Thursday, 27 July 2006

WANG RAKYAT DIBAZIRKAN SEMATA-MATA UNTUK JAGA KESELAMATAN 'PEMBUNUH' UMAT ISLAM


KUALA LUMPUR 27 JULAI : Penembak tepat dan anjing pengesan dan beratus anggota polis ditugaskan berkawal hari ini menunggu ketibaan Setiausaha Negara Amerika Condoleezza Rice untuk menghadiri Forum Rantau Asean (ARF). Jumlah mereka kesemuanya adalah kira-kira 600 orang.

Penggunaan pegawai dan kelengkapan kerajaan untuk mengawal dan menjaga keselamtan pemimpin negara yang bertindak kejam kepada umat Islam ini amat dikesalkan selain ianya juga membazirkan wang rakyat.

Sepatutnya pemimpin negara Islam Hadhari ini awal-awal lagi membantah kehadiran Rice demi menghormati sensitiviti umat Islam seluruh dunia. Semua orang tahu Amerika bukan sahaja menyokong Zionis menyerang dan membunuh umat Islam di Lubnan dan Palestin malah membekalkan bom dan senjata kepada Zionis dalam kempen ketenteraan rejim itu di Asia Barat sekarang.

Malang sungguh bagi kita umat Islam di Malaysia yang mempunyai ketua yang lembik dan dicucuk hidung seperti Imam Al Badawi ini.

Ketua pengawal polis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Penguasa Abdul Haddi Itam, berkata, anggotanya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang gangguan dan kekacauan.

Beliau memberitahu AFP, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.

Rice yang sebelum ini menghadiri mesyuarat tergempar mengenai konflik Timur Tengah di Rome, tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri ARF anjuran Asean esok.

Jet khas Tentera Udara Amerika Syarikat yang membawa beliau, tiba di Lapangan terbang Subang, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Rice yang berkunjung ke Malaysia buat pertama kali, disambut oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar.

Beliau diiringi oleh Setiausaha Agung Kesatuan Eropah Dr Javier Solana dan Menteri Luar Kanada Peter Mackey.

Manakala Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov juga dijangka tiba di Kuala Lumpur bersama Ketua Bahagian Dasar Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana dan Menteri Luar Korea Utara Paek Nam-Sun.

Abdul Haddi berkata seramai 600 anggota telah ditempatkan di pusat persidangan tersebut.

"(Keselamatan) adalah terkawal. Kita mempunyai anggota yang mencukupi untuk mengawal pusat persidangan dan berdepan dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Abdul Haddi berkata, pihaknya telahpun mengadakan sesi taklimat ringkas dengan pengawal keselamatan Rice dan semua langkah perlu telah diambil untuk memastikan keselamatan para tetamu.

"Contohnya, kami juga mempunyai skuad pemusnah bom serta mengadakan rondaan dari udara,” kata Abdul Haddi.

Penembak tepat pula diletakkan di tempat strategik manakala anjing pengesan digunakan untuk mengesan bahan letupan.

Menurut laporan akhbar, mereka ditempatkan di jambatan yang menjadi laluan kereta kalis peluru yang membawa Rice dari lapangan terbang.

Bayangkan berapa banyak wang rakyat yang dihabiskan.


SEKADAR RENUNGAN. KESAHIHANNYA TIDAK DAPAT DI PASTIKAN


CERITA INI DIAMBIL DARI EMAIL YANG KAMI TERIMA DARI SEORANG PELAWAT BLOG INI. KESAHIHANNYA TIDAK DAPAT DIPASTIKAN

Assalamu'alaikum,Saya sering tertanya-tanya, "tak kan lah ibu-bapa si
Azlina ni langsung tak ambil peduli kisah anak perempuan mereka yang dah murtad
dan sedang membuka pintu murtad secara bebas kepada umat Islam lain?"
Tengahari tadi gejolak dalam jiwa saya itu terjawab apabila saya berkesempatan
menziarahi keluarganya di USJ. Bapanya yang berasala dari Kancong Darat sudah
lama meninggal dunia. Yang menyambut rombongan kami seramai 10 orang terdiri
dari pegawai2 dari MAIS, Dr. Zaleha Kamaruddin dari UIA, Hj Walid (my batch/my
ofis mate) adalah ibunya, kakak, bapa saudara, ibu saudara, adik lelaki dan
jirannya yang juga baru mendapat tahu bahawa Azlina yang sensasi tu adalah anak
jirannya. Ibunya, Mak Som kelihatan sugul sepanjang perbualan. Dapat saya rasai
beban perasaan yang ditanggungnya selama 10 tahun ini terutama sekali apabila
beliau mengenangkan pesanan arwah suaminya supaya memberikan perhatian kepada
perlakuan Azlina ketika beliau di penghujung usia. Dari pemerhatian saya,
keluarga Azlina ni adalah keluarga yang beragama, Mak som bertudung sempurna,
kakaknya letak tudung atas kepala, tapi rambut covered (I take it positifly coz
dalam rumah). Nampak sejadah tergantung di dua tempat berasingan, ayat2 al quran
dan gambar besar kaabah terbentang di ruang tamu, (semua ni circumstancial
evidence for my conclusion)Kata Mak Som, mereka mendidik Lin ( Azlina)
sebagaimana orang lain, pendidikan agama setakat yang diberikan di sekolah ( Sri
Aman- PJ) balik sekolah dia dihantar untuk mengaji al Quran di Sg Way, rumah
ustaz. Beliau juga menunaikan solat dengan sempurna. Namun kejadian kemalangan
jalanraya lebih 10 tahun lalu di kampong mereka di Banting telah membawa
kecelakaan kepada keluarga tersebut. Seorang lelaki India bernama Johnson yang
terlibat dalam kemalangan tersebut telah secara tiba-tiba muncul dalam kehidupan
Azlina. Beliau terlalu baik dan bersikap lemah lembut dan sopan santun terhadap
keluarga ini selepas kemalangan tersebut sehingga apabila kereta Azlina
terlantar di workshop beberapa minggu si Johnson inilah yang menjemput dan
menghantarnya. Rupanya kebaikan si Johnson ni ada makna! Mak Som telah beberapa
kali mengingatkan Johnson, kalau betul-betul minat, masuk Islam lah, tapi kata
Johnson beliau belum bersedia. Diam-tak diam si Azlina tu yang di baptize kan.
Rupa-rupanya bapanya orang kuat church! Paderi ke apa saya tak tau. Apabila
diconfranted beberapa kali, Azlina keluar dari rumah dan pindah rumah, tapi
masih berkunjung ke rumah keluarganya. She's willing to talk to the family
but not on that sensitive issue. Dia akan merajuk, 2-3 minggu tak muncul atau
call. Mak Som pernah gunakan khidmat Datuk Ishak Baharom untuk dialog dengannya,
tapi tak jalan. Hujahnya simple, "saya tak kacau orang". Kata kakanya,
Azlina ni very vocal, firm, English speaking dan agak dominant dalam
keluarganya. She's now 42, according to the family dia belum kahwin dengan
Johnson tu dan sedang tunggu outcome of this case. Tapi ada riwayat yang sampai
kepada saya kata dah kahwin di church tapi x leh daftar sebab ada perkataan
Islam on her mykad. Ibunya yang nampak sangat lemah dan kecewa itu sangat-sangat
berharap untuk mengembalikan anaknya itu kepangkuan keluarganya dalam keadaan
Islam dan beriman. Dia agak kecewa kerana ada beberapa individu dan pertubuhan
yang menziarahinya dan cuba berusaha untuk membantunya tapi tak berjaya even
untuk berkomunikasi pun dengan si Lin tu. ALKIS bercadang untuk membawa Mak Som
berserta keluarganya ke Majlis Forum ALKIS pada 5 Ogos nanti di Pusat Islam
untuk membri peluang kepada keluarga ini menyatakan harapan mereka supaya Lin
dikembali kepangkuan keluarganya dan agamanya. Semuga episode Azlina Jelani ini
akan memberikan kesan positif kepada umat Islam, kita doakan beliau diberi
hidayah untuk kembali ke jalan Allah.Wassalam. al Qurawiyy.


KABINET KERAJAAN ISLAM HADHARI PENUH DENGAN ANGGOTA YANG BERMASALAH?


Satu demi satu masalah yang melibatkan anggota kabinet kerajaan Islam Hadhari dibongkar. Sebelum ini isu Rafidah Aziz yang dikaitkan dengan isu rasuah dan AP; Samy Vellu dengan isu MRR2; Nazri Aziz dan Rais Yatim dengan isu sokongan kepada IFC; Hishamuddin dengan isu kereta 1 jutanya; 11 orang menteri bukan Islam yang berani menyentuh kedaulatan Islam dalam perlembagaan; Adnan Mansur dengan otak songsang mahu pusat hiburan dibuka sehingga 5 pagi; Mashitah dengan fatwa bahawa zina halal dan bermacam-macam masalah lagi;, kini kita dikejutkan pula dengan pendedahan Dato' Seri Anwar dan Dr Rosli Yaakub tentang Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yackob.

Bank Negara dikatakan telah menyenaraihitamkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Nor Mohamed Yakcob daripada berkhidmat dengan mana-mana institusi kewangan tetapi nampaknya ia tidak menjejaskan kareer profesionalnya.

Bekas pegawai kanan Bank Negara dan pemimpin PAS, Rosli Yaakob mendakwa, arahan tersebut dikeluarkan selepas Nor Mohamed dikatakan dikenalpasti sebagai salah seorang yang bertanggungjawab terhadap kerugian hampir RM30 bilion yang dialami bank pusat itu akibat aktiviti spekulasi matawang asing pada awal 1990-an.

Namun begitu, Rosli tidak faham bagaimana kerajaan melantiknya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan beberapa tahun selepas beliau diarahkan meletakkan jawatan di Bank Negara.

Selepas meninggalkan Bank Negara, Nor Mohamed memegang jawatan tinggi dalam institusi kewangan, antaranya Rashid Hussain Securities dan Abrar Group International. Beliau kemudiannya dipanggil berkhidmat semula di Bank Negara sebagai penasihat khas kepada kerajaan.

Pada bulan Julai 2004, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantiknya sebagai Menteri Kewangan Kedua. Abdullah juga memegang jawatan Menteri Kewangan.

Rosli, yang bertugas sebagai timbalan pengurus di Jabatan Ekonomi Bank Negara sehingga 1994, mendakwa para pakar pasaran matawang asing menuding jari terhadap Nor Mohamed sebagai pemain utama dalam skim spekulasi tersebut.

“Ramai pegawai bank pusat ketawa apabila pengumuman dibuat mengenai pelantikan beliau (sebagai Menteri Kewangan Kedua)...orang yang mengakibatkan kerugian hampir RM30 juta,” kata Rosli ketika dihubungi semalam.

Berikutan krisis kewangan Asean pada 1997-98, Nor Mohamed kembali semula berkhidmat di Bank Negara dengan tugas merangka dan melaksanakan ‘kadar tambatan ringgit’.

“Tugas itu telah mengubah nasibnya – daripada ‘seorang yang terbuang’ kepada ‘penasihat yang amat dipercayai’ oleh (bekas) Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad),” kata Rosli, yang juga Pesuruhjaya PAS Negri Sembilan.

Berikutan itu timbul dakwaan bahawa Nor Mohamed berjaya memanjat semula tangga kareernya kerana beliau dilindungi oleh pemimpin tinggi kerajaan dalam aktiviti spekulasi ‘haram’ matawang asing itu.

Rosli berkata beliau menganggap aktiviti spekulasi yang dilakukan oleh Nor Mohamed itu sebagai haram kerana ia bercanggah dengan norma-norma dan amalan pasaran matawang serta bercanggah juga dengan dasar dan peraturan dalaman Bank Negara sendiri.

Dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini minggu lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin juga bertanggungjawab terhadap kerugian Bank Negara itu.

Rosli berkata, satu siasatan peringkat tinggi telah dijalankan mengenai kerugian tersebut dan cadangan supaya kes tersebut disiasat oleh sebuah badan penyiasat, telah ditolak.

“Ramai yang bertanya – bagaimanakah seorang yang mempunyai rekod yang tercemar, hari ini menganggota kabinet kerajaan?” tambahnya.

Rosli merujuk kepada perkara itu yang dibangkitkan lebih 12 tahun lalu oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang di Parlimen mengenai kegagalan kerajaan berhubung kerugian yang amat besar itu.

Perkara tersebut timbul kembali apabila Tan Sri Tajudian Ramli membangkitkannya semula dalam saman balasnya baru-baru ini.

Ekoran itu, Lim menggesa supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat dan mendedahkan siapakah yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut.

Semalam, malaysiakini melaporkan bahawa Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein juga adalah antara perancang dalam spekulasi matawang asing itu.

Sementara itu, Rosli berkata, satu lagi ‘peninggalan’ Nor Mohamed ketika berkhidmat di Bank Negara ialah menginternasionalisasikan ringgit, yang telah mendedahkannya kepada serangan spekulator matawang pada 1997-1998.

“Bank Negara sendiri kemudiannya mengakui bahawa ‘kepantasan peningkatan langkah menginternasionalisasikan ringgit pada April 1989 juga menyumbang kepada kelemahan ringgit dalam tempoh berkenaan,” katanya merujuk kepada laporan tahunan Bank Negara 1998.

Katanya, aktiviti spekulasi itu dan kerugian yang dialami kemudiannya, menjadi permulaan kepada serangan yang dahsyat terhadap ekonomi negara pada 1998.

Rosli juga menyenaraikan beberapa soalan yang masih belum dijawab lebih satu dekad selepas berlakunya skandal tersebut.

Mengapakah Bank Negara terbabit dalam aktiviti spekulasi pasaran matawang asing?

Mengapakah pemimpin tertinggi negara bersetuju Bank Negara terbabit dalam aktiviti spekulasi?

Mengapakah Datuk Nor Mohamed – yang ketika itu menjadi penasihat di Bank Negara – diberi kuasa penuh untuk mengendalikan perdagangan matawang asing?
Apakah peranan jawatankuasa pengurusan rizab asing Bank Negara ketika itu?

Berapakah jumlah sebenar kerugian dalam aktiviti spekulasi tersebut?

Apakah wujud sebarang unsur-unsur jenayah dalam pengurusan rizab asing?

Apakah langkah diambil oleh Bank Negara untuk mengelak berulangnya kejadian yang sama?

Kredibiliti menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen kabinet Pak Lah telah dipertikaikan banyak pihak. Namun sehingga kini Pak Lah masih mengekalkan mereka yang bermasalah ini. Rombakan kabinet pertama yang di buat oleh beliau sebelum inipun dilihat hanyalah melepaskan batuk di tangga kerana beliau masih mengekalkan 'kayu-kayu buruk' yang mencacatkan pandangan mata rakyat.

Sumber : Malaysiakini


LEBIH 100,000 MURID GAGAL KUASAI 3M, HISHAMUDDIN MESTI LETAK JAWATAN


BUKIT KATIL 27 Julai - Kegagalan lebih 100 ribu pelajar sekolah rendah untuk menguasai kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) yang disiarkan oleh Harakahdaily hari ini jelas membuktikan kelemahan kerajaan dalam menangani isu pendidikan negara ini.

Sehubungan dengan itu menteri yang dipertanggungjawabkan untuk kementerian pelajaran ini iaitu Hishamuddin Hussien mesti meletakkan jawatan.

Di Parlimen minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Hon Choon Kim, mendedahkan bahawa seramai lebih 100 ribu pelajar sekolah rendah masih gagal menguasai 3M.

Menurut Hon lagi walau bagaimanapun , bukan semua dari jumlah 100 ribu itu tidak dapat menguasai kesemua ketiga-tiga kemahiran itu. Ada pelajar yang mungkin hanya gagal dalam satu atau dua kemahiran sahaja tetapi termasuk dalam angka 100 ribu itu .

Antara sebab yang dinyatakan kepada kegagalan ini ialah latar belakang keluarga, kurangnya motivasi dari keluarga dan prasarana yang disediakan.

Apa yang Hishamuddin lakukan sehingga angka kegagalan murid dalam 3M ini mencecah sehingga ribuan. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

Ini semua mungkin disebabkan kesibukan beliau untuk mengejar cita-cita politiknya sehingga mengabaikan tugasnya sebagai menteri atau mungkin juga beliau tidak berwibawa untuk memimpin kementerian yang sangat penting ini.


BERITA MELAKA : DEWAN TIDAK PERNAH TERIMA CADANGAN BANTU PENTERNAK BABI


AYER KEROH, 27 Julai : Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu dimaklumkan pihak pembangkang tidak pernah mengemukakan cadangan membantu penternak babi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri (BN-Machap), Datuk Wira Poh Ah Tiam, berkata setakat ini Dewan tidak pernah menerima cadangan itu daripada pembangkang.

“Dewan tidak pernah menerima sebarang cadangan daripada pembangkang,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Chong Tam On (BN-Bemban) di Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-11, di Seri Negeri di sini, hari ini.

Chong ketika mengemukakan soalan tambahan ingin tahu adakah pembangkang menghantar cadangan untuk membantu penternak-penternak babi di negeri ini.

Sebelum itu, Betty Chew Gek Cheng (DAP-Kota Laksamana) dalam soalan lisannya bertanyakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai kedudukan dan status penternak babi di Melaka mengikut kawasan, termasuk bilangan ladang babi yang ditutup.

Menjawab soalan itu, Poh berkata, Kerajaan Pusat telah mengeluarkan panduan menternak babi pada masa depan di mana syor itu mulai 2007, penternak babi hanya dibenarkan menternak secara berpusat (centralized) di kawasan yang dikhususkan untuk penternakan babi (Pig Farming Area, PFA).

Katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan mengarahkan 14 ladang babi ditutup di negeri ini dan dua daripadanya telah mematuhinya manakala 12 lagi masih merayu supaya dapat beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, satu di daerah Melaka Tengah dan 11 di daerah Alor Gajah.

Poh berkata, penternak babi di Kampung Paya Mengkuang boleh meneruskan kegiatan penternakan mereka dengan syarat mempertingkatkan sistem kumbahan supaya pencemaran udara dan air dapat dikurangkan ke tahap maksimum.

Tambahnya, untuk kandang ternakan yang mempunyai sistem kumbahan yang baik ia dihadkan sebanyak 700 ekor bagi seekar kawasan.

Menjawab soalan tambahan Betty mengenai status lesen kepada penternak, Poh berkata lesen akan dikeluarkan jika penternak babi memenuhi segala syarat yang ditetapkan termasuk menyediakan ‘lay out plan’ dan menukar syarat tanah pertanian kepada penternakan.

“Jika mereka mematuhi syarat ini, kita tidak keberatan untuk mengeluarkan lesen kepada mereka,” katanya.

Mana pergi wakil-wakil rakyat Melayu, mengapa mereka tidak bersuara melahirkan kekesalan tentang bau busuk, pencemaran air dan lain-lain masalah yang dihadapi oleh penduduk Islam yang tinggal berhampiran kandang babi tersebut.


GABUNGAN ARTIKEL 11 BERDEGIL MAHU TERUSKAN PROGRAM MEREKA


KUALA LUMPUR 27 JULAI : Gabungan Artikel 11 tetap berdegil mahu meneruskan program-program mereka walaupun Perdana Menteri telah mengarahkan ianya dihentikan serta merta.

Gabungan Artikel 11 ini mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menjelaskan mengenai tuduhan yang mengaitkan forum anjurannya mengenai hak-hak dalam perlembagaan dengan cadangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Abdullah sendiri telah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya itu pada 26 Februari tahun lalu.

Semalam beliau mengarahkan semua perbincangan mengenai status agama Islam dalam perlembagaan dihentikan kerana bimbang ia boleh mencetuskan sentimen keagamaan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, gabungan tersebut berkata ia akan mengambil berat kebimbangan Abdullah, dalam merancang aktivitinya pada masa depan.

“(Kami) akan berusaha untuk berjumpa dengan (beliau) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebimbangan yang disuarakannya berhubung aktiviti gabungan tersebut, di samping memberi penjelasan mengenai salah tanggapan yang mengaitkan (kita) dengan IFC.

“Anggota gabungan ini akan bertemu dan akan menimbang secara mendalam nasihat beliau dalam membincangkan rancangan masa depan,” kata kenyataan tersebut.

Mengulas isu ini, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Hamzah Yusof menyatakan bahawa jika sekiranya Gabungan Artikel 11 ini tetap berdegil, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas kepada mereka.

"Kita melihat Gabungan Artikel 11 ini nampaknya semakin besar kepala, mereka mempunyai agenda tersembunyi yang amat meragukan" kata Hamzah.

Gabungan tersebut terdiri daripada 13 badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengumumkan komitmen mereka untuk melindungi hak asasi rakyat.

‘Road show’ yang dianjurkan oleh Gabunga Artikel 11 menerima bantahan NGO Islam, sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang sejurus selepas ia diadakan. Polis juga terpaksa mengadakan kawalan ketat ketika gabungan itu mengadakan forumnya di Johor Bahru Sabtu lalu.

Gabungan tersebut merancang untuk mengadakan forum awam yang sama di bandar-bandar utama yang lain.

Gabungan mengulangi bahawa perbincangan mengenai kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan tidak ada kaitan dengan cadangan penubuhan IFC.

“Kami mahu mengambil kesempatan ini untuk memperjelaskan bahawa forum bertajuk ‘Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan untuk Semua’ tidak ada hubungan langsung dengan usaha menubuhkan IFC,” katanya.

Gabungan itu menjelaskan bahawa forum berkenaan memfokuskan terhadap hak dan jaminan bagi rakyat di bawah undang-undang tertinggi negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, forum tersebut bertujuan membincangkan kebimbangan masyarakat sivil ekoran masalah yang dihadapi individu-individu yang tidak mendapatkan penyelesaian perundangan dan ketidaktentuan kehakiman di mahkamah.

“Tidak ada langsung perbincangan mengenai IFC dalam forum awam itu atau aktiviti-aktiviti yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Badan Anti-Suruhanjaya Antara Agama/IFC (Badai) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengeluarkan kenyataan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di Malaysia selama ini agar kumpulan Artikel 11 memberhentikan serta-merta forum mereka yang berbentuk ‘roadshow.

“Sebelum ini, Badai serta banyak pihak, termasuk Majlis Mufti, badan Islam bukan kerajaan seperti PUM Pulau.Pinang, Teras, Muafakat, JIM , ABIM, ACCIN, Pembela dan sebagainya, mendesak Perdana Menteri agar bertindak ke atas kumpulan Artikel 11 dengan menghantar memorandum serta kutipan tandatangan dari umat Islam seawal bulan Mac 2006 yang lalu,” kata Pengerusi Badai, Mohd Hafiz Mohd Nordin.

Katanya, badai berharap pihak Artikel 11 mendengar dan mematuhi arahan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Badai akan terus memantau semua aktiviti kumpulan tersebut, terutamanya NGO Islam yang turut berada dalam kumpulan Artikel 11.

“Badai sifatkan kumpulan ini sangat berbahaya kerana mencabar perundangan syariah negara apabila mereka mendakwa undang-undang tersebut mendiskriminasi wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badai, katanya, akan segera membuat laporan polis seandainya sentimen agama yang dicetuskan pihak Artikel 11 dan 13 NGO yang bernaung di bawah kumpulan ini diteruskan


PEMUDA BUKIT KATIL GESA BN AMBIL TINDAKAN KE ATAS AHLI PARLIMEN KOTA MELAKA


BUKIT KATIL 27 JULAI : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa Barisan Nasional mengambil tindakan keatas ahli parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee yang mengkritik Perdana Menteri dengan menggesa kerajaan supaya jangan mengenepikan isu-isu kebebasan beragama di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibupejabat MCA, Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee juga menekankan tentang kekurangan kefahaman di kalangan mereka yang membantah penganjuran forum Gabungan Artikel 11.

Dalam memperjelaskan isu tersebut, Wong berkata, pertamanya, hak dalam perlembagaan bagi semua rakyat Malaysia merupakan satu perkara yang mendapat perhatian awam, dan kedua objektif forum tersebut adalah untuk membincangkan perkara mengenai kebebasan beragama dan ia tidak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Sebenarnya, ia (forum tersebut) mahu berbincang mengenai kebebasan beragama secara umum dan kesahan agama lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti itu.

Wong menegaskan demikian sebagai mengulas gesaan Abdullah supaya semua pihak menghentikan perbincangan yang mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan Wong ini seolah-olah mencabar keputusan dan kredibiliti Perdana Menteri yang telah mengarahkan program-program seumpama itu tidak diteruskan kerana ianya menyentuh sensitiviti agama" tegas Hj Salamat, Ketua DPP Kawasan Bukit Katil.

"Kami menggesa Wong di ambil tindakan sebagaimana tindakan yang diambil keatas Ahli Parlimen Teluk Kemang, S.Sothinathan suatu ketika dahulu" tambah beliau.

Dalam kenyataanya Wong juga menyatakan bahawa bantahan terhadap forum awam anjuran Artikel 11 di Johor Bahru,jelas menunjukkan bahawa sikap tolak ansur dan kefahaman sebenar belum lagi mencapai tahap yang diharapkan.

Pemimpin MCA itu juga menggesa kerajaan supaya meningkatkan lagi kefahaman mengenai isu tersebut di kalangan rakyat.

“Konsensus mengenai isu-isu agama di kalangan orang awam hanya boleh dicapai dengan adanya debat awam yang dijalankan secara rasional,” katanya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Perpaduan Nasional digunakan sebagai wadah untuk membincangkan isu berkenaan.

Ketika mengulas gesaan Perdana Menteri itu, Wong berkata MCA memahami sepenuhnya keadaan yang mendorong Abdullah dan kerajaan mencapai keputusan tersebut.

Beliau berkata, partinya juga memahami perhatian berat kerajaan untuk mengelak berlakunya ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.


UPM didesak pecat timbalan naib canselor


KUALA LUMPUR 27 JULAI : Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) telah mendesak Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya memecat Timbalan Naib Canselor Halehwal Pelajar, Prof Azali Mohamed.

Dalam satu memorandum, kumpulan tersebut mendakwa Azali patut bertanggungjawab terhadap segala masalah yang timbul di bawah pentadbirannya, yang dituduh mengongkong hak asasi pelajar.

Baru-baru ini, UPM mendapat perhatian umum selepas tersiarnya klip vidow yang menunjukkan kira-kira 50 pelajar dari kumpulan ‘pro-establishment’ – yang disokong pihak berkuasa kampus – menolak beberapa pelajar dari kumpulan lawan mereka sebanyak dua kali.

Atas arahan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed, UPM telah menubuhkan sebuah badan untuk menyiasat kejadian tersebut.

Memorandum itu, antara lain, mendesak UPM supaya mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang mencetuskan pergaduhan tersebut dan juga terhadap pegawai keselamatan yang tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, kumpulan NGO tersebut gagal mengemukakan memorandum mereka itu apabila mereka tidak bersetuju dengan syarat pihak berkuasa universiti yang hanya membenarkan tiga wakil masuk ke bilik pentadbiran universiti semalam.

Media dilarang

Kumpulan seramai 50 orang itu, yang diketuai oleh Penyelaras Suaram, Chang Lih Kang, enggan menerima syarat tersebut dan menuntut supaya enam orang wakil dibenarkan masuk. Bagaimanapun, permintaan itu ditolak.

Ekoran itu, mereka mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan memorandum tersebut dan mengadakan sidang akhbar di luar premis tersebut.

Pegawai keselamatan universiti itu juga melarang wartawan dan jurugambar masuk ke kawasan universiti.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam UPM, Dr Jambari Ali memberitahu pemberita. pihak universiti bersedia menerima memorandum tersebut dengan syarat hanya tiga orang sahaja mewakili kumpulan tersebut.

Beliau juga berkakta, Naib Canselor Prof Dr Nik Mustapa R Abdullah sedang bermesyuarat dan oleh itu tidak dapat menemui mereka.

Kumpulan itu juga memasang poster yang memaparkan ketua pelajar pro-establishment dengan tulisan merah ‘wanted’ (dihehendaki).

Dari Malaysiakini


DEMO BANTAH KEHADIRAN RICE DI KL, PEMUDA MELAKA SEDIAKAN BAS


SEMABOK 27 JULAI : Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) menyediakan bas untuk pengangkutan semua pencinta agama bagi menyertai demo menentang kehadiran Setiausaha Negara Amerika Condoleeza Rice di Kuala Lumpur esok.

Ketua Penerangan DPPNM, Yuhaizad Abdullah menyatakan semua ahli demo yang berminat boleh menaikinya di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di sini awal pagi esok.

Keterangan lanjut sila hubungi Yuhaizad di talian 016-6635820 atau Harun Mohamed 019-6675521.


SISTEM PENDIDIKAN NEGARA GAGAL LAHIRKAN INSAN BERAKHLAK DAN BERDISIPLIN


PADANG BESAR 27 JULAI : Sistem pendidikan negara kita dilihat gagal melahirkan insan yang berakhlaq dan berdisiplin. Ini dibuktikan apabila seramai 2,332 pelajar dibuang sekolah di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan disiplin. Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar.

Dalam tempoh sama, beliau berkata, 3,184 lagi pelajar digantung sekolah.

“Jumlah kes buang dan gantung sekolah itu bagaimanapun menunjukkan aliran menurun berbanding tahun lalu. Rekod kementerian menunjukkan sepanjang tahun lalu seramai 7,453 pelajar dibuang sekolah, manakala 15,148 lagi digantung sekolah.

“Bagaimanapun, jika dibanding dengan lima juta pelajar di seluruh negara, peratus yang mewakili buang sekolah tahun ini hanya 0.01 peratus manakala kes gantung hanya 0.06 peratus.

“Tahun lalu, peratusnya agak tinggi iaitu 0.4 peratus dibuang sekolah dan 0.9 peratus gantung sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jati Diri murid sekolah menengah peringkat kebangsaan di Pusat Kokurikulum, Jalan Kaki Bukit di sini, semalam.

Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari Perlis dan Kedah yang dibuang dan digantung sekolah mengikuti program ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diadakan selama enam hari bermula 21 Julai lalu dan berakhir semalam.

Noh berkata, daripada 2,332 pelajar yang dibuang sekolah tahun ini, 1,897 daripada mereka membuat rayuan dan diterima semula manakala 425 lagi tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Noh berkata, Kementerian Pelajaran tidak boleh memansuhkan hukuman buang dan gantung sekolah kerana ia perlu untuk menangani masalah disiplin pelajar.

“Pelajar yang melanggar disiplin patut menerima hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan itu.

“Kita tak boleh mansuh. Buang dan gantung sekolah adalah satu hukuman. Dari hukuman ringan hinggalah kepada yang paling berat iaitu buang sekolah. Ini adalah hukuman. Setiap yang salah mesti dikenakan hukuman,” katanya.

Inilah bahananya apabila Islam diketepikan dari sistem pendidikan negara. Islam hanya diajar sebagai subjek sampingan tidak wajib diambil dalam semua peringkat peperiksaan samada UPSR, PMR atau SPM. Malah di peringkat Universiti pun subjek ini tidak diwajibkan hanya Tamadun Islam yang sahaja yang diajar.

Apabila Islam dikesampingkan maka inilah hasilnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59