Friday, 11 August 2006

SIAPAKAH SEBENARNYA 'IBLIS' YANG DIKATA OLEH PAK LAH


KUANTAN 11 OGOS : Dalam ucapannya di sini semalam Imam Al Badawi dengan tegas berkata bahawa ada pihak-pihak tertentu yang bersikap seperti "iblis" yang cuba mengganggu usaha membangunkan negara kerana "iblis" merasakan ia lebih pandai daripada orang lain.

"Adam dihidupkan dan malaikat menerima Adam untuk menjadi khalifah. Dan yang menentang adalah iblis. Allah telah tunjukkan bahawa Adam itu lebih bijak daripada iblis.

"Jadi, asas utama Allah memilih Adam sebagai khalifah ialah kerana kepandaiannya," katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam Pahang yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan hari ini.

Persoalannya sekarang ini siapakah 'iblis' yang dikatakan oleh Pak Lah itu. Tuduhan dan kata-kata beliau ini agak keras bagi seorang pemimpin negara lebih-lebih lagi beliau adalah pemimpin besar Islam Hadhari.

Kita pasti kalau kata-kata semacam ini keluar dari mulut Tuan Guru Haji Hadi atau Tuan Guru Nik Aziz sudah tentu riuh satu Malaysia ianya ditayangkan. Mungkin berulang-ulang kali ianya ditayangkan di semua stesen TV.

Nampaknya jelas bahawa Imam Al Badawi ini benar-benar tertekan dengan tuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh bekas Bosnya. Sehingga beliau sendiri terpaksa membuat kenyataan mempertahankan anak dan menantunya di stesen TV. Mana pernah ada pemimpin negara kita sebelum ini yang menggunakan TV untuk berbuat demikian.

Menurut laporan Bernama, Abdullah juga mengulangi kesediaannya untuk ditegur pada bila-bila masa asalkan teguran itu ikhlas dan bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Saya bukan orang pandai, terbijak. Ada orang lain yang lebih pandai tapi saya Perdana Menteri dan bukan menjadi satu kesalahan saya mengambil masa untuk mengambil pandangan ramai untuk memberikan pandangan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, pandangan daripada pemikiran yang ramai bagi sesuatu keputusan lebih baik daripada pandangan seorang individu sahaja.

"Kadangkala keputusan yang dilakukan secara bersendirian itu mungkin berlaku kesilapan," kata Abdullah sambil memberi contoh mengenai fatwa bahawa pandangan seorang ulama boleh dipertikaikan berbanding fatwa yang dihasilkan daripada perbincangan ramai ulama.

Sambil merujuk kepada mesyuarat jemaah menteri semalam, Perdana Menteri berkata beliau memberi peluang kepada semua menteri kabinet memberi pendapat kepada setiap perkara yang dibincangkan.

"Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri, membincangkan tentang bajet untuk tahun depan. Sekarang ini, menteri-menteri kita banyak bercakap, tak macam dulu," katanya.


OPERASI LALANG BAKAL BERULANG?


KAMI SIARKAN PANDANGAN DAN ARTIKEL YANG DIEMAILKAN KEPADA KAMI OLEH SEORANG PENGUNJUNG SETIA BLOG INI.

Masih ingatkah kepada Peristiwa tangkapan borong ISA yang dinamakan Operasi Lalang pada tahun 1987. Masa itu saya masih berumur belasan tahun. Saya masih ingat ibu saya mengingatkan abang saya yang sewaktu agak aktif dalam Dewan Pemuda PAS Kawasan supaya berhati-hati kerana katanya ini musim orang PAS di tangkap.

Saya masih ingat peristiwa berpunca dari 'perbalahan'pimpinan MCA, Lee Kim Sai dan Ketua Pemuda Umno (kalau tidak silap), iaitu Najib Tun Razak yang masing-masing meniup api perkauman dalam ucapan masing-masing. Najib sewaktu ucapannya di Stadium TPCA berulang kali mencabar kaum cina dengan kata-kata berapi-api, kalau tidak silap antaranya 'Langkah Mayat kami'; 'kami mahu darah' dan sebagainya.

Pemuda Umno pada waktu tersebut benar-benar mahu dilihat sebagai anak jantan dengan menghunus keris kearah kaum lain. Keris 'telanjang' yang sehingga ke hari ini tidak bersarung itu tetap menjadi senjata keramat mereka untuk menunjukkan kononnya mereka adalah pemuda yang gagah berani menempuh apa juga dugaan. Rupa-rupanya semua itu hanyalah lakonan unpama sketsa pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL).

Gajah sama gajah bergaduh (iaitu Umno dan MCA), pelanduk mati ditengah-tengah. Itulah perumpamaan yang dapat digunakan berkaitan dengan peristiwa ini kerana orang yang tangkap ialah pemimpin PAS seperti Mohd Sabu, bekas pemimpin pelajar seperti Ahmad Lutfi dan pemimpin Team B antaranya Fahmi Ibrahim dan lain-lain. 'Kambing-kambing hitam' inilah yang menjadi mangsa sedangkan Lee Kim Sai lari keluar negara manakala bintang politik Najib terus menyinar selepas itu sehingga berjaya memegang jawatan no.2 sekarang.

Mungkinkah peristiwa itu akan berulang lagi kali ini apabila sekarang ini pemimpin No.1 negara iaitu Al Imam Badawi Wal Hadhari sedang bergaduh dengan bekas Bosnya sendiri. Macam-macam tuduhan dan dakwaan yang dihamburkan oleh bekas PM itu kepada Imam Al Badawi. Walaupun sebelum ini kebanyakan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh Dr Mahathir itu pernah dibongkar oleh PAS dan pembangkang namun Imam Al Badawi mengendahkannya. Tetapi apabila perkara ini diungkit oleh Dr Mahathir, Imam Al Badawi mula terasa perit dan panas.

Tindakan-tindakan susulan telah diambil oleh Al Badawi untuk menghalang Dr Mahathir dari berucap kepada penyokong dan ahli Umno. Mahathir di halang dari merasmikan Mesyuarat Bahagian Umno. Banyak majlis yang diaturkan untuk Dr Mahathir di batalkan. Terbaru program-program yang dihadiri oleh Dr Mahathir mesti dipantau oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri. Malah anaknya Mukhriz yang juga merupakan Exco Pemuda Umno turut dihalang dari merasmikan beberapa mesyuarat pergerakan Pemuda Umno bahagian-bahagian.

Dr Mahathir semakin terasa bahangnya. Namun nampaknya 'orang tua' ini tetap tidak mahu mengalah tetapi terus 'menelanjangkan' Imam Al Badawi bila sahaja beliau mempunyai ruang.

Nampaknya perkelahian dua orang pemimpin 'Islam Hadhari' dan 'Penerapan Nilai-nilai Islam' ini menjanjikan seribu satu macam peristiwa besar yang bakal berlaku. Adakah ianya menjadi suatu tiket kepada kerajaan Islam Hadhari untuk menangkap pemimpim pembangkang di bawah ISA kerana serangan Dr Mahathir ini sedikit sebanyak menguntungkan pembangkang dan sebagai usaha untuk melemahkan pembangkang caranya ialah menyumbat pemimpinnya di 'Markaz Tarbiah ISA.'

Meminjam kata-kata Ahmad Lutfi "Cakap-cakap bahawa Operasi Lalang 1987 akan berulang usah dipandang remeh. Malah saya gerun untuk membayangkan apa akan berlaku selepas kesabaran Abdullah sampai penghujungnya. Pertembungannya dengan Mahathir mungkin akan memakan korban yang bukan sedikit, dan selalunya kambing-kambing hitam akan menjadi mangsa"!

OLEH : IRANA 82


CERAMAH GERAK GEMPUR PAS KAWASAN DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN


BUKIT KATIL 11 OGOS : Ceramah gerak gempur di empat lokasi berlainan yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Bukit Katil minggu lepas mendapat sambutan yang agak menggalakkan.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan, Hamzah Yusof dalam kenyataannya kepada blog ini pagi ini menyatakan situasi politik mutakhir yang panas dan penuh dengan isu kontroversi telah menyebabkan rakyat yang dahagakan maklumat datang menghadiri ceramah-ceramah tersebut.

Ceramah pertama di adakan di Markaz PAS Bukit Beruang pada 5 Ogos lalu di mana ia disampaikan oleh Us Idris Ahmad, Timbalan Ketua DPP Pusat. Ceramah kedua pada 7 Ogos di Markaz PAS Paya Dalam, Ayer Molek menampilkan Us Misbahul Munir Masduki sebagai penceramah utama. Manakala ceramah terakhir diadakan di Markaz PAS Kawasan Bukit Katil, di sini 8 Ogos lalu di mana penceramahnya ialah Naib Ketua DPP Pusat, Mazlan Aliman.

Sebelum Sdr Ann Wan Seng telah berceramah di Markaz PAS Bukit Baru di tengah-tengah Pekan Bukit Baru.

'Insya Allah kita akan mengadakan siri ceramah seumpama ini untuk menerangkan isu-isu semasa kepada rakyat' tegas Hamzah.


EDITOR AKHBAR DENMARK JYLLANDS POSTEN MATI TERBAKAR


BLOG INI MENERIMA EMAIL DARI SEORANG PENGUNJUNG MEMBERITAHU TENTANG KEJADIAN DI BAWAH. SEJAUH MANA IA BENAR TIDAK DAPAT DIPASTIKAN. KEPADA SESIAPA YANG MENGETAHUINYA SILA SAHKAN BERITA INI

Editor akhbar Denmark "Jyllands Posten" mati terbakar dalam satu kebakaran
yang berlaku di bilik tidurnya, menurut akhbar Saudi. Akhbar Saudi mendakwa
Editor tersebut sedang tidur di dalam biliknya apabila kebakaran memusnahkan
bilik tidurnya itu. Beliau dan akhbarnya menjadi kontroversi setelah
menerbitkan karikator yang menghina Nabi saw.

Akhbar Saudi tersebut mendakwa kerajaan Denmark cuba menyembunyikan berita
kematian editor tersebut.....


BERITA MELAKA :INI MACAM CERITA PUN ADA


KLEBANG, 11 Ogos : Kebiasaannya kes-kes tangkapan yang menyalahi hukum agama akan dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), membabitkan polis, imam, pegawai syarak serta orang kampung tetapi kali ini agak berlainan kerana tangkapan itu dilakukan oleh bapa mertua ke atas menantu perempuannya sendiri.

Tangkapan tersebut dilakukan di kawasan Pantai Klebang di sini, awal pagi ini melibatkan menantu perempuan terbabit dikatakan berkhalwat bersama seorang lelaki lain dalam sebuah kereta berhampiran sebuah pusat hiburan dengan bantuan seorang lelaki yang juga ipar kepada wanita berkenaan kira-kira jam 1 pagi ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, menantu terbabit berumur 26 tahun berasal dari Alor Gajah dekat sini, masih lagi mempunyai ikatan pernikahan yang sah dengan suaminya dan dikurniakan tiga orang cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

“Pasangan berkenaan diberkas keluarga sendiri berdasarkan kepada gerak-geri menantu perempuan terbabit yang didapati mencurigakan sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika dihubungi di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurutnya, sementara teman lelakinya yang dikatakan bukan muhrim berusia 20 tahun itu dipercayai masih lagi belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dan apabila siasatan mendapati wanita berkenaan mendakwa lelaki terbabit merupakan adik angkatnya yang dikenali sejak dari dahulu lagi.

Jelas Rahimin, ketika serbuan bapa mertua bersama beberapa saudara ipar wanita berkenaan dikatakan sedang berdua-duaan di tempat yang gelap dalam keadaan suasana yang sunyi sehingga menimbulkan syak sekaligus ‘menodai’ status sebagai seorang isteri dan ibu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, katanya, pasangan berkenaan diberkas apabila salah seorang dari abang iparnya terlihat kereta wanita berkenaan di tempat tersebut bersama lelaki lain dan beliau kemudiannya terus pulang ke rumah lalu melaporkan kejadian tersebut kepada bapa mertuanya.

“Kes seperti ini sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah rumpun keluarga Islam yang bertamadun memandangkan ikatan perkahwinan mereka juga telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.

Ujar Rahimin, suami wanita berkenaan dikatakan menjalankan perniagaan sendiri bagaimanapun telah menjamin isterinya itu di pejabat penguatkuasa Jaim hari ini ekoran dari tangkapan yang dilakukan oleh keluarga sendiri kerana dipercayai melakukan perbuatan terkutuk sekaligus melanggar hukum syarak.

Tegas Rahimin, pasangan terbabit akan dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersunyi-sunyian sehingga menimbulkan syak dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, ikatan perkahwinan seharusnya tidak dicemari dengan gejala-gejala negatif seperti yang dilakukan oleh pasangan terbabit memandangkan hubungan yang dijalin itu sememangnya suci dan murni selain halal disisi agama dan undang-undang syariah.

Suami isteri perlu lebih peka dan prihatin terhadap ikatan perkahwinan masing-masing bagi melahirkan insan-insan yang lebih mulia akhlaknya dengan suasana keluarga yang harmoni dan bahagia di bawah keberkatan yang Maha Esa, ujar beliau.


PAC tak puas hati ECM Libra Avenue Bhd


KUALA LUMPUR 11 OGOS : Pengerusinya Datuk Shahrir Abdul Samad berkata PAC tidak puas hati dengan penjelasan berhubung kawalan ke atas entiti yang terhasil daripada penggabungan itu yang kini dikenali ECM Libra Avenue Bhd, memandangkan Avenue adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sungguhpun nilai pegangan saham kerajaan hasil penggabungan itu meningkat tetapi ia tidak diterjemahkan dengan adanya penyertaan kerajaan yang efektif daripada segi pengurusan syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung lebih empat jam di Bangunan Parlimen, di sini.

Kementerian Kewangan diwakili Ketua Setiausaha Tan Sri Izzuddin Dali manakala SC pula diwakili Pengerusinya Datuk Zarinah Anwar.

Shahrir berkata untuk itu PAC akan mengadakan mesyuarat kedua bersama Kementerian Kewangan bagi menjelaskan kawalan kerajaan dalam menentukan polisi entiti baru tersebut pada 25 Ogos ini.

Mengulas mengenai penjelasan yang diberi berhubung prosedur penggabungan itu, beliau berkata PAC berpandangan SC telah melakukan tugasnya dengan baik dalam mengawal dan memantau proses tersebut.

Ditanya mengapa PAC berminat dengan isu pergabungan tersebut, Shahrir berkata ini kerana pergabungan itu melibatkan wang rakyat di samping tersebarnya pelbagai maklumat yang menimbulkan kontroversi kerana melibatkan dua personaliti.

"Salah seorang daripada mereka ialah Datuk Kalimullah (Masheerul Hassan) dan seorang lagi ialah Khairy Jamaluddin (yang juga menantu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).

"Ini juga kali pertama kita mendengar syarikat yang ada kepentingan kerajaan dibeli oleh syarikat swasta," katanya.

Beliau berkata PAC juga dimaklumkan bahawa pergabungan itu diluluskan di peringkat pegawai Kementerian Kewangan sahaja tanpa membabitkan Jemaah Menteri.

Ditanya adakah pergabungan GLC dengan syarikat biasa sepatutnya memerlukan persetujuan Kabinet, Shahrir berkata: "Saya tidak pasti."

Kepada satu lagi soalan sama ada timbul percanggahan kepentingan jika sesuatu urusan itu membabitkan keluarga dengan menteri yang berkenaan, beliau berkata daripada segi prinsip memang timbul konflik.

"Tapi dalam hal ini mungkin tak ada kaitan dengan menteri sebab tidak dibawa ke kabinet. Ia diputuskan dengan pegawai, iaitu kuasa di peringkat pegawai," katanya.


ANAKNYA PUN JADI MANGSA INILAH PERANGAI Umno


MELAKA 11 OGOS : Tidak cukup pelbagai halangan yang dikenakan kepada Dr Mahathir kini anaknya yang juga Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir menerima nasib yang sama seperti bapanya, apabila beberapa Pemuda Umno bahagian telah membatalkan jemputan kepadanya untuk merasmikan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Menurut sumber, setakat ini tiga Pemuda bahagian disahkan telah membatalkan jemputan mereka walaupun Mukhriz telah memberi komitmen akan menghadirinya.

Inilah sebenarnya perangai Umno yang tidak boleh ditegur atau dinasihat walaupun teguran, nasihat dan kritikan yang ditujukan adalah benar dan berasas. Apa yang penting bagi mereka kuasa mesti dipertahankan walaupun menggadai prinsip agama dan demokrasi.

“Pemuda bahagian berkenaan tidak memberikan sebab-sebab pembatalan tersebut. Apabila ditanya, Ketua Pemuda bahagian berkenaan hanya memberitahu ia terpaksa dibatalkan oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” kata sumber itu lagi.

Beliau bagaimanapun, enggan memberitahu nama bahagian berkenaan bagi mengelakkan timbul salahfaham atau tindakan yang tidak diingini terhadap pemipin Pemuda bahagian tersebut.

Bagaimanapun katanya sekurang-kurangnya tujuh lagi Pemuda bahagian tetap menjemput Mukhriz merasmikan mesyuarat mereka. Sabtu lalu, Mukhriz telah merasmikan mesyuarat Pemuda bahagian Masjid Tanah, Melaka.

Mesyuarat Pemuda Masjid Tanah telah meluluskan usul meminta Majlis Tertinggi Umno mengambil daya usaha mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Dr Mahathir bagi menyelesaikan perbalahan antara kedua-dua pemimpin itu secepat mungkin.

Turut jadi mangsa

Menurut sumber itu lagi, tindakan membatalkan jemputan itu tidak mengejutkan, namun ia amat mengecewakan kerana ini menunjukkan ada pihak tertentu cuba mengheret Mukhriz dalam krisis Dr Mahathir Mohamad dengan Abdullah.

Kata sumber itu lagi, kalangan Pemuda bahagian berkenaan memberitahunya, orang tertentu dari Kuala Lumpur telah meminta badan perhubungan Umno negeri menasihatkan bahagian-bahagian Umno membatalkan semua jemputan kepada Mukhriz atau bapanya.

“Nasib yang menimpa Mukhriz sama seperti bapanya. Kita sedia maklum banyak majlis-majlis yang melibatkan Dr Mahathir dibatalkan akhir-akhir ini.

“Tindakan pihak tertentu memandang serong pada Mukhriz adalah suatu yang menyedihkan dan tidak wajar kerana sebagai Exco Pemuda, beliau layak dan berhak untuk merasmikan mesyuarat Pemuda bahagian,” tambah sumber tersebut.

Sumber berkenaan juga menegaskan ‘nasihat’ yang disalurkan dari Kuala Lumpur itu tidak selari dengan kata-kata presiden dan pemimpin kanan Umno yang berkali-kali mendakwa Dr Mahathir tidak dihalang bertemu ahli-ahli Umno.

“Nampaknya bukan Dr Mahathir sahaja dihalang bertemu ahli-ahli Umno, malah anak beliau turut menjadi mangsa,” ujar sumber itu lagi.


KEGIATAN DR MAHATHIR AKAN DI PANTAU DENGAN LEBIH KETAT


ALOR STAR 11 Ogos – Walapun tidak dinyatakan secara terperinci penceramah dan program bagaimana yang akan dipantau oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO tetapi semua orang tahu bahawa ianya sudah tentu ditentukan kepada Dr Mahathir.

Media hari ini melaporkan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di setiap negeri perlu memastikan para ahlinya tidak menganjurkan sebarang majlis termasuk ceramah umum yang boleh dijadikan platform oleh pihak-pihak tertentu untuk menghentam kerajaan.

Nampaknya peluang Dr Mahathir untuk bertemu dan berucap di hadapan penyokong dan ahli Umno semakin sempit dengan pelbagai tindakan drastik yang di ambil oleh Umno. Sudah jelas bahawa Pak Lah begitu takut kepada Dr Mahathir sehingga tindakan sebegini terpaksa di ambil.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, sehubungan itu Badan Perhubungan UMNO negeri perlu memantau sebarang aktiviti yang ingin dianjurkan oleh ahlinya terutama melibatkan isu-isu semasa supaya ia tidak menjejaskan kekuatan parti.

“Mereka (Pengerusi Badan UMNO negeri) ada kuasa untuk berbuat demikian (memantau). Sekiranya mereka merasakan aktiviti yang dijalankan itu menyalahi peraturan parti, mereka boleh laporkan kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk dikaji.

“Tindakan disiplin boleh dikenakan tetapi ia bergantung kepada laporan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pangkat (Kehormat) Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Md. Rozai Shafian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan ahli-ahli DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat serta Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni.

Radzi mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam bahawa Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin berdepan tindakan disiplin parti jika ceramah yang dianjurkannya pada 26 Ogos ini turut dihadiri pembangkang.

Zahidi baru-baru ini menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk merasmikan mesyuarat bahagian tersebut pada 27 Ogos ini tetapi bersetuju membatalkan jemputan itu ekoran teguran Radzi bahawa hanya pemimpin tertentu dalam parti boleh merasmikan mesyuarat bahagian.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri tersebut dijemput menyampaikan ceramah pada satu majlis di Beseri, sehari sebelum mesyuarat berlangsung.

Menurut Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, terpulang kepada kebijaksanaan Pengerusi-pengerusi Badan Perhubungan UMNO untuk menilai setiap penganjuran aktiviti yang diadakan sama ada ia melanggar peraturan parti ataupun tidak.

Bagaimanapun jelas beliau, sehingga kini belum ada mana-mana anggota UMNO yang dikenakan tindakan disiplin kerana menganjurkan ceramah yang turut membuka ruang kepada anggota-anggota parti pembangkang menyertainya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59