Thursday, 10 August 2006

STOPA AKUI 60,000 SISWAZAH MENGANGGUR. ITU TIDAK TERMASUK YANG TAK DAFTAR


PUTRAJAYA 10 OGOS : Jumlah siswazah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menganggur di negara yang berjumlah dalam lingkungan 60,000 orang jelas menampakkan kelemahan kerajaan dalam menangani isu pengangguran ini. Malah jumlah ini kemungkinan jauh lebih besar jika ianya termasuk penganggur yang tidak mendaftar dengan agensi kerajaan. Isu ini telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya dan gagal ditangani dengan berkesan walaupun menteri telah bertukar.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapha Mohd atau lebih manja di panggil Stopa mengakui hari ini bahawa 60,000 siswazah sedang menganggur tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Beliau berkata angka itu mewakili 40 peratus daripada jumlah siswazah yang sekian lama menganggur, termasuk mereka yang baru menghabiskan sesi pengajian bulan lepas.

Katanya kumpulan siswazah yang menganggur itu terdiri daripada golongan yang tidak ingin bekerja, ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sememangnya tidak mendapat pekerjaan.

Jumlah siswazah yang menganggur ini bagaimanapun tidak tetap disebabkan perubahan yang cepat dan dinamik dalam pasaran carian kerja, kata Mustapa selepas melancarkan Sistem Kajian Pengesanan Siswazah Institusi Pengajian Tinggi Secara Dalam Talian di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya. Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi (UPE) sedang menyelaras angka siswazah menganggur yang diperoleh daripada tiga sumber utama dan rasmi Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Statistik dan Kementerian Sumber Manusia.

"Saya telahpun mengadakan pertemuan dengan pihak UPE dan membentangkan angka-angka berkenaan dan sekarang terpulanglah kepada pihak itu untuk membuat penyelarasan supaya satu angka yang lebih tepat dapat diperoleh dan dihebahkan," katanya.

Beliau berkata mulai 2003, Kementerian Pelajaran pada masa itu diminta menyelaras dan meneruskan kajian yang sebelumnya dikendalikan oleh UPE.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masalah Siswazah Menganggur yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuaratnya pertengahan bulan lepas memutuskan supaya tugas penyelarasan angka siswazah menganggur yang diperoleh daripada tiga pihak berkenaan dikembalikan kepada UPE, kata Mustapa.

Mengenai sistem kajian pengesanan siswazah IPT secara dalam talian, beliau berkata kajian itu dimulakan di UiTM membabitkan 10,000 pelajarnya.

Keputusan kajian, katanya, dibuat menggunakan aplikasi komputer yang membolehkan hasilnya diketahui dalam masa dua atau tiga hari berbanding kajian secara manual yang dibuat tiga tahun lepas dengan keputusan diperoleh dalam masa dua minggu.

Beliau berkata sehingga kini kadar terimaan maklum balas di kalangan siswazah terhadap kajian itu melebihi 90 peratus membabitkan siswazah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UiTM, Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia dan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia.

Sistem kajian yang dibangunkan dengan kos RM100,000 itu mendapatkan sampel kajian di kalangan siswazah pada hari konvokesyen universiti dan ia diperbaharui setiap tiga bulan, kata Mustapa

Inilah akibatnya apabila sesuatu sistem atau dasar baru diperkenalkan tanpa kajian yang teliti dan menyeluruh. Jumlah pengangguran yang semakin meruncing ini juga sebenarnya berlaku kerana keadaan ekonomi negara yang agak suram di mana peluang-peluang pekerjaan baru tidak dapat diiwujudkan di tambah lagi dengan jumlah siswa-siswi yang menamatkan pengajian semakin bertambah dengan bertambahnya Kolej-kolej dan Universiti-universiti swasta yang tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan sejak kerajaan membenarkan penubuhan IPTS dan 'Twin Program' dengan Universiti luar negara.

Malah sekarang ini graduan pendidikan pun terpaksa menganggur seperti yang dilaporkan oleh media massa sedikit masa dahulu. Ini semua adalah disebabkan oleh kelemahan kerajaan dalam mentadbir negara.


PERTIKAIAN MAHATHIR-IMAM AL BADAWI SEMAKIN MEMUNCAK


PADANG BESAR 10 OGOS : Nampaknya pertikaian antara Dr Mahathir dan Imam Al Badawi semakin memuncak apabila program yang diatur untuk Dr Mahathir mendapat halangan samada dari segi tempat ataupun arahan pihak tertentu supaya dibatalkan.

Terbaru Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri telah menarik balik kebenaran awalnya membenarkan dewan utamanya digunakan untuk ceramah perdana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Umno Bahagian Padang Besar, yang dijadualkan pada 26 Ogos depan.

Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa IKM Beseri telah diarahkan oleh ‘orang atasan’ untuk menarik balik kebenaran tersebut kerana mereka bimbang Dr Mahathir akan terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, katanya, ceramah perdana oleh bekas Presiden Umno itu akan diteruskan di tapak bangunan Umno Padang Besar.

Katanya, IKM juga tidak membenarkan dewan utamanya digunakan untuk mengadakan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar yang dijadualkan pada 27 Ogos, sehari selepas ceramah perdana Dr Mahathir.

Berikutan itu, katanya, Umno bahagian terpaksa menangguhkan mesyuarat perwakilannya sehinggalah mendapat tempat mesyuarat yang baru.

Cari tempat baru

“Tarikh baru mesyuarat tersebut tidak dapat dipastikan kerana kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempat baru,” katanya.

Sebelum ini, pihak pentadbiran IKM bersetuju membenarkan dewan utamanya digunakan untuk mesyuarat bahagian pada 27 Ogos depan serta ceramah perdana Dr Mahathir sehari sebelumnya.

Zahidi percaya arahan pembatalan tersebut ada kaitan dengan ceramah perdana Dr Mahathir anjuran Umno bahagian Padang Besar.

“Daripada maklumat yang diterima, ada pihak yang bimbang Tun Dr Mahathir akan terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadapnya jika ceramah perdana Dr Mahathir itu memberi kesan negatif kepada pihak keranaan, Zahidi berkata:

“Datuk Shahidan tak payah jadi lembaga disiplin parti, dan Umno pula bukan sebuah parti kuku besi. Lagi pula, Pak Lah sendiri telah berkata jangan menghalang Dr Mahathir mengadakan ceramah,” katanya.

Kelab Gen M

Sementara itu, jurucakap Gen M kelab yang menguruskan aktiviti sokongan kepada Dr Mahathir berkata, sambutan ahli Umno dan orang ramai untuk mengikuti rombongan ke Perlis amat menggalakkan.

Katanya, dua bas yang ditempah sudah penuh tetapi pihaknya tidak bercadang membuat tempahan baru berikutan masalah kewangan.

Bagaimanapun, Naib Ketua Bahagian Umno Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, dewan utama IKM tidak dapat digunakan pada 27 Ogos ini kerana akan digunakan oleh pelajar institut tersebut.

Katanya, adalah tidak benar pejabat Perhubungan Umno Perlis mengarahkan tempahan dewan itu yang dibuat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar ditarik balik.

Sumber : Malaysiakini


PAK LAH KATA SCOMI TAK DAPAT PROJEK KERAJAAN. MEDIA HARI INI LAPORKAN SCOMI MUNGKIN DAPAT PROJEK BEKAL GERABAK MONOREL


KUALA LUMPUR 10 OGOS : Baru Isnin lepas Pak Lah kata Scomi hanya menumpukan projek luar negara yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Tetapi hari ini media melaporkan bahawa Scomi Group Bhd sanggup bekerja dengan sebarang pihak untuk membekalkan gerabak-gerabak bagi cadangan projek Monorel Pulau Pinang.

Tetapi setakat ini, hanya MRCB Bhd telah menunjukkan minat untuk bekerja dengan syarikat itu, ketua pegawai eksekutif kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain, berkata semalam.

"Kami telah mencadangkan kepada MRCB atau sesiapa yang berminat untuk membeli keretapi (daripada kami), ia adalah direka bentuk dengan baik secara kompetitif.

"Mereka (MRCB) telah menunjukkan minat untuk bekerja dengan kami," beliau berkata semasa taklimat mengenai rancangan penyusunan semula syarikat itu di sini.

MRCB mengetuai satu konsortium yang termasuk Scomi Engineering dan Mahkota Technology dalam membida bagi projek berkenaan.

Ini bermakna bahawa walaupun konsortium MRCB gagal memenangi projek itu, Scomi Engineering masih boleh membekalkan gerabak-gerabak kepada pembida yang menang. Ini bermakna Scomi tetap akan dapat projek membekalkan gerabak monorel itu walaupun siapa yang menang pembidaan itu.

Jadi kenyataan Pak Lah Isnin lepas boleh dipertikaikan.

Scomi Engineering telah memperolehi laluan kepada teknologi monorel melalui Mtrans Transportation System Sdn Bhd yang dimilikinya baru-baru ini. Mtrans pakar dalam mengeluarkan bas-bas bandar dan sistem pengangkutan monorel.

Ditanya bila keputusan itu akan diketahui, Shah Hakim berkata: "Saya tidak pasti tetapi saya fikir tarikh akhir bagi syarikat-syarikat mengemukakan bidaan mereka kepada EPU (Unit Perancang Ekonomi) ialah bulan depan.

"Kami andaikan ia akan mengambil masa tiga bulan untuk menilainya."

Jadi nampaknya semakin banyak Pak Lah bercakap makin terserlah dakwaan dan tuduhan Dr Mahathir terhadap kerajaan, Khairy dan Kamaluddin.


TUGASNYA MENCEGAH MAKSIAT TETAPI DIA SENDIRIPUN PELAKU MAKSIAT


AMPANG 10 OGOS : Di zaman Islam Hadhari ini macam-macam perkara berlaku. Media melaporkan hari ini bahawa seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan, iaitu melakukan seks oral dan mencabul seorang wanita di pejabat jabatan itu, di sini, awal bulan ini.

Sepatutnya pegawai ini tugasnya mencegah maksiat tetapi nampaknya dia sendiri adalah pelaku maksiat. Macamana JAIS boleh ambil orang macam ini menjadi pegawainya. Tidakkah sebelum pengambilan pekerjanya JAIS ada menjalankan sessi temuduga dan penelitian secara mendalam. Ini kerana tugas ini bukanlah tugas sembarangan yang boleh dilakukan oleh semua orang. Tambahan pula jika kejadian seumpama ini dilakukan oleh pegawainya maka sudah tentu orangramai akan hilang kepercayaan kepada institusi tersebut.

Tertuduh, Muhamad Hafiz Kanimon, 21, dari Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu terhadap seorang pekerja kilang (yang ditangkap berkhalwat) dan datang menemuinya berkenaan kes itu.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafiz yang baru dua bulan bekerja secara kontrak di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa berusia 22 tahun, di pejabatnya di Jalan AU2 A/17, Taman Keramat, pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Muhamad Hafiz didakwa mencabul kehormatan gadis berkenaan dengan meraba buah dada serta mencium bibirnya, di tempat dan pada tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan.

Dia yang diwakili peguam Ariff Azami Husein dan Azizul Shariman Mat Yusof, memohon dibicarakan atas kedua-dua tuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Azyraf Md Kamal membantah jaminan dengan alasan tertuduh menghadapi dua tuduhan serius dan membawa hukuman berat.

Hakim Noradidah Ahmad dalam keputusannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga perbicaraan pada 22 dan 23 Januari tahun depan.


SPR MAHU TUKAR ALAMAT PEMILIH. PENGUNDI AKAN DIDAFTAR MENGIKUT ALAMAT TERBARU


PUTRAJAYA 10 Ogos : Seksyen 25 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, akan dipinda bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar alamat pemilih kepada alamat terbaru mereka.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata draf pindaan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada Oktober ini dan ia disasarkan dapat digunakan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menerusi pindaan itu, SPR dapat menyediakan daftar pemilih yang "bersih" dan tidak diragui mana-mana pihak, katanya kepada pemberita selepas melepaskan Pasukan Kembara Merdeka SPR 2006 di sini semalam.

Abdul Rashid berkata sebelum Julai 2002, terdapat kira-kira 9 juta pemilih, namun 3.5 juta daripadanya tidak berada di alamat seperti yang didaftarkan, yang bermakna mereka telah berpindah.

"Ia perlu disusun atur semula... sebelum ini kita tidak mempunyai kuasa, orang tak faham. Ini saya tak pernah jelaskan dulu. Saya tidak beri penjelasan dan sekarang sudah tiba masanya kita buat penjelasan, kita tidak ada kuasa...

"Jika seseorang pemilih tidak menetap di alamat yang didaftarkan, daftar pemilih akan terus diragui dan SPR disoal macam-macam dan dituduh macam-macam," katanya.

Abdul Rashid berkata menerusi pindaan itu, SPR akan melakukan semakan alamat pemilih dalam daftar pemilih dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan jika didapati tidak sepadan, SPR akan menghubungi mereka dan menasihatkan supaya menukar alamat.

Katanya jika mereka enggan berbuat demikian, SPR mempunyai kuasa untuk menukar alamat mereka tanpa kebenaran pemilih berkenaan.

"Tak bolehlah, sebab dia tidak ada lagi di situ, tempat kediaman dia tidak ada di situ. Kita ikut tempat kediaman, ia bermaksud tempat tinggal anda sekarang. Tetapi kita tidak akan potong nama dia, dia masih kekal sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata keperluan untuk menukar alamat itu hanya membabitkan pemilih yang berpindah ke negeri lain dan jika berpindah tetapi masih berada di kawasan pengundian yang sama, mereka tidak perlu berbuat demikian.

Abdul Rashid berkata SPR juga telah memaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan sistem alamat yang lengkap.

"Sekarang, alamat hanya ada pada hartanah yang dikenakan cukai, hartanah yang berada di luar kawasan bercukai, tak ada alamat. Keadaan itu menyebabkan posmen melonggokkan surat di satu tempat sahaja pada satu alamat.

"Sebab itu kita dapati dalam daftar pemilih, banyak alamat rumah yang ramai orang atau ramai pemilih tinggal di situ. Ini pun kita dituduh macam-macam dan kita tidak boleh mengeluarkan mereka kerana jika kita berbuat demikian, kita telah mengeluarkan pengundi yang sah," katanya.

Di samping itu, katanya SPR telah mengarahkan semua pengarah-pengarah negeri membuat "pembersihan" pada daftar pemilih masing-masing dengan membuat pengesahan jika terdapat pemilih yang telah meninggal dunia.

"Di kampung-kampung, kita guna ketua kampung untuk mengesahkan orang yang telah mati, jika ada kita akan keluarkan. Dulu, kita banyak bergantung kepada JPN dan saya tak salahkan JPN, jika orang tak lapor," katanya.

Abdul Rashid berkata baru-baru ini, SPR dapat mengesahkan hampir 13,000 pemilih di kawasan rumah panjang Sarawak, yang telah meninggal dunia tetapi masih tersenarai dalam daftar pemilih.

Sementara itu, katanya terdapat kira-kira 4 juta orang yang layak mendaftar tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Berdasarkan rekod JPN, terdapat kira-kira 15 juta orang yang telah mencapai had umur 21 tahun ke atas tetapi dalam daftar pemilih, hanya 10.3 juta orang dan daripada jumlah itu, 3.5 juta pemilih tidak menetap di alamat yang diberikan," katanya.

Beliau berkata program Kembara Merdeka yang bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 22 Ogos di Kuala Terengganu, memberi peluang kepada masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih.

Katanya pasukan itu yang akan menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, akan melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat terutama Orang Asli, masyarakat desa, penduduk pekan kecil, masyarakat bandar dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).


PIL KETAWA DAN GEMBIRA SELALU DIJUAL SECARA BERLELUASA


MELAKA 10 OGOS : Penagih dadah tegar di negeri ini dikesan menjadikan tiga jenis pil yang digunakan sebagai ubat penenang bagi mereka yang mengalami gangguan mental dan insomnia (sukar tidur) sebagai ‘dadah’ baru untuk melepas gian.

Golongan berkenaan dikatakan mengambil pil berkenaan kerana lebih mudah diperoleh dan dijual di farmasi berbanding heroin dan ganja.

Pil baru seberat dua miligram yang dinamakan Stilnox, Xanax dan Dormicum itu dikatakan mampu memberi kesan khayal jika ditelan tiga hingga lima biji sekali gus.

Kesan khayal selepas mengambil pil itu akan membolehkan mereka ketawa terbahak-bahak dan sentiasa gembira.

Kegilaan mendapatkan pil itu mendorong beberapa farmasi di sekitar bandar ini dikesan menjualnya bagi mendapat keuntungan segera.

Walaupun ada peraturan supaya penjualan ubat berkenaan dicatatkan dalam buku rekod pembelian, ketiadaan penguat kuasaan tegas menyebabkan kaedah itu tidak berjaya dilaksanakan.

Harga pasaran bagi pil berkenaan adalah antara RM12 hingga RM35 sebiji. Ini bermakna klinik atau farmasi yang menjual pil itu mampu memperoleh keuntungan besar.

Kegiatan penjualan pil berkenaan terbongkar dalam satu serbuan dijalankan Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam serbuan di sebuah farmasi di Batu Berendam, sebanyak 307 pil berkenaan yang disorokkan dalam farmasi berkenaan dirampas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Dr Nooraini Baba, berkata semua pil khayal berkenaan hanya boleh dijual selepas mendapat nasihat doktor.

Namun, katanya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan, sebahagian daripada pil berkenaan dijual tanpa rekod.

“Semua pil yang dirampas itu berjumlah 307 biji dan masih terbungkus dalam kotaknya. Ia dipercayai dijual kepada pihak tertentu untuk berkhayal,” katanya.

Dr Noraini berkata, pemilik farmasi berkenaan akan didakwa mengikut Peraturan 24 dan 19, Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 dan Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952 (Pindaan 1989).

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun,” katanya.

Gambar diatas hanya sekadar hiasan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59