Wednesday, 16 August 2006

DPP NEGERI SIMPATI DENGAN KEMALANGAN MENIMPA KELUARGA LIM


MELAKA 16 OGOS : Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lajnah Perpaduan Nasionalnya melahirkan rasa simpati diatas kematian tiga kanak-kanak adik-beradik dan ibu saudara mereka dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Hilir, Bandar Hilir di sini awal hari ini.

Setiausaha Lajnah tersebut, Zein Aziz dalam kenyataannya kepada blog ini petang tadi melahirkan rasa sedih dan terharu dengan kejadian malang itu.

"Kita mengharapkan ibubapa kanak-kanak malang tersebut bersabar dengan kejadian sedih ini. Jangan menyalahkan diri sendiri kerana ianya akan lebih menyedihkan hati" kata Zein dengan nada sayu.

Dalam kejadian tersebut tiga beradik yang malang itu ialah Lim Ju Seng, 10, dan Lim Ju Juan, 7, kedua-duanya perempuan, adik lelaki mereka Lim Lai Shen, 6, serta ibu saudara mereka Ho Chun Yee, 13. Mereka gagal menyelamat diri dan terperangkap dalam kebakaran yang tragis tersebut.

Dua lagi saudara kepada mangsa iaitu Rachael Chan Man Yee, 9, dan Tan Po Hwa, 24, yang turut berada dalam rumah semasa kejadian pada 1.50 pagi berjaya menyelamatkan diri, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mayat Ju Juan ditemui di bilik depan rumah manakala mayat Ju Seng, Lai Shen dan Chun Yee ditemui dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah papan yang mempunyai lima bilik.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia itu dipercayai sedang tidur dan gagal menyelamatkan diri berikutan asap tebal serta api marak terlalu cepat.

Rachael yang sedang nyenyak tidur didukung keluar oleh Po Hwa yang terpaksa meredah asap dan api untuk keluar dari rumah tersebut.

Kejadian malam tadi adalah tragedi kedua yang dialami Rachael selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran rumahnya yang terletak bersebelahan rumah adik-beradik itu pada Khamis lepas.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu terbabit memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Suasana pilu menyelubungi ruang menunggu Bilik Mayat Hospital Melaka dengan anggota keluarga dan rakan menanti untuk menuntut mayat.

Bapa kepada tiga beradik itu, Lim Kok Seng, 40, berkata ketika kejadian beliau pergi menjemput isterinya yang bekerja di sebuah kedai minuman berdekatan rumahnya.

"Dalam masa sepuluh minit sampai di kedai, seorang jiran memberitahu rumah saya terbakar. Saya terus lari balik, tak pakai selipar dan tengok rumah sedang marak terbakar," katanya.

Beliau mendengar jaritan anaknya Ju Juan yang berada di bilik depan memanggil namanya supaya diselamatkan.

"Saya dengar anak saya memanggil nama saya, pintu depan tak boleh buka, saya lari ke belakang rumah, tendang pintu rumah sekuat-kuatnya beberapa kali baru terbuka. Masa itu saya lihat Po Hwa mendokong seorang budak (Rachael) lari keluar," katanya.

Beliau cuba memasuki rumah tersebut untuk menyelamatkan ketiga-tiga anaknya tetapi gagal berikutan asap tebal dan api yang terus marak.

Kok Seng, yang cedera di tangan dan kaki akibat disambar api, sambil menitiskan air mata mengenangkan jeritan anaknya meminta pertolongan, melahirkan rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan anak-anaknya.

Anak perempuan sulung Kok Seng yang berusia 19 tahun tinggal di Kuala Lumpur.

Po Hwa pula berkata beliau hanya sempat menyelamatkan Rachael dan gagal masuk semula untuk menyelamatkan ketiga-tiga beradik itu.

"Saya tengah tidur, tiba-tiba terasa bahang panas, saya cuba membuka pintu tapi tidak berjaya, nasib baik ada orang dari luar tolong bukakan," katanya yang menumpang bermalam di rumah tersebut.


MAT PUNK BERLAGAK SAMSENG MEMUKUL ORANG TANPA USUL PERIKSA


MELAKA 16 OGOS : Satu lagi peristiwa menyayat hati berlaku di Melaka semalam apabila seorang yang tidak bersalah tiba-tiba dipukul oleh sekumpulan Mat Punk tanpa usul periksa. Budaya seperti ini jika tidak dibendung akan menyebabkan keselamatan orang ramai tidak terjamin.

Kumpulan Mat Punk ini sudah tentu dianggotai oleh orang muda atau remaja yang dididik dibawah sistem pelajaran kebangsaan yang langsung tidak mementingkan ajaran agama dan akhlaq. Oleh kerana itulah budaya maksiat, punk, pergaulan bebas, samseng, murtad dan sebagai kian menjadi-jadi di seluruh negara.

Di Melaka sahaja hampir setiap hari kes khalwat, rogol, rompak, samun, zina, pergaduhan dan sebagainya dilaporkan oleh media massa. Angka kejadian seperti ini bukannya berkurangan malah bertambah dengan pesatnya seiring dengan pembangunan negeri Melaka yang dicanangkan oleh pemimpin negeri ini.

Walaupun kejadian seperti kian meruncing namun kita melihat pemimpin peringkat negeri dan pusat tidak langsung gusar malah mereka lebih leka dengan agenda pembangunan RMK9 dan juga sedang sibuk memikirkan bagaimana untuk menghalang Dr Mahathir dari berjumpa dengan ahli dan penyokong Umno serta rakyat.

Media hari ini melaporkan bahawa wajah hampir sama dengan orang yang dicari menyebabkan seorang lelaki koma akibat dibelasah antara 20 hingga 30 anggota Mat Punk di sebuah warung di Jalan Duta 6, Taman Muzaffar Syah Ayer Keroh di sini, malam kelmarin.

Mohd Fahmi Sulaiman, 29, yang mempunyai dua anak, parah di kepala akibat dipukul dengan besi, kayu dan rantai selepas makan malam bersama rakan di warung itu.

Dia yang bekerja sebagai pemandu terpaksa dipindahkan dari Hospital Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan oleh pakar saraf.

Difahamkan, kumpulan punk terbabit membelasah Fahmi berikutan orang yang mereka cari mirip wajahnya.

Abang mangsa, Feisal Sulaiman, 38, berkata menurut rakan mangsa, adiknya sedang menunggang motosikal dengan membonceng seorang rakan untuk pulang ke rumah selepas selesai makan.

Sebaik bergerak dari warung itu, Fahmi dan rakannya, Muhammad Fauzi Dzolkifli, 27, dihalang kira-kira 20 hingga 30 lelaki yang bersenjatakan besi, kayu dan rantai.

Kumpulan lelaki itu kemudian terus memukul Fahmi dan Fauzi tanpa soal jawab. Bagaimanapun, Fauzi yang patah hidungnya dapat melarikan diri ke dalam semak berhampiran,? katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Dia berkata, mangsa dibelasah hampir 40 minit.

Mereka hanya berhenti membelasah adik saya selepas menyedari orang yang dipukul mirip wajah orang yang mereka cari, katanya.

Fahmi mempunyai dua anak berusia setahun dan tiga tahun. Isterinya kini sedang mengandung anak ketiga.

Sementara itu, menceritakan detik malang itu, Fauzi berkata, ketika sedang membonceng motosikal yang ditunggang Fahmi, dia secara tiba-tiba dilibas dengan sebatang kayu oleh seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, kayu itu mengenai mukanya menyebabkan dia tercampak ke belakang, manakala motosikal itu jatuh lalu menghempap kaki Fahmi.

Selepas itu, sebuah kereta Perodua Kancil datang lalu melanggar motosikal yang menghempap Fahmi menyebabkan kakinya patah. Sekumpulan lelaki lain yang datang selepas itu terus memukul saya dan Fahmi bertalu-talu.

Apa yang saya dapat lihat, darah memenuhi belakang kepala Fahmi selepas dipukul dengan kuat menggunakan besi paip, manakala saya terpaksa menahan pukulan daripada 10 lelaki, katanya.

Fauzi patah hidung, kulit luar mata terkoyak serta cedera di muka, kedua-dua bahu dan lebam di beberapa bahagian badan.

Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) negeri yang tiba selepas dihubungi orang ramai membawa mangsa ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, bapa Muhammad Fauzi, Dzolkifli Yasak, 52, menggesa polis menyiasat dan menahan mereka terbabit.

Saya kesal kerana orang yang tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa menjadi mangsa belasahan. Saya harap mereka yang mencetuskan pergaduhan itu ditahan dan didakwa secepat mungkin, katanya.


FILEM GUBRA : ISU PENGHINAAN KEPADA AGAMA LEBIH BESAR DARI ISU BAHASA YANG DI GUNA OLEH SYARIFAH AMANI


KUALA LUMPUR 16 OGOS : Sehari dua ini heboh pasal penghinaan terhadap bangsa dan bahasa Melayu yang dilakukan oleh pelakon Gubra Syarifah Amani ketika menyampaikan ucapan selepas diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19).

Ada yang menyifatkan pelakon berkenaan `anak Melayu lupa daratan’, orang ramai yang turut mendesak Syarifah Amani atau lebih mesra dengan panggilan Nani, tidak lagi diundang ke majlis rasmi.

Malah, ada di antara mereka menyarankan penerbit filem atau drama memulau pelakon berkenaan, selain turut meminta Perbadanan Filem Nasional (Finas) berbuat sesuatu untuk memastikan perilaku aktres berkenaan tidak menjejaskan artis keseluruhan.

Seorang pembaca yang enggan namanya disiarkan berkata, kenyataan Nani itu amat mengguris hati orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan kemerdekaan negara ini.

“Kenyataannya itu memang tidak boleh dimaafkan langsung, apatah lagi ketika bangsa dan bahasa Melayu terus dimartabatkan,” katanya menerusi e-mel kepada sebuah media.

Ketika berucap di pentas sejurus dianugerahkan Aktres Wanita Terbaik, Nani mengeluarkan kata-kata yang dianggap keterlaluan sehingga menghina bangsa dan bahasa Melayu.

Dia dilaporkan berkata: “I look stupid when speak in Malay, so I will make my speech in English”(saya kelihatan bodoh bila bercakap bahasa Melayu, jadi saya akan berucap dalam bahasa Inggeris).

Tetapi malangnya isu penghinaan kepada Islam dan pengembangan budaya Islam liberal
yang dimuatkan di dalam filem tersebut tidak dibesar-besarkan. Sepatutnya isu tersebut lebih besar dan serius berbanding isu bahasa.

Malah kata-kata Amani yang seolah-olah mencabar pihak tentu yang menurutnya mengkritik filem tersebut tanpa usul periksa sehingga Amani berkata dengan biadap , "If the film (Gubra) mencemar budaya, let's do it more often (Jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi)", sepatutnya menjadi isu yang lebih besar dari isu bahasa ini.

Filem ini di dakwa cuba mengembangkan pemikiran liberalisme yang membahayakan masyarakat.

"Mereka mahu maksiat diterima pakai dan seolah-olah Islam juga turut mengiktiraf perkara sumbang," komen AJK PAS Pusat Mahfuz Omar terhadap filem ini.

"Saya tidak fikir filem ini untuk hiburan tetapi untuk menyalurkan agenda tersirat yang menyesatkan," tambah Mahfuz lagi.

Tambahnya, pengarah filem tersebut, Yasmin Ahmad, seolah-olah mahu masyarakat menerima situasi realiti seperti perzinaan, berpelukan, berpacaran tanpa batasan yang berleluasa ini sebagai satu cara hidup yang wajar diterima pakai atas dasar kasih sayang.

"Kalaupun ada suasana realiti yang dipersembahkan, tidak bermaksud kita mesti menerima semua yang dihadapkan kepada kita," katanya.

Dalam filem itu, katanya, ada adegan seorang bilal memegang anjing dan memandang mudah aktiviti jirannya yang jelas bergelumang dengan maksiat iaitu melacur.

"Apa mesejnya melalui watak bilal ini? Sama ada mahu menyinggung Islam atau ingin mengajar orang beragama supaya menerima perlakuan tidak wajar?" tanyanya.

Selain itu, beliau turut kesal filem Melayu sekarang sudah melampaui dan melanggari adat resam, budaya serta agama masyarakat di negara ini.

"Semua berlindung di sebalik atas nama 'seni' dan kebebasan berfikir," katanya.

Beliau turut kesal Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim turut mengiktiraf filem yang tidak mencermin budaya malah terperangkap dengan agenda mereka yang mencemar budaya bangsa sendiri.

"Objektif kementeriaan berkenaan menampil serta mengekalkan budaya dan nilai-nilai murni rakyat negara ini nampaknya gagal kerana menobatkan filem yang tonjolkan budaya serba songsang," katanya.

"Lihat sekarang, hasil 'produk' filem tersebut, secara terang-terang memperlekehkan budaya bangsa iaitu bahasa Melayu," katanya yang merujuk kepada Syarifah Amani.


KELEMBIKAN PAK LAH KIAN TERSERLAH


MELAKA 16 OGOS : Nampak kekesalan Dr Mahathir kerana melantik Pak Lah sebagai penggantinya kian menjadi kenyataan. Ini ditambah lagi dengan teguran ikhlas dari Allahyarham Us Fadzil Nor yang pernah menyatakan bahawa Pak Lah tidak mempunyai karisma dan kemampuan untuk memikul tugas sebagai orang no.1 di Malaysia.

Satu demi satu 'kelembikan' Pak Lah terdedah. Sebelum ini ianya didedahkan oleh pembangkang tetapi kini ianya terdedah dengan sendirinya apabila menteri-menteri dan ahli-ahli Umno sendiri yang membuka 'pekung' tersebut.

Peristiwa penghantaran memo tentang isu seksyen 121(1A) Perlembagaan oleh menteri-menteri bukan Islam nampak jelas mendedahkan kelemahan Pak Lah yang langsung tidak dihormati oleh menteri-menteri tersebut.Akhir-akhir ini Pak Lah dikatakan lembik dan tidak bermaya oleh Dr Mahathir kerana membiarkan dirinya dikuasai oleh dua tiga orang yang rapat dengannya terutama menantunya iaitu Khairy Jamaluddin.

Dr Mahathir juga mendakwa Pak Lah gagal menangani isu jambatan bengkok, Proton, AP, projek-projek pembangunan dan lain-lain. Banyak keputusan beliau dipengaruhi oleh orang luar.

Sehari dua ini sekali lagi ketegasan dan karisma Pak Lah diuji apabila empat lagi Pemuda Umno bahagian di Pulau Pinang membelakangkan arahan dan teguran Pak Lah apabila meluluskan usul penggiliran jawatan Ketua Menteri dalam mesyuarat perwakilan masing-masing hujung minggu lalu walaupun Pak Lah menegaskan jawatan itu tidak akan digilirkan.

Pemuda bahagian Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Bagan dan Bukit Gelugur tetap berpendirian bahawa jawatan berkenaan patut digilirkan di kalangan anggota Barisan Nasional bagi menjamin kepentingan orang Melayu Pulau Pinang dipelihara.

Pada minggu sebelumnya Pemuda bahagain Nibong Tebal meluluskan usul berkenaan dan tetapi cadangan tersebut telah dibantah keras oleh parti Gerakan yang menguasai jawatan Ketua Menteri negeri itu selama ini.

Pak Lah dalam reaksinya kepada usul Pemuda Nibong Tebal itu telah menegaskan bahawa jawatan tersebut tidak akan digilirkan. Namun beliau menggesa Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengkaji punca-punca yang menyebabklan lahirnya rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Umno itu.

Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam, Ramlan Ishak berkata: “ Kami bukan melawan Pak Lah, cuma kami mahu menyampaikan mesej kepada beliau tentang rasa tidak puas hati orang Melayu Pulau Pinang.

“Banyak perkara yang berlaku di Pulau Pinang yang tidak diketahui oleh orang di Kuala Lumpur.”

Menurut beliau, sudah lama Pemuda Umno negeri mahu menyampaikan kepada Abdullah tentang rasa ketidakpuasan terhadap layanan kerajaan negeri terhadap orang Melayu negeri itu, tetapi tidak mendapat kesempatan untuk berbuat demikian.

“Jadi kita gunakan saluran mesyuarat Pemuda Umno kerana dirasakan ini satu-satunya cara yang paling sesuai. Kami berharap Pak Lah akan mengkaji segala masalah dan menimbangkan permintaan kami,” tambahnya.

Ramlan berkata, Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang patut mendengar pandangan orang bawahan.

Menurutnya. kalaupun jawatan Ketua Menteri tidak dapat digilirkan, mungkin satu makenisme lain dibentuk umpamannya mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang mempunyai kuasa eksekutif agar kuasa Ketua Menteri dapat diagihkan.

“Orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan penempatan. Ketidakadilan kerajaan negeri terhadap orang Melayu sudah keterlaluan,” tegasnya lagi.

Ketua Pemuda Umno Bukit Gelugur, Mohd Riduan Rahim pula berkata, usul penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diterima sebulat suara oleh semua perwakilan, mengambarkan hasrat di peringkat akar umbi.

“Perdana Menteri boleh cakap apa saja, beliau jauh di Kuala Lumpur sedangkan kami di Pulau Pinang ini mahukan perubahan. Kami mahu kerajaan negeri lebih perihatin terhadap nasib orang Melayu di sini.”

“Politik di Pulau Pinang ini macam politik PBB...PBB cakap banyak tapi yang buat keputusan Amerika, kami bersuara di sini tapi yang buat keputusan ialah Kuala Lumpur,”ujarnya.

Mohd Riduan menegaskan, orang Melayu merasa terpinggir dari segala aspek terutamanya dari segi perumahan.

“Projek-projek perumahan semuanya mahal dan rumah kos rendah dibina di kawasan pinggir yang akhirnya menyebabkan orang Melayu terpinggir dari pembangunan.

“Kerajaan negeri cakap saja ada bagi bantuan tapi sebenarnya depa (mereka) tak bantu apa-apa pun,”ujarnya.

Naib Ketua Pemuda bahagian Permatang Pauh, Azmi Mat Imam pula berkata usul penggiliran Ketua Menteri yang dibawa sebagai usul tergempar itu telah diterima sebulat suara dan akan dibawa mesyuarat Pemuda Pusat.

“ Kita bawa usul ini bukan atas dasar perkauman tetapi berdasarkan realiti. Kita mahu Dr Koh melakukan sesuatu yang lebih bermakna untuk orang Melayu,”ujarnya.

Azmi menegaskan, walaupun Perdana Menteri telah bertegas jawatan Ketua Menteri tidak akan digilirkan namun Pemuda Umno berharap beliau memberi tekanan kepada Dr Koh melakukan perubahan di Pulau Pinang.

APA YANG KITA BIMBANG IALAH JIKA SEKIRANYA PERDANA MENTERI KITA MERUPAKAN SEORANG YANG LEMBIK DAN TIDAK BERKARISMA KITA TAKUT SATU HARI NANTI KEPENTINGAN DAN KEDAULATAN NEGARA KITA PUN TERJEJAS.

RENUNGKANLAH


HISHAMUDDIN RAIS 'PUKUL' DR MAHATHIR


oleh : Hishamuddin Rais dipetik dari Malaysiakini.

Ketika saya membaca laporan tentang Tun Dr Mahathir Mohamad kebelakangan ini, saya tiba-tiba menyedari bahawa jiwa saya telah diresapi oleh satu perasaan. Sebenarnya, perasaan yang ada dalam hati saya ini adalah perasaan yang ‘hitam’. Dari kitab-kitab suci yang pernah saya baca, perasaan ‘hitam’ ini tidak seharusnya wujud dalam roh saya.

Al-Quran melarang manusia memiliki perasaan ini. Kitab suci Gautama Buddha banyak memperkatakan bagaimana insan wajib melawan perasaan hitam ini. Malah sama seperti ajaran Sufi, Sidarhata juga mengajukan pelbagai bentuk cara – dari zikir, bermeditasi, bernafas dan pergerakan badan – agar perasaan
hitam ini lupus.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mesti berlaku jujur terhadap susuk saya sendiri. Agihan kejujuran yang utama daripada saya adalah untuk roh dan tubuh badan saya. Saya tidak dapat melarikan diri daripad perasaan ini. Kalau saya melarikan diri, ertinya saya tidak jujur kepada roh dan tubuh badan saya.

Perasaan ini ialah perasaan gembira – saya begitu gembira dan cukup senang hati apabila melihat apa yang sedang terjadi kepada Dr Mahathir pada ketika ini. Saya tidak dapat menyorokkan kegembiraan ini. Tidak mungkin. Kenapa saya perlu berbohong dan tidak ketawa terbahak-bahak apabila melihat Dr Mahathir dalam kesesakan. Pernah di surahkan di Hollywood – ‘Saya bukan sahaja gembira kerana berjaya mendapat oskar tetapi saya juga ingin melihat orang lain gagal...’ Ha ha ha.

Saya gembira kerana saya percaya terhadap hukum karma. Apa yang sedang terjadi kepada Dr Mahathir ini adalah hasil perbuatan dirinya sendiri. Kalau ada insan yang diberitahu bahawa getah ipoh itu adalah racun, tetapi dia masih ingin memakannya, maka tidak ada apa yang boleh kita lakukan...hanya kita sama-sama bergotong-royong menggali kuburnya.

Pada petang di hari Dr Mahathir menangis meletakkan jawatan di Perhimpunan Agung Umno pada 2002 dahulu, saya sedang melakukan senaman di luar sel tahanan saya di Kamunting. Satu habuk pun saya tidak percaya terhadap apa yang dituturkannya oleh Dr Mahathir pada petang itu. Malah perkataan – akan, yang, dan, di, nya – yang muncul dari mulut Dr Mahathir itu pun, saya tidak percaya. Malah titik di huruf ‘i’ dan sengkang pada huruf ‘t’ – jika huruf-huruf ini datang dari mulut Dr Mahathir – juga saya tidak akan percaya.

Tidak berterima kasih

Saya memiliki pengalaman sendiri. Dr Mahathir menghebohkan kepada media bahawa saya menangis dan berlelehan air mata meminta untuk pulang ke Malaysia. Dia juga menuduh saya tidak berterima kasih. Jawapan saya cukup senang. Saya amat jarang menangis ketika berada di luar negara. Ketika saya menulis surat rasmi untuk memohon pulang ke Malaysia itu, saya berada di kota London.

Justeru, saya tidak mungkin menangis kerana keseronokan hidup saya pada ketika itu mencurah-mencurah lebih hebat daripada curahan ombak tsunami di Acheh. Kemudian saya dituduh tidak berterima kasih. Ini tepat dan betul. Saya tidak menafikan ini. Saya tidak pernah berterima kasih kepada Dr Mahathir dan tidak mungkin dalam masa terdekat ini, saya akan melakukannya.

Ini adalah hasil didikan daripada kaum keluarga saya. Kami sekeluarga hanya akan berterima kasih kepada orang yang kita kasih. Kita, sebagai warga negara, harus mengakui bahawa bumi Malaysia ini bukan hak milik Dr Mahathir. Bumi ini hanya kita pinjam untuk sementara. Jadi, kehadiran saya di bumi ini ataupun di mana saja, tidak ada sangkut-paut dengan Dr Mahathir.

Justeru, tidak mungkin saya akan berterima kasih kepada Dr Mahathir walaupun dia akan menghadiahkan kontrak membuat jambatan emas dari Kubang Pasu ke Singapura. Ataupun saya diagihkan kontrak untuk membuat tiga laluan jalan keretapi dua tingkat dari Kuala Lumpur ke Sinkiang.

Di media, saya juga telah dituduh oleh Dr Mahathir sebagai dalang yang menghasut rakyat keluar berdemonstrasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuang daripada kerajaan. Sebenarnya, pada ketika itu, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak kenal siapa yang keluar berdemonstrasi. Apa yang saya
lakukan ialah mengumpul semua bahan sebaran dan mengambil gambar. ( Semua bahan ini dirampas polis ketika saya ditahan).

Bila tuduhan dalang itu sampai, maka saya cukup yakin bahawa manusia yang bernama Dr Mahathir ini tidak boleh dipercayai. Rasa saya, kata-kata, ucapan dan janji Datuk Paduka Ibrahim Ali, lebih senang untuk saya yakini daripada ucapan Dr Mahathir.

Hukum karma

Pada ketika ini, saya ketawa kerana balasan karma telah sampai ke pangkuan Dr Mahathir. Sebenarnya, apa yang sedang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri kita itu adalah menyeksa dirinya sendiri di hadapan mata rakyat Malaysia.

Menyeksa diri sendiri wujud dalam mitologi agama. Dari mazhab Syiah, kita akan melihat apabila bulan Muharam sampai, para penganut Syiah akan memukul diri mereka sendiri hingga berdarah-darah dan ada yang sampai mati. Dari apa yang saya dengar, ini dilakukan kerana mereka menyesali di atas kematian
Saidina Ali.

Dalam mitologi Kristian pula, pada bulan April, ada penganut yang soleh tetapi elah merasa berdosa, lalu mereka merantai kaki mereka dengan bola besi dan mengheret bola besi ini dari gereja untuk mengelilingi bandar. Dalam agama Hindu pula, para Syahdu akan tidur di atas paku, di atas kaca atau berdiri sebelah kaki untuk menyeksa diri sebagai tanda kesetiaan terhadap agama.

Waspada, Dr Mahathir menyeksa dirinya sendiri bukan kerana mengikut mitologi agama. Dia diseksa oleh hukum karma perbuatan dirinya sendiri. Mari kita melihat satu persatu hukum karma yang sedang menyeksa Dr Mahathir.

Dr Mahathir merancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui pemilihan dalam parti. Dr Mahathir mungkin telah berjaya memujuk Tan Sri Megat Joned ataupun Tan Sri Sanusi Junid untuk bertanding melawan Abdullah. Tetapi perlembagaan Umno telah berpuluh kali diubahsuai untuk mempertahankan kedudukan Dr Mahathir sendiri. pada satu ketika dahulu. Lalu, peluang Sanusi atau Megat untuk mendapat pencalonan melawan Abdullah hanya tinggal angan-angan Mat Jenin seperti Sanusi menanam padi di atas bumbung.

Dr Mahathir telah menyuarakan harapan sedihnya agar dia dapat dijemput untuk berucap di hadapan ahli-ahli parti. Seorang YB dari Perlis telah bersedia untuk menjemput Dr Mahathir merasmikan mesyuarat bahagian. Sayang, seribu kali sayang, rupa-rupanya, dengan senyap-senyap tanpa diketahui umum bahawa orang politik yang boleh merasmikan mesyuarat bahagian hanya menteri dan ahli Majlis Tertinggi sahaja.

Siasat punya siasat, yang membuat peraturan ini tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir sendiri. Dr Mahathir tiba-tiba menjadi marah kerana media dan akhbar tidak memberi ruang untuk dia berleter. Dia marah kerana dia seorang Tun, bekas Perdana Menteri, wira dunia ketiga dan Raja Seluruh Afrika. Dr Mahathir dengan begitu cepat sekali terlupa bahawa akhbar dalam negara ini hanyalah akhbar ‘sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu – bagi makan aku makan yang lain aku tak tahu’.

Mahathir terlupa bahawa dalam negara ini ada pelbagai undang-undang dan akta yang mengawal dan mengekang kebebasan akhbar daripada membuat laporan yang berwibawa. Sebenarnya kemerosotan akhbar menjadi bertambah buruk dalam zaman pemerintahan Dr Mahathir sendiri.

Membunuh tradisi

Ketawalah kita sekali lagi kerana Mahathir terlupa tentang Akta Percetakan. Penyokong dan pembodek Dr Mahathir telah cuba mencari dewan hotel, dewan orang ramai, agar Dr Mahathir dapat diberi ruang untuk berleter. Ha ha ha...sin sa la bin...satu pun tempat tidak dapat mereka sewa. Rasa saya, Dr Mahathir terlupa atau buat-buat lupa tentang tabiat tidak memberi ruang umum kepada sesiapa yang tidak menyokong kerajaan ini.

Perangai menekan orang lain dari bersuara ini telah diperkenalkan oleh dirinya sendiri. Malah, selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, tabiat menekan rakyat daripada bersuara ini telah dijadikan seni. Saya rasa pasti Dr Mahathir teringat kepada dewan kuliah F di fakulti sastera Universiti Malaya atau di Dewan Tunku Canselor yang pernah memberikan ruang untuknya berucap ketika suasana demokrasi kampus gilang-gemilang.

Siapa yang membunuh tradisi debat in – orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir sendiri. Kerana itu, pada hari ini, jangan harap Dr Mahathir akan dijemput untuk berleter di Dewan Tunku Canselor, hendak mencium bau surau Kolej Kelima pun tidak mungkin dapat.

Yang paling lawak bagi saya ialah apabila Dr Mahathir merungut yang dia tidak dapat bertemu dengan para pelajar Malaysia di kota London. Dr Mahathir juga telah gagal untuk mendapat peluang berleter di hadapan ahli kelab Umno London. Bukankah cara ini juga telah digunakan ketika penyokong Anwar ingin menerangkan kepada para pelajar Malaysia di luar negara dahulu. Pelajar yang ingin mendengar. telah diugut, ditarik biasiswa dan ada yang dihantar pulang.

Apabila dia pulang dari London pada 22 haribulan lepas, saya tersenyum gembira kerana hanya ada 300 orang sahaja yang datang menyambut wira dunia ini. Inipun akhbar tempatan telah membesarkan angkanya seperti 1.000 orang mengikut laporan akbar MCA – The Star. Ini kerana mereka masih ada belas kasihan melihat Dr Mahathir sedang menyeksa dirinya sendiri.

Wow ! Tiba-tiba bekas Perdana Menteri ini bangun dengan gagah berani dan menuduh anak menantu Abdullah ‘menyamun’ pelbagai bentuk kontrak dan projek dari kerajaan. Oh la la...kata orang Perancis, bila terperanjat. Saya pun terperanjat sama.

Perkara ini tidak seharusnya ditimbulkan kerana ini adalah aturcara dan jalan kerja ekonomi yang pernah disusun oleh Dr Mahathir sendiri. Macamlah sudah terlupa tentang berbilion duit Petronas dirembatnya untuk menyelamatkan anak dan suku-sakatnya. Paling gembira hati saya ialah apabila saya terbaca tentang cadangan agar nama ‘precint’ yang digunakan oleh Dr Mahathir di Putrajaya akan disunatkan untuk masuk Melayu. Ini satu perli yang amat besar.

Tindakan ini adalah cara terhormat untuk memperlekehkan wira dunia ketiga. Kalau sayalah Dr Mahathir, pasti saya merasa berbulu. Kerana telah nampak jelas dan tidak perlu bersuluh bahawa semua yang telah dilakukannya. sedang dirombak satu persatu oleh Abdullah. Apabila saya menulis tentang Abdullah ini, saya akan ketawa terbahak-bahak dan berguling-guling di atas lantai. Abdullah ini mungkin kerana dia insan yang warak, maka dia telah tidak ambil ‘pot’ tentang apa sahaja yang dileterkan oleh Dr Mahathir. Saya rasa Dr Mahathir cukup terseksa dengan langkah tepat yang diambil oleh Abdullah ini.

Mahathir keseorangan

Saya teringat zaman rock saya dahulu. Ada juga orang tua penjaga moral yang cuba berleter terhadap pakaian dan gerak-geri saya. Saya langsung tidak ambil ‘pot’. Apa yang dia boleh lakukan. Saya muda, tambang bas dan duit tiket ‘fun fair’ yang saya gunakan, bukan duit dia. Saya biarkan dia menyalak hingga kering air liur.

Saya cukup senang hati dan gembira apabila Dr Mahathir diseksa oleh jawapan sunyi sepi dari Abdullah. Adakah ini satu strategi yang dirancang atau kerana Abdullah sendiri tidak memiliki jawapan...tidak akan saya pedulikan. Apa yang pasti ialah Dr Mahathir sedang menyeksa dirinya sendiri kerana Abdullah tidak menjawab.

Tup...tup...tiba-tiba semuanya lengang. Tidak ada lagi orang datang berpusu-pusu mencium tangan Dr Mahathir. Cuma Ibrahim kini telah menjadi orang kanan Dr Mahathir. Ini bukan kerana rotan tidak ada maka akar pun boleh digunakan. Ibrahim ini bukan berstatus akar tetapi berstatus daun lalang. Saya lihat Dr Mahathir ini betul-betul ‘desperate’. Apabila Dr Mahathir dalam keperitan seperti ini, sayalah orang yang paling gembira.

Lalu saya bertanya – ke mana perginya wira-wira anak didikan Dr Mahathir sendiri. Datuk Seri Rafidah Aziz telah berpaling tadah, Datuk Seri Najib Tun Razak langsung tidak bersuara, Datuk Abdul Ghani Othman tidak berkata apa-apa dan Datuk Seri Nazri Aziz pula sudah menjadi tukang pukul boss yang baru.

Maka yang tinggal hanyalah Ibrahim dan Tan Seri Abdullah Ahmad a.ka Dolah Kok Lanas. Hasilnya, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika menyeksa dirinya sendiri ialah dia juga turut menyeksa orang-orang pencen dan orang-orang bekas itu dan bekas ini. Mungkin ada yang akan menuduh saya tidak memiliki perasaan kerana ketawa melihat orang tua menyeksa diri sendiri. Ini tidak betul. Dalam hal seperti ini kita tidak perlu ada belas kasihan.

Tulisan saya ini akan terus tersimpan dalam alam siber untuk menjadi ingatan kepada generasi yang akan datang. Mereka akan melihat bagaimana Dr Mahathir dengan licik telah menyusun strategi, undang-undang dan peraturan agar dia dapat berkuasa selama 22 tahun.

Dia menggali lubang dan memasang banyak perangkap untuk menimbuskan musuh-musuh politiknya. Tetapi lihatlah apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Biarlah saya reka sebuah pantun untuk mengingati orang yang bernama Dr Mahathir ini:

Gali punya gali
Jerat punya jerat
Pandai-pandai tupai melompat
Mahathir tersembab di lubang Katak.

Mahathir hanyut dengan labu labinya...Biarkan...biarkan.


DR M TERJERAT DENGAN UNDANG-UNDANG CIPTAANNYA SENDIRI


KANGAR 16 Ogos – Doa dan harapan Almarhum Us Fadzil Nor supaya Dr Mahathir hidup lama bangi menyaksikan sendiri kezaliman dan kerakusannya semasa berkuasa akhirnya termakbul apabila satu demi satu tindakan dikenakan oleh pemimpin kerajaan sekarang keatasnya.

Kalau dulu semasa Dr Mahathir berkuasa beliau menghalang pembangkang berceramah, berhimpun, berdemonstrasi, mengedarkan risalah, menafikan hak untuk keudara di TV dan Radio serta lain-lain lagi. Kini beliau sendiri yang terpaksa melalui semua perkara itu.

Pada zaman siapakah Akta Polis diwartakan, OSA diwartakan, penggunaaan ISA secara membabi buta, penipuan dalam pilihanraya, penafian hak untuk menggunakan kemudahan awam, perlanggaran Hak Asasi Manusia tanpa segan silu dan seribu satu macam lagi ketidakadilan keatas pembangkang. Tidakkah pada zaman Dr Mahathirlah semua itu diperkenal dan dilaksanakan. Sekarang baru Dr Mahathir sedar betapa peritnya menjadi orang yang tidak berkuasa. Beliaulah yang mengajar anakbuahnya 'berjalan tidak betul'. Sekarang beliau cuba berlagak untuk mengajar mereka berjalan betul pula, seperti perumpamaan 'seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul'.

Semalam media melaporkan satu lagi program Dr Mahathir dibatalkan atas pelbagai alasan. UMNO Bahagian Padang Besar dilaporkan terpaksa membatalkan program ceramah Dr. Mahathir Mohamad di Beseri pada 26 Ogos ini selepas gagal mendapat permit daripada pihak berkuasa dan juga ketiadaan tempat untuk menganjurkan majlis berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, mesyuarat UMNO bahagian yang dirancang pada 27 Ogos ini juga terpaksa ditangguhkan sehingga hari terakhir tempoh mesyuarat bahagian perlu diadakan iaitu pada 10 September kerana masalah yang sama iaitu gagal mendapatkan dewan.

‘‘Sekiranya masih gagal mendapatkan tempat untuk mengadakan mesyuarat bahagian di kawasan Padang Besar, kami akan memohon kepada Ibu Pejabat parti bagi mengadakan mesyuarat bahagian di luar kawasan,’’ katanya pada sidang akhbar mengumumkan penangguhan kedua-dua majlis berkenaan di sini hari ini.

Dakwanya, tempahan dewan yang telah dibuat sebelum ini bagi menganjurkan majlis ceramah tersebut juga telah dibatalkan oleh pihak berkenaan.

Beliau menambah, pihaknya sukar membuat tempahan untuk menggunakan dewan orang ramai terutamanya yang melibatkan agensi kerajaan dan juga hotel di negeri ini, dipercayai atas arahan pihak tertentu.

Menurut Zahidi, tempahan dewan tidak dapat diluluskan kerana pihak berkenaan bimbang majlis itu akan turut disertai oleh parti pembangkang dan juga atas alasan mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu.

Pihak polis pula, katanya, enggan mengeluarkan permit bagi mengadakan ceramah Dr. Mahathir atas alasan keselamatan dan bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana majlis tersebut dijangka dihadiri ramai orang termasuk dari luar Perlis.

‘‘Mesyuarat bahagian juga terpaksa ditangguh kerana ada pihak yang berpendapat majlis ceramah Dr. Mahathir yang dijadualkan pada 26 Ogos merupakan sebahagian daripada program mesyuarat yang diadakan keesokan harinya,’’ kata beliau.

Bagaimanapun Zahidi berkata, bahagian tersebut masih berhasrat memanggil bekas Perdana Menteri memberi ceramah pada masa depan kerana berpendapat tiada salahnya berbuat demikian dan sekiranya pandangan beliau bagus maka ia wajar diterima oleh kerajaan.

‘‘Adalah lebih baik UMNO yang menganjurkan majlis untuk bekas Perdana Menteri itu bagi menyatakan pandangannya tentang perkembangan semasa daripada majlis yang mungkin dianjurkan oleh pertubuhan- pertubuhan lain,’’ katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir yang bersetuju menghadiri majlis tersebut begitu juga dengan orang ramai yang berhasrat menghadirinya sebelum UMNO Bahagian Padang Besar terpaksa membuat keputusan membatalkannya.

KINI BARU KAU SEDAR


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59