Wednesday, 26 July 2006

TULISAN SHAMSUL ISKANDAR MENGELIRUKAN?


KAMI MENERIMA EMAIL DARI PELAWAT BLOG INI YANG MEMINTA NAIB KETUA ANGKATAN MUDA(AMK)PKR SHAMSUL ISKANDAR MENARIK BALIK KENYATAAN BELIAU DALAM LAMAN WEB PARTI KEADILAN RAKYAT SEPERTI YANG KAMI SIARKAN DI BAWAH. EMAIL TERSEBUT MENYATAKAN BAHAWA SHAMSUL ISKANDAR TIDAK FAHAM ISU SEBENAR DAN SEOLAH-OLAH MENYOKONG PUAK-PUAK ARTIKEL 11 YANG BERUSAHA UNTUK MENGHAPUSKAN KEISTIMEWAAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN.


Hormati Hak Untuk Memberi Pendapat & Hargai Perbezaan

Angkatan Muda KeAdilan (AMK) menyeru kepada pihak-pihak untuk menghormati prinsip utama kebebasan bersuara, berhimpun dan berkumpulan. Kesemuanya bukan sahaja termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia kita tetapi juga dalam Islam.

AMK meminta agar kumpulan-kumpulan yang membantah Forum Terbuka Aritkel 11 tidak menghalang persidangan yang bakal diadakan di Johor hujung minggu.

Sesungguhnya, bantahan seperti itu tidak menggambarkan kemampuan kita untuk berdiskusi dengan cara yang beradab dan secara produktif, sekiranya kita selalu berkeras untuk menyekat pendapat yang berbeza.

Sememangya terdapat sebab-sebab yang absah bagi beberapa keluhan yang dibawa oleh Kumpulan Artikel 11. Untuk terus menutupnya dengan menggunakan ugutan serta kekerasan bukan merupakan jalan keluar kepada kekusutan yang ditimbulkan.

Tambahan pula, sekiranya kumpulan yang membantah ingin menunjukkan pendirian mereka haruslah berbuat demikian dengan cara damai - dan tidak menganggu keamanan - sebagaimana yang dikehendaki di dalam Islam.

Keadilan sentiasa memperjuangkan dan mempertahankan kebebasan untuk bersuara serta berhimpun. Kita sama sekali tidak boleh membenarkan permit digunakan oleh Kerajaan atau polis untuk menyekat hak asasi mana-mana pihak.

Kami menyeru semua pihak mengambil sikap tenang dan tidak melakukan apa-apa ancaman atau ugutan terhadap penganjur forum. Kami sedar, walaupun isu ini dianggap sangat sensitif, namun atas ketidakfahaman dan salah faham Islam yang semakin meningkat, maka kewujudan dialog secara jujur perlu digalakkan. Di dalam hal ini kami mencadangkan agar pihak-pihak yang bertentang untuk menghadirkan diri ke majlis forum tersebut dan memberikan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah.

Sesungguhnya di dalam sejarah tamadun Islam, tradisi berhujjah, budaya berdebat dan berdiskusi yang berkaitan dengan Islam mahupun isu-isu berkenaan masyarakat telah lama wujud. Justeru, tradisi ini mesti dikekalkan serta digalakkan dan tidak boleh sama sekali dianggap sebagai ancaman kepada Islam.

Wassalam.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia


SIAPA PEMBOHONG, MAHATHIR ATAU TAJUDDIN RAMLI?


KUALA LUMPUR 26 JULAI : Dr Mahathir hari ini menafikan tuduhan Tajuddin Ramli yang beliau mengarahkan bekas pengerusi MAS itu supaya membeli saham di dalam syarikat penerbangan nasional itu untuk menyelamatkan Bank Negara.

Jadi sekarang siapa bohong, Mahathir atau Tajuddin.?

"Mungkin kedua-duanya pun tidak boleh dipercayai, kaki pembelit" kata Hj Salamat Ketua DPP Kawasan Bukit Katil ketika diminta mengulas isu ini.

Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak ingat samada ada menyuruh Tajuddin membeli saham itu.

Katanya bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang memberitahunya Tajuddin berminat untuk membeli saham MAS.

Dr Mahathir: 'Saya tidak pernah minta dia untuk membuat khidmat kepada negara'
"Kita sedang menswastakan kesemuanya pada masa itu. Bila dia mahu beli saham tersebut, kami beritahu dia kami mahukan wang tunai," tambahnya.

Katanya Tajuddin sebelum itu mencadangkan kepada kerajaan untuk membeli saham MAS melalui pertukaran saham Celcom dan Naluri. Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"Saya kata kita tidak ada duit, kita tidak sanggup menjual saham tersebut kepadanya," bekas perdana menteri itu berkata, dan menambah Tajuddin meminjam RM1.8bil untuk membayar saham MAS tersebut.

Dr Mahathir diminta memberikan komen mengenai kenyataan Tajuddin yang mendakwa dia diminta oleh kerajaan untuk memperolehi pegangan 32 peratus di dalam MAS pada 1994.

Tajuddin membuat dakwaan ini dalam saman balasnya yang difailkan pada 29 Jun terhadap kerajaan dan 24 pihak lain berhubung pembelian saham MAS tersebut.

Ia dilakukan berikutan saman oleh Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dan anak syarikatnya, Danaharta Urus Sdn Bhd dan Danaharta Managers Sdn Bhd terhadap Tajuddin, difailkan pada 11 Mei yang menuntut RM589 juta sebagai baki daripada pinjaman RM1.79 bilion yang diberikan kepadanya pada 1994 untuk membeli saham MAS.

"Saya tidak paksa dia beli saham MAS. Saya tidak pernah minta dia buat khidmat negara," kata Dr Mahathir selepas melancarkan buku bertajuk The Chinese Malaysian Contribution, berkenaan kedatangan warga Cina ke dalam Malaya pada masa itu, dan bagaimana mereka memberikan sumbangan dalam pembinaan negara ini.

Tajuddin mendakwa saham MAS tersebut dijual kepadanya semasa Bank Negara mengalami kerugian dalam tukaran asing, kesan daripada spekulasi di dalam pasaran matawang antarabangsa.

Dr Mahathir berkata: " Pada masa itu kerajaan tidak kekurangan wang.

"Kita ada wang di Bank Negara, dan tahu bagaimana untuk menampung kerugian tersebut. Rizab kita ada RM50 bilion pada masa itu. Kita tidak perlukan duit dia."

Katanya beliau tidak tahu bagaimana Tajuddin membuat kesimpulan beliau memintanya membeli saham tersebut.

Nampaknya Mahathir sekarang ini mula terasa panas kerana Imam Al Badawi mula membuat serangan balas dengan membongkar isu MAS ini. Mungkin selepas ini ada isu-isu sensasi lain yang akan 'memanaskan' Mahathir.

KITA TUNGGU DAN LIHAT APA BERLAKU SELEPAS INI.


Dr Mahathir mahu adakan perhimpunan dengan ahli Umno


KUALA LUMPUR 26 JULAI : Tun Dr Mahathir Mohamad mahu memberi penjelasan kepada perhimpunan dengan ahli Umno bagi menjelaskan pendiriannya mengenai perbalahannya dengan pengganti pilihannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Mereka kata tidak benar yang saya tidak boleh bercakap dengan ahli Umno jadi saya mahu diadakan perhimpunan untuk (saya) bercakap kepada ahli Umno,” kata bekas Presiden Umno itu kepada pemberita.

“Jika mereka membenarkan saya bercakap, maka saya bercakap kerana mereka kata mereka tidak menyekat saya daripada bercakap kepada ahli Umno. Jadi, ok, saya akan anjurkan satu perhimpunan dengan ahli Umno,” katanya.

Beliau mendakwa, kepimpinan Umno telah menghalang lima Umno bahagian yang mahu menghubungi beliau kerana tidak mahu mereka “mempunyai apa-apa” hubungan dengannya.

“Mereka yang telah menjemput saya untuk bercakap telah diberitahu ‘jangan’ – mereka tidak boleh membenarkan saya bercakap kepada mereka” tegas Dr Mahathir.

Dr Mahathir telah mengecam kerajaan berhubung keputusan membatalkan projek jambatan indah, pengeluaran AP dan yang berkaitan dengan Proton.

Walaupun Dr Mahathir berkata kritikannya itu tidak bersifat peribadi, tetapi bekas Perdana Menteri itu pernah berkata, Abdullah bukan pilihan utamanya, malah tidak pasti sama ada beliau silap memilih penggantinya.

Sesi penerangan

“Sehingga ini mereka (Umno) menyekat lima pihak daripada mempunyai apa-apa hubungan dengan saya. Orang ini telah menjemput saya untuk bercakap kepada mereka (tetapi) mereka diberitahu “jangan” – mereka (Umno) tidak membenarkan saya bercakap dengan mereka.

“Bila saya bercakap dengan NGO (badan bukan kerajaan), mereka mengadu ada ahli-ahli PAS di sana, jadi saya mesti kawal orang yang datang mendengar (ceramah) saya. Akhbar pula memulaukan (berita saya), mereka yang menulis menyokong saya, surat mereka tidak disiarkan,” katanya.

Ditanya apakah agenda perhimpunan Umno itu nanti, Dr Mahathir menjawab: “Apa-apa sahaja yang ahli Umno tidak faham. Mereka tidak benarkan saya bercakap, jadi bagaimana mereka (ahli-ahli Umno) akan faham,” katanya.

Dr Mahathir juga ditanya mengenai dakwaan wujudnya rasa tidak puashati di kalangan ahli akar umbi Umno terhadap penjelasan yang diberikan oleh pemimpin mereka dalam siri sesi penerangan berhubung persoalan dan kritikannya.

“Sesi penerangan tersebut sepatutnya diserahkan kepada saya,” katanya disambut ketawa para wartawan, sambil menambah beliau tidak mengikuti perkembangan sesi penerangan tersebut.

Permintaan yang mudah

Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob adalah orang tengah yang akan membantu menyelesaikan perbalahan antara beliau dengan Abdullah.

“Saya telah bertemu dengan (Tun) Khalil (kiri) yang akan menjadi orang tengah itu. Saya telah beritahu beliau apa yang perlu dilakukan. Terpulanglah kepada beliau. Saya telah menjelaskan kepada beliau apa masalahnya dan beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya beritahu beliau – mudah sekali – jangan tunduk kepada Singapura, jangan beri terlalu banyak AP (untuk import kereta mewah), jangan lemahkan (pasaran kereta nasional) Proton, jangan jual MV Agusta,” katanya.

Ditanya mengenai kemajuan usaha tersebut, beliau berkata Khalil belum lagi memberitahunya mengenai perjumpaan tersebut, yang diadakan sebelum Dr Mahathir pergi bercuti ke luar negeri.

Sebelum itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin – yang rapat dengan Dr Mahathir dan yang mencadangkan rancangan menggunakan khidmat orang tengah itu – menafikan Khalil adalah orangnya.

Ditanya mengapa beliau tidak menelefon Abdullah, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak menelefon beliau dan beritahu beliau itu dan ini.

“Permintaan saya adalah cukup mudah – saya tidak setuju kita tidak membina jambatan tersebut, saya rasa kita mesti membinanya dan adalah tidak benar untuk mengatakan rakya tidak mahu jambatan tersebut. Rakyat tidak mahu dijual pasir dan [... ] tetapi mereka mahu jambatan.”

Mengenai kenyataan Abdullah berkata beliau mempunyai hak dengan pendapatnya, Dr Mahathir membalas: “Adalah beliau membina jambatan itu? Tidak membina jambatan itu adalah salah, jadi jika beliau membinanya, saya akan kata beliau betul. Jambatan itu tidak pun dibina.

“Kita menjual Agusta, memberi lebih banyak AP, begitu banyak sekali sehingga kereta kini tidak boleh dijual, harga kereta diturunkan, (dan) timbulkan masalah kepada penjual kereta terpakai, semua orang rugi, kita ada dasar automatif nasional yang menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Sebelum itu, Dr Mahathir melancarkan buku bertajuk ‘Sumbangan masyarakat Cina Malaysia’.

Sumber : Malaysiakini


AGENDA TERSEMBUNYI Umno HALANG DR MAHATHIR UNTUK RASMIKAN MESYUARAT AGUNG BAHAGIAN


BUKIT KATIL, 26 Julai - Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang membuat keputusan bahawa Bahagian boleh menjemput Anggota MT atau Menteri sahaja untuk merasmikan mesyuarat agung bahagian merupakan strategi Umno supaya bahagian tidak menjemput Dr Mahathir merasmikan mesyuarat agung masing-masing.

Walaupun media tidak menyebut secara jelas bahawa hanya MT atau menteri sahaja yang boleh merasmikan mesyuarat tersebut, pemerhati politik berpendapat ianya adalah langkah drastik Umno untuk menghalang Dr Mahathir.

"Sebenarnya inilah salah satu langkah mereka untuk menghalang Dr Mahathir kerana sudah ada ura-ura bahagian-bahagian tertentu ingin menjemput Dr Mahathir" kata Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Hamzah Yusof di sini pagi ini.

"Pak Lah takut untuk berdepan dengan Dr Mahathir sebab itulah beliau berusaha agar Mahathir tidak ada peluang untuk berjumpa ahli-ahli Umno, namun saya berpendapat Mahathir tidak akan berdiam diri" tambah Hamzah.

Semua bahagian Umno yang akan mengadakan persidangan perwakilan bermula 3 Ogos ini boleh menjemput mana-mana anggota Majlis Tertinggi (MT) atau menteri bagi merasmikan mesyuarat masing-masing.

Anggota Exco Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula boleh diundang merasmikan persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian, kata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Selasa.


APA MOTIF TENTERA KITA BERLATIH BERSAMA TENTERA AMERIKA


KEMAMAN 26 Julai : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mempertikaikan keputusan kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan yang bersetuju mengadakan latihan bersama dengan Tentera Laut Amerika.

Media melaporkan bahawa Seramai 3,000 anggota tentera laut Amerika Syarikat dan Malaysia sedang menjalani latihan kesiapsiagaan bersama dalam Eksesais "Cooperation Afloat Readiness And Training (CARAT)" di perairan Laut China Selatan dan Mersing, Johor, selama 10 hari hari bermula semalam.

Ketua DPP Kawasan Hj Salamat Aman berkata, sepatutnya kerajaan Malaysia menjaga sensitiviti umat Islam Malaysian dan Dunia yang mengecam kekejaman Tentera Amerika di Afghanistan dan Iraq.

"Tentera Amerika membunuh, merogol dan menyembelih umat Islam di sana tetapi kita disini boleh mengadakan kerjasama ketenteraan pula" kata Hj Salamat lagi.

"Nampaknya kerajaan Islam Hadhari ini memang tidak berhati perut ataupun mereka ini sebenarnya kerbau yang dicucuk hidung yang takut dan menuruti setiap kata tuan mereka" tambah beliau.

Haji Salamat juga melahirkan kekesalan kerana ketika Umat Islam seluruh dunia membuat demonstrasi di kedutaan Amerika seluruh dunia (termasuk di Malaysia) membantah kekejaman Israel iaitu anak emas Amerika , tetapi pada masa yang sama tentera Malaysia boleh bersama-sama berlatih dengan tentera Amerika.

"Mana Pemuda Umno yang buat demo di Kedutaan Amerika, mengapa mereka tak tentang keputusan Bos mereka, Iman Badawi dan Najib yang benarkan askar Amerika jejak kaki ke Malaysia dan berlatih dengan askar kita" tegas Hj Salamat dengan nada marah.

Dalam kenyataan kepada media, Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia, Brig Jen Datuk Jusof Embong, berkata latihan secara bersepadu itu boleh menjadi satu platform kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama lebih erat dalam bidang ketenteraan.

Beliau berkata program latihan itu melibatkan kaedah peperangan di laut dan darat, latihan menyelamat serta perhubungan komuniti dengan penduduk setempat.

"Kementerian Pertahanan amat berbesar hati menerima kunjungan kira-kira 1,500 Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menjalani latihan di perairan Laut China Selatan dan juga di sekitar pantai Mersing" katanya semasa berucap pada majlis perasmian Latihan CARAT 2006 di Awana Kijal Resort dekat sini hari ini.

Nampaknya tidak ada langsung rasa kesal malah berbesar hati pula menerima kehadiran tentera negara laknatullah ini. Tidak adakah di dalam benak hati pemimpin Islam Hadhari dan pemimpin tentera kita ini rasa benci kepada puak-puak zalim ini. Kalau tiada inilah malangnya rakyat Malaysia yang tersalah pilih pemimpin.

INILAH ISLAM HADHARI YANG TIDAK TAHU MANA KAWAN DAN LAWAN.


OTAK ADNAN MANSOR MEMANG TAK BOLEH PAKAI





Wanita-wanita begini mungkin juga menjadi produk pelancongan yang Adnan mahukan




TAIPING 26 JULAI : Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semalam bahawa cadangan beliau supaya waktu operasi pusat membeli-belah, pusat hiburan serta restoran dilanjutkan sehingga 5 pagi hanya membabitkan kawasan tumpuan pelancong.

Beliau berkata cadangan itu perlu dipertimbangkan pihak berkuasa tempatan Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Langkawi, yang merupakan destinasi utama para pelancong asing di negara ini.

Kepala otak menteri ini memanglah tidak boleh di pakai. Apakah beliau tidak terfikir bahawa kalau ianya di buka sampai jam 5.00 pagi bukan sahaja pelancong yang bertenggek di situ malah remaja tempatan juga akan turut sama 'qiam' dalam tempat maksiat tersebut.

Beliau berkata cadangan itu dibuat selepas mendengar rungutan para pelancong dan peniaga yang mahukan operasi perniagaan di kawasan tertentu di negara ini dilanjutkan.

Dalam kepada 'hotaknya' tiada lain yang difikirkan hanya untuk memenuhi permintaan segelintir pelancong. Itu pun belum tentu lagi samada pelancong yang datang ke Malaysia untuk berhibur di Pusat-Pusat Maksiat tersebut atau mereka datang untuk menikmati keindahan negara kita.

Sepatutnya Adnan Mansor mesti meningkatkan prasarana dan produk pelancongan lain bukannya sibuk untuk menambahkan lagi masa operasi pusat-pusat maksiat ini.

Inilah yang sebenarnya kualiti pemimpin yang 'ditarbiah' di bawah Islam Hadhari. Ketuanya pun lebih kurang saja.


BONGKAR : Unit Pemantauan Jabatan-Jabatan Kerajaan negeri tidak berfungsi


BUKIT KATIL 26 Julai : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Unit Pemantauan Jabatan (UPJ) yang dikatakan gagal melaksanakan tugas dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai masalah terhadap penduduk.

Setiausahanya, Khairuddin Ismail berkata, sepatutnya penubuhan unit tersebut melibatkan hampir keseluruhan jabatan mampu menyelesaikan masalah dengan baik di mana penduduk sendiri perlu membuat aduan berhubung dengan masalah yang diajukan.

"Pihak tersebut harus lebih arif dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan jabatan-jabatan yang dikedalinya tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai. Malah kita melihat bahawa setiap jabatan terbabit gagal melaksanakan tugas dengan lancar walaupun unit berkenaan telah ditubuhkan"jelas Khairuddin.

“Namun masalah demi masalah terus berlaku dan orang ramai sendiri terpaksa membuat pemantauan serta melaporkan sendiri kepada pihak-pihak lain seperti Japerun, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebagainya,” tambahnya lagi yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.

“Sebagai contoh UPJ ditubuhkan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Air Melaka (PAM), Southern Waste Managements (SWM) dan banyak lagi, namun banyak aduan lambat atau gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.


BONGKAR:Melaka punya 3,000 punca pencemaran


AYER KEROH, 26 Julai : Melaka mempunyai lebih kurang 3,000 punca yang berpotensi menghasilkan pencemaran kepada alam sekitar dan sehingga Jun tahun ini terdapat kira-kira 300 premis di negeri ini yang telah dikenalpasti menghasilkan buangan terjadual, kata Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka, Abdul Hapiz Abdul Samad.

Menurutnya, melalui rekod JAS, dianggarkan 9,000 tan metrik buangan terjadual dihasilkan oleh 300 premis tersebut sehingga Jun tahun ini.

“Setakat ini, di Melaka terdapat satu premis yang telah dikenakan tindakan mahkamah berhubung perkara tersebut manakala bagi pesalah kecil, mereka dikenakan kompaun,” katanya ke tika sidang media selepas Seminar Pengurusan Buangan Terjadual di Hotel Ancasa MITC di sini hari ini.

Justeru itu, menurutnya, JAS telah menubuhkan satu Unit Khas yang dikendalikan oleh empat anggota JAS bagi memantau sisa buangan terjadual ini bagi mengelakkan ianya dibuang secara tidak betul.

Katanya, Unit Khas JAS yang baru ditubuhkan tahun ini turut melakukan pemeriksaan mengejut ke premis-premis yang dikenalpasti menghasilkan buangan terjadual.

“Pemeriksaan mengejut itu dilakukan melalui aduan dari orang ramai dan setakat ini terdapat 10 aduan yang telah diterima ,” katanya.

Jelasnya, JAS juga turut bekerjasama dengan Kualiti Alam dan pihak Kastam bagi memantau sisa toksid berjadual dalam memastikan pengurusan buangan terjadual yang cekap dan selamat supaya menjamin mutu dan kualiti alam sekitar negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Ketua Operasi, Kualiti Alam, Abdul Rahman Kasim berkata, seminar anjuran bersama JAS dan Kualiti Alam itu bertujuan mewujudkan kesedaran, minat dan pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab pengeluar buangan, kontarktor pengangkut dan pihak berkuasa.

Menurutnya, seminar itu turut menekankan penggunaan aplikasi sistem e-Consignment Note yang berfungsi bagi memasukkan maklumat nota konsainan buangan terjadual dengan menggunakan kemudahan email.

“E-Consignment Note itu menyediakan laporan pengeluaran buangan terjadual melalui web sebagai pemberitahuan awal kepada JAS jika terdapat sebarang pengeluaran buangan terjadual oleh premis,” katanya.

Jelasnya, melalui sistem itu, JAS dan Kualiti Alam hanya perlu mendapatkan laporan pengeluaran buangan terjadual dari aplikasi web e-Consignment tanpa perlu ke premis terbabit.

Adalah diharapkan kerajaan negeri dan JAS dapat mengambil tindakan yang lebih drastik demi untuk memastikan alam sekitar negeri ini sentiasa bersih dan selamat untuk kesejahteraan rakyat.


BONGKAR :Tiang ada, api tiada


MELAKA 26 Julai : Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah menanam 13 tiang lampu jalan sejak lebih setahun lalu di jalan utama Kampung Padang Temu dekat sini, tetapi bekalan elektrik masih belum disambungkan.

Difahamkan tiang lampu jalan itu dibiarkan begitu saja sedangkan penduduk mengharapkan kemudahan itu disegerakan bagi menerangi kawasan berkenaan.

Tindakan TNB membiarkan tiang lampu itu begitu sahaja dikesali dan amat mengecewakan kerana ia menimbulkan kemarahan kebanyakan penduduk di kawasan terbabit disebabkan terbiar sejak sekian lama.

Tinjauan mendapati bahawa keseluruhan penduduk yang menggunakan laluan berkenaan kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil sejak ia dipacak sepanjang jalan terbabit.

Sehubungan itu, diharapkan TNB mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang lampu serta membekalkan elektrik segera supaya mereka yang melalui jalan terbabit pada waktu malam terutama golongan wanita tidak berasa khuatir.


GENG SERBUK LADA TUMPAS


BANDARAYA MELAKA, 26 Julai : Hanya beberapa minit selepas memecah masuk sebuah rumah, empat lelaki dipercayai anggota Geng ‘Serbuk Lada’ tumpas di tangan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Paya Emas, Bertam Ulu di sini, semalam.

Tindakan pantas polis akhirnya membuahkan hasil apabila keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu diberkas semasa mereka dikatakan sedang melakukan samun di rumah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, polis terpaksa menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum memberkas kesemua anggota geng terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan dua bilah parang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Nik Nazli Husin berkata, kesemua suspek dipercayai gagal melarikan diri apabila polis tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pihak polis bergegas ke tempat kejadian dengan menggunakan lima buah kereta peronda dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua bilah parang, empat topeng muka dan serbuk lada putih yang dipercayai untuk digunakan semasa melakukan samun.

Ujar beliau, siasatan awal polis mendapati, geng berkenaan dipercayai menggunakan serbuk lada putih itu sebagai senjata untuk menyimbah mata mangsa supaya tidak dapat dicam.

“Suspek dikatakan bertindak dengan menyimbahkan serbuk lada putih ke dalam mata salah seorang daripada tiga penghuni rumah berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, geng tersebut juga dipercayai mempunyai sebanyak tujuh kes pecah rumah dan tiga kes samun di sekitar negeri sejak awal tahun ini.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dalam rompakan,” katanya.

Beliau menambah, keempat-empat suspek dipercayai memanjat pagar belakang sebelum masuk ke dalam rumah tersebut mengikut pintu sebelah tepi dan semasa kejadian, mangsa tinggal bersama dua orang pembantu rumahnya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59