Friday, 21 July 2006

BERANIKAH HISHAM DAN KHAIRY GESA PAK LAH HALANG KEHADIRAN CONDOLEEZA RICE KE MALAYSIA MINGGU DEPAN?


KUALA LUMPUR, 21 Julai - Keberanian Hishamuddin dan Khairy yang nampaknya bersungguh-sungguh mengambil inisiatif untuk mengutuk serangan Israel ke atas Lebanon dan Palestin akan teruji sehari dua ini.

Apakah kedua-dua pemimpin Pemuda Umno itu berani menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleeza Rice dari memijak bumi Malaysia minggu hadapan. Apakah Hishamuddin dan Khairy redha dengan keangkuhan Condoleeza Rice dan Amerika yang mempertahankan serangan negara sekutunya Israel ke atas penduduk Lubnan dan Palestin sejak sembilan hari lalu.

"Kita nak lihat adakah kedua-dua mereka anak jantan atau sekadar layak menjadi AJK Puteri Umno sahaja. Kalau mereka tak berani maka sahlah mereka lebih baik tukar jantina dan memohon menjadi ahli Puteri Umno" tegas Khairuddin Ismail Setiausaha DPP Kawasan Bukit Katil pagi ini.

Khairuddin dalam kenyataanya itu juga menggesa Imam Al Badawu selaku Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menghalang kehadiran Condoleeza yang dijadualkan pada minggu hadapan demi maruah Islam itu sendiri.

"Umat Islam di Malaysia tidak mengizinkan Condoleeza Rice untuk memijak bumi kita. Tangannya terpalit dengan kekejaman dan darah umat Islam di serata dunia. Rice juga terlibat dengan mengizinkan kekejaman yang dilakukan Israel ke atas rakyat Lubnan dan Palestin," katanya.

Sebagai langkah pertama, Abdullah perlu bertindak menghalang Condoleeza bagi menunjukkan pendirian umat Islam dan negara Islam dalam isu kekejaman Israel itu, katanya.

Sementara itu perhimpunan aman membantah kekejaman Yahudi di Masjid Kampung Baru dekat sini hari ini dihadiri kira-kira 500 peserta yang mengecam tindakan kejam Israel membunuh rakyat Lubnan dan Palestin.

Antara pimpinan PAS yang hadir ialah, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Kamaruzzaman Mohammad.

Akhbar harian melaporkan, tentera Israel terus memperhebatkan serangan di bumi Lebanon termasuk melalui jalan darat dan menggugurkan bertan-tan bom hingga meragut lebih 70 nyawa (jumlah tertinggi dalam tempoh sembilan hari pencerobohan rejim itu).

Serangan bertali arus tentera Israel yang dilengkapkan dengan senjata canggih menyebabkan lebih 300 rakyat Lubnan, kanak-kanak, wanita, golongan tua dan pejuang terkorban setakat ini.

Di sebelah Israel pula, 29 termasuk 15 penduduk awam terbunuh terkena serangan roket pejuang Hizbullah.

Hampir satu pertiga daripada mangsa (penduduk Lubnan) yang terkorban akibat konflik di Lubnan ialah golongan kanak-kanak. Lebih menyedihkan, mangsa-mangsa yang cedera pula gagal diberi rawatan kerana kebanyakan laluan dan jambatan telah rosak diserang jet-jet Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera marin Amerika menjejakkan kaki ke bumi Lebanon semalam buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun.

Walaupun alasan Aemrika ialah untuk mengeluarkan rakyatnya dari negara itu, namun kehadiran tentera George W. Bush itu menimbulkan persoalan kemungkinan ia akan membantu tentera Yahudi menyerang habis-habisan pejuang Hizbullah.

Ini kerana, Amerika sendiri telah memberi kebenaran kepada Israel melancarkan serangan ke atas sasaran Hizbullah untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Hari ini sahaja, bertan-tan bom dimuntahkan ke bumi Lubnan melalui kereta kebal dan jet-jet pejuang?senjata canggih yang tidak dimiliki negara malang itu.

Terdahulu semalam, akhbar harian turut melaporkan Amerika memberi keizinan kepada tindakan kejam Israel membedil seluruh bumi Lubnan.Kenyataan itu dikecam pelbagai pertubuhan Islam dan masyarakat dunia


ABDULLAH YOU'RE FIRE?


HANYA SEKADAR GURAUAN. GAMBAR INI DIPETIK DARI HARAKAHDAILY YANG MENUNJUKKAN GAMBAR JUTAWAN AMERIKA DONALD TRUMP YANG TERKENAL DENGAN KATA-KATANYA 'YOU'RE FIRE' DALAM RANCANGAN THE APPRENTICE. PERSOALANNYA SIAPAKAH YANG BERANI MENYATAKAN UNGKAPAN DI ATAS "PAK LAH YOU'RE FIRE".


BERITA MELAKA : DURIAN RUNTUH UNTUK KRONI DAN KAKI AMPU DI MELAKA?


AYER KEROH, 21 Julai : Melaka menerima lapan projek pembangunan baru untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, projek tersebut merupakan antara 880 projek pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang bernilai RM15 bilion dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang terdekat ini.

“Antara yang termasuk dalam projek tersebut adalah projek bagi jalan raya daripada Peringgit menghala ke Lapangan Terbang Baru Berendam dan Politeknik Merlimau dan Kota,” katanya kepada pemberita sejurus selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), di pejabatnya baru-baru ini.

Mohd Ali menambah, kerajaan negeri bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan pada bila-bila masa bagi menggerakkan lagi ekonomi negeri dengan kadar yang segera.

Menurutnya lagi, pelaksanaan tersebut membuktikan kesungguhan PM untuk membantu dan membangunkan Melaka selaras dengan apa yang telah dinyatakan semasa dalam lawatannya baru-baru ini.

“Dengan adanya projek-projek baru seperti ini, ianya akan memberikan satu peluang yang baik khususnya kepada para kontraktor di negeri ini untuk mendapatkan projek-projek tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dengan peruntukan yang besar itu, beliau yakin pembangunan akan dapat dilaksanakan apatah lagi ianya dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.

Di Melaka, Projek Program Pengurusan (PPM) telahpun ditubuhkan bertujuan menjadi sebuah badan yang memantau perjalanan pengurusan bagi sesuatu projek.

Umum sudah mengetahui bahawa, hanya kontraktor melayu yang mempunyai hubungan dengan Umno sahaja yang berpeluang untuk mendapat projek-projek tersebut. Bagi kontraktor lain yang menyokong atau simpati pembangkang jangan bermimpi untuk menikmatinya. Ini adalah beberapa bentuk kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang sering di amalkan oleh kerajaan Islam Hadhari Melaka di bawah kepimpinan Ali Rustam atau nama manjanya Ali Ketam.


BERITA MELAKA : BEKALAN IKAN KURANG DI PASARAN


MELAKA 21 JULAI : Bekalan ikan di negeri ini berkurangan sejak sebulan lalu dan sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga ikan di pasar besar Melaka Sentral di sini.

Kekurangan bekalan ikan ini juga turut menjejaskan pengguna kerana harga sudah pasti melambung tinggi.

Seorang pelanggan di Pasar Borong Batu Berendam, Saleh Osman, 50, berkata, beliau terpaksa berbelanja lebih sedikit sekarang kerana harga ikan meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan wartawan sebuah akhbar harian mendapati kebanyakan penjual ikan merungut mengenai kurangnya pelanggan akibat harga ikan yang mahal.

Penjual ikan, Mahadi Mohamad, 28, berkata, pendapatannya terjejas disebabkan ramai pelanggan yang takut berbelanja selepas mendapati harga ikan mahal.

“Kalau dulu ikan selar kuning dijual pada harga RM3 lebih sekilo tetapi sekarang langsung tidak boleh kerana modal untuk mendapatkan ikan terbabit sudah menjangkau lebih RM5 sekilo dan sudah pasti kami kena jual lebih daripada harga berkenaan.

“Jika harga ikan mahal, pengguna sendiri boleh buat keputusan sama ada nak beli atau tidak...yang teruk kami sebagai penjual kerana sampai tengah hari pun ikan masih banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan peniaga yang ditemui di pasar terbabit mendakwa tindakan kebanyakan pasar raya besar menjual ikan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan terutama mereka yang bekerja di pejabat.

Menurut mereka, sebelum wujudnya pasar raya besar, mereka tidak menghadapi persaingan meskipun ada kalanya jumlah bekalan ikan berkurangan.

Penjual ikan, Ismail Hasan, 45, mendakwa kurang pasti punca kekurangan ikan di negeri ini tetapi apa yang diketahui adalah kebanyakan penjual ikan tidak berapa berminat membeli ikan yang diimport dari beberapa negara seperti Thailand dan India disebabkan ikan yang diimport itu mudah rosak.

Setakat tindakan yang sewajarnya belum di ambil oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini. Kerajaan negeri melalui exco penggunanya juga tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikan masalah ini walaupun ianya telah berlanjutan hampir sebulan.


ALAT PENGESAN MALAYSIA GAGAL KESAN TSUNAMI. WANG RAKYAT DIBAZIRKAN?


KUALA LUMPUR 21 JULAI : Walaupun Malaysia berbelanja besar untuk memasang sistem amaran gempa bumi untuk mengesan Tsunami namun ianya gagal mengesan gempa yang mengakibat Tsunami di Pulau Jawa beberapa hari lalu. Pelbagai pihak mula mempertikaikan keupayaan dan keberkesanan alat tersebut.

“Negara berbelanja besar untuk memasang alat tersebut tetapi nampaknya ia langsung tidak berkesan. Ini sudah tentu akan membahayakan rakyat kita yang tinggal di pesisir pantai” tegas Hj Salamat Aman Ketua DPP Kawasan Bukit Katil.

“Wang rakyat telah dihabiskan untuk membeli dan memasang alat tersebut tetapi ianya tidak berkesan. Tidakkan ianya membazirkan wang rakyat” tambah beliau.

"Kuasa Allah mengatasi segala-galanya, walaupun secanggih manapun alat yang diguna, namun alat ciptaan manusia gagal menandingi ketentuan Allah. Janganlah pula manusia hendak mendabik dada bahawa mereka dapat mengesan apa sahaj dengan alat ciptaan mereka" tegas Hj Salamat.

Semalam, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Kong Cho Ha berkata sistem amaran gempa bumi kebangsaan yang dipasang di Laut China Selatan dan Laut Andaman tidak dapat mengesan tanda-tanda berlakunya gempa bumi Isnin lepas kerana jaraknya terlalu jauh dari pusat gempa.

"Pulau Jawa sendiri menyekat gelombang gempa bumi menyebabkan sistem amaran itu gagal mencatatkan sebarang bacaan gempa bumi atau gelombang tsunami. Itu sebab amaran tidak dikeluarkan kepada orang ramai.

"Jabatan Kajicuaca bagaimanapun menerima maklumat daripada Pusat Tsunami Pasifik di Hawai mengenai kejadian itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SnT Global Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia penyumberan luar dan Reader's Digest Asia Ltd, di sini semalam.

Gempa bumi bawah laut melanda Jawa Barat pada Isnin lepas dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 500 orang dan 300 lagi hilang dalam gelombang setinggi antara 1.5 meter dan tiga meter itu.

Amaran tsunami dikeluarkan di sebahagian Indonesia dan Australia namun laporan itu tidak sampai kepada penduduk tempatan memandangkan sistem amaran awal tidak dipasang di kawasan berkenaan.


ORANG MELAYU MELAKA JAUH TERKEBELAKANG


AYER KEROH 21 JULAI : Di saat kerajaan Islam Hadhari Melaka mendakwa kononnya Melaka sudah hampir menjadi menjadi negeri maju menjelang 2010 rupa-rupanya orang melayu masih jauh ketinggalan dari kaum lain.

Kerajaan negeri mengakui bahawa Tahap kemiskinan di kalangan Bumiputera di Melaka adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina manakala kaum India tahap kemiskinannya tiga kali ganda lebih rendah berbanding Bumiputera.

Ketua Menteri, Ali Rustam atau lebih mesra dengan nama cembongan 'Ali Ketam' berkata kadar kemiskinan Bumiputera Melaka pada masa sekarang adalah 1.9 peratus, berbanding Cina 0.6 peratus dan India 5.7 peratus. beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja `Memperkasakan Melayu Menjelang 2010' pada Konvensyen Agenda Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pendapatan seisi rumah bagi golongan Bumiputera pula RM2,593 berbanding Cina RM3,163, manakala India (RM2,864). Angka ini amat memalukan kerana orang melayu tertinggal kebelakang sekali. Golongan kaya di kalangan orang melayu hanya segilintir iaitu kroni-kroni Umno dan orang-orang kanan mereka sahaja kerana kekayaan dan projek-projek perniagaan hanya diagihkan dikalangan kroni-kroni mereka sahaja.

Dalam sektor ekonomi terdapat beberapa bidang yang mana pembabitan Bumiputra kurang daripada 30 peratus.Bagi bidang jualan borong pembabitan Bumiputera hanyalah 17.9 peratus, pembuatan (17.4 peratus) dan perusahaan hotel serta chalet (29 peratus).

Ali juga berkata, walaupun penyertaan Bumiputera Melaka di bidang pertanian, penternakan dan perikanan adalah 56.3 peratus, namun pencapaian beberapa subsektor masih kecil seperti tapak semaian, kebun bunga, pasu bunga dan baja (19 peratus); hasil tani, hasil kampung dan lain-lain hasil pertanian (23.1 peratus) serta ternakan ayam itik (8.5 peratus).

Selagi sifat tamak, rasuah, penyelewengan kuasa dan amalan kronisme serta nepotisme tidak dihapuskan oleh di kalangan pemimpin Umno maka sudah pasti hasrat untuk meningkatkan taraf ekonomi orang melayu akan gagal sepertimana gagalnya DEB.

Kerajaan Melaka dan agensi-agensinya memang terkenal dengan amalan diskriminasi terhadap penyokong dan ahli parti pembangkang di mana mereka ini tidak mungkin mendapat projek atau peluang perniagaan sekiranya diketahui menyokong pembangkang. Inilah dasar 'apartheid' yang di amalkan sejak sekian lama yang akhirnya menyebabkan orang melayu tertinggal ke belakang.

"Apa maknanya kemajuan dan pembangunan kalau kampung sendiri tergadai dan orang melayu semakin susah. Hanya melihat kemajuan dan kekayaan di kecapi bangsa lain" demikian komen Setiausaha DPP Kawasan Bukit Katil, Khairuddin Ismail ketika di minta memberi komen terhadap isu ini.

"Lihat sahaja kawasan perumahan. Siapa yang mendiami rumah yang harganya RM180,000 keatas. Cuma segilintir sahaja orang melayu yang mampu membelinya, yang lain semuanya kaum lain yang beli"

Kita mengharapkan kerajaan negeri jangan hanya mendabik dada Melaka maju 2010 tetapi orang melayu terpinggir dan merempat di negeri sendiri.


MAKLUMAT ISLAM SERATA DUNIA : KMF PEMACU ISLAM DI KOREA SELATAN


WALAUPUN Islam merupakan agama yang dianuti oleh golongan minoriti di Korea Selatan tetapi syiarnya semakin berkembang pesat saban tahun. Perkembangan syiar Islam di negara dengan populasi 48 juta dan berjiran dengan Korea Utara itu banyak dibantu oleh Persekutuan Korea Muslim (KMF) yang ditubuhkan sejak lebih sedekad lalu.

KMF yang berpusat di Masjid Sentral, Seoul misalnya menyediakan khidmat membekalkan daging lembu, kambing dan ayam untuk diedarkan di restoran-restoran yang menyajikan hidangan halal seluruh Korea Selatan. Kebanyakan daging lembu serta kambing yang dibekalkan oleh KMF diimport dari New Zealand dan Australia.

Masjid Sentral yang dibina pada tahun 1976 itu juga menyediakan pelbagai aktiviti fardu kifayah untuk umat Islam setempat.

Penolong Setiausaha Besar KMF, Ahmad Cho Min-Haeng, 38, berkata, pelbagai usaha dilakukan demi memenuhi perkembangan Islam yang semakin pesat di sana sejak akhir-akhir ini.

“Di Masjid Sentral, kami juga menubuhkan Prince Sultan Islamic School iaitu madrasah yang menyediakan pengajian al-Quran, belajar bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Walaupun ia bukan sekolah rasmi tetapi kami menyediakan empat guru untuk mengajar di madrasah yang mempunyai lebih 20 murid itu.

“Jumlah itu semakin meningkat apabila semakin ramai ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sini,” katanya sewaktu ditemui di Masjid Sentral, Seoul baru-baru ini.

Ahmad Cho yang memeluk Islam sejak 16 tahun lalu berkata, kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di situ adalah pelajar Islam berketurunan Korea yang tinggal berdekatan sekolah tersebut.

Menurutnya, perkembangan Islam dapat dilihat apabila setiap tahun tidak kurang 100 penduduk tempatan Korea Selatan menganut Islam melalui program yang diatur oleh KMF.

“Setiap Jumaat Masjid Sentral mampu menampung 700 hingga 1,000 jemaah dan ini termasuk rakyat asing yang bekerja atau belajar sekitar Seoul. Malah, ramai orang Korea terutamanya golongan muda yang datang ke Masjid Sentral melalui KMF untuk mengetahui tentang Islam,” ujarnya.

Kata Ahmad Cho, Masjid Sentral yang diketuai oleh imamnya, Sheikh Sulaiman Lee dan imam keduanya, Abdul Rahman Lee juga menjadi medan pertemuan umat Islam yang berkunjung ke Seoul.

Tambah beliau, KMF amat mengalu-alukan kunjungan umat Islam dari luar negara ke Masjid Sentral dan Prince Sultan Islamic School bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka.

Selain Masjid Sentral serta Prince Sultan Islamic School yang banyak dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi terdapat lapan lagi masjid di seluruh Korea Selatan, antaranya di Busan dan Kwangju.

“Setakat ini bilangan umat Islam di Korea Selatan ialah kira-kira 35,000 manakala 100,000 lagi merupakan orang Islam dari luar negara yang menetap di sini.

“Mereka kebanyakannya berasal dari India, Pakistan, Arab Saudi, Indonesia, Malaysia dan Brunei,” kata Ahmad Cho yang sebelum ini merupakan penganut Kristian.

Seperti pertubuhan Islam lain, KMF juga tidak ketinggalan menghadapi cabarannya yang tersendiri bagi mengembangkan lagi syiar Islam.

Antaranya menambah dana KMF bagi meneruskan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pertubuhan Islam terbesar di Korea Selatan itu.

“Kami tidak mempunyai dana yang besar untuk menampung segala aktiviti yang kami jalankan. Antara lain, kami juga merancang mahu menubuhkan sebuah tadika Islam.

“Kami harap dengan adanya taman asuhan kanak-kanak itu, pendidikan Islam dapat disemai dan diajar sejak kecil,” ujarnya lagi.

KMF dan Masjid Sentral sering menjadi tumpuan pelancong asing yang melawat Seoul apatah lagi jika ia mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pelancongan Korea (KTO).

KTO biasanya akan berhubung terus dengan KMF bagi mendapatkan nasihat dan bekalan makanan halal bagi keperluan para pelancong muslim.


DEMO BANTAH KEKEJAMAN ISRAEL DI SELURUH NEGARA HARI INI


MELAKA 21 Julai – Satu perhimpunan raksasa anti-Israel akan diadakan di seluruh negara selepas solat Jumaat hari ini. Demo ini adalah bertujuan bagi menyatakan bantahan terhadap rejim Zionis yang menceroboh dan menyerang Lebanon dan Palestin.

Dewan Pemuda Pas Pusat juga akan turut mengadakan perhimpunan yang sama di seluruh negara.

Ketuanya, Salahudin Ayub berkata, di Kuala Lumpur, perhimpunan akan diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru pada waktu yang sama.

Katanya, Pemuda Pas juga telah meminta ahli-ahlinya di seluruh negara mengadakan perhimpunan yang sama.

Di Pahang, Badan Perhubungan PAS negeri mengumumkan demo yang sama akan di adakan di Perkarangan Masjid Negeri di Kuantan. Sebelum pada jam 4.00 pagi hari ini seluruh ahli dan umat Islam telah menunaikan qiamullail dan solat hajat di Masjid Al Fatah Kuantan untuk memohon agar Allah S.W.T menyelamatkan umat Islam dan menjahanamkan Israel.

Minggu lepas Dewan Pemuda PAS telah menganjurkan demo yang sama bermula di Masjid KLCC selepas solat Jumaat dan berakhir dengan penyerahan memo bantahan kepada Duta Amerika di kedutaan negara tersebut.

Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno akan mengadakan Perhimpunan yang sama di Masjid KLCC selepas solat Jumaat.

Perhimpunan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO itu dijangka berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak sebagai membantah tindakan kuasa besar itu memberi ‘lampu hijau’ kepada Israel melakukan keganasan berkenaan.

Ini merupakan demo pertama yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno setelah Israel melancarkan serangan menggila ke atas Lebanon dan Palestin sejak sembilan hari lalu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59