Monday, 24 July 2006

SELOKA MALAYSIA NEGARAKU


Dipetik dari Email yang diterima oleh kami.

Aku sangat bertuah kerana dapat hidup dalam sebuah negara Islam yang
sangat kuat semangat keIslamannya, iaitu Malaysia. Di sini ada banyak
bukti yang menunjukkan yang Malaysia itu sebuah negara Islam. Sekali
lagi aku rasa sangat bertuah!

1) Di Malaysia pemimpinnya melaungkan keIslaman, tapi satu hukum
Allah pun tak dilaksanakan.

2) Di Malaysia ada Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa, tapi isi
kandungan Quran satu pun tak diendahkan.

3) Di Malaysia ada banyak kilang arak, disko, pelacur dan kelab
dangdut, dan yang mengunjunginya orang Islam.

4) Di Malaysia ada Menteri yang mencadangkan panjangkan masa berhibur
di tengah malam, supaya negara Islam dapat membangun.

5) Di Malaysia tak boleh pakai kopiah, songkok atau serban masa
sekolah, tapi orang Singh pakai serban tak apa.

6) Di Malaysia ulama'nya dikeji difitnah dan dikongkong, tapi paderi
Kristian tak pernah dikeji oleh orang Kristian.

7) Di Malaysia wanita Islamnya ramai yang tak pakai tudung, tudung tu
imej saja, takde kaitan dengan Islam.

8) Di Malaysia Islam dan kehidupan dipisahkan, masa sembahyang
bertudung litup, lepas sembahyang tudung pun terbang.

9) Di Malaysia buat Islam Hadhari supaya maju, zaman kegemilangan
Islam dibawa Nabi Muhammad s.a.w dulu tak cukup maju lagi, sebab
takde Islam Hadhari.

10) Di Malaysia ada banyak rancangan keagamaan dalam tv, antaranya
Akademi Fantasia dan Mentor. Kalau rancangan ni buat pukul 3 pagi
pun, orang akan bangun buat sembahyang tahajud depan tv.

11) Di Malaysia pemimpinnya rilek sahaja tengok perang kat negara
lain, tengok sahaja orang Islam mati kena bom, dasar berkecuali yang
diperkenalkan sangat bagus sekali!.

12) Di Malaysia sekolah agama ditutup, tapi sekolah cina dan india
terus dibuka, sebab sekolah agama ni boleh hasilkan pengganas Islam.
Menteri Nazri kata, apa guna sekolah agama kalau gejala sosial masih
berlaku.

Wah bijak betul menteriku ini!

Lihatlah dunia betapa Islamnya Malaysia ku ini! Aku rasa sangat
bertuah sekali!


MALAYSIA MAJU DADAH 2015


MELAKA 24 JULAI : Penyalahgunaan dadah di negara ini dijangka akan memasuki ‘gelombang kelima’ tidak lama lagi jika tiada langkah untuk memeranginya secara habis-habisan dibuat sebelum tahun 2015.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohd Jalil Abdul Ghani, berkata setakat ini penagih atau pengedar dadah di negara ini sudah dan sedang menghadapi empat gelombang.

Katanya, gelombang kelima adalah gelombang yang paling bahaya dan ditakuti di mana penagih akan mula menyalah gunakan ubat-ubatan yang tidak ditakrifkan sebagai dadah.

Dipercayai mereka akan menagih bahan-bahan seperti gam, ubat nyamuk, minyak petrol, cat, cecair pemetik api, spray rambut dan krim pencuci.

Berucap dalam seminar Membina Syurga Di Hati di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) negeri di Bukit Beruang dekat sini, beliau berkata, pada gelombang pertama, penyalahgunaan dadah menjurus ke arah candu, morfin, heroin dan kodein.

Manakala dalam gelombang kedua pula, ia lebih tertumpu kepada ganja, hashish dan marijuana.

Katanya, penyalahgunaan dadah ini maju sedikit apabila bertumpu kepada dadah jenis stimulan yang membabitkan phetamine, heroin dan kokain.

Bagi ‘gelombang keempat’ pula ia membabitkan jenis psikotrapik di mana dadah berbentuk pil seperti methamphetamine, amphetamine, MDMA dan pil ecstasy (XTC) digunakan untuk mengkhayalkan penagih dadah.

Menurutnya, penyalahgunaan najis dadah ini sudah mencapai ke tahap amat membimbangkan kerana ia bukan saja terdapat di bandar malah sudah menular ke luar bandar.

“Pengedar dadah di negeri ini juga berjaya menembusi benteng agensi penguat kuasaan seperti badan-badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rela, Rukun Tetangga dan badan-badan NGO yang seharusnya menjaga dan memantau sebarang kegiatan yang tidak sihat berlaku di kawasan masing-masing.

“Najis dadah adalah musuh nombor satu dan kerajaan negeri sedang memerangi habis-habisan sebelum 2010,” katanya.

Menurut Mohd Jalil, majoriti rakyat yang terjebak dengan najis dadah adalah mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan angka ini meningkat sepanjang masa.


UMAT ISLAM MULA SEDAR BAHAYA MURTAD TETAPI SEBALIKNYA KERAJAAN ISLAM HADHARI LANGSUNG TIDAK AMBIL PUSING TENTANG ISU INI



KUALA LUMPUR, 24 Julai - Umat Islam Malaysia melahirkan kekesalan yang amat sangat kepada kerajaan Malaysia kerana hingga ke saat ini masih belum mengambil sebarang tindakan tegas terhadap gejala murtad yang kian menular di negara ini. Lebih teruk lagi kerajaan membiar malah ada menteri yang menyokong Kumpulan Artikel 11 dan IFC meneruskan usaha-usaha untuk mengganggu gugat kedaulatan Islam di sisi perlembagaan di mana ianya juga berkait rapat dengan usaha-usaha untuk memudahkan orang Islam murtad.

Pemimpin Kerajaan Islam Hadhari sekarang lebih sibuk dengan agenda untuk 'membesarkan' perut masing-masing melalui projek-projek RMK 9 yang berjumlah berbillion-billion ringgit. Pada masa yang sama ada di kalangan pemimpin mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama sanggup menyatakan angka dan dakwaan yang di buat oleh Mufti Perak tentang angka orang Islam murtad mencecah ratusan ribu sebagai tidak benar. Mereka bukannya hendak menyiasat malah memperlekeh-lekehkan dakwaan tersebut.

Semalam Umat Islam membuktikan bahawa mereka tidak rela gejala murtad dan usaha kearah memurtadkan umat Islam terus menular apabila belasan ribu umat Islam melimpahi perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, bagi menyatakan sokongan dengan menandatangani borang bantahan penubuhan Jawatankuasa Antara Agama (IFC).

Orang ramai mula membanjiri masjid berkenaan sejak jam lapan, sebelum progam forum bermula jam sembilan pagi. Mereka memenuhi dewan di mana forum berlangsung, hingga menutupi pintu-pintu masjid.

Forum "Islam dan Cabaran" anjuran Pesatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi Islam muktahir ini, khususnya mengenai kes Azlina Jailani atau Lina Joy, IFC dan Artikel 11.

Forum tersebut membariskan beberapa ahli panel terdiri dari kalangan pensyarah, peguam, tokoh agama dan wakil badan bukan kerajaan (NGO). Mereka terdiri daripada Tuan Hj. Sulaiman Abdullah, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Abdul Aziz Bari, bekas Mufti Pulau Pinang, Dato? Sheikh Azmi bin Ahmad, Pengerusi Pembela, Zainur Zakaria, dan Yusri Mohamad.

Manakala penggulung kepada forum berkenaan ialah Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria, di samping moderator, Pengerusi Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Para hadirin sedikit pun tidak berganjak dari tempat mereka biarpun forum tersebut berlangsung selama hampir empat jam.

Antara perbincangan yang menarik perhatian hadirin ialah isu Lina Joy, di mana pemimpin negara dikatakan tidak berbuat apa-apa dengan kes berkenaan, serta usaha-usaha untuk menghalang pihak bukan Islam mencampuri urusan agama Islam.

Turut hadir dalam forum berkenaan ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Ustaz Badrul Amin Baharun, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sumber : Harakahdaily.


MASIH RAMAI YANG PERCAYA PEMUJAAN DI ZAMAN MILLINEUM


MELAKA 24 JULAI : Sikap taksub untuk kaya cepat menyebabkan beberapa kubur lama kononnya milik alim ulama di atas Pulau Besar yang terkenal sebagai tempat keramat di kalangan penduduk tempatan menjadi sasaran ‘kaki nombor’ untuk mencuba nasib.

Walaupun pihak berkuasa agama sudah meroboh dan memindahkan kubur lama berkenaan bagi mengelak amalan khurafat dan pemujaan nombor ekor tetapi tapak lama terus menjadi tumpuan.

Malah ada yang sanggup datang dari jauh termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk bermalam bagi mencuba nasib walaupun mereka tahu kawasan itu ‘keras’ dan ‘berpenunggu’.

Difahamkan, terdapat 43 kubur dan tempat keramat di atas pulau berkenaan yang boleh dikunjungi orang ramai dengan menggunakan bot tambang yang beroperasi dari Anjung Batu dan Umbai setiap hari.

Bagaimanapun, daripada jumlah tempat keramat itu, hanya 23 yang popular dan menjadi tumpuan pengunjung untuk memuja atau menunaikan hajat.

Antara tempat keramat itu ialah Makam Sultanah Aarifeen , Tapak Kaki Sultan Ariffeen, perigi di kaki pulau, Batu Belayar, Batu Tengkorak, Keramat Masin Tawar, Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Pokok Disula, Pokok Biawak, Batu Belah, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nisan Satu, Perigi Nenek Musllimah, Makam Syarifah Rodiah dan Batu Lesung.

Bagi yang datang bukan untuk tujuan memuja nombor, mereka pula melakukan pelbagai amalan khurafat seperti mandi bunga di kawasan perigi Nenek Musallimah kononnya untuk mempercepatkan jodoh.

Ada juga di kalangan mereka ini membayar nazar tertentu dengan menyembelih kambing di Makam Sultanah Aarifeen.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat orang tempatan, kebanyakan mereka yang datang untuk bernazar itu adalah di kalangan masyarakat India Muslim.

Ini kerana kebanyakan kubur berkenaan adalah milik nenek moyang mereka yang datang ke pulau itu untuk berdagang sebelum menyebarkan agama Islam ke negeri ini.

Mereka ini akan datang dan bermalam di tepi kubur sambil membaca yassin dan ayat suci al-Quran.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya sudah meroboh beberapa pembinaan kubur lama bagi mengelak ia menjadi tempat pemujaan.

Katanya, tindakan lain yang diambil termasuk mengalih kubur sedia ada ke kawasan lain.

“Kami sentiasa menjalankan pemantauan di atas pulau berkenaan bagi mengelak orang ramai mengadakan upacara bertentangan agama Islam,” katanya.

Sumber : Hairan Metro


EKSPEDISI DEWAN PEMUDA PUSAT DAN MELAKA BERJAYA


MELAKA 24 JULAI : Ekspedisi Dakwah yang di jalankan oleh DPP Pusat dan DPP Negeri Melaka di beberapa tempat di negeri ini semalam di sifatkan berjaya. Dalam program tersebut beberapa tempat tumpuan orang ramai telah dikunjungi iaitu Pasar Teluk Mas, Melaka Sentral, Mahkota Parade, Pantai Puteri dan Pekan Masjid Tanah.

Pelbagai risalah seperti kempen tangani gejala sosial, isu kenaikan tarif elektrik, dialog & ucapan Dr Mahathir dan sebagainya telah diedarkan kepada orang ramai.

Naib Ketua DPP Pusat, Mazlan Aliman dan pimpinan Dewan Pemuda Negeri, Us Kamaruddin Sedik, Us Mukhlis, Harun Mohamed, Yuhaizad Abdullah dan beberapa AJK lain juga turut bersama ahli-ahli pemuda dari kawasan-kawasan.

Rata-rata anak muda yang ditemui gembira menerima risalah tanpa ada rasa takut dan sebagainya.

Pada sebelah malamnya Mazlan Aliman telah berceramah di Masjid Tanah bersama pemimpin PAS Negeri.


KINI BARU KAU SEDAR




Berucap kepada penyokongnya sejurus sampai dari luar negara






Sekarang barulah Dr Mahathir sedar bahawa negara ini adalah seolah-olah Negara kuku besi apabila menghalang individu atau kumpulan yang tidak sehaluan dengan kerajaan dari bercakap atau membuat kenyataan dalam media. Tetapi beliau kena ingat bahawa semua tindakan ini adalah kesinambungan dari kerajaan yang beliau pimpin dahulu.
Semasa beliau berkuasa, pembangkang juga dikenakan tindakan yang sama malah ramai pemimpin pembangkang dan rakyat yang di tahan di bawah ISA, dibunuh tanpa di Memali dan sebagainya.

Kini beliau baru perasan bahawa apa yang di hadapi oleh beliau sekarang telah lama di ‘nikmati’ oleh pembangkang.

Dalam ucapan sejurus sampai dari luar Negara Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada orang yang mengarahkan pihak tertentu mengkritik dan mengecam dirinya sejak tiga tahun lalu.

“Orang itu yang mengarahkan pihak tertentu mengkritik dan mengecam saya tetapi orang yang berkuasa itu mendiamkan diri sahaja.

“Orang ini yang sangat memuji saya apabila saya bersara dari jawatan Perdana Menteri pada bulan Oktober 2003. Kini beliau larang macam-macam kepada saya.

“Saya nak berjumpa orang Umno tidak boleh...nak jumpa Mubarak (majlis bekas wakil rakyat BN) tidak boleh....nak cakap itu tidak boleh nak cakap ini tidak boleh,” katanya ketika berucap kepada kira-kira 300 orang yang menyambut kepulangannya dari luar negeri di Subang hari ini.

Beberapa bekas pemimpin Umno datang menyambut kepulangan Dr Mahathir antaranya bekas Pengerusi Mara, Datuk Ruhanie Ahmad dan bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Beseri, Perlis Datuk Zahidi Zainol Abidin (foto) turut kelihatan di majlis tersebut.

Dr Mahathir, bagaimanapun tidak menamakan orang yang dimaksudkan itu tetapi menegaskan beliau tidak diberi peluang langsung untuk bercakap di negara ini.

Beliau berkata, semasa melawat London baru-baru ini, pelajar Malaysia di sana yang mahu bertemu dengannya, juga dihalang.

Amalan demokrasi

“Saya sudah tidak berkuasa dan tidak ada sebab untuk pemimpin negara merasa takut.

“Saya tak boleh buat apa dah. Kalau mereka benar, apa yang nak takut...jawab sahajalah. Mereka (kerajaan) banyak jurucakap, boleh tepis ucapan saya,” katanya lagi.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat boleh bercakap apa sahaja tetapi malangnya ia dikawal oleh Datuk Kalimullah Hassan (Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan New Straits Times Press) dan `Orang Tingkat Empat’ Putrajaya.

Mengenai pendedahan dokumen kerajaan mengenai penjualan pasir dan penggunaan ruang udara yang menjadi sebab pembatalan pembinaan Jambatan Bengkuk, Dr Mahathir berkata, perjanjian sebenar mengenai perkara itu tidak didedahkan.

Katanya, tawaran dari Malaysia mengenai penjualan pasir dan penggunaan ruang udara kepada Singapura tidak didedahkan.
“Mereka hanya dedah surat saya, tak ada apa. Surat itu Singapura sudah dedah lama,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, apa yang hendak disembunyikan mengenai perjanjian dengan Singapura itu, sebaliknya ia perlu didedahkan untuk pengetahuan semua orang.

Katanya, beliau faham, beliau kena ikut kerajaan “tetapi jangan kata kena sokong semuanya secara membuta tuli”.
Sementara itu, Zahidi ketika ditemui berkata, beliau tidak memihak kepada mana-mana pihak, tetapi hadir untuk mendengar sendiri penjelasan bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GLC, khususnya Proton yang menjual MV Agusta sebanyak Satu Euro.

Sumber : Malaysiakini


FROKAD, PARTI POLITIK DAN NGO BERJAYA HALANG FORUM ARTIKEL 11


JOHOR BAHARU 24 JULAI : Walaupun Forum ‘Hak Kebebasan Beragama’ anjuran Kumpulan Article 11 di Johor Bharu pagi Sabtu lalu diteruskan tetapi ianya berjaya di halang dari diadakan mengikut jadual. Ketua Polis daerah Johor Selatan memberi kebenaran forum itu dijalankan sehingga jam 11.30 pagi walaupun jadual asalnya, program itu akan berjalan dari 9 hingga 1 tengah hari.

Polis membuat kawalan ketat kerana FROKAD dan lain-lain kumpulan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan hotel tempat forum itu diadakan.

Lebih 100 orang meghadiri forum berkenaan manakala kira-kira 400-500 orang penunjuk perasaan berkumpul di hadapan hotel Selesa dengan membawa kain pemidang dan poster mengecam Kumpulan Article 11 dan mengutuk forum tersebut.

Di fahamkan, ahli Frokad datang dari seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan lain-lain negeri.

Mereka melaung-laungkan slogan anti-murtad seperti ‘Jahanam IFC’, ‘Hancur, Hancur IFC” dan ‘Pertahankan Islam’ serta ‘Allahhuakbar’.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh Front Bertindak Anti-Murtad (Forkad) yang dianggotai oleh beberapa pertubuhan Islam termasuk PAS.

Anggota polis berpakaian seragam dan berpakaian biasa berada di sekeliling kawasan dalam dan luar hotel. Para peserta diperiksa dengan rapi sebelum dibenarkan menyertai forum berkenaan.

Salah seorang pemimpin Dewan Pemuda Negeri Johor yang tidak mahu namanya disiarkan berkata beliau berpuashati dengan kerjasama Polis yang bertindak meminta Forum itu di berhentikan dengan lebih awal.


AIR TERJUN BUKIT SEBUKOR JADI SARANG MAKSIAT


BUKIT BARU 24 JULAI : Air terjun buatan Bukit Sebukor dekat sini sering dijadikan tempat muda-mudi berpelukan dan berkelakuan tidak senonoh. Tinjauan Wakil Blog ini malam ahad lalu terdapat kira-kira empat pasangan yang sedang berdua-dua samada di bahagian atas atau bawah air terjun ini.

Apa yang lebih membimbangkan ialah di bahagian atas air terjun ini gelap tidak mempunyai lampu yang lebih sesuai untuk mereka ini melakukan maksiat. Selain itu terdapat juga muda-mudi yang melakukan maksiat di dalam kereta di bahagian bawah air terjun ini.

Menurut wakil kami dalam tinjauannya itu terdapat sepasang muda-mudi yang terkejut dengan kedatangan beliau dan secepat kilat bingkas bangun dan membetulkan zip seluarnya. Ini merupakan kes yang amat memalukan lebih-lebih muda-mudi tersebut adalah Orang Melayu Islam.

Sementara itu, Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat Aman meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) supaya selalu membuat rondaan di sini bagi mencegah perbuatan maksiat terus berlaku.

"Kita masih ingat sewaktu pembinaan air terjun ini, kita telah beri amaran kepada kerajaan negeri bahawa pembinaan air terjun ini akan mengundang maksiat selain ianya jelas membazirkan wang rakyat. Nah sekarang perkara telah menjadi kenyataan" jelas Hj Salamat lagi.


PERTAHANKAN KEDUDUKAN AGAMA DALAM PERLEMBAGAAN




Pemimpin Kumpulan Lahanat Artikel 11 berusahan untuk membuang kedudukan istimew Agama Islam.

KUALA LUMPUR 24 Julai – Sebuah forum hari ini meminta umat Islam mempertahankan kedudukan istimewa agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menentang sebarang usaha pihak tertentu untuk menggugat kedudukan itu atas nama demokrasi atau platform yang lain.

Ini merupakan antara resolusi yang dicapai pada forum itu - ‘Syariah dan Cabaran Semasa’ - anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pengerusi Mesyuarat Pembela, yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad berkata satu memorandum hasil resolusi forum itu akan disediakan oleh Pembela, yang dianggotai lebih 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengenai beberapa perkara yang menggugat kestabilan umat Islam di Malaysia pada masa kini.

Memorandum itu akan diserahkan kepada Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta pemimpin kerajaan negeri yang beragama Islam, katanya kepada pemberita selepas forum itu yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Katanya antara perkara yang akan dikemukakan ialah meminta kerajaan tidak berkompromi terhadap perbuatan mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi umat Islam supaya murtad.

Mereka juga meminta agar semua kes murtad yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dirujuk kepada Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Yusri berkata memorandum itu tidak menyentuh sama sekali mengenai hak dan kekebasan bangsa lain menjalankan kegiatan agama masing-masing tetapi hanya menyentuh hak agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Forum hari ini turut mengingatkan umat Islam supaya sedar mengenai ancaman yang cuba menggugat kedudukan orang Melayu serta agama Islam sebagai agama rasmi negara, katanya.

“Justeru itu, kedudukan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah hendaklah dipertahankan, kita tidak mahu mana-mana pihak cuba mengganggu gugat kedudukan mahkamah itu,” katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59