Thursday, 13 July 2006

SYABAS PEGUAM BELA ISLAM


MELAKA, 13 Julai - Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPK) mengucapkan syabas dan tahniah di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh Peguam-peguam muslim yang sepakat menubuh jawatankuasa bertindak untuk membela Islam. Badan tersebut dikenali sebagai 'Peguam Pembela Islam' dengan menggunakan sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia pada perjumpaan khas yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

"DPPK Bukit Katil menyanjung tinggi kesungguhan mereka dan mengharapkan lebih ramai golongan cendikiawan, parti politik dan NGO Islam supaya tampil ke hadapan untuk membela Islam yang sekarang ini diserang disegenap sudut oleh kumpulan-kumpulan yang anti-Islam" kata Setiausaha DPPK Bukit Katil, Khairuddin Ismail dalam kenyataannya melalui telefon kepada kami petang ini.

"DPPK Bukit Katil mengharap semua parti politik dan NGO Islam di negara ini supaya bersatu menubuhkan Jawatankuasa Bertindak untuk menangani isu ini yang kita lihat semakin serius. Insya Allah dengan gerakerja secara sepadu dan kemas kita akan dapat mempertahan dan memperkuatkan lagi undang-undang Islam dan akidah umat Islam" tambah Khairuddin yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.

Harakahdaily hari ini melaporkan bahawa perjumpaan untuk menubuhkan badan tersebut telah dihadiri lebih 100 peguam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kelulusan dalam bidang syarie dan sivil, di mana mereka juga terdiri dari kalangan penyokong PAS, Umno, Parti Keadilan Rakyat dan ahli Abim.

Jawatankuasa bertindak terbabit diketuai Zainul Zakaria dan dianggotai 15 peguam lain termasuk Kamar Ainiah, Zainul Rijal Abu Bakar, Haji Mohamad Buruk dan Dato' Zaiton Othman mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Peguam Syarie, Wan Azimin Wan Adnan ketika dihubungi harakahdaily berkata, badan itu akan bergerak menemui pemimpin utama negara termasuk Sultan dan Yang Dipertua Agong serta mengadakan taklimat ke setiap negeri dalam tempoh empat minggu.

Difahamkan perjumpaan khas itu diadakan ekoran kes menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani, 42 atau lebih dikenali Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada Mykadnya.

Sebelum ini permohonan itu ditolak Jabatan Pendaftaran Negara kerana ia terlebih dahulu perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Pada 19 September lalu Mahkamah Rayuan juga menolak dengan majoriti 2-1 terhadap rayuan yang dikemukakan Lina Joy melalui peguamnya, Dato' Dr Cyrus Das.

Kes itu kemudian dibawa pula Mahkamah Persekutuan. Hakim perbicaraan di dalam penghakimannya berdasar kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menegaskan seseorang Melayu itu hendaklah menganut agama Islam hingga akhir hayatnya.

Kes tersebut kemudiannya dibawa semula ke mahkamah untuk rayuan dan dijangka diputuskan pada 28 Julai ini.

Kes murtad kini semakin diberi perhatian selepas Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria mendedahkan terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang murtad di negara ini berdasarkan kajian yang dilakukan golongan profesional.


MAT SAID CUBA LARI DARI ISU SEBENAR


MELAKA 13 JULAI : Rakyat negeri Melaka menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Jasin Mohd Said Yusof yang membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sehari dua ini adalah bertujuan untuk lari dari isu sebenar. Beliau yang telah menggunakan pengaruhnya sebagai Ahli Parlimen didakwa mengganggu tugas KDRM dalam isu melibatkan kayu beberapa bulan lepas. Isu tersebut telah hangat dibahaskan di Parlimen. Namun sehingga kini tiada tindakan tegas di ambil terhadap beliau.

Seorang peniaga, Salleh Othman, 50, berkata tidak syak lagi bahawa Ahli Parlimen Jasin itu cuba menutup kesalahannya dengan mendakwa Pegawai Kastam juga melakukan kesalahan dan menyalahgunakan kuasa.

"Sepatutnya beliau cuba membersihkan namanya ataupun bersedia untuk membetulkan dirinya jika benar beliau bersalah" gesa Salleh lagi.

Manakala Sofwan Mohd Mansor, 25, melahirkan kekesalannya dengan sikap pemimpin Umno yang ada sekarang yang seringkali menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mengaut keuntungan dengan mudah dan senang. Malah mereka ini sanggup menggunakan kuasa mereka untuk melanggar undang-undang.

"Mereka seolah-olah lebih berkuasa dari raja. Raja pun dah tiada imuniti lagi" sindir Sofwan seorang pekerja swasta.
Semalam Mohd Said telah dipetik sebagai berkata "Saya akan datang tetapi saya mahu bercakap mengenai semua aspek operasi kastam, bukan hanya cara jabatan itu mengendalikan penjualan kereta mewah yang dilucutkan hak," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen semalam.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid telah dipanggil memberi penjelasan berhubung prosedur pelupusan kenderaan yang dilucutkan hak kepada jawatankuasa itu kelmarin.

Ia ekoran dakwaan Mohd Said di Dewan Rakyat dua minggu lalu lepas bahawa terdapat pegawai tinggi kastam menyalahgunakan kuasa dalam penjualan kereta mewah yang dilucutkan hak.

Mohd Said mendakwa ada kereta mewah bernilai RM200,000 dan dalam keadaan baik dijual pada harga RM50,000 dan RM60,000 kepada rakan-rakan pegawai kastam terbabit.

Bagaimanapun, pengerusi jawatankuasa parlimen itu, Tan Sri Bernard Dompok, berkata, pihaknya mendapati kastam telah bertindak mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan dalam isu pelupusan kereta kereta yang dilucutkan hak.

Mohd Said berkata beliau membangkitkan isu kastam kerana mahu menjaga kepentingan kerajaan dan bukannya disebabkan soal peribadi.

Semua orang terutama orang Jasin kenal siapa Mohd Said sebenarnya. Beliau telah mengaku mempunyai beberapa syarikat perniagaan. Beliau juga telah mengaku terlibat dengan isu yang melibatkan penyalahgunaan kuasa ahli parlimen yang berlaku beberapa bulan lepas. Tetapi sudah menjadi amalan negara Islam Hadhari ini bahawa suku sakat Umno dan BN akan dilindungi dan mempunyai imuniti.


MALAYSIA SEBUAH NEGARA ISLAM - MASHITAH


KUALA LUMPUR 13 JULAI : Dangkal sungguh hujah Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Ustazah Mashitah Ibrahim, apabila mendakwa Malaysia sebuah negara Islam dengan hanya kerana Islam disebut sebagai agama rasmi lebih 20 kali dalam perlembagaan negara.

Apakah dengan hujah di atas Malaysia boleh disifatkan sebagai negara Islam sedangkan Perlembagaan Negara masih perlembagaan penjajah; Hukum Islam tidak diamalkan;judi, arak, konsert, pergaulan bebas, sistem ekonomi riba dihalalkan dan segala satu macam perkara yang diamalkan dalam ini yang bertentangan dengan Islam.

Dari mana Mashitah yang berkelulusan PhD dalam Pengajian Islam belajar semua itu. Kitab mana yang beliau rujuk dan pendapat ulama' muktabar mana yang dipakai. Apa yang pasti sebenarnya Mashitah mentafsirkan negara ini dari cermin Islam Hadhari yang menghalalkan judi, arak, maksiat, konsert, pergaulan bebas, sambutan deeparaya, riba, zina, penahanan rakyat tanpa bicara dan sebagainya.

Dalam jawapan kepada soalan Karpal Singh (DAP- Bukit Gelugor) di parlimen semalam, Mashitah Ibrahim berkata, persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular bukan satu isu lagi kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah dinyatakan dengan jelas lebih 20 kali bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini.

“Kenyataan semua bekas Perdana Menteri itu yang Malaysia adalah negara sekular adalah pendapat peribadi mereka sahaja,” katanya.

“Semua orang tahu Tunku (Abdul Rahman), Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn tidak mengkategorikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Apakah kerajaan sekarang mengkategorikan Malaysia sebagai negara Islam atau sekular? Saya mahu Setiausaha Parlimen menjawabnya,” kata Karpal.
Semua orang tahu Malaysia sekarang sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam. Pelaksanaan Islam sehari ke sehari semakin menguncup. Kalau dulu judi mungkin hanya ada loteri kebajikan masyarakat dan toto tetapi kini ada berpuluh-puluh jenama judi yang tumbuh bagai cendawan di jual di premis-premis di seluruh negara. Kilang arak Carlberg tersergam megah di Shah Alam. Pusat Perjudian di Genting menjadi kebanggaan pemerintah kerana menghasilkan pendapatan kepada negara.

Undang-undang Islam dan pelaksanaan Islam semakin berani di cabar oleh Menteri-menteri bukan Islam dan kumpulan Artikel 11 serta IFC. Jumlah orang Islam yang murtad sudah menjangkau lebih dari 100,000 orang seperti yang dinyatakan oleh Mufti Perak Dato' Seri Harussani Zakaria.

SEPATUTNYA MASHITAH MALU UNTUK MENDAKWA MALAYSIA SEBUAH NEGARA ISLAM?


'AKIBAT ASYIK BERCAKARAN MAHATHIR DAN PAK LAH NYARIS MATI TERBAKAR'


Padang Temu 13 Julai : Mahathir Mohammad, 3 tahun dan Abdullah Ahmad Badawi, 7 tahun nyaris rentung dalam kebakaran sebuah rumah kepunyaan bapa mereka Abd Rahman Mahmud di Taman Jaya, Padang Temu, dekat sini 11 Julai lalu.

Ketika kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua beradik terbabit serta seorang lagi adik-beradik mereka Azaharim, 4 tahun berada di dalam rumah selepas ibu dan bapa mereka keluar menjalankan urusan masing-masing.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salamat dalam kenyataannya pagi ini mengucapkan takziah di atas kejadian kebakaran yang menimpa rumah Abdul Rahman dan mengharapkan beliau sentiasa tabah menghadapi dugaan tersebut.


NEGARA ISLAM HADHARI : ORANG SIKH BOLEH PAKAI SERBAN KE SEKOLAH TETAPI ORANG ISLAM TIDAK BOLEH.


Hukum memakai serban di sekolah dalam Negara Islam Hadhari ialah harus dan dibolehkan bagi orang Sikh tetapi HARAM bagi orang Islam. Malang sungguh bagi kita orang Islam dan agama rasmi negara adalah Islam tetapi pengamalan ajaran Islam di anaktirikan.

Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed yang mengendalikan kes rayuan tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Serting di Negeri Sembilan yang dibuang sekolah sembilan tahun lepas kerana enggan menanggalkan serban mereka,beliau
berkata bahawa daripada pandangan Islam, amalan memakai serban bukannya satu perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.

"Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian,” kata Abdul Hamid lagi seperti disiarkan dalam Utusan Malaysi hari ini.

Ulasan tauXpe dalam blognya : .........................huh! beristighfar panjang bila aku baca berita tuh! rasa macam nak tempeleng jer pada siapa yang cakap tu.....iskkkk nama jer hakim, tapi jahil murakab..dasar hakim sekular!!...

Cuba kau orang baca petikan ni dan fikirkan sejenak:...... but the reason all practicing Sikhs wear the turban is just one - out of love and obedience of the wishes of the founders of their faith.(http://www.sikhcoalition.org/Sikhism11.asp) bermaksud dalam agama sikh pun pakai serban tu bukan wajib! cuma lambang jer....tapi kenapa orang sikh boleh pakai serban ke sekolah? bodo punya hakim... aku malas nak cakap pasal hukum pakai serban dalam Islam..nanti lagi naik darah aku!


PATUTLAH RAMAI PENGUNDI HANTU MASA PILIHANRAYA. KAD PENGENALAN PALSU DI BUAT SECARA BERLELUASA


KOTA KINABALU 13 JULAI : Polis Sabah telah mengambil "banyak kenyataan" dalam siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) bulan lepas yang mendakwa terdapat sindiket yang mengeluarkan kad pengenalan (IC) kepada beribu-ribu pendatang asing di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mangsor Ismail.

Bagaimanapun, katanya, polis belum mengambil kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mungkin dilakukan pada tahap akhir siasatan apabila ia hendak mengesahkan aspek atau butiran tertentu daripada kad pengenalan yang dicurigai itu, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jawatan kepada Ketua Cawangan Khas Sabah yang baru di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengambil kenyataan daripada ahli-ahli politik, beliau berkata: "Sepanjang yang saya tahu, setakat ini tiada lagi."

Siasatan setakat ini berjalan lancar kerana apa yang perlu dilakukan ialah mengesahkan sama ada kad pengenalan itu tulen atau palsu dan jika ia palsu, polis mahu mengesan dari mana datangnya, kata Mangsor.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana siasatan masih berjalan.

CASH membuat laporan polis selepas anggota Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Cheng Eng Leong mendakwa bahawa peningkatan secara mendadak penduduk Sabah disebabkan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dengan menggunakan perisytiharan palsu bawah "Projek IC".

Sementara itu, pada majlis itu, Ketua Cawangan Khas Sabah Datuk Mohamad Fuzi Harun menyerahkan tugas kepada penggantinya Pemangku SAC II Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dinaikkan pangkat menjadi Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Politik dan Risikan di Bukit Aman manakala Abdul Hamid sebelum ini sebagai Ketua Cawangan Khas Kelantan.

Antara kejayaan Cawangan Khas Sabah bawah kepimpinan Mohamad Fuzi ialah membendung kegiatan militan di Sabah menerusi perisikan berkesan yang menyumbang kepada keselamatan di negeri dan rantau ini, kata Mangsor yang enggan menghurai lanjut kegiatan militan tersebut.

Sememangnya kes pemalsuan Kad Pengenalan ini sudah lama diperkatakan malah ada di antara mereka yang terlibat telah di'ISA'kan. Malah pada setiap kali pilihanraya akan timbul dakwaan bahawa adanya 'pengundi hantu'yang mengundi untuk orang yang telah mati. Dakwaan ini akhirnya disahkan kebenarannya dalam perbicaraan petisyen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini apabila Hakim Dato' Hassan Lah mengesahkan bahawa terdapat dua kes penyamaran berlaku di mana ada dua orang mengundi atas nama orang yang telah lama meninggal dunia.

Kita mengharapkan pihak Polis menyiasat perkara ini dan mengheret pesalah-pesalah terbabit tanpa mengira kedudukan dan pangkat kerana kita bimbang ada golongan atasan yang terlibat dengan sindiket ini terutama dalam pemalsuan kad pengenalan untuk tujuan penyamaran semasa pilihanraya.


Risalah bela Tajuddin Ramli tiba-tiba 'timbul' di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR 13 JULAI : Tiga risalah yang membela bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli, mengenai isu pembelian saham MAS telah diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Risalah itu diletakkan di meja S. K. Devamany (BN-Cameron Highlands) dan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sebelum persidangan bermula.

Tiga risalah itu adalah 'Tuntutan Balas Tajudin Ramli Terhadap Danaharta, Mengapa Dia Berbuat Begitu?' dan terjemahannya dalam bahasa Inggeris serta 'The Tajudin Ramli Bombshell: Who Is the Real Culprit?'.

Wee yang terkejut apabila menerima risalah itu turut mempersoalkan bagaimana risalah terbabit boleh melepasi kawalan keselamatan Dewan.

"Namun, ia suatu yang menarik untuk dibaca tetapi terpulanglah kepada seseorang untuk menilainya," kata Wee kepada pemberita.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika diminta mengulas perkara itu menafikan memberi kebenaran untuk mengedarkan risalah tersebut di dalam Dewan Rakyat.

"Saya tidak boleh komen sebab saya tidak tahu," katanya.

Difahamkan, ini merupakan kes ketiga seumpama itu yang berlaku dalam perjalanan Dewan Rakyat.

Yang pertama semasa kegawatan ekonomi pada 1998 apabila pihak pembangkang dikejutkan apabila terdapat pelekat 'Saya sokong Dr. Mahathir' di atas meja mereka.

Ini diikuti insiden Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengedar surat jemputan perjumpaan Kokus Wanita tanpa kebenaran di meja anggota Parlimen semasa waktu makan tengah hari.

Berikutan peristiwa itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu Tun Mohamed Zahir Ismail, mengeluarkan arahan hanya bahan yang telah diserahkan kepada pentadbiran Dewan boleh diedarkan di atas meja anggota Parlimen


PEMUDA PUSAT DAN NEGERI BERGABUNG JAYAKAN EKSPEDISI DI MELAKA 23 JULAI


MELAKA 13 JULAI : Dewan Pemuda PAS Pusat akan meneruskan program ekspedisi dakwah bertemu rakyat di seluruh negeri bermula di Melaka pada 23 Julai ini. Program ini telah dijalankan sebelum ini di mana ianya berjaya mendekatkan Dewan Pemuda dengan rakyat di seluruh negara.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik selepas Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Negeri di Semabok malam tadi.

Antara objektif ini adalah untuk mendekatkan pemuda kepada rakyat serta memberi peluang kepada pemuda untuk menerangkan berbagai perkara tentang isu-isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang dengan cara menyebarkan risalah dan pamplet berkaitan isu-isu tersebut.

"Insya Allah kita akan mengedarkan risalah dan pamplet berkaitan isu kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga minyak, isu Dr Mahathir-Pak Lah, IFC dan isu-isu setempat" jelas Us Kamaruddin yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda Kawasan Jasin.

Sehubungan dengan itu Us Kamaruddin menyeru seluruh kepimpinan Dewan Pemuda Kawasan-Kawasan supaya turun beramai-ramai menjayakan program ini.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Yuhaizad Abdullah di talian 016-6635820 atau Harun Mohamed 019-6675521.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59