Wednesday, 9 August 2006

BOIKOT BARANGAN AMERIKA






HARTA UMAT ISLAM BERNILAI BILLION RINGGIT BEKU


KUANTAN 9 OGOS : Lebih sejuta kes tuntutan harta pusaka oleh umat Islam dalam negara yang nilainya mencecah berbilion ringgit, tidak dapat diselesaikan dan tertunggak ekoran ramai kalangan mereka tidak tahu tentang undang-undang dan peraturan mengenai pengurusan harta itu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata kekurangan pengetahuan tentang perkara itu menyebabkan banyak pengurusan aset orang Islam terbengkalai, beku, dan tidak dapat dibangunkan.

"Perkara ini tidak digalakkan oleh agama kerana Islam sangat menggalakkan umatnya membuat pelaburan harta untuk faedah diri, keluarga, masyarakat dan negara," katanya semasa berucap ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta Dalam Islam di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya fenomena itu dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja akan mengakibatkan pembangunan ekonomi negara terjejas, malah umat Islam juga akan dianggap sebagai umat yang mundur dalam arus pembangunan.

Menurutnya umat Islam perlu membuat perancangan terhadap harta mereka untuk generasi akan datang melalui pemberian harta semasa hidup, pemberian melalui wasiat atau mewakafkan harta.

Sehubungan itu, Wan Abdul Wahid berkata beliau berharap seminar berkenaan dapat menghasilkan satu jalan penyelesaian yang terbaik dan berkesan agar pembangunan harta pusaka dapat diteruskan demi kepentingan umat Islam dan ekonomi negara.


PLKN TERUS DITIMPA MASALAH


IPOH 9 OGOS : Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sering dikecam kerana kelemahan dan 'pembaziran' kali ini ditimpa masalah baru. Sudah banyak pihak yang menyuarakan pendapat mereka bahawa program ini tidak banyak memberikan manfaat kepada pelatihnya. Namun ia tetap diteruskan atas pelbagai alasan. Salah satu bukti ianya tidak mendapat sambutan ialah kegagalan ramai dari pelatihnya melaporkan diri untuk menghadirinya pada hari yang ditetapkan.

Sebelum ini pelbagai kes melibatkan pelatih PLKN antaranya kes rogol, pergaduhan dan sebagainya.

Media hari ini melaporkan bahawa kesemua 260 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Gopeng dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selama tiga hari mulai hari ini berikutan 30 pelatih, kebanyakannya berketurunan Cina, diserang histeria.

Pengerusi Nazir PLKN Perak Datuk Tan Chin Meng, semalam berkata seramai 30 pelajar diserang histeria kelmarin dan 100 pelatih lain trauma melihat kejadian yang menimpa rakan-rakan mereka.

Beliau berkata kira-kira 20 pelatih dikejarkan ke hospital sejak Ahad tetapi dibenarkan pulang.

"Pihak pengurusan kem telah mendapatkan khidmat seorang bomoh Cina untuk memulihkan mereka tetapi usaha tersebut tidak berhasil," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Inovasi Negeri berkata pelatih terbabit mengaku mereka tertekan kerana tidak dapat pulang bersama keluarga masing-masing untuk meraikan Festival Hantu Lapar.

Kelmarin merupakan kemuncak perayaan itu.

Pada 31 Julai lepas, kira-kira 165 pelatih PLKN berketurunan Cina di Kem Chenderiang, Tapah, enggan menjalani latihan kerana tidak diberi pelepasan sempena festival tersebut


SMS PALSU : KENYATAAN DEWAN PEMUDA PAS PUSAT


Dewan Pemuda PAS Pusat ingin menegaskan bahawa Kes Lina Joy belum dibacakan oleh Mahkamah Persekutuan. Justeru DPPP meminta kerjasama DPPN untuk menolak sebarang fitnah yang menyatakan bahawa kes ini telah disebut di mahkamah.

Untuk maklumat tepat sila hubungi :

Sdr Abdullah Abdul Karim (012-9526476)

Aminuddin Zulkifli (019-5116546).

Berikut disiarkan emel dari PEMBELA untuk keterangan lanjut.

Menurut sumber dari PEMBELA dan PPI, mereka banyak menerima panggilan telefon yang menyatakan kes LinaJoy telah diputuskan di Mahkamah. Panggilan tersebut timbul ekoran daripada SMS palsu yang menyatakan keputusan kes ini telah dikeluarkan oleh pihak Mahkamah dan memihak kepada Azlina Jailani (Lina Joy).

Ada juga SMS yang menyebut keputusan tidak memihak kepadanya. PEMBELA dan PPI menegaskan hingga kini tiada sebarang tarikh diterima dan tetapkan oleh mahkamah. Pihak Peguam masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh Mahkamah Persekutuan berhubung dengan penetapan kes tersebut.

Namun demikian marilah sama-sama kita berdoa agar kes tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang cuba mengganggu gugat kedudukan Islam di Malaysia. PEMBELA & PPI menyeru kepada semua Umat Islam di Malaysia "agresif" untuk mengumpulkan tandatangan disemua peringkat masyarakat demi mempertahankan kedaulatan Islam.

Sokongan juga boleh dibuat secara "Online" dengan beberapa perubahan telah dibuat termasuk memberi pilihan kepada ruangan emel, bagi memudahkan urusan petition online.

Gerak kerja juga sedang dirangka kini bagi memperluaskan kempen, penyerahan surat, memorandum dan perbincangan di peringkat kerajaan, jabatan agama Islam,institusi-institusi, badan agama, parti politik dan sebagainya demi memastikan kefahaman yang jelas dan menyeluruh berhubung dengan isu ini bagi mengupaya semua pihak mencari jalan terbaik menyekat sebarang usaha yang cuba menjatuhkan kedaulatan Islam.


Sentiasa dapatkan maklumat tepat di :

http://pemudabukitkatil.blogspot.com

http://myislamnetwork.net/portal/

http://www.abim.org.my

http://terasmelayu.net

http://harakahdaily.net


Ehsan Blog Tantawi


LAGI BUKTI KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA : 30 % GENERASI MUDA SANGGUP MAKAN RASUAH


ALOR STAR 9 OGOS : Satu lagi bukti kelemahan sistem pendidikan negara terserlah melalui kajian apabila hampir 30 peratus generasi muda sanggup mengamalkan dan menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa dan diberi tanggungjawab terhadap sesebuah organisasi atau institusi.

Nampak jelas bahawa Sistem Pendidikan negara Islam Hadhari ini gagal melahirkan insan yang takut kepad Allah S.W.T kerana rasuah merupakan satu dosa di sisi agama.

"Mereka seolah-olah tidak langsung menghiraukan dosa dan pahala, yang penting bagi mereka adalah habuan dunia semata-mata" kata Khairuddin Ismail Setiausaha DPP Kawasan Bukit Katil ketika diminta mengulas isu ini.

"Ini semua adalah akibat dari kegagalan kerajaan dan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dalam menanam ilmu agama yang sebenar kepada pelajr-pelajar. Apa yang penting bagi kerajaan dan pemimpinnya adalah keputusan peperiksaan yang baik. Malah subjek Agama Islam dikesampingkan, tidak wajib diambil oleh pelajar" jelas Khairuddin yang juga seorang pendidik dengan panjang lebar.

Menurut beliau lagi sudah sampai masanya rakyat bangkit menumbangkan kerajaan yang ada melalui saluran demokrasi sebelum negara hancur disebabkan kegagalan kerajaan BN Islam Hadhari memerintah Malaysia.

"Mari kita tukar kerajaan dengan kerajaan baru dalam Pilihanraya Umum akan datang" tambah Khairuddin bersungguh-sungguh.

Keputusan kajian mengenai rasuah ini amat membimbangkan kita semua apatah lagi negara sekarang sedang menghadapi gejala rasuah yang semakin membimbangkan.

Walapun PM sekarang sewaktu mula-mula mengambilalh tugasnya dahulu berjanji untuk menghapuskan rasuah tetapi janji beliau hanya tinggal janji apabila menteri-menteri yang ber'masalah' tetap dikekalkan dalam kabinetnya.

Gejala ini juga tidak dapat dibenteras kerana sistem pendakwaan terpilih yang diamalkan oleh kerajaan di mana individu 'besar' dan mempunyai kedudukan tidak didakwa atas kesalahan rasuah yang diamalkan.

Media melaporkan semalam bahawa kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) mendapati generasi muda tidak begitu jijik terhadap rasuah dan, menurut Presiden IIM Datuk Seri Dr Isahak Yeop Mohamad Shar, jika tidak dibendung, ia boleh membinasakan negara.

"Hasil kajian ini sangat membimbangkan," katanya semasa berucap pada perasmian seminar mengenai Peranan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sivil dalam Pengukuhan Integriti di sini hari ini.

Seminar yang dianjurkan IIM dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Star Datuk Wira Yusof Nayan.

"Bayangkan jika 30 peratus daripada golongan remaja tadi memimpin negara dan menjadi pentadbir ataupun pengurus sesebuah institusi, apa akan terjadi kepada negara jika mereka ini diberi kuasa," kata Isahak.

Beliau berkata Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh kerajaan pada April 2004 perlu dihayati lebih mendalam bagi membendung kehakisan moral golongan remaja

SIAPA HARUS DIPERSALAHKAN. BAPA BOREK ANAK RINTIK


TOK GURU NIK AZIZ AKAN RASMIKAN KOMPLEKS PAS JASIN 13 OGOS INI


JASIN 9 OGOS : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ)pada 13 Ogos 2006 ini bertempat di Dataran HAMAS, Simpang Kemendor Jasin, Melaka.

Majlis perasmian ini juga diserikan pelbagai aturcara lain yang memberikan manfaat kepada orang ramai. Aturcara lengkap majlis perasmian tersebut adalah seperti di bawah ini :-

12 Ogos 2006 (Sabtu)

9.00 Pagi - Sukan Kanak-Kanak, Sukan Pemuda & Tarik Tali Terbuka
- Pameran dr. Agensi kerajaan & swasta, Pelbagai Jualan

2.00 Petang - Acara Muslimat & Wanita
- Derma Darah

09.00 Mlm - Pidato Pemuda :
YB. Salahuddin Ayob (Ketua Pemuda PAS Pusat)
Ust. Kamaruddin Sidek (Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka)

13 Ogos 2006 (Ahad)

9.00 Pagi - Pameran dr. Agensi kerajaan & swasta, Pelbagai Jualan
- Khidmat Kesihatan & Guaman
- Khidmat Rawatan Darus Syifa'

2.30 Petang - Majlis Perasmian Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ)
& Jamuan Makan Rakyat bersama YAB Tuan Guru Datuk
Hj. Nik Abd. Aziz bin Nik Mat ( Mursyidul Am PAS)

07.30 Mlm - Munajat Kubra bersama Tuan Guru

09.00 Mlm - Pidato Perdana & Pelancaran Skim Waqaf KOMPAJ :

YAB. Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat
(Mursyidul Am PAS/ Menteri Besar Kelantan)

Y.Bhg. Ust. Hj. Abd. Ghani Abd. Rahman
(Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka/ AJK PAS Pusat)


Sebarang Pertanyaan sila hubungi 016-663 5820 (Unit Protokol & Sambutan)


TUTUP ATAU SITA PREMIS YANG TERLIBAT DENGAN PELACURAN - HJ SALAMAT


BANDARAYA MELAKA, 9 Ogos : Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman menggesa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah menutup atau menyita mana-mana premis yang di gunakan sebagai sarang pelacuran di negeri ini.

Gesaan ini di buat oleh beliau ketika di minta mengulas laporan media mengenai kegagalan operasi mencegah maksiat yang dijalankan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) ke atas sebuah rumah tumpangan yang disyaki menjadi ‘sarang pelacuran’ di Jalan Munshi Abdullah di sini, baru-baru ini.

Menurut media tersebut kegagalan tersebut mungkin disebabkan oleh ‘dalang’ dalam sindiket pelacuran tersebut mengetahui operasi tersebut lebih awal mungkin dari maklumat yang diperolehi dari pihak tertentu.

Pembabitan ‘dalang’ yang berperanan sebagai ‘pemberi maklumat’ kepada sindiket itu seolah-olah mengetahui mengenai operasi yang dijalankan oleh Jaim dan kemudiannya menyampaikan maklumat tersebut kepada pemilik premis berkenaan.

Media tersebut melaporkan bahawa Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, berkemungkinan besar rumah tumpangan itu beroperasi menggunakan khidmat ‘tonto’ untuk memberikan maklumat mengenai operasi-operasi yang dijalankan kepada pemilik premis tersebut dan kemudiannya mengarahkan pelacur-pelacur serta para ‘pelanggan’ mereka melarikan diri menggunakan pintu belakang.

“Dipercayai, ‘tonto’ berkenaan juga mempunyai kaitan dengan beberapa buah rumah tumpangan yang disyaki ‘sarang pelacuran’ sekitar bandaraya ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang tangkapan atau serbuan ke atas premis tersebut,” ujarnya kepada pemberita ketika dihubungi di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kegagalan dalam serbuan yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kira-kira sepuluh pelacur yang bertempiaran melarikan diri mengikut ‘jalan belakang’ berjaya melepaskan diri dan hanya seorang sahaja yang bejaya diberkas.

Susulan dari serbuan yang diadakan, jelasnya, tiada tangkapan dilakukan ke atas pelanggan yang melanggan ‘kupu-kupu malam’ itu kerana berjaya meloloskan diri berdasarkan maklumat yang diperolehi dari ‘tonto-tonto’ terbabit.

Jelasnya, ‘tonto’ terbabit seolah-olah tidak mengendahkan undang-undang yang telah ditetapkan malahan semakin ‘bermaharajalela’ walaupun dipercayai rumah tumpangan sekitar bandaraya ini sudah diserbu beberapa kali oleh Jaim.

Sehubungan itu, Hj Salamat berkata sudah sampai masanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)mengambil langkah drastik menutup semua premis yang dikenalpasti demi untuk mengatasi sekaligus membanteras sindiket berkenaan dari terus berleluasa bagi mewujudkan kelompok masyarakat yang lebih bermaruah.

'Jangan sampai suatu hari nanti Melaka dilabel sebagai Haytai Malaysia pula' sindir Hj Salamat mengakhiri kenyataan beliau kepada blog ini.


REMAJA MELAKA SEMAKIN ROSAK


MELAKA 9 OGOS : Melaka yang diwar-warkan sebagai negeri maju nampaknya juga 'maju' dari segi maksiat dan kegiatan tidak bermoral. Bermacam-macam kisah maksiat dan sosial di kalangan remaja yang berlaku secara berleluasa di negeri ini.

Semalam sebuah kedai kosong di kesan menjadi lokasi `pesta seks’ dan menghidu gam oleh sekumpulan remaja di Plaza Melaka Sentral di sini.

Malah pemilik kedai berkenaan langsung tidak mengendahkan arahan Datuk Bandar Bandaraya Melaka biar pun tempoh dua hari diberikan beliau sejak Khamis lalu sudah tamat.

Tinjauan wartawan media ke lokasi `pesta seks’ berkenaan mendapati, keadaan kedai itu seperti `tidak diusik’, malah pintu yang rosak belum dibaiki.

Sikap tidak bertanggungjawab pemilik kedai terbabit dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian tidak bermoral di kalangan remaja itu berulang.

Tindakan MBMB itu adalah susulan penahanan 15 remaja, termasuk pelajar sekolah menengah oleh anggota Bahagian Penguat Kuasa Jaim yang menjadikan tingkat tiga premis berkenaan sebagai tempat berpesta seks dan menghidu gam.

Remaja berusia antara 15 hingga 26 tahun itu menjadikan rumah kosong tiga tingkat berkenaan sebagai lokasi melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Selain itu, rumah kedai berkenaan yang dianggap `kondo’ oleh remaja terbabit sering dijadikan tempat melakukan kegiatan tidak bermoral lain termasuk ponteng sekolah.

Pada serbuan yang dilakukan Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 8.30 pagi, semua remaja berkenaan termasuk pelajar yang masih berpakaian sekolah sedang tidur beralaskan kertas tebal.

INILAH AKIBATNYA APABILA KEPIMPINAN SEKARANG HANYA MEMENTINGKAN PEMBANGUNAN DUNIA DAN KEPENTINGAN MATERIAL SEMATA-MATA, JELAS MENGENEPIKAN KEPENTINGAN ISLAM.


KOMEN PEMBACA TENTANG 51 RIBU PELAJAR TAK TAHU SOLAT


51 ribu pelajar yang tidak tahu solat seperti yang diwar-warkan di
dalam akhbar bukanlah suatu perkara yang mengejutkan. Hal ini kerana
sistem pendidikan itu sendiri yang menjadi punca utama senario
tersebut. Bukan sahaja pelajar-pelajar tersebut tidak tahu solat,
membaca iqra pun tidak lancar. Apatah lagi apabila disuruh membaca
Al Fatihah, Doa Qunut dan tahiyat akhir.

Matapelajaran Pendidikan Islam itu sendiri yang digubal oleh
Kementerian Pendidikan bukan hanya tidak mementingkan celik jawi
tetapi hanya menumpukan kepada silibus semata-mata. Semasa amali
solat, memanglah pelajar tersebut bersembahyang, tetapi tidak sempat
semasa amali solat itu, pelajar didedahkan kepada cara-cara bersolat
dengan betul. Hal ini kerana masa yang diperuntukkan untuk amali
solat tersebut tidak mencukupi. Bukan itu sahaja sistem pendidikan
yang hanya mementingkan akademik semata-mata turut menjadi punca.
Saya pernah bertanya secara tidak langsung kepada pelajar-pelajar
ini, kenapa tidak solat?Kenapa walaupun telah berada di tingkatan 4
solat pun tidak betul lagi, masih lagi membaca Iqra ? Dengan
selambanya mereka berkata tanpa perasaan malu, malas...mak ayah pun
tak sembahyang....buat apa sembahyang, bukan dapat apa pun...Itu
baru hanya di sekolah yang rata-ratanya pelajar dari kawasan
kampung. Kita tidak tahu lagi bagaimana remaja di bandar-bandar
besar? Apabila saya menguji setiap pelajar ini membaca Al Fatihah,
memang kebanyakannya tidak menghafaz surah tersebut?

51 ribu pelajar itu baru sahaja di sebuah negeri? Belum lagi apabila
dicampurkan dengan kesemua negeri di Malaysia. Begitu juga dengan
subjek-subjek lain.Guru di sekolah terkejar-kejar untuk menghabiskan
silibus untuk mengejar tarikh peperiksaan. Guru hanya manusia biasa
yang mempunyai perasaan letih, bosan terhadap pelajar-pelajar ini.
Mereka bukan sahaja tidak ambil kisah atas segala usaha yang
dilakukan oleh para guru untuk mendidik dan membimbing mereka, malah
mereka ini turut mempermainkan guru hingga membuatkan guru-guru
patah semangat untuk mendidik mereka.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan supaya mereka celik Al-
Quran, tetapi mereka sering memberi pelbagai alasan seperti penat,
letih, banyak kerja dan sebagainya. Antara usaha yang dilakukan bagi
mereka mahir solat dan bacaan Al-Quran ini ialah membacanya di dalam
kelas dan guru pun memberi markah untuk dimasukkan ke dalam markah
peperiksaan walaupun guru tersebut mengajar geografi....hafal Al-
Fatihah dan maksudnya sekali akan diberi markah bonus.Itulah antara
cara yang saya lakukan bagi mencelikkan pelajar ini.Niatnya tidak
mahu mereka buta selama-lamanya, walaupun usaha yang kita lakukan
sedikit sahaja.Untuk para guru budiman, bimbinglah pelajar ini,
mereka amat memerlukan kita untuk menjernihkan kembali jiwa mereka
yang kelam.Kasihani dan simpatilah kepada mereka.Memang susah tapi
usahalah jika kita tidak mahu mereka tersesat jauh. Bicara dengan
kelembutan lebih meruntunkan jiwa mereka berbanding kemarahan yang
dilemparkan kepada mereka.Berkorbanlah demi mereka.


WAWANCARA TERBARU TUN MAHATHIR DENGAN MEDIA


Berikut ialah transkrip penuh soal-jawab para wartawan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipetik dari lamanweb Agendadaily.com selepas beliau menyampaikan ceramah mengenai pentadbiran di Universiti Teknologi Petronas di Bandar Seri Iskandar, Perak semalam.

Antara lain beliau menyentuh tentang kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, penglibatan Khairy Jamaluddin dalam urusniaga saham ECM-Libra dan layanan pemimpin Umno terhadapnya.

Media: Berhubung kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang menganggap roadshow Tun akan menggugat UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang?
Dr M: Saya tak tahulah… saya seorang aje, tak dak sapa pun sokong saya. Takkanlah satu kerajaan yang berkuasa, dengan menteri, dengan menteri besar dan dengan semua jabatan penerangan, nak takut pada satu orang.

Saya ingat… ini bukan pasal satu orang tapi takut nak dengar explanation yang orangramai boleh terima. Explanation mereka tak boleh diterima orangramai, itulah yang depa takut tu…pasal buat salah.

Media: (Agendadaily): Apakah Tun sedar bahawa tindakan ini boleh menggugat Umno dan Barisan Nasional (BN)?

Dr M: Saya tak menggugat Umno ataupun BN, cuma pemimpin saja…pemimpin yang salah. Dulu Almarhum Tunku Abdul Rahman pun macam tu juga… Datuk Onn pun bila beliau buat sesuatu yang tak secucuk dengan Umno… beliau terpaksa undur… tapi Umno kekal.

Lepas itu Tunku Abdul Rahman pun…Umno kekal. Lepas orang menentang saya, sampai nak bagi jatuh saya pun…Umno kekal.

Kita bukan kecam Umno…kita kecam kepimpinan yang tidak patuh kepada matlamat dan perjuangan Umno… itu aje…

Saya tak pernah kecam Umno dalam ucapan saya… saya kecam pemimpin yang menyeleweng daripada hasrat parti.

WARTAWAN : Khairy selaku Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia telah mula menjawab beberapa persoalan yang mana Tun ajukan, apa komen Tun?

Dr M: Jawab apa… dia bukan jawab. Di mana dia dapat duit RM9 juta… dia kata pinjam dekat kawan… siapa dia kawan yang bagi pinjam sampai RM9 juta..saya pun nak pinjam jugak.

Barangkali ada juga dikalangan Pemuda-pemuda Umno nak pinjam RM9 juta nak beli saham ECM-Libra…boleh ke orang lain pergi pinjam. Pasal apa kawan tu bagi (pinjam)…kalau nak pinjam di bank, boleh ke kita pergi ke bank nak pinjam RM9 juta nak beli saham ECM-Libra.

Suruh ahli-ahli Umno ke bank pinjam RM9 juta…kalau boleh dapat.

Media: Bagaimana jawapan Khairy tentang MV Agusta dan isu ' tingkat 4' di JPM?

Dr M: Yang tu saya hairan, apa kena mengena dengan dia…saya tanya Proton, apa pasal dia jawab, kenapa dia jawab…suruhlah Azlan (Pengerusi Proton) jawab…jawab soalan saya tu…

Media: Apakah itu bermakna Khairy berkuasa dalam hal tersebut…

Dr M:…dia seolah memberi pengakuan, dia memang buat arahan tu…itulah saya punya tekalah, betul atau tak betul tak tahulah…

Saya nak tanya, apakah dia bagi arahan pada menteri besar dan menteri…tanya menteri, depa tak jawablah…dia kata kami sokong, itulah menteri besar sekarang, bukan dia jawab …dia akan kata kami sokong.

Apa Pak Lah buat kami sokong…jadi you nak pergi tanya diorang, apa yang you dapat…apa jawapan yang dapat…

Media: (Agendadaily): Dalam jawapan Khairy ada menyentuh soal dua buah syarikat Malaysia yang telah dikuasai oleh syarikat dari Singapura iaitu Alliance Bank oleh Temasek Holding dan Pantai Holding Berhad pula oleh Parkway. Asalnya individu bumiputera tertentu telah miliki saham dalam syarikat tersebut kemudiannya telah dijual kepada bukan bumiputera seterusnya jatuh ke tangan syarikat dari Singapura.Khairy belum lagi dedah siapa individu terbabit…siapakah individu bumiputera terbabit, boleh Tun komen?

Dr M: Barangkali adalah…anak sayalah kot. Anak saya dulu ada saham dalam Pantai Holding, dia dah tak boleh nak teruskan perniagaan, dia juallah sahamnya kepada orang Malaysia.

Kalau orang Malaysia nak jual saham pada orang Singapura, kerajaan ada hak untuk halang tapi kerajaan tak mahu tahan (halang).

Bahkan sekarang kerajaan encourage syarikat dari Singapura membeli saham syarikat Malaysia…5 persen, dalam Telekom dan lain-lain…semua itu under government encouragement … but not my governmentlah…some other government...

Media: Bagaimana dengan roadshow dan bila mulanya?

Dr M: Saya tak ada roadshow , ada orang panggil… saya pergilah. Tapi ini sampai nak bercakap dengan orang Umno tak bagi… nak cakap dengan bukan Umno, dah kata bahaya…semua orang dilarang dengar saya bercakap. Barangkali kerana saya cakap benarlah kot, sebab tulah depa larang.


Media: Adakah Tun buat susunatur roadshow tu?

Dr M: No… ada orang panggil saya pergilah..tapi saya tahu setiap kali ada orang panggil (jemput saya) akan dapat panggilan telefon suruh batalkan program tu…

Macam Mubarak di Kelantan baru-baru ini, depa panggil saya…bekas wakil rakyat, kawan-kawan saya semua ni…tapi dapat panggilan telefon daripada Perth Australia suruh cancel ..akhirnya Mubarak tarik diri tapi ada orang lain buat, Alumni bekas Ahli Parlimen yang ambilalih program tu…

Saya pi (pergi) lah… orang panggil, saya pergi.

Media: Apa komen Tun ada dakwaan mengatakan ada usaha untuk halang Datuk Mukhriz merasmikan persidangan pemuda UMNO bahagian tertentu?

Dr M: Ya..lah, itulah yang dianggap sebagai telus. Very transparent …sekarang ni very open…newspaper sekarang ni very open tulis report…support for the government.

Setiap kali ada sesuatu, pi tanya…yang Khairy buat ni…apa pendapat Adnan (MB Pahang), apa pendapat orang ni dan orang tu…masuklah gambar-gambar ni semua, semuanya sokong, tak payah dah bubuh gambar dah, kita pakai satu gambar saja kemudian yang lain kita pakai satu sentence …segala perintah patik sokong…

Media: Dalam ucapan Tun ( semasa ceramah mengenai pentabiran) ada sentuh soal seseorang Perdana Menteri perlu diberi tempoh beberapa ketika, apakah Perdana Menteri sekarang diberi tempoh yang lebih panjang?

Dr M: Itu terpulanglah pada rakyatlah…kalaulah kita dapat seorang Perdana Menteri yang menjual negeri ini, adakah kita nak tunggu lima tahun…kita kena ambil tindakan awal sikit.

Kalau dia ada buat perancangan yang kita tidak tahu ia akan berjaya atau tidak, seperti perancangan SJER di Johor, pendapatnya tersendiri…tak dak siapa pengaruh dia…tapi tunggulah lima tahun lagi.

Media: (Agendadaily): Proton yang memiliki saham lebih 50 peratus dalam MV Agusta didakwa tidak ada kuasa dan terpaksa tunduk pada pemegang saham minoriti dalam membuat keputusan hal yang berkaitan dengan pengurusan, sejauh mana benar?

Dr M: Ada satu syarat saja…kalau kita nak lupuskan saham kita pada orang tertentu maka pada ketika itu kita kena bagi tahu pada minority shareholder …ini di mana-mana pun macam tu juga, kalau kita nak buat sesuatu yang mungkin menjejaskan pemegang saham minoriti, kita kena dapatkan persetujuan dari pihak minoriti.

Tapi dalam pengurusan Agusta, kita kuasa penuh, kita ada direktor, eksekutif pun ada dalam Agusta.Tanyalah Tengku Mahaleel apa syarat yang dia buat… bila kita tanya tak boleh masuk (tulis dalam akhbar)… you pun tak boleh masuk… you suratkhabar mana…?

Media (Agendadaily) menjawab : saya dari Agendadaily, web news melalui internet

Dr M menyambung: Internet…tak lama lagi internet pun nak kena juga…pasal kita open society …mesti censor semua internet…cuma mana perintah patik sokong saja boleh masuk (siar)…

Media: Apakah seorang Perdana Menteri yang didakwa jual negara itu perlu ditukar sebelum lima tahun?

Dr M: I don't say …kalau dia jual negara...tak payahlah tunggu lima tahun.

Media: Apa cadangan Tun pada rakyat.

Dr M: Janganlah cakap saya sokong…saya sokong…bila tanya,apa yang disokong…depa jawab tak tahu…tapi kata, kita sokong, kita sokong…macam kata (Datuk Seri) Shahidan (Kassim, Menteri Besar Perlis) dan (Datuk Seri) Tajol Rosli (Ghazali, Menteri Besar Perak), kita support dia sebelum ini, ketika beliau jadi Perdana Menteri dan kita support lah PM sekarang sebab Pak Lah PM sekarang.

Apa! tak dak fikir langsung ke…I don't want this supporters for doing something wrong , saya mahukan sokongan sekiranya saya buat sesuatu yang betul.

Media: Adakah Tun tahu bahawa ada usul dari bahagian UMNO tertentu agar Tun diberi layanan baik, ada yang gesa agar MKT adakan mesyuarat khas kemudian panggil Tun agar diberi penjelasan sebaik mungkin dan tidak bersikap biadab terhadap Tun?
Dr M: Saya tahulah ada usul itu dari ketua pemuda Umno bahagian di Perak…tapi ianya tak boleh diterima.

Tak boleh buat macam itu ianya ditegah oleh Majlis Tertinggi…MT tidak benar buat usul yang menyentuh pemimpin bukan menyentuh Umno.

Umno tak dak apa-apa tapi pemimpin jangan ditegur…

Media: (Agendadaily): Perkara ini apakah tidak pernah berlaku di zaman Tun menerajui UMNO dan negara. Apakah Tun bersikap terbuka semasa berkuasa dulu.

Dr M: Saya bukan saja terbuka semasa memimpin parti bahkan saya dicabar oleh Tengku Razaleigh, Musa Hitam dan Pak Lah pun…mereka nak jatuhkan saya. Saya tak larang mereka pergi ke kampong-kampung, ke bahagian, ke cawangan…buat ucapan nak bagi jatuh saya…

Dan saya hampir jatuh, hanya menang 43 undi saja. Saya tak tahan mereka, mungkin mereka tak ingatlah sebab Melayu mudah lupa…Tengku Razaleigh kata, saya lebih dahsyat dari Pak Lah…agaknya dia terlupa dia pergi dok kempen semasa dia lawan dengan saya (rebut jawatan Presiden Umno), dia lupa bahawa dia berjalan rata jumpa semua orang dan ceritalah apa keburukan saya dan kebaikan mereka…saya tak larang.

Sekarang saya tak boleh pergi dekat dengan orang bekas Umno pun tak boleh...Mubarak adalah bekas wakil rakyat pun tak boleh juga…

Media: Tun kata bukan hendak jatuhkan Umno tapi nak perbetulkan keadaan, jadi apakah salahnya untuk Tun berbuat begitu.


Dr M: Inilah demokrasi…demokrasi bermakna dengar sebelah pihak saja (sinis).

Media: ( Agendadaily): Adakah Tun akan hadir ke mesyuarat Umno Bahagian Kubang Pasu, juga ada desas desus kata Tun nak jadi wakil ke perhimpunan agong Umno pertengahan November ini?

Dr M: Kalau boleh tu...kalau orang jemput saya akan pergilah…saya ada hak juga dipilih sebagai wakil daripada cawangan untuk hadir mesyuarat bahagian, saya akan pergilah. Kalau panggil atau dipilih…

Tapi nak jadi wakil ke mesyuarat agong (Perhimpunan agung Umno di PWTC ), tak payahlah kot…kalau saya jadi wakil pun tak boleh bercakap.

Dari Malaysiakini


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59