Saturday, 8 July 2006

MAWI MESTI PERTAHANKAN IMEJ BAIKNYA


KOTA BHARU 8 JULAI : Mawi diingatkan supaya terus mempertahankan imejnya sebagai idola remaja bukan hanya di bidang seni tetapi dalam semua perkara termasuk peribadinya.

Ingatan itu disuarakan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berikutan kontroversi yang melanda penyanyi dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sejak kebelakangan ini.

“Soal dia berpisah dengan tunangnya saya tak nak ulas. Tapi biarlah segala tindak-tanduknya termasuk peribadi dan kerjaya seninya dalam nyanyian boleh dijadikan idola remaja masa kini,” katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri membawa Mawi untuk mengadakan persembahan di Kelantan tahun lalu adalah dengan harapan untuk menjadikannya idola remaja kerana mempunyai ketokohan peribadi mulia menerusi seni suara.

“Dulu saya anggap dia boleh jadi ikutan atau idola remaja dalam bidang seni dan masih berharap biarlah imej itu kekal dan dia terus menjadi model remaja dalam segenap segi termasuk peribadinya,” katanya.

“Saya mahu dia terus mengekalkan imejnya kerana segala tindak-tanduknya menjadi ikutan kepada remaja lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda bintang AF3 itu apabila memutuskan pertunangan dengan Nordiana Mohd Naim, 22, atau lebih dikenali sebagai Ina.

Beliau ditemui selepas melawat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, yang sedang dirawat di Wad Dua Timur HUSM kerana mengalami kecederaan kerana terjatuh dari motosikal berkuasa tinggi, Sabtu lalu.

Mawi yang mencetuskan fenomena `Tsumawi’ selepas menyertai AF3 hingga bergelar juara pernah dijemput mengadakan persembahan secara terbuka di Kelantan pada awal Oktober tahun lalu.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59