Tuesday, 18 July 2006

SUDAH ADA SUARA-SUARA DARI DALAM Umno YANG MAHU ANWAR KEMBALI KEPADA Umno


SEBERANG JAYA 18 JULAI : Sudah ada suara-suara dari dalam Umno yang mencadangkan supaya Anwar Ibrahim kembali menyertai Umno.

Mesyuarat Agung Umno Cawangan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri, Jalan Tuna di sini, 2 Julai lalu, sebulat suara meluluskan usul mendesak pimpinan parti itu menerima semula bekas Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha itu antara lain di dakwa bertujuan memantapkan semula perjuangan parti itu, demi kepentingan bangsa Melayu dan masa depan negara.Menurut pembentang usul, Ismail Mohamad, 56, hanya gandingan Anwar dan Abdullah Ahmad Badawi mampu merealisasikan impian tersebut.

“Kita gesa Majlis Tertinggi (MT) Umno membatalkan semula keputusan memecat Pak Syeikh (Anwar) pada 2 September 1998 lalu,” jelasnya yang lebih dikenali sebagai Ismail Sulong.

Menurut Ismail, beliau akan membawa usul tersebut sebagai usul tergempar pada mesyuarat Agung bahagian, pada bulan depan.

Ini bagi mengelakkan usul itu ditolak pihak tertentu di peringkat jawatankuasa usul, sekiranya ia dijadikan usul cawangan.

Menjawab soalan, usulnya mungkin tidak mendapat sokongan, Ismail berkata beliau mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan usul itu berjaya.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin agar usul itu diterima sebulat suara, kerana Pak Syeikh masih mendapat sokongan akar umbi.

“Ini kita hendak bawa sebutir berlian kembali kepada Umno, mengapa tidak mahu. Kalau pemimpin komunis pun kerajaan boleh maafkan, mengapa tidak kepada Pak Syeikh?

“Lagipun Umno tidak pernah bersalah terhadap Pak Syeikh, yang bersalah hanyalah pemimpin yang memecatnya, lebih-lebih lagi dia tidak pernah meninggalkan Umno.” jelasnya kepada Malaysia Today.

Tambahan pula, katanya Anwar juga tidak pernah memusuhi ahli-ahli Umno atas pemecatannya itu.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan Pak Syeikh, saya ikuti ceramah-ceramahnya, saya tonton vcd ceramahnya,

“Yang menjadi musuh Pak Syeikh ialah pemimpin Umno yang korup dan menindas rakyat, bukannya ahli-ahli biasa Umno,” tegasnya bersemangat.

“Tidak ada pemimpin Umno yang ‘berkelulusan’ macam Pak Syeikh, enam tahun dalam penjara. Saya menganggap dia melanjutkan pelajaran, semangat dia lebih kuat, saya yakin dia akan menjadi pemimpin negara yang lebih hebat daripada yang lalu.

“Saya harap Pak Syeikh pertimbanglah sedalam-dalamnya untuk kembali ke pangkuan Umno,” ujarnya.

Apakah Anwar akan sekali lagi membuat kejutan setelah membuat kejutan pada 1982 apabila mengumumkan kemasukannya ke dalam Umno kerana tertarik dengan tipu helah Dr. Mahathir.

Pada waktu itu beliau tidak mengendahkan nasihat sesetengah sahabatnya di dalam ABIM yang melarang beliau dari menyertai Umno. Akhirnya beliau ditendang dari Umno umpama kucing kurap.

Apakah beliau sekali lagi mengorbankan prinsipnya yang sering di laung-laungkan selepas pembebasan beliau dari hukuman salah guna kuasa dan liwat.

SAMA-SAMA KITA TUNGGU DAN LIHAT


PAS JOHOR BANTAH FORUM ARTIKEL 11 DI JOHOR BAHARU 22 JULAI


JOHOR BAHRU 18 JULAI : PAS negeri Johor dan Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu meminta polis dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) membatalkan penganjuran forum awam bagi membincangkan perkara mengenai Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini pada 22 Julai.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor Mazlan Aliman berkata pihaknya akan membuat laporan polis esok meminta pihak berkuasa membatalkan penganjuran forum awam tersebut.

Menurutnya, penganjuran forum Artikel 11 itu perlu dibatalkan kerana ia mempunyai agenda tersirat untuk memburuk-burukkan agama Islam dan meletakkan Undang-undang Syariah di bawah Undang-undang Sivil.

"Tindakan membuat laporan polis serta kepada Jabatan Agama Islam Johor itu merupakan suatu tindakan diplomasi dari pihak kita. Jika penganjur masih enggan membatalkannya, kita beri amaran, akan bertindak lebih agresif," katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu Khalid Mohamad berkata penganjuran forum yang bertujuan membincangkan perkara-perkara yang sensitif kepada umat Islam diperlu dihalang kerana ia berpotensi menimbulkan kekacauan.

"Kami minta polis Johor memantau penganjuran forum tersebut. Umat Islam dalam negeri merasa tercabar dengan penganjuran forum ini, yang mempunyai niat buruk terhadap agama dan umat Islam. Kami bantah sekeras-kerasnya penganjuran forum itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno Johor turut menggambarkan kumpulan penganjur forum tersebut sebagai "pelampau" dan meminta agar polis tidak mengeluarkan permit penganjuran forum yang dijadualkan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 tengah hari, 22 Julai itu.

Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada hak kebebasan setiap orang untuk beragama, dan antara yang dijangka berucap pada forum bertajuk 'Federal Constitution - Protection For All' (Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan buat Semua) itu termasuk Prof Shad Salem Faruqi dan Malik Imtiaz Sarwar.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JAIJ Yosree Ikhsan yang dihubungi pula berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang penganjuran forum kontroversi itu.

"Jika kita terima aduan rasmi dari mana-mana pihak, JAIJ akan menyiasatnya," katanya


GANGGUAN BEKALAN AIR DI MELAKA


MELAKA, 18 Julai : Kerja-kerja pengalihan paip bagi projek pelebaran Jalan Melaka-Muar akan dilakukan dan akan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di seluruh negeri ini pada Rabu ini (19 Julai).

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Bhd. (SAMB), Ir Baharam Mohamad berkata, selain pengalihan paip, kerja-kerja penyambungan paip baru, mencuci kolam air, penukaran dan penyelenggaraan transformer baru di loji utama akan dilakukan bagi kemudahan orang ramai.

“Ganguan bekalan tersebut berlaku selama 18 jam bermula jam 9 pagi pada 19 Julai sehingga 3 pagi 20 Julai dan pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air bagi keperluan hari berkenaan,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, Daerah Melaka Tengah yang akan mengalami gangguan bekalan air meliputi Banda Hilir, Taman Melaka Raya, seluruh kawasan Padang Temu, Taman Seri Ujong Pasir, Hilir Garden, Taman Nam Yang, Portuguese Settlement, seluruh Ujong Pasir, Pulau Gadong, Bertam Perdana, Gaung Piring, Jalan Pulau Gadong, Taman Bertam Perdana, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Cubic Sdn. Bhd., Kampung Padang, Pokok Mangga, Jalan Merak Mas 1, Bukit Baru, MITC dan Tanjung Kling.

Menurutnya lagi, kawasan lain yang terlibat adalah IPP Powertek, Tangga Batu, Bukit Rambai, Tanjung Minyak, Cheng, Krubong, Taman Masa Merdeka, seluruh Batu Berendam, kawasan Perindustrian Krubong dan Cheng, CTRM Batu Berendam, Bukit Lintang, Pernu, Telok Mas, Ayer Keroh dan kawasan perindustrian Ayer Keroh, Bukit Katil, Bukit Beruang, Ayer Molek, Tiang Dua, Ujong Pasir dan Padang Temu.

Baharam menambah, bagi Daerah Alor Gajah pula, kawasan yang terlibat adalah Ramuan China, Rumbia, Taman Garuda, Taman Mekar, Taman Seri Bayan, Kg Gangsa, Kg Padang Keladi, Tmn Kenari, Tmn Desa Idaman, Tmn Tunggal, Kg Bukit Balai, Trak Centre, Pantai Belimbing, Parit Melana, Belimbing Dalam, Kampung Pulau, BKT Tambun, Machap Baru, Machap Air Pasir, Kampung Panchor, Kompleks Budaya, Hotel Seri Malaysia, Puteri Resort, INB Resort, Kolej Yayasan Saad dan KASTAM Malaysia.

“Kawasan lain yang terlibat di Daerah Alor Gajah adalah Taman Rama-Rama, Sungai Jernih, Pekan Lubok China, Felcra Ramuan Kecil, Tmn Datok Setia, Solok Jeram, Bakar Batu, Rumah Rehat Pancho (highway), Rumah awam Sungai Petai, Solok Mentangau, IKS Kelemak, Jalan Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Kampung Hailam, Kampung Sungai Tuang, Kampung Telok Gong, Solok Pak Rimau, Taman Pengkalan Balak, Taman Paya Mengkuang, Taman Bidara Jaya, Ayer Hitam Pantai, Ayer Hitam Darat, Ayer Hitam Hulu, Pasir Gembur, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Ayer Molek PLKN Warisan, IKBN, Kampung Durian Daun, Hospital Terendak, kawasan Industri Pengkalan Balak, Matrikulasi Londang, Rumah Awam Lubok Redan dan Bukit Hantu.

Katanya lagi, Daerah Jasin pula melibatkan seluruh kawasan Jus, Batang Melaka, Bukit Hilir, On Lok, Kuala Sungga, Tebong, Bkt Putus, Kampung Bukit Senggeh, sebahagian Gapis, Jalan Selandar, Bukit Senggeh, Bukit Sedanan, seluruh kawasan Selandar, Felda Air Kangkong, Kemendor, Taman Seri Kemendor, Kampung Seri Kesang, Taman Muhibbah, Taman Harmoni Sekolah Dang Anum, Jalan Pengkalan Samak, Permatang Serai, Serkam Pantai, Tedong Pantai, Pulai Pantai, Kampung Seri Minyak, Umbai, Bukit Tembakau, Merlimau Pasir, Jalan Batu Gajah, Parit Sialang, Parit Penghulu Benteng, Parit Putat, Rumah Awam Sungai Rambai dan Parit Putat Jaya.

“Bekalan akan pulih secara beransur-ansur dan dijangka kawasan tinggi akan mendapat bekalan semula lewat sedikit dari jadual, “ ujarnya.

Jelasnya lagi, kesulitan amat dikesali dan kerjasama daripada semua pihak diucapkan terima kasih.


MENTERI DAH BERTUKAR TANGAN TETAPI DISKRIMINASI TERHADAP MAHASISWA MASIH TIDAK BERUBAH


Nampaknya harapan untuk kita melihat perubahan terhadap universiti masih samar-samar dengan kejadian yang berlaku di UPM beberapa hari lepas. Dalam kejadian tersebut aktiviti sebuah pertubuhan mahasiswa UPM, Gerakan Mahasiswa Maju Universiti Putra Malaysia (UPM)telah diganggu.

Walaupun Menteri Pengajian Tinggi telah bertukar tangan dari Shafei Salleh kepada Stopa Mamat namun 'perangai' mereka berdua ini tetap sama kerana kedua-duanya menganut ajaran Islam Hadhari yang takut kepada bayang-bayang sendiri dan tidak mengamalkan demokrasi sebenar.

Baru-baru ini Stopa mengumumkan untuk mengubah AUKU tetapi besar kemungkinan perubahan itu dilakukan hanyalah untuk mengukuhkan cengkaman kepada mahasiswa dan kakitangan universiti.

Sebuah akhbar internet telah melaporkan bahawa Gerakan Mahasiswa Maju Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pentadbir universiti berkenaan menghentikan perbuatan menindas mahasiswa selari dengan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“ Pentabir UPM perlu mengembalikan kebebasan menjalankan aktiviti kepada mahasiswa. Baru-baru ini Kementerian Pangajian Tinggi mahu meminda Auku agar mahasiswa mempunyai lebih kebebasan bersuara dan berpersatuan.”

“Malangnya kebelakangan ini berlaku banyak kes penindasan aktiviti mahasiswa yang tidak mnunasabah di kebanyakan IPTA,” kata penyelaras GMM UPM, Ooi Tze Min.

Beliau memberi contoh kejadian terbaru di UPM pada minggu orentasi pelajar baru pada minggu lalu.

Menurut Ooi ahli-ahli GMM yang membuka kaunter untuk membantu para pelajar baru pada 11 Julai lalu telah diganggu dan dikasari oleh pengawal keselamatan universiti tersebut.

Katanya, pada kira-kira 8 malam hari berkenaan kaunter GMM di kafe Kolej Ke-12 UPM telah dihalang dan dikasari oleh pengawal keselamatan berkenaan dari menjalankan aktiviti menyambut dan membantu para pelajar baru.

Ahli-ahli GMM juga diganggu oleh sekumpulan ahli jawatankuasa kolej yang mengepung dan menghalau mereka dari kafeteria itu.

Ooi berkata, tindakan kasar pengawal keselamatan dan ahli jawatankuasa kolej itu amat dikesali.

“ Sepatutnya pegawai keselamatan UPM memberikan perlindungan kepada mahasiswa tetapi mereka bertindak sebaliknya,”ujar beliau.

Katanya lagi, kewajiban pegawai keselamatan ialah melindungi mahasiswa serta tidak menyebelahi mana-mana pihak malangnya pihak universiti menggunakan pegawai keselamatan untuk menindas aktiviti mahasiswa.

“Pegawai keselamatan juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas ahli jawatankuasa kolej yang mengepung ahli-ahli GMM dan kami menganggap tindakan ini tidak profesional, tidak bertanggungjawab serta prejudis,” katanya.

Ooi berkata, tindakan tersebut telah mengakibatkan mahasiswa merasa terancam dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Serdang.

Sumber : Malaysiakini.


LIGA ARAB DAN OIC MASIH MEMBISU WALAUPUN SUDAH 180 ORANG UMAT ISLAM DIBUNUH KEJAM OLEH ISRAEL


BEIRUT 18 Julai – Walaupun sudah 180 orang umat Islam Palestin dan Lubnan dibunuh oleh Israel namun sehingga kini Liga Arab dan OIC masih tidak mengambil langkah-langkah drastik untuk menyelamatkan umat Islam di sana. Kita tidak faham apakah kedua-dua pemimpin pertubuhan ini buta ataupun pekak.

Lebih mendukacitakan pemimpin OIC iaitu Imam Al Badawi dari negara kita lebih sibuk dengan mesyuarat agung Umno Cawangan dan juga RMK9 sedangkan isu kedaulatan umat Islam ini lebih penting untuk ditangani segera. Inilah ajaran Islam Hadhari sebenarnya yang tidak mengendahkan keselamatan dan kedaulatan Islam.

Bukankah umat Islam yang dibunuh itu saudara kita dan bukankah tempat suci kedua Islam terletak di Baitulmaqdis. Apakah semua ini tidak termasuk dalam kamus Islam Hadhari atau mungkinkah Islam Hadhari hanya mementingkan pembangunan sahaja. Pembelaan kepada umat Islam dan kedaulatan Islam itu sendiri tiada dalam ajaran Islam Hadhari.

Israel dilaporkan meneruskan serangan buat hari keenam semalam dengan peluru berpandu Yahudi membedil sasaran dari utara ke selatan Lebanon, termasuk Lembah Bekaa dekat Syria, menyebabkan 35 orang terbunuh dalam serangan balas besar-besaran.

Rejim itu, yang bertindak ganas tanpa ‘bantahan’ sekutu-sekutu kuasa besar lain, juga dengan angkuh menolak sebarang usaha mencari penyelesaian.

Israel melancarkan serangan sepanjang hari ini selepas lapan rakyat Israel di Haifa maut akibat bedilan roket Hizbullah semalam.

Turut terkorban ialah tujuh rakyat Kanada, termasuk lima daripada satu keluarga yang mengunjungi kampung kelahiran mereka di Lebanon.

Komander Israel berkata, serangan enam hari yang telah membunuh sekurang-kurangnya 180 rakyat Lebanon itu boleh berterusan beberapa minggu atau bulan.

Jurucakap kerajaan Israel, Miri Eisen berkata, tentera menumpukan serangan terhadap pasukan pelancar roket Hizbullah.

Peluru berpandu Israel turut menggegarkan ibu negara Lebanon pagi ini, mengakibatkan dua orang maut di pelabuhan Beirut, sebuah tangki gas meletup di sebelah utara dan kawasan kediaman di selatan musnah.

Bagaimanapun Hizbullah membalas serangan itu dengan melancarkan roket yang mengenai sasaran lebih jauh di Israel.

Roket Katyusha mendarat di pekan Atlit, 10 kilometer ke selatan Haifa hari ini, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Berikutan serangan ke atas Haifa semalam, Israel menuduh Syria dan Iran membekalkan senjata canggih kepada Hizbullah.

Pegawai Israel berkata, roket-roket yang mengenai Haifa adalah lebih canggih, membawa bahan peledak lebih berat dan boleh mengenai sasaran lebih jauh berbanding ratusan roket yang telah menghujani utara Israel sebelum ini.

Oleh kerana khuatir keganasan boleh merebak menjadi tidak terkawal, para pemimpin Kumpulan Lapan (G8) di St. Petersburg, Rusia menghasilkan kerangka untuk menamatkan krisis itu.

Pemimpin G8 melahirkan kebimbangan mengenai kemalangan jiwa orang awam yang makin meningkat di kedua-dua pihak dan menggesa mereka menghentikan keganasan.

Tentera Lebanon setakat ini tidak turut serta dalam konflik yang meletus antara Hizbullah dengan Israel minggu lalu.

”Pada dasarnya tentera Israel tidak menjadikan askar Lebanon sebagai sasaran,” menurut seorang jurucakap tentera Israel.

Kedudukan yang dibedil di utara Lebanon itu terletak jauh dari Israel, di zon yang bukan menjadi medan operasi Hizbullah.

Bagaimanapun tentera Israel menyatakan pesawatnya menyerang stesen radar di sana kerana telah digunakan oleh Hizbullah untuk membedil sebuah kapal perang pada Jumaat lalu.

Kenyataan tentera Israel itu turut menuduh tentera Lebanon memberi bantuan kepada Hizbullah.

Dalam pada itu, Israel menentang penghantaran pasukan keselamatan antarabangsa ke Lebanon dalam usaha untuk menamatkan pertumpahan darah di rantau Asia Barat.

Pendirian Israel itu bertentangan dengan seruan yang dibuat oleh PBB dan Britain hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair telah menyeru agar pasukan tentera antarabangsa ditempatkan bagi membantu menghentikan pertempuran berterusan antara Israel dengan Hizbullah.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert bagaimanapun berpendapat kehadiran pasukan keselamatan antarabangsa tidak akan membantu meredakan situasi di Lebanon.

Beliau sebaliknya mahu tentera Lebanon mengambil alih kawalan terhadap kawasan sempadan Israel-Lebanon dan memaksa pergerakan Hizbullah melucutkan senjata.

Annan memberitahu, Majlis Keselamatan PBB akan mula membahaskan perjanjian terperinci hari ini mengenai penghantaran pasukan keselamatan antarabangsa ke Lebanon.

Annan selepas rundingan dengan Blair menyatakan beliau akan meneruskan rancangan itu sebagai perkara yang perlu disegerakan.

Blair dan Annan memberitahu wartawan mereka akan mempercepatkan perbincangan dengan anggota Majlis Keselamatan.

Dengan kehadiran Presiden China, Hu Jintao di St. Petersburg sebagai tetamu, kelima-lima anggota tetap Majlis Keselamatan hadir pada Sidang Kemuncak G8.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59