Wednesday, 12 July 2006

PETUA RUMAHTANGGA





Gambar Hiasan






SIKAP romantik suami terhadap isteri adalah sifat yang digalakkan dalam Islam. Ia adalah penyubur kasih sayang antara suami isteri.

Sifat ini perlulah dikekalkan sepanjang masa walaupun ketika usia semakin tua dan jangan sekali menjadikan anak serta cucu sebagai alasan untuk tidak lagi bersikap romantis.

Sikap romantik lahir dari hati kaya dengan kasih sayang dan ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan serta perbuatan sehari-hari.

Sikap romantik yang perlu dilahirkan:

l Memberi ciuman mesra kepada isteri tatkala isteri mencium tangan suami yang hendak keluar bekerja dan baru pulang ke rumah. Ciuman adalah lambang kesetiaan, peniup semangat untuk isteri dan suami meneruskan kehidupan seharian.

l Mendakap isteri ketika hendak keluar dari rumah. Ini akan mencetuskan ingatan yang berpanjangan sewaktu suami dan isteri berpisah sama ada untuk keluar bekerja atau urusan lain.

l Selalu mengucapkan perkataan yang menunjukkan kasih mendalam kepada isteri.

l Memanggil isteri dengan panggilan atau gelaran yang disukai

l Selalu usik-mengusik dan bergurau senda.

l Berjalan beriringan di luar rumah. Setidak-tidaknya jangan berjalan terlalu laju meninggalkan isteri jauh di belakang.

Petua mengekalkan sifat romantis:

l Isteri hendaklah bijak menghias bilik tidur untuk mewujudkan suasana romantik. Apabila ini dapat dilakukan, suami akan sentiasa berasa gembira sehingga sikap romantik yang ada dapat disuburkan.

l Isteri hendaklah menjaga penampilan di hadapan suami dengan memakai pakaian yang menarik dan bau-bauan menyenangkan suami.

l Usah malu menggunakan ungkapan cinta ketika berdua-duaan, seperti lazim diucapkan pasangan bercinta.

l Di celah kesibukan dengan kerjaya dan menguruskan rumah tangga, suami dan isteri hendaklah bijak mencari masa untuk berdua-duaan tanpa gangguan anak atau cucu.

* Pada ketika tertentu, layangkan kad ucapan mengandungi kata romantik yang penuh kasih sayang.

* Sekiranya timbul sebarang masalah dalam perhubungan suami isteri, hendaklah ditangani dengan segera masalah itu. Usah biarkan masalah berlarutan sehingga lukanya membekas di hati.


SALAH LAKU REMAJA SEMAKIN PARAH SEJAK 10 TAHUN


KUALA LUMPUR 12 JULAI : Salah laku sosial di kalangan remaja dalam negara, termasuk membabitkan perbuatan keluar hingga larut malam dan merokok, meningkat agak ketara dalam tempoh 10 tahun, menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat (KPKM4) 2004.

Pengarah Bahagian Kependudukan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN) Rohani Ab Razak berkata kajian mendapati bahawa peratus remaja yang keluar hingga larut malam meningkat daripada hanya 2.3 peratus pada tahun 1994 kepada 15.3 peratus pada tahun 2004.

"Bagi perbuatan merokok pula, peratus remaja yang terlibat hanya 3.2 peratus pada 1994 dan meningkat kepada 9.8 peratus pada tahun 2004," katanya pada majlis taklimat mengenai kajian itu di sini, yang diadakan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia yang diraikan di serata dunia hari ini, yang bertemakan 'Young People'.

Beliau berkata para responden yang ditemuramah bagi menjayakan kajian itu bagaimanapun sudah dilarang oleh ibu bapa supaya tidak mengulangi perbuatan salah laku tersebut.

Rohani berkata kajian itu dilakukan setiap 10 tahun sekali sejak tahun 1974, dan kali ini ia menggunakan sampel remaja berumur 13 hingga 24 tahun dengan 3,394 orang ditemuramah, 1,762 darinya terdiri daripada kalangan remaja dari Semenanjung manakala 916 lagi dari Sabah dan 716 dari Sarawak.

Beliau berkata maklumat responden ini merupakan sebahagian daripada laporan yang akan dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di satu persidangan di Kuala Lumpur September ini.

"Ini termasuk maklumat yang lebih terperinci mengenai penglibatan remaja dalam aktiviti lucah, seks luar nikah, seks sejenis serta menjadi mangsa perkosa," katanya.

Inilah hasil didikan sistem pendidikan negara yang jelas membuktikan bahawa ianya gagal mendidik remaja yang berakhlaq dan menepati ajaran agama. Siapa yang perlu di persalahkan?

Dari kajian yang dibuat jelas kepada kita bahawa faktor pendidikan di sekolah dan ibubapa telah gagal membentuk insan yang mulia. Ini ditambah lagi lagi keadaan persekitaran di negara ini yang sentiasa mendorong remaja supaya hidup dengan gaya bebas di mana konsert-konsert sering diadakan di serata pelusuk negara; pusat-pusat hiburan tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan;rancangan TV yang hanya menjuruskan kepada budaya hedonisme dan sebagainya.

Jika sekiranya keadaan ini tidak diubah maka sudah pasti negara akan hancur suatu hari nanti. Kerajaan Islam Hadhari mesti bertanggungjawab dalam menangani isu ini. Atau rakyat mesti sedar dari lamunan dengan bangkit menukar kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.

"Satu lagi isu yang akan dibincangkan (pada persidangan nanti) ialah kahwin lewat di kalangan rakyat Malaysia. Kajian mendapati penduduk bujang yang berumur 25 hingga 34 tahun dalam negara adalah sebanyak 30.8 peratus di Semenanjung, 25 peratus di Sabah dan 26.9 peratus di Sarawak," katanya.

Rohani berkata berdasarkan data yang dikumpul, umur minimum perkahwinan pertama bagi kaum lelaki ialah 28.9 tahun bagi di Semenanjung, 27.4 bagi Sabah dan 27.9 bagi Sarawak, manakala perempuan pula adalah pada usia 25.3 tahun bagi Semenanjung, dan 23.8 bagi Sabah serta Sarawak.

Dari kajian perkahwinan ini juga, kita bimbang bahawa anak-anak muda yang kahwin lambat ini telah terjebak dengan perzinaan dan seks bebas. Ini juga merupakan gejala yang semakin serius di kalangan muda-mudi. Semua ini adalah hasil dari budaya hedonisme dan pergaulan bebas yang di tanam oleh kerajaan hari ini. Kerajaan lebih rela mereka ini hanyut dengan hiburan asalkan muda-mudi ini tidak menentang mereka.


SHAHRIZAT LEBIH RASIONAL DARI NAN MANSOR


KUALA LUMPUR 12 JULAI : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil nampaknya lebih rasional dari Menteri Pelancongan, Nan Mansor. Shahrizat dalam kenyataannya semalam membantah keras cadangan mewujudkan zon pelancong bagi membolehkan pusat-pusat hiburan di situ beroperasi sehingga awal pagi kerana ia boleh menimbulkan banyak masalah terutamanya daripada aspek penguatkuasaan dan kesan sosial.

"Kita tidak setuju langsung. Adakah kita akan buat zon ini hanya untuk pelancong. Apa maknanya itu?" katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen membaca akhbar Jawi di SMK Sri Pantai.

Shahrizat berkata kebanyakan pelancong datang ke negara ini bukan kerana ingin ke pusat hiburan tetapi untuk menikmati produk pelancongan lain yang lebih menarik.

Kementerian Pelancongan baru-baru ini mencadangkan pengwujudan satu zon yang akan memberi ruang kepada pelancong untuk mendapatkan hiburan berpanjangan di lokasi-lokasi tumpuan pelancong antaranya Bangsar, Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Sri Hartamas.

Cadangan itu sejajar dengan syor kementerian itu supaya kerajaan membenarkan pengusaha pusat hiburan, terutamanya disko dan pub yang terletak dalam lingkungan zon berkenaan, melanjutkan operasi sehingga pukul 5 pagi atau lebih.

Shahrizat berkata beliau akan menyuarakan pandangannya itu pada mesyuarat kabinet sekiranya isu itu dibangkitkan.

"Kalau ikutkan, kita mahu supaya semua pusat hiburan ini menamatkan waktu operasi selewatlewatnya pukul 12 malam," katanya.

Berdasarkan peraturan sedia ada, pusat-pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 1 pagi pada hari biasa dan sehingga pukul 3 pagi pada hujung minggu.

Shahrizat turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengkuatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang didakwanya mengecewakan terutamanya dalam menentukan pusat-pusat hiburan tidak beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

"Kita juga perlu lihat siapa yang dibenarkan masuk ke pusat-pusat hiburan itu. Kalau ikut peraturan, umur 21 tahun ke bawah tidak dibenarkan masuk ke tempat yang menjual alkohol tapi sekarang ada remaja yang umur 15 tahunpun dibenarkan masuk," katanya.

Tetapi kita juga ingin memperbetulkan pandangan yang diberikan oleh Shahrizat dalam kenyataan beliau kerana sebenarnya Pusat-pusat hiburan mestilah ditutup terus operasinya. Sudah terbukti bahawa pusat-pusat hiburan itulah yang menjadi punca maksiat seperti pergualan bebas, penyalahgunaan dadah, pil ectasy dan sebagainya.

Pelancong yang datang ke sini sebenarnya bukan semata-mata datang untuk minum arak dan berhibur di pusat-pusat hiburan seperti itu kerana di negara mereka tempat-tempat hiburannya lebih 'hebat' dan canggih.


PAS KAWASAN ANJURKAN HARI KELUARGA PADA 29 DAN 30 JULAI


BUKIT KATIL 12 JULAI : PAS Kawasan Bukit Katil akan menganjurkan Hari Keluarga peringkat kawasan pada 29 dan 30 Julai ini bertempat di Taman Negara/Taman Legenda Tangkak, Johor.

Program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama AJK Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Menurut Pengarah Program, Hj Mohd Ali Sharif program ini akan bermula pada jam 3.00 petang 29 Julai dan berakhir pada tengahari Ahad.

Beliau menyeru seluruh AJK Kawasan dan Dewan-Dewan agar menyertai program yang julung kali diadakan ini demi untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan pimpinan kawasan dan dewan-dewan.

Yuran penyertaan adalah RM50.00 dan boleh diserahkan kepada Setiausaha Program Hj Mohd Yassim Musa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pejabat PAS Kawasan di talian 06-2672239.


RM490 JUTA UNTUK BINA PUSAT LATIHAN SUKAN DI LONDON. BUKANKAH IANYA MEMBAZIR?


KUALA LUMPUR 12 JULAI - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said semalam berkata, peruntukan RM490 juta bagi meningkatkan kemudahan di pusat latihan sukan berprestasi tinggi di London hanyalah anggaran kasar perbelanjaan jangka panjang. Walau apapun alasannya ramai pemerhati politik melihat ianya adalah membazir sedangkan wang yang besar boleh di manfaatkan dengan cara yang betul selain dari membina pusat latihan di London.

Wang itu juga, tegas beliau, bukan untuk dihabiskan tahun ini.

Beliau menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berikutan kenyataannya mengenai perkara itu di Parlimen, kelmarin.

Menjelaskan lebih lanjut, Azalina berkata, kementeriannya menganggarkan jumlah tersebut berdasarkan rancangan jangka panjang, yang akan mengambil masa sehingga 10 tahun.

‘‘Peruntukan itu merupakan anggaran bagi jangka masa antara lima ke 10 tahun,” katanya selepas merasmikan bilik gerakan Program Doha 2006, di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, dekat sini semalam.

Bilik gerakan tersebut merupakan pusat sehenti bagi para atlet, jurulatih, pegawai dan juga wakil media mendapatkan bantuan dan maklumat terkini mengenai Sukan Asia yang akan berlangsung di ibu negara Qatar itu pada 1-15 Disember ini.

Azalina dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat kelmarin berkata, kerajaan akan membina pusat latihan prestasi tinggi di London bernilai RM490 juta.

Jawapannya itu telah dipertikaikan banyak pihak yang mahu wang itu digunakan untuk program bakat baru dan pembangunan sukan tempatan.

Pusat latihan itu digunakan sebagai tempat persinggahan atlet-atlet Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan di Eropah.

Banyak persoalan yang timbul dari pembinaan Pusat ini, antara :

Adakah ianya benar-benar mendesak sekarang ini?

Tidakkah atlet-atlet itu boleh berlatih di negara kita sendiri di bawah kendalian jurulatih luar yang mana kos nya lebih rendah?

Adakah kos sebanyak RM490 Juta itu berbaloi dengan hanya menempatkan 10-20 atlet yang berlatih di sana pada sesuatu masa?

Tidakkah terfikir oleh kerajaan bahawa wang RM490 Juta itu adalah wang rakyat yang mesti debelanjakan untuk kebajikan rakyat?

Kita tidak menentang rancangan pembangunan sukan tetapi ianya biarlah benar-benar bermanfaat dan tidak sampai membazir kerana kita di Malaysia ini masih ramai rakyat miskin, penganggur, rakyat yang tidak mempunyai rumah dan sebagainya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59