Wednesday, 23 August 2006

Salleh Abas: Dedahkan kebenaran mengenai krisis kehakiman 1988


KUALA LUMPUR 23 OGOS : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menyokong cadangan Majlis Peguam supaya disiasat semula krisis kehakiman pada 1988 yang mengakibatkan beliau dipecat daripada jawatannya.

Dalam sidang akhbar di Institut Jantung Malaysia (IJM) hari ini, di mana beliau sedang menjalani rawatan, beliau mengeluarkan kenyataan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan episod tersebut yang dilihat telah mengongkong kebebasan bidang kehakiman.

Dalam reaksi pertamanya sejak Majlis Peguam membuat cadangan tersebut pada 17 Ogos lalu, beliau membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz kerana menolak cadangan tersebut.

Katanya, selepas membaca kenyataan Nazri itu, beliau membuat kesimpulan bahawa ianya dibuat secara tergesa-gesa.

Menurut Salleh, 77, Nazri telah berkata bahawa perkara tersebut telah disiasat dan didapati tidak ada apa yang tidak kena mengenainya.

“Persoalannya ialah bilakah siasatan itu dijalankan dan jika ia dijalankan, apakah aspek siasatan tersebut? Mengapa menteri itu membuat kenyataan berkenaan?”katanya.

Salleh menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam siasatan tersebut, sambil berkata, sebarang keputusan adalah ‘satu keputusan politik...dan ianya terpulang kepada kerajaan”.

Kebenaran akan terbukti

Apa yang paling penting, katanya, ialah untuk memulihkan sebuah institusi yang demokratik dan kedaulatan undang-undang.

“Kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan saya adalah secara kebetulan, kerana kami pernah menjadi hakim negara ini dengan berikrar untuk melindungi dan mempertahankan perlembagaan,” katanya.

Ditanya perasaannya ketika dipecat, Salleh menjawab: “Saya begitu kecewa, sehingga saya tidak menggalakkan anak dan cucu-cucu saya daripada belajar undang-undang. Saya mencari ketenangan dengan menjadi seorang pekebun (di Bukit Payung, Terengganu di mana beliau memiliki ladang di situ).

“Kebenarannya ialah pemecatan dan penggantungan lima rakan hakim saya adalah satu penipuan terhadap bidang kehakiman dan anda tidak boleh menutup kebenaran itu dengan sesuatu yang palsu. Macam manapun perkara itu akan timbul....ia akan timbul juga akhirnya...Ianya sesuatu yang lumrah,” tegasnya.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung – Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman – yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan – turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut, termasuk Singapura dan Sri Lanka.

‘Semak semula kuasa menteri’

Mengulas mengenai perlu dipulihkan kebebasan bidang kehakiman, Salleh menggesa supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memulihkan peruntukan bagi mengadakan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri. Peruntukan ini dihapuskan selepas krisis 1988.

“Kuasa (kehakiman) tidak boleh dibelenggu oleh pelbagai perundangan (dengan) peruntukan seperti ‘sebarang keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,’” katanya.,

Beliau juga berkata, parti-parti politik tidak boleh meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri, di mana pertikaian dalamannya, tidak tertakluk kepada semakan kehakiman. Ini membolehkan parti-parti (politik) menjadi “hakimnya sendiri, yang jelas melanggar prinsip-prinsip keadilan semula jadi”.

“Lebih daripada itu, pelantikan dan kenaikan pangkan para hakim mestilah telus jika mahu dihapuskan rasa kekecewaan yang tidak sihat di dalam bidang kehakiman.

“Ketika menyediakan kenyataan ini, saya berpeluang membaca laporan malaysiakini mengenai sokongan mereka yang ternama, terhadap cadangan Majlis Peguam itu, saya amat berterima kasih kepada mereka ini,” katanya

Salleh yakin ramai lagi yang berkongsi pandangan yang sama ekoran persepsi awam bahawa pemecatan beliau dan rakan-rakan saya dilakukan secara ‘tidak adil’.

Katanya, cadangan Majlis Peguam itu adalah untuk faedah negara di mana “kita mahu melihat ia ditadbir secara demokratik dan mengikut undang-undang, supaya sistem itu dapat bertahan untuk generasi yang akan datang.”

Sumber : Malaysiakini


RM10.2 JUTA DUIT RAKYAT DIBAZIRKAN


KUALA LUMPUR 23 OGOS : RM10.2 juta lagi duit rakyat dibazirkan oleh kerajaan Islam Hadhari apabila duit tersebut digunakan untuk melunaskan hutang syarikat penganjur kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL), First Cartel Sdn Bhd yang tertunggak juta bagi menyelamatkan kejohanan itu dari berkubur. Hal ini didedahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, tindakan tersebut bagi memastikan kejohanan itu diteruskan terutamanya pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

" Penganjuran kejohanan lumba basikal terulung di Asia itu mungkin tidak dapat diteruskan pada masa depan jika kerajaan tidak mengambil alih penganjurannya daripada syarikat swasta First Cartel Sdn Bhd yang dilanda hutang tertunggak RM10.2 juta," jelas beliau.

Menurut laporan Bernama, Azalina mendedahkan 'operasi menyelamat LTdL' itu ketika menjawab soalan lisan Datuk Astaman Abdul Aziz (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya lagi, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) telah memberi amaran kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggantung keanggotaan negara sebagai ahli gabungannya atau menggantung hak negara menganjurkan sebarang kejohanan berbasikal pada masa akan datang jika hutang itu tidak diselesaikan.

"Jumlah kos yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengambil alih kejohanan ini adalah sebanyak RM3,458,844.35 dan ini bukanlah untuk menyelamatkan syarikat First Cartel Sdn Bhd," katanya.

Hutang tertunggak

Daripada jumlah tersebut kementeriannya bersetuju untuk menyelesaikan tunggakan hutang bernilai RM2,307,909.09 yang dituntut pihak UCI, iaitu RM1,056,238.25 untuk bayaran "Cycling Related Creditors" dan RM1,251,670.84 untuk "Television Related Creditors".

Kementerian Pelancongan pula bersetuju untuk membayar RM1,150,935.26 bagi menjelaskan bayaran penginapan hotel tertunggak.

First Cartel bersetuju untuk menyerahkan hak penganjuran itu kepada kerajaan manakala UCI pula mengenakan syarat agar kepakaran teknikal yang dimiliki oleh kakitangan syarikat itu dikekalkan di bawah pengurusan yang baru bagi membolehkan kejohanan itu diiktiraf UCI.

Katanya bagi mengelak masalah yang sama berulang, kementeriannya dan Kementerian Pelancongan telah menubuhkan jawatankuasa bersama Pelancongan Sukan Antarabangsa.

Ia akan meneliti segala permohonan untuk penganjuran program sukan antarabangsa oleh pihak persatuan, badan-badan atau pihak swasta daripada pelbagai aspek seperti kewangan, kepakaran, kemudahan dan promosi.

LTdL adalah salah satu daripada lima kejohanan utama dunia yang diiktiraf UCI dan mendapat pengiktirafan "Hors Classe" yang merupakan pengiktirafan tertinggi kejohanan peringkat "Continental".

Ia juga merupakan salah satu agenda pelancongan yang terpenting bagi negara.

DARI DAHULU LAGI RAMAI ORANG MENYATAKAN BAHAWA LTDL INI HANYALAH MEMBAZIRKAN DUIT RAKYAT. SEKARANG IANYA TERBUKTI. CUBA BAYANGKAN BERAPA RAMAI ORANG MISKIN, ANAK YATIM, PELAJAR-PELAJAR DAN LAIN-LAIN YANG AMAT MEMERLUKAN DUIT UNTUK KEHIDUPAN MEREKA DAPAT DIBANTU DENGAN JUMLAH DUIT SEBANYAK ITU.

INILAH KERAJAAN ISLAM HADHARI YANG HANYA TAHU MEMBAZIRKAN WANG RAKYAT.


Umno KELANTAN TERUS TERTEKAN


JELI, 23 Ogos - Umno Kelantan terus tertekan dengan tindakan ramai ahlinya keluar parti dan menyertai PAS.

Baru dua hari Perdana Menteri mendakwa peluang cerah Umno menawan Kelantan, sebaliknya malam tadi seramai 100 lagi ahli Umno meninggalkan perjuangan bersama parti itu.

Mereka diketuai Ashaary Che Man, 53 dari Kampung Batu Melintang Luar menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tindakan mereka itu secara tidak langsung membuktikan kenyataan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin tersasar.

Ashaary bekas anggota jawatankuasa Umno cawangan kampung tersebut berkata, sudah sampai masanya beliau, keluarga dan rakan-rakan meninggalkan perjuangan lama.

"Saya tidak mahu lagi bersekongkol dengan parti itu yang sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal. Lagi pun sepanjang saya menjadi pendokong kuat Umno tidak pernah saya bergantung harap mendapat projek seperti orang lain.

"Satu mangkuk tandas pun saya tidak pernah minta. Malah lebih mengecewakan lagi saya apabila permohonan penduduk memohon lampu jalan tidak dihiraukan, sebaliknya di tempat yang tidak ada orang pula dipasang lampu," katanya selepas majlis tersebut.

Ribuan hadir mengikut ceramah yang diadakan di tepi jalan raya Jeli - Gerik sehingga anggota polis terpaksa mengawal lalu lintas.

Beliau juga melahirkan rasa kesal apabila wakil rakyat Dun Kuala Balah tidak menunaikan janjinya membayar semula wang anaknya semasa membantu kempen Umno pada pilihan raya lalu.

Anaknya Saiful Anwar, menggunakan wang simpanan sendiri bagi membantu calon Umno iaitu hampir RM1,000, namun selepas pilihan raya wang yang dijanji dibayar semula.

"Ayah saya ada pergi berjumpa dengan Adun Kuala Balah, namun dia janji mahu membayar dalam bentuk projek. Dan sehingga sekarang janji itu tidak ditunaikan," kata seorang lagi anaknya Saiful Aswadi, 26.

Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Apandi Mohamad berkata, selepas ini lebih ramai lagi ahli-ahli Umno akan meninggalkan perjuangan lama mereka selepas kepincangan dalaman didedah sendiri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Besar ketika mengulas dakwaan Perdana Menteri mahu merampas Kelantan beliau berkata, kalau sekadar membuat jalan, jambatan dan bangunan parti Komunis pun boleh melakukan perkara itu, malah lebih hebat lagi berbanding negara ini.

Bagaimanapun kata beliau pemimpin negara tidak menggunakan kaedah Islam bagi membangunkan Malaysia, sebaliknya lebih gemar mempopularkan sistem demokrasi ciptaan manusia.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, amat malang bagi orang Melayu di Pulau Pinang sekiranya permasalahan mereka tidak dapat diselesaikan ketika pemimpin dari negeri itu masih menjadi Perdana Menteri.

"Hendak harapkan siapa lagi bagi menyelesaikan orang Melayu di Pulau Pinang . Umno patut menyelesaikan masalah itu dahulu sebelum berangan-angan merampas negeri ini," katanya.

Hadir sama pada program tersebut Penyelia Dun Kuala Balah, Haji Rasyid Mat Jais dan Penyelia Dun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya'kub.

Dari : Harakahdaily


Hakim sivil tidak boleh campur urusan syariah


Ketua Hakim Negara jamin Perlembagaan Persekutuan dipatuhi

PUTRAJAYA 23 OGOS : Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri urusan Mahkamah Syariah, kata Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (gambar).

Beliau menegaskan, peruntukan dalam Perlembagaan sudah membahagikan bidang kuasa undang-undang sivil dan syariah dengan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri urusan Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak terutama umat Islam tidak perlu bimbang atau beranggapan hakim Mahkamah Sivil cuba mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah apabila membicarakan kes berkaitan orang Islam.

Jika Perlembagaan Persekutuan mengatakan hal itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, kita akan kendali tetapi jika dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, kita tidak akan kendalikan kes itu.

Hakim sivil dalam penghakiman mereka hanya mentafsir undang-undang berasaskan bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan. Jadi, Mahkamah Sivil hanya mengendalikan hal berkaitan Islam berdasarkan peruntukan undang-undang, katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia di sini semalam. Lebih 80 hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan menghadiri persidangan tiga hari itu.

Turut hadir, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamed; Imam Masjid Al-Farah, New York, Feisal Abdul Rauf dan Ketua Hakim New South Wales, Australia, JJ Spi gelman.

Ahmad Fairuz menjelaskan, hakim sivil hanya mentafsir Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut undang-undang ketika membuat penghakiman bagi kes berkaitan orang Islam.

Individu atau peguam pula membawa kes berkaitan orang Islam ke Mahkamah Sivil bagi mendapat pandangan hakim sivil mengenai kes mereka berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak faham mengapa orang ramai harus keliru. Mereka tidak perlu bimbang (kononnya) kami (institusi mahkamah sivil) cuba merampas peranan Mahkamah Syariah.

"Kami hanya mentafsir Perlembagaan berdasarkan apa yang sepatutnya ditafsir dengan hujah yang diberikan kepada kami dan tiada sebab untuk orang ramai bimbang mengenainya? katanya

Ahmad Fairuz juga menegaskan, pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan tidak harus dipertikai kerana ia dibuat mengikut prosedur dan proses yang sama sejak merdeka hingga sekarang.

Katanya, jika beberapa Ketua Hakim Negara sebelum ini yang bermula sebagai hakim mahkamah terbabit dianggap sebagai individu berintegriti dan jujur, tiada sebab pelantikan hakim sekarang harus dipersoalkan.

Ada peguam menuduh hakim ini tidak jujur dan tiada integriti. Tunjukkan kami bukti dan kita akan bertindak, katanya.

Beliau menamakan Ketua Hakim Negara kedua, Tun Syed Sheh Syed Hassan Barakbah Al-Haj; Ketua Hakim Negara keempat, Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim dan Ketua Hakim Negara kelima, Sultan Azlan Shah sebagai antara contoh hakim yang berintegriti dan jujur.

Beliau berkata, hakim sekarang dilantik berasaskan kaedah yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, dilantik pihak berkuasa yang sama dan mengikut prosedur yang sama sejak 1957.

Katanya, jika bekas Ketua Hakim Negara itu dianggap individu berintegriti dan jujur, tiada alasan hakim sekarang, yang dilantik oleh pihak berkuasa yang sama, menggunakan prosedur serupa, dianggap tidak berintegriti.

Ahmad Fairuz berkata, semua pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam diberi peluang untuk memberi pandangan dan ahlinya ditawarkan jawatan sebagai hakim.

Katanya, jika Pengerusi Majlis Peguam tidak diminta memberi pandangan mengenai pelantikan hakim, tidak bermakna ahli Majlis Peguam tidak berpeluang memberi pendapatnya sebelum pelantikan hakim.

Beberapa peguam kanan yang biasa membentangkan kes di mahkamah dan tahu perjalanan mahkamah biasanya memberi pandangan dalam rundingan tidak rasmi sebelum pelantikan hakim baru.

Jangan mempersalahkan prosedur pelantikan atau kenaikan pangkat hakim," katanya yang tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli Majlis Peguam dilantik sebagai hakim pada masa depan.


ORANG MELAYU HANYUT DI BUAT MIMPI. 70 % MASIH TIDAK MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH


TERENGGANU 23 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bimbang jumlah orang Melayu yang belum mendaftar sebagai pemilih di negara ini semakin meningkat iaitu mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan 4.5 juta penduduk yang belum berbuat demikian.

Dalam usaha memancing golongan itu mendaftar sebagai pemilih, SPR bersedia mengikuti langkah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang pernah menawarkan hadiah bulanan lumayan termasuk kereta MyVi bagi menarik orang ramai supaya segera menukar kad pengenalan baru.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Rashid Abd. Rahman berkata, angka 4.5 juta dan perlu diberi perhatian khususnya oleh parti-parti politik termasuk UMNO. ( Hai, Tan Sri macam berpihak je, orang kampung semua dah tau)

Malah, beliau mengingatkan UMNO bahawa parti pembangkang terutama Pas dan DAP sekarang agresif melaksanakan tugas sebagai ejen SPR dalam proses daftar pemilih dalam kalangan ahli parti mereka. (Ini lagi jelas)



‘‘SPR memiliki lebih 1,600 ejen daftar pemilih termasuk UMNO dan Pas. Tetapi ejen UMNO mungkin banyak tidur sedangkan ahli dan ejen DAP serta Pas termasuk di Pantai Timur begitu agresif sekali.

‘‘Jika ada pihak nak marah, saya tidak kisah tetapi itulah hakikatnya dan saya tidak mahu mana-mana pihak akan rugi jika semakin ramai orang Melayu tidak mendaftar sebagai pemilih,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Kembara Merdeka SPR 2006 di Dataran Pantai Batu Buruk di sini hari ini.

Mengenai laporan bahawa lebih 660,000 ahli UMNO yang belum mendaftar sebagai pemilih, Abd. Rashid berkata, ia perlu diberi perhatian oleh parti itu untuk menggerakkan lebih aktif proses daftar pemilih.( Lebih baik letak jawatan nak masuk politik la)

Orang melayu sebenarnya leka dengan hiburan melampau dan angan-angan kosong sebab itu mereka tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59