Friday, 14 July 2006

APA DAH JADI DENGAN VENDOR PROTON APM INDUSTRIES SDN BHD BUANG PEKERJA TANPA PAMPASAN


Tulisan ini dihantar oleh seorang pengunjung Blog ini kepada kami.

Saya merasa terpanggil untuk menulis apabila membaca berita yang disiarkan oleh Harakahdaily hari ini yang melaporkan bahawa APM Industries Sdn Bhd salah satu vendor Proton yang produknya 'wire harness' telah 'membuang' pekerja tanpa apa-apa pampasan. Untuk makluman semua wire harness adalah wayar lengkap sesebuah kereta. Ianya menghubung keseluruhan sistem elektronik serta lampu, tingkap, remote control dan lain-lain.

Suatu ketika dahulu APM adalah antara pengeluar wire harness Proton yang utama selain dari Delphi Packard Electric (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Terengganu. Kedua-dua syarikat seringkali bersaing untuk mendapat kontrak Proton. Saya pernah bekerja di Delphi suatu ketika dahulu.

Namun berita ini sebenarnya tidaklah mengejutkan saya kerana sebelum inipun kilang ini sering bertukat pihak pengurusan akibat prestasi turun naik mereka. Sudah banyak kali kilang ini bertukar tangan mungkin di sebabkan masalah inilah maka mereka tidak dapat bersaing dengan Delphi, Permintex dan sebagainya.

Apa yang dikesalkan ialah mengapa pihak pengurusan ini tidak memberi notis awal kepada pekerjanya kalau pun operasinya hendak diberhentikan terus. Saya sebenarnya mempunyai beberapa orang kawan yang bekerja di kilang tersebut. Nasib mereka tidak saya ketahui sehingga kini.

Saya mengharapkan pihak Dewan Pemuda PAS dapat membela mereka ini. Sekurangnya Dewan Pemuda dapat mengadukan hal ini kepada Jabatan Kerajaan yang berkenaan supaya nasib mereka ini dapat di bela.

Harakahdaily melaporkan bahawa Dewan Pemuda PAS negeri Perak telah mengadakan lawatan mengejut ke kilang APM Industries di kawasan Perindustrian Ringan jelapang dekat sini baru-baru ini apabila mendapat maklumat bahawa kilang berkenaan telah menutup operasinya secara mengejut mulai 1 Julai lalu.

Lawatan tersebut yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa dan Naibnya, Ustaz Mustaffa Wahab setelah menerima maklumat seramai 266 orang pekerja kilang itu telah diberhentikan tanpa notis beramai-ramai ekoran tindakan penutupan mengejut kilangnya yang telah wujud sejak 25 tahun lalu.

Ketika ini, walaupun kilang tersebut telah dua minggu ditutup tetapi para pekerjanya masih datang setiap hari bagi mengadakan bantahan di atas tindakan membuang para pekerja beramai-ramai tanpa sebarang notis dan pampasan sewajarnya mengikut undang-undang.

Mereka mendakwa bahawa ketika pengurusan awal ketika kilang tersebut beroperasi 25 tahun lalu segalanya berjalan lancar. Tetapi setelah dipegang oleh pengurusan baru maka timbullah pelbagai perkara dan kesulitan.

Mengikut undang-undang Buruh untuk memberhentikan para pekerja pihak pengurusan harus memberi notis dahulu dan menyediakan pampasan sewajarnya mengikut undang-undang Buruh.

Ex-Delphi


PENDAPATAN ALI RUSTAM RM37,010.27 SEBULAN?


AYER KEROH 14 JULAI: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, baru-baru ini mengeluarkan zakat pendapatan berjumlah RM11,103.14 kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, pada majlis penyerahan cek zakat perniagaan di Seri Negeri di sini. Berita ini disiarkan oleh Berita Hairan hari ini.

Zakat berkenaan adalah untuk pendapatan yang beliau peroleh sepanjang tahun lalu dan diserahkan sempena majlis penyerahan cek zakat perniagaan di Seri Negeri di sini.

Seperti yang kita sedia maklum zakat pendapatan yang wajib dikeluarkan sebanyak 2.5 % dari jumlah pendapatan setahun. Jika di kira, ini bermakna pendapatan tahunan beliau ialah RM444,125.60 setahun iaitu RM37,010.47 sebulan. Kita tidak tahu adakah pendapatan bulanan beliau ini semata-mata dataang dari gaji dan elaun bulanan beliau atau ianya dicampurkan sekali dengan pendapatan lain (jika ada, seperti perniagaan dan lain-lain). Andaikata jumlah pendapatan RM37,010.47 ini, hanya datang dari gaji dan elaun beliau, maka jumlahnya dikira amat besar. Sebagai elaun dan gaji Menteri Besar Kelantan tidak sampai sebanyak itu.

Jika sekiranya pendapatan itu datang dari gaji dan perniagaan maka timbul tandatanya kepada kita, bolehkah Ketua Menteri berniaga. Apakah perniagaan yang beliau ceburi? Siapa rakan kongsi beliau dan pelbagai lagi persoalan yang perlu di jawab oleh beliau.

Namun apa yang pasti pendapatan lebih RM37,010.47 cukup mewah. Maka tidak hairanlah mengapa beliau tidak kisah dengan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik serta harga barangan keperluan harian.

Tetapi bagaimana dengan rakyat bawahan? Rakyat Melaka perlu menilai perkara ini dengan serius.


AWASI TEMPAT-TEMPAT BERLAKUNYA PERAS UGUT - SETIUASAHA DPP KAWASAN BUKIT KATIL


MELAKA 14 JULAI : MELAKA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya keatas beberapa kejadian peras ugut yang berlaku di kawasan segi tiga jejantas Gerbang Melaka Sentral, Tesco dan Taman Cempaka di Jalan Tun Razak.

"Kami tidak mahu lebih banyak kejadian jenayah dan ugut berlaku di kawasan tersebut jika ianya tidak dikawal. Ini juga akan menjejaskan nama baik negeri ini di mata pelancong samada pelancong domestik atau luar" demikian kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha DPP Kawasan Khairuddin Ismail pagi ini.

"Selain itu pihak berkuasa juga hendaklah sentiasa memantau tempat-tempat lain yang mungkin juga dijadikan tempat untuk memeras ugut" ujar beliau lagi.

Akhbar harian hari ini melaporkan bahawa sekumpulan remaja dikesan menjadikan kawasan tersebut sebagai markas menjalankan kegiatan memeras ugut sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan mereka itu yang gemar berkeliaran dan menjadikan pelajar, warga asing dan remaja sebagai sasaran menimbulkan rasa kurang selamat pengunjung untuk ke kawasan berkenaan.

Beberapa peniaga yang ditemui wakil akhbar itu mendakwa kegiatan remaja berkenaan dijalankan pada waktu petang dan malam secara berkumpulan.

Mereka juga turut berlagak samseng bergaduh dengan kumpulan remaja lain yang melalui kawasan terbabit sekiranya gagal memeras ugut kumpulan berkenaan untuk meminta wang atau barangan berharga.

Dalam kejadian terbaru 16 Jun lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Taman Kota Laksamana di sini, kerugian RM150 selepas diugut seorang lelaki ketika melalui kawasan jejantas di kawasan itu kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurut laporan, remaja itu baru selesai membeli-belah di pasar raya besar berhampiran sebelum menyeberangi jejantas untuk menaiki bas pulang ke rumahnya di Melaka Sentral.

Ketika itu, mangsa diekori seorang lelaki dan sebaik tiba di atas jejantas, lelaki itu terus menghampiri dan mengugut mangsa.

Kerana takut dicederakan, mangsa menyerahkan RM150 kepada lelaki itu sebelum diarah meninggalkan kawasan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan akhbar itu juga mendapati jejantas yang menghubungkan pasar raya Tesco-Taman Cempaka dan Melaka Sentral sejauh kira-kira 700 meter tidak menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan.

Ini menyebabkan kumpulan berkenaan mudah menjalankan kegiatan mereka berikutan ia tidak dikesan pihak berkuasa.

Seorang peniaga, Suziana Jalil, 32, berkata kegiatan remaja berkenaan banyak dilakukan pada cuti hujung minggu.

Katanya, mereka bertindak terlalu berani sehingga pernah beberapa kali meragut telefon bimbit sedang digunakan warga asing yang melalui kawasan terbabit.

Beliau mendakwa, kumpulan remaja terdiri daripada empat hingga tujuh orang itu turut dilihat menghidu gam secara terbuka bersama rakan mereka.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59