniagaan yang didakwa berkaitan dengan kerajaan. Dakwaan ini gagal di jawab dengan baik oleh Perdana Menteri.

Malah kabinet yang dibentuk beliau selepas perletakan jawatannya Tun Mahathir juga disangsikan oleh ramai pihak kerana mengekalkan ramai menteri yang terlibat pelbagai kontroversi.


NAJIB BERCAKAP IKUT SEDAP MULUT


PASIR MAS 29 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya bercakap ikut sedap mulut sahaja apabila 'angkat bakul' sendiri dengan menyatakan keyakinan bahawa gelombang perubahan yang diperlihatkan oleh rakyat Kelantan sehingga kini tidak akan terjejas dengan sebarang perkembangan politik di peringkat nasional.

Hakikatnya orang Kelantan sebenarnya lebih cerdik dan pintar berpolitik berbanding dengan orang lain. Mereka tidak pernah terpisah dari arus gelombang peringkat nasional malah mereka lebih bijak membaca tipu muslihat pemimpin Umno/BN. Lihat sahaja bagaimana mereka mengajar Umno/BN dalam Pilihanraya Umum 1990 dan 1999 apabila Umno/BN tewas teruk di Kelantan dengan kekuatan PAS/Semangat 46/BA, isu nasional dan isu perpecahan dalam Umno.

Najib nampaknya sengaja hendak menyedapkan hati sendiri dan Umno Kelantan dengan berkata begitu. Najib sebenarnya terpukul dengan situasi mutakhir yang menyaksikan beratus-ratus ahli Umno menyertai PAS termasuk orang kuat Annuar Musa iaitu Hussin Mat.

Kalau Najib hendak menjadikan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir Disember tahun lalu sebagai ukuran maka beliau sebenarnya tersilap kerana kemenangan itu adalah disebabkan undi Pos dan pelbagai penyelewengan yang didedahkan sendiri oleh Mahkamah. Itupun BN hanya menang 100 lebih sahaja.

“Saya lihat Kelantan lebih bersifat isu ‘local’ (tempatan). Tidak terlibat soal di peringkat nasional. Mereka mula melihat dan rasakan apa yang lebih menguntungkan dan memberi manfaat kepada mereka,” kata Najib semalam.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas melancarkan projek saliran bandar Pasir Mas dan sekitarnya dengan peruntukan awal sebanyak RM10 juta di sini hari ini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59