Tuesday, 11 July 2006

MACAM-MACAM ADA. ORANG HIDUP DIKATAKAN MATI


BINTULU 11 JULAI : Mengikut rekod rasmi, Minggu Mang anak Madang meninggal dunia kerana kecederaan di kepala di bandar Bintulu, Sarawak pada 18 Januari 2002.

Kematiannya telah disahkan oleh the Nyalau Hospital di Bintulu dan dia telah selamat dikebumikan.

Tetapi Minggu Mang, 40, berkata dia masih hidup dan sudah bertahun-tahun berusaha untuk membuktikan kepada pihak berkuasa yang dia tidak mati.

Minggu Mang mendakwa, kerana kesilapan tersebut, dia tidak dapat bekerja.

"Tolonglah saya untuk meyakinkan pihak berkuasa yang saya tidak mati,” katanya dalam laporan Bernama.

Minggu Mang berkata beliau mendapat tahu mengenai kesilapan tersebut ketika dia pergi membaharui lesen memandunya pada 19 Disember 2003.

Bekas kontraktor itu yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berkata, beliau diberitahu bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan telahpun menghapuskan semua maklumat kerana dia telah disahkan meninggal dunia.

Minggu Mang berkata, beliau tidak dapat bekerja kerana beliau ‘tidak lagi hidup’.

Minggu Mang juga menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat mereka yang membuat laporan mengenai kematiannya dan siasat siapakah yang sebenar meninggal dunia dan dikebumikan.

Sumber : Malaysiakini


BATALKAN PROGRAM BERSAMA TUN MAHATHIR : MUBARAK PENGECUT


BUKIT KATIL 11 JULAI : Akhirnya Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Kelantan (Mubarak)terpaksa tunduk kepada kemahuan Umno Kelantan dengan membatalkan “majlis bersama Dr Mahathir’ yang dirancangkan sebelum ini. Tindakan ini disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai pengecut.

"Nampaknya orang-orang lama Umno ini masih lagi tidak berani kerana takut kepada tekanan. Mereka ini pengecut mungkin mereka takut perniagaan mereka ditekan kerana sebahagian dari mereka adalah ahli perniagaan" kata Hj Salleh Othman seorang pemerhati politik di sini pagi ini.

Sementara itu Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MBRK), Datuk Ibrahim Ali mendakwa Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) cawangan Kelantan membatalkan “majlis bersama Dr Mahathir’ pada hujung bulan ini kerana ‘kepentingan politik’.

Ditanya mengenai kemungkinan MBRK yang diterajuinya, mengambilalih majlis yang telah dibatalkan oleh Mubarak itu, Ibrahim berkata: ‘‘Tunggulah Dr Mahathir balik dulu.”

Ibrahim juga mempersoalkan mengapa mesti pihak tertentu takut dengan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kelantan.

“Kritikan Dr Mahathir selama ini bukan sahaja terhadap kerajaan, malah meliputi pelbagai perkara, termasuk pembangkang dan pihak asing.

“Mengapa mesti takut dengan kata-kata beliau? Orang luar berebut-rebut mengundang Dr Mahathir berceramah, kita di sini nak menyekatnya,” ujarya.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan ahli majlis Mubarak Kelantan, Datuk Rozali Isohak semalam yang mengumumkan pembatalan majlis tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 28 Julai depan.

Rozali dilaporkan berkata majlis tersebut dibatalkan kerana bimbangkan kehadiran Dr Mahathir akan dieksploitasi oleh pihak tententu.

Ibrahim yang merupakan bekas ketua Umno Pasir Mas juga menyifatkan tindakan Mubarak itu sebagai satu tindakan ‘tidak berbudi bahasa’ .

“Bagaimana Mubarak Kelantan boleh bersikap begini sedangkan pada awalnya mereka yang menjemput D Mahathir ke Kelantan.

“Dr Mahathir telah bersetuju meluangkan masanya untuk memenuhi jemputan mereka, tetapi kini mereka membatalkannya pula,” bidas beliau.

Ibrahim berkata, alasan yang diberikan oleh Mubarak bagi membatalkan majlis itu juga tidak boleh diterima.

“Ia ibarat takutkan hujan ribut di tengah laut sedangkan perahu belum lagi berlayar. Sebagai rakyat Kelantan saya rasa terhina oleh tindakan Mubarak itu,” tegasnya.

Beliau bertanya, bagaimana rakyat dan pemimpin negara ini mengatakan diri mereka sudah merdeka dan mempunyai jati diri, sedangkan mereka takut dikritik oleh Dr Mahathir.

Sumber : Malaysiakini.


AWAS SANG SUAMI BERHATI-HATILAH MENGGAULI ISTERI





Gambar Hiasan









Tanpa disedari oleh kita sebenarnya Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu ini mempunyai implikasi besar kepada Islam itu sendiri. Andai ianya diluluskan maka para suami mestilah berhati-hati dengan isteri.

Undang-undang ini juga dikhuatiri di salah gunakan oleh isteri bagi mendakwa suami bertindak kejam terhadap mereka.

Laporan Harakahdaily semalam menyebut bahawa anggota Parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Haron berkata, berdasar kepada kanun tersebut, seseorang suami yang ingin bersama isteri tanpa kerelaannya boleh ditafsir sebagai merogol.

Sudah jelas kepada kita kerajaan Islam Hadhari yang memerintah Malaysia hari ini semakin jauh tersasar dari Islam dalam bab munakahat ini. Kanun ini jelas bercanggah dengan prinsip Islam kerana semua orang maklum, suami berkuasa penuh ke atas isteri mengikut batas-batas ditetapkan agama di mana selagi perintah dan kemahuan suami tidak berunsur maksiat dan bercanggah dengan agama selagi itu isteri mesti patuh dan taat. Begitu juga suami mestilah faham di mana dalam keadaan isteri tidak berupaya untuk menunaikan hajatnya maka suami mesti bersabar dalam apa juga keadaan.

Dalam apa situasi jika isteri tidak bersetuju dengan kemahuan suami kedua-dua boleh berbincang dengan baik untuk mencari penyelesaian.

Haji Fatah dipetik sebagai berkata bahawa apa yang bakal berlaku apabila rang undang-undang itu diluluskan, suami boleh dikenakan tindakan di bawah kategori merogol apabila isteri tidak rela di atas perbuatan suaminya.

Dewan Rakyat pada mesyuarat kedua, penggal pertama Parlimen Ke-11, 20 Julai 2004 telah membuat ketetapan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab mengkaji kedua-dua rang undang-undang berkenaan dengan memberi pandangan serta membuat syor ke atas peruntukan yang terkandung di dalamnya.

Ia dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan dianggotai Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Devamany a/l S Krishnasamy (Cameron Highlands), Tan Ah Eng Gelang Patah), Donald Peter Mojuntin (Penampang), Che Min Che Ahmad (Pasir Puteh) serta Teresa Kok Suh Sim (Seputeh).

Bagaimanapun menurut Abdul Fatah anggota Parlimen Pasir Puteh sebagai seorang berkelulusan agama dianggap gagal memainkan peranan bagi mengemukakan pandangan dalam konteks agama semasa rang undang-undang tersebut digubal.

Maka sudah jelas kepada kita bahawa pada zaman Islam Hadhari ini semakin banyak undang-undang yang jelas bertentangan dengan Islam diluluskan, sedangkan Imam Hadhari, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diketahui umum mempunyai latar belakang agama dan lahir daru keturunan ulama'.

Rang undang-undang kanun keseksaan itu menyebut kesalahan mengadakan hubungan seks dengan memasukkan sesuatu objek ke dalam faraj atau dubur seseorang. Kesalahan itu terkandung dalam seksyen baru 377CA yang dicadangkan dalam rang undang-undang tersebut.

Hukuman yang dicadangkan bagi kesalahan terbabit iaitu penjara sehingga 20 tahun dan hukuman sebat.


TUTUP TEMPAT-TEMPAT MAKSIAT SERTA-MERTA - HJ SALAMAT






Datuk Bandar MBMB

BUKIT KATIL, 11 Julai : Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menutup serta merta tempat-tempat maksiat di Bandaraya Melaka jika ingin melihat kadar jenayah dan maksiat berkurangan di negeri ini. Gesaan ini dibuat ketika beliau di minta mengulas berita yang menyatakan bahawa MBMB tetap tegas dan tidak bersetuju masa untuk pusat hiburan beroperasi dilanjutkan hingga jam 5 pagi.

"Bukan sahaja ianya tidak boleh dilanjutkan sehingga jam 5 pagi tetapi sepatutnya ianya ditutup terus kerana sudah terbukti ianya menjadi penyubur kepada gejala sosial dan jenayah" kata Hj Salamat dengan tegas.

"Inilah otak penganut Islam Hadhari yang tidak mengendahkan halal dan haram. Tidak kira buka sampai pukul 1 atau pukul 5 pagi ianya tetap haram kerana jelas pusat-pusat hiburan ini hanya menganjurkan program-program maksiat" jelas Hj Salamat lagi.

Beliau menambah seterusnya berkata bahawa kerajaan dan agensi kerajaan yang ada pada hari ini hanya mementingkan keuntungan duniawi tanpa memikirkan natijah yang berlaku hasil dari kewujudan pusat-pusat hiburan ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zaini Md Nor semalam berkata, masa untuk pusat hiburan melanjutkan operasinya hingga ke lewat pagi itu akan menimbulkan pelbagai aktiviti malam yang tidak sihat.

“Masa pusat hiburan dilanjutkan operasinya bagi membolehkan pelancong asing menikmati kehidupan malam dengan ceria bukan satu alasan yang bernas dan baik,” jelas beliau ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut beliau, tidak semestinya pelancong asing akan menghabiskan masa mereka di
pub-pub, disko, kelab malam atau pusat hiburan yang seumpamanya sehingga lewat pagi.

Di samping itu, beliau menegaskan, keadaan seumpama itu boleh mendatangkan pelbagai reaksi negatif termasuk menjejaskan imej negeri pelancongan di negara ini.

“Adalah lebih elok masa pusat hiburan, kelab malam, pub dan yang seumpamanya dikekalkan waktu operasinya hingga jam 1 pagi sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi pihak kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menegaskan, pelbagai masalah akan timbul sekiranya tempoh operasi pusat hiburan dilanjutkan hingga ke jam 5 pagi.

“Cadangan yang diberikan adalah tidak wajar kerana ia akan mengundang pelbagai masalah terutama di kalangan remaja dan masyarakat setempat,” ujar beliau.

Ketika mengulas kenyataan Ali Rustam ini, Hj Salamat sekali menempelak Naib Presiden Umno ini yang seolah-olah tidak sedar tentang peningkatan gejala maksiat di negeri ini.

"Puncanya bukan ia dibuka sehingga pukul 1 atau 5 pagi. Ia mesti ditutup terus kerana kita mesti mencegah kemungkaran dan menghapuskan puncanya sekali" jelas Hj Salamat yang juga merupakan Bendahari DPP Negeri Melaka.


JAKIM TIDAK SERIUS TANGANI ISU MURTAD - HARUSSANI


IPOH 11 JULAI : Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya bersikap proaktif dengan menjalankan kajian dan siasatan berhubung masalah murtad di negara ini kerana isu itu satu perkara yang serius bagi umat Islam.

Katanya jabatan itu sepatutnya telah bertindak menjalankan kajian mengenai isu itu tanpa perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak.

"Mereka tidak serius dengan isu ini... satu kes murtad pun sudah cukup serius. Apa nak tunggu sampai 100,000 orang. Ini seolah-olah anggap perkara ini bukan masalah serius di kalangan umat Islam," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim Datuk Mustafa Abdul Rahman supaya pihak yang menjalankan kajian dan mendapati 100,000 orang Islam murtad supaya menyerahkan laporan kepada jabatan itu, Harussani berkata beliau sedia memberikan laporan.

"Datanglah jumpa saya," katanya.

Harussani berkata, lebih baik bagi Jakim memulakan kajian dan siasatan untuk menangani masalah itu kerana pendedahan telah dibuat.

"Kita sudah dedahkan... patut sudah bertindak dan jalankan kajian," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin semalam turut meminta Harussani mengemukakan bukti mengenai dakwaan itu supaya ia tidak disifatkan sebagai kenyataan "atas angin".

Beberapa hari lepas, Mufti Perak itu berkata satu laporan kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual pada tahun lepas mendapati jumlah mereka yang murtad di negara ini mencapai sehingga 100,000 orang dan ia turut melibatkan seorang wanita bergelar ustazah.

Kerajaan sewajibnya menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dari dahulu lagi bukannya menunggu dan menanti laporan orang lain. Kerajaan mempunyai kakitangan dan anggota yang ramai untuk menangani kes ini. Tetapi malangnya Islam Hadhari yang diamalkan oleh kerajaan sekarang tidak menganggap gejala riddah ini sebagainya suatu yang amat merbahaya kerana itu ianya tidak dihiraukan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59