Monday, 14 August 2006

Cubaan letup pesawat Britain satu helah - Tok Guru Nik Aziz


KOTA BHARU 14 OGOS : Dakwaan Britain yang ia sudah menahan 21 suspek yang cuba meletupkan pesawat yang akan ke Amerika Syarikat merupakan helah kuasa besar untuk mengalih perhatian dunia terhadap kezaliman Yahudi di Palestin dan Lubnan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu berkata tipu daya seumpama itu sudah menjadi budaya kepada kuasa besar supaya dunia Islam lupa tentang penderitaan yang dialami masyarakat Lubnan yang menghadapi serangan ganas Israel pada masa ini.

"Cubaan meletupkan kapal terbang, itu tipu helah orang putih untuk menarik pandangan dunia kepada isu lain sedangkan masyarakat Islam di Lubnan terus dibom," katanya semasa berucap pada majlis Himpunan Solidariti Rakyat Kelantan menentang kezaliman Zionis Israel Dan Sekutunya di sini, malam tadi.

Kirakira 5,000 orang hadir pada perhimpunan itu yang turut dihadiri wakil Hamas Palestin, Al-Sheikh Abu Husam dan wakil Jamaah Islam Pakistan, Ata Ur Rehman.
Yang turut berucap pada majlis yang berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam itu ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Tiga hari lepas, Polis Britain mematahkan satu kompot `ala 11 September' yang berhasrat meletupkan pesawat-pesawat dalam penerbangan dari Britain ke Amerika Syarikat secara serentak membabitkan enam hingga 10 pesawat.

Ekoran itu, polis menahan 21 orang suspek di sekitar London, Birmingham dan High Wycombe menakala kawalan keselamatan di semua lapangan terbang negara itu diperketatkan dan langkah-langkah keselamatan diambil dalam semua penerbangan.

Nik Aziz berkata tindakan itu sebenarnya bertujuan mengajak dunia supaya membenci Islam dan sekaligus dunia akan menganggap masyarakat Islam sebagai penganas yang akan membunuh sesiapa sahaja.

Katanya bagi beliau fungsi Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) sebagai badan bebas menjaga keharmonian dunia sudah tidak ada lagi, malah ia sudah dikuasai oleh segelintir kuasa besar yang membenci Islam.

Sementara itu, AlSheikh Abu Husam dalam ucapannya meminta rakyat Malaysia membantu perjuangan rakyat Hamas dan Jemaah Islam Palestin yang yakin dengan janji Allah SWT satu hari nanti Islam akan menang.

Ucapan beliau dalam bahasa Arab diterjemahkan oleh bekas anggota Dewan Undangan negeri Air Lanas Abdullah Yaacob pada majlis itu.


PILIHANRAYA UMUM KE-12 APRIL 2007?


RASAH, 14 Ogos - Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP), Dato' Mustafa Ali menyeru kepada seluruh pimpinan pilihan raya PAS agar menyediakan jentera yang cekap dan terlatih bagi menghadapi Pilihan Raya ke-12 yang dijangka diadakan tahun hadapan seawal-awalnya bulan April.

Seruan itu dibuat dalam majlis perasmian Ijtima' Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan di Country Club, dekat Rasah Kemayan semalam.

Melihat kepada congakan beliau tentang Pilihanraya tersebut adalah diharapkan semua jentera Parti dapat bersiap sedia dengan mempersiapkan petugas, markaz dan pejabat serta prasarana bagi menghadapinya. Selain itu semua peringkat mestilah 'menghadam' betul-betul undang-undang pilihanraya yang ternyata menjadi 'musuh' kita dalam pilihanraya lalu.

Dalam ucapannya Mustafa berkata, JPP mahu petugas pilihan raya dilatih dengan kecekapan mengendali tugas masing-masing supaya tidak berlaku kesilapan jika bersiap di saat akhir.

"Tidak kiralah mana-mana, Counting Agen dengan tugasnya, Polling Agen dengan tugasnya dan semua terbabit perlu dilatih dengan baik supaya kita benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya diadakan seawal April 2007," katanya.

Sementara itu salah seorang ahli PAS Cawangan Taman Merdeka yang tidak mahu namanya disiarkan menyatakan bahawa, PAS mestilah mengenalpasti bakal-bakal calon bagi setiap DUN dan Parlimen dari sekarang dan mereka mestilah ditonjolkan bermula dari sekarang.

Selain beliau juga mencadankan PAS negeri juga mestilah mengenalpasti DUN-DUN dan Parlimen yang mahu ditandingi dari sekarang. Jangan nanti sehingga saat terakhir katanya lagi.

"Usaha-usaha mendekati masyarakat mesti dijalankan dari sekarang sehinggalah ke hari pengundian" ujar beliau yang juga pernah menjawat jawatan di peringkat cawangan.


KERAJAAN AKHIRNYA AKUI DAKWAAN PAS


KEPALA BATAS 14 OGOS : Kerajaan akhirnya mengakui dakwaan PAS bahawa penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd mempunyai risiko besar kepada kepentingan negara dan rakyat negara ini.

Ini diakui apabila Perdana Menteri sendiri meminta perkara tersebut dikaji semula bagi mengembalikan penguasaan rakyat tempatan dalam syarikat konsesi membekalkan keperluan hospital di negara ini ekoran penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd.

PAS melalui Naib Presidennya Dato' Husam Musa dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah lama mendesak Perdana Menteri menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini. PAS juga melahirkan rasa hairan bagaimana Perdana Menteri boleh membiarkan perkara ini berlaku sedangkan ianya amat penting kepada negara. Dari isu ini jelas kepada kita bahawa Perdana Menteri sangat lemah dan lembap dalam menangani isu yang sangat penting ini.

Media hari ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan memberikan perhatian kepada isu penjualan itu kerana ia menimbulkan masalah disebabkan beberapa perkara berkaitan konsesi yang diberikan kepada Pantai Holdings iaitu kontrak membekalkan keperluan hospital.

"Jadi (berikutan penjualan saham dalam Pantai Holdings), konsesi telah terlepas ke tangan orang lain dan (kerajaan) mengharapkan ia akan (kekal) kepada pihak Malaysia, akan dipegang oleh rakyat Malaysia.

"Jadi perkara ini dalam perhatian pihak Perbendaharaan," katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai langkah yang bakal diambil.

Pak Lah yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan pemberita selepas merasmikan Hari Pengasas Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan cawangan Bank Muamalat Malaysia Bhd Kepala Batas di Kompleks Budi Penyayang di sini, semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Hj Salamat Aman berkata nampaknya baru sekarang Pak Lah baru sedar dari tidur yang nyenyak sebelum ini. Nampaknya dakwaan sesetengah pihak bahawa Pak Lah lembap dan lemah dalam mentadbir negara ada kebenarannya.

"Dah jual lama dah, baru sedar, lemah ini kalau nak beli saham itu balik mesti ianya dibeli dengan harga yang jauh lebih mahal. Maka sekali lagi duit rakyat akan dibazirkan" ujar Hj Salamat dengan nada kesal.

"Dah teruk dihentam oleh PAS dan Dr Mahathir barulah dia sedar dan insaf, inilah bahananya apabila kepentingan negara dipegang oleh orang yang lembik dan lemah" tambah Hj Salamat lagi.

Sebelum ini, laporan menyebut anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir menjual kepentingannya dalam Pantai Holdings kepada Ketua Eksekutif Kumpulan Pantai, Lim Tong Yong.

Penjualan itu dibuat secara berperingkat sejak 2001. Ia membabitkan kepentingan 31 peratus dalam Pantai Holdings yang dijual oleh Mokhzani kepada Lim, dan kemudian dijual kepada Parkway Holdings.

Parkway membeli kepentingan dalam Pantai Holdings yang mengendalikan tujuh hospital di Malaysia itu pada harga RM311.58 juta dalam usahanya menjadi pemain utama dalam industri penjagaan kesihatan di rantau ini.

Pengerusi Parkway, Richard Seow dilaporkan berkata, pembelian saham itu membolehkan Parkway meningkatkan bilangan hospitalnya di Malaysia kepada sembilan berbanding dua ketika itu.

Pantai Holdings menerusi anak syarikatnya, Pantai Medivest Sdn Bhd memegang konsesi selama 15 tahun bagi menyediakan perkhidmatan sokongan kepada hospital kerajaan.

Sebuah lagi anak syarikatnya, Fomena Sdn Bhd pula memiliki konsesi bagi membuat pemeriksaan kesihatan kepada pekerja asing yang mahu bekerja di negara ini.

Sementara itu, akhbar Star semalam memetik sumber industri sebagai berkata, Pantai Holdings mungkin melanggar syarat konsesi dari segi pegangan ekuiti Bumiputera apabila Mokhzani menjual sahamnya kepada Lim pada April 2001.

Mengikut dasar penswastaan kerajaan, sesebuah syarikat yang diberikan konsesi perlu dimiliki 30 peratus kepentingan ekuitinya oleh Bumiputera.


SETELAH BUNUH 1,OOO ORANG BARU NAK HENTIKAN SERANGAN


BEIRUT 14 Ogos – Inilah 'permainan' golongan Yahudi dan kafir laknatullah di yang berkuasa di dunia yang cuba menghapuskan umat Islam. Itulah komen yang keluar dari mulut Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman ketika di minta memberikan komen tentang gencatan senjata yang diusahakan PBB terhadap isu kekejaman Yahudi di Lubnan dan Palestin.

Media melaporkan bahawa Lebanon dan Israel bersetuju mematuhi gencatan senjata bermula pukul 8 pagi hari ini (1 tengah hari waktu Malaysia) bagi menamatkan pencerobohan 33 hari tentera Yahudi.

“Saya sangat gembira mengumumkan (Israel dan Lebanon) telah bersetuju menamatkan persengketaan dan menghentikan pertempuran bagi membolehkan pasukan antarabangsa memasuki wilayah selatan Lebanon bermula 14 Ogos,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan.

Tetapi sedarkah kita bahawa puak-puak musuh Islam ini sengaja melambat-lambatkan genjatan senjata ini bagi membolehkan Israel terus membunuh umat Islam dan menghancurkan Lubnan.

Bagaimanapun di sebalik pengumuman itu, Israel meningkatkan serangan di selatan Lebanon dan Beirut hari ini.

Sebanyak 20 letupan kedengaran dalam tempoh dua minit di pinggir bandar Beirut.

PBB dijangka menghantar 15,000 tentera pengaman bagi menguatkuasakan gencatan senjata.

Laman web berita, YNET News pula memetik seorang pegawai pejabat Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert sebagai berkata, askar rejim Yahudi akan memulakan pengunduran dari selatan Lebanon dalam tempoh seminggu atau dua minggu apabila askar antarabangsa dan Lebanon tiba di kawasan yang diceroboh.

Kabinet Olmert hari ini menyokong resolusi 1701 PBB yang meminta diadakan gencatan senjata.

Perdana Menteri Lebanon, Fuad Siniora berkata, kerajaannya telah sebulat suara menerima resolusi itu semalam.

Pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah berkata, para pejuangnya akan menerima gencatan senjata sebaik sahaja askar Israel mematuhinya.

Dalam serangan hari ini, seramai 13 penduduk awam termasuk seorang ibu dan tiga anaknya terbunuh di kawasan Tyre.

Sebanyak tujuh stesen minyak turut dibom oleh tentera Israel hari ini.

Sumber pertahanan awam memberitahu, seorang cedera apabila tentera Israel membedil kedudukan para pejuang Palestin dari Fatah di kem pelarian Ain el-Hilweh di selatan bandar Sidon.

Tentera rejim Tel Aviv turut memusnahkan sebuah jambatan yang terletak di kawasan penempatan penduduk di kawasan Akkar, utara Lebanon, selain daripada mengenai sebuah kedudukan tentera kerajaan.

Namun kita juga sangsi dengan keikhlasan Yahudi ini kerana kita tahu puak laknatullah ini tidak pernah menepati perjanjian genjatan senjata sebelum ini. Mereka boleh melakukan serangan dan kekejaman mereka sesuka hati. Puak-puak Islam mesti sentiasa berhati-hati.

Benarlah Firman Allah " Orang-orang Yahudi dan Nasora tidak akan redha, sehingga kamu mengikut millah(agama/cara hidup) mereka".


KHAIRY CUBA TUTUP MULUT DR MAHATHIR DALAM KES ECM LIBRA


KUANTAN 14 Ogos – Nampaknya dakwaan Husam Musa dan Dr Mahathir dalam kes ECM Libra yang melibatkan Khairy Jamaluddin ada kebenarannya apabila Khairy sendiri mengambil tindakan menjual sahamnya serta menjawab sendiri beberapa persoalan yang timbul dari isu itu.

Walaupun Khairy menjual sahamnya namun kontroversinya masih gagal di jawab oleh Khairy.

Semalam Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelaskan, beliau dengan rela hati menjual 10.2 juta sahamnya dalam ECM Libra Avenue Bhd., untuk memberi tumpuan seratus peratus kepada politik dan tidak mahu syarikat dan pemegang saham lain terjejas berikutan kontroversi yang melandanya.

Beliau berkata, walaupun menanggung kerugian hampir RM200,000 namun beliau berbangga kerana menjual saham berkenaan kepada sebuah syarikat yang terlibat dalam industri kewangan yang dikuasai usahawan Melayu.

Menurut Khairy, proses penjualan saham miliknya dalam ECM Libra Avenue Bhd., telah lama difikirkan dan beliau pernah menerima tawaran lebih tinggi tetapi terpaksa ditolak kerana mahu memastikan saham itu hanya dibeli oleh bumiputera yang tiada kaitan dengan kerajaan, di samping tidak berlaku ketirisan.

“Saya nak pastikan tiada ketirisan berlaku di mana saham yang dipegang oleh orang Melayu itu seelok-eloknya pergi kepada syarikat yang dikuasai orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Paya Besar, di sini hari ini.

Khairy mengulas keputusannya menjual semua sahamnya berjumlah 10.2 juta yang mewakili 1.23 peratus kepentingan dalam ECM Libra, sebuah syarikat pelaburan dan broker saham, semalam.

Beliau menjual bahagiannya pada harga 65 sen sesaham kepada Hikkaya Jaya Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat AmcorpGroup Bhd. setelah membelinya pada harga 71 sen sesaham pada Disember tahun lepas.

Khairy berkata, antara yang pernah menawarkan untuk membeli saham pada kadar lebih tinggi ialah sebuah syarikat milik kerajaan tetapi ditolak kerana tidak mahu dirinya dilihat menerima bail out kerajaan.

‘‘Selain itu, ada syarikat antarabangsa yang hendak beli tetapi saya tolak kerana itu adalah ketirisan dan ada juga seorang tauke Cina yang kaya-raya turut membuat tawaran menarik yang sekali lagi saya tolak kerana mahu saham saya dibeli oleh syarikat bumiputera sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, apabila Hikkaya Jaya Sdn. Bhd., menawarkan untuk membeli pada kadar 65 sen sesaham, beliau bersetuju untuk menjual walaupun tahu akan menanggung kerugian.

Jawapan di atas amat jelas untuk membersihkan namanya yang dituduh menjual beberapa kepentingan saham syarikat yang ada kepentingan kepada negara kepada bukan bukan bumiputera dan syarikat Singapura. Namun jawapan ini sedikit sebanyak merupakan merupakan pengakuan secara langsung Khairy yang sebelum ini dikaitkan dengan penjualan beberapa saham syarikat Malaysia kepada syarikat Singapura. Pemerhati politik berpendapat Khairy sebenarnya telah masuk perangkap Dr Mahathir apabila tunduk dengan dakwaan dan tuduhan Mahathir dalam isu ini.

Beliau berkata, tindakannya menjual saham itu juga bagi memastikan syarikat pelaburan dan broker pemegang saham itu tidak turut terjejas dengan kontroversi yang melanda dirinya.

Khairy menegaskan, adalah tidak adil kepada para pemegang saham lain yang mungkin akan turut mengalami kerugian jika ECM Libra Avenue Bhd. terjejas akibat kontroversi melibatkan dirinya sedangkan beliau hanya memegang saham minoriti sebanyak 1.23 peratus sahaja.

Khairy berkata, beliau sanggup mengorbankan diri dan tidak mahu melihat banyak pihak lain terjejas hanya kerana tuduhan-tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepadanya.

‘‘Saya tidak dipaksa atau ditekan oleh mana-mana pihak untuk menjual saham-saham itu, ini keputusan peribadi saya,” katanya

Khairy berkata, reputasi adalah sesuatu yang amat penting bagi syarikat pelaburan seperti ECM Libra Avenue Bhd. untuk berjaya dan kehadirannya untuk lebih lama lagi mampu merosakkan nama baik syarikat berkenaan

“Saya tidak mahu pemegang-pemegang saham yang lain terjejas kerana apa yang dihadapi oleh saya. Itu tidak adil kepada pemegang-pemegang saham,” katanya.

Beliau menjelaskan, penjualan itu tiada kaitan dengan proses pengabungan ECM Libra Bhd. dan Avenue Capital Resources Bhd. yang sebelum ini dikatakan menyebabkan nilai saham meningkat kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan proses penggabungan dilakukan mengikut prosedur.

Khairy memberitahu, beliau melakukan pinjaman sebanyak RM9 juta bagi membeli saham-saham berkenaan dan mengakui menanggung kerugian hampir RM200,000 kerana menjual saham-saham tersebut pada nilai lebih rendah daripada harga belian.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59