Thursday, 6 July 2006

USUL KEKEJAMAN ISRAEL YANG DIBAWA SALAHUDDIN DILULUSKAN PARLIMEN


KUALA LUMPUR 6 JULAI : Persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan selama satu jam bagi membincangkan isu penahanan anggota kabinet kerajaan Palestin dan krisis Israel-Palestin yang dikemukakan Ketua DPP Pusat yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Salahuddin Ayub.

Dalam perbahasan tersebut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) didesak supaya mengadakan sidang tergempar membincangkan tindakan regim Israel menahan anggota kabinet kerajaan Palestin.

Desakan tersebut dibuat oleh Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM.

Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Ahmad Shabery Cheek berkata, kementeriannya telah mengarahkan wakil tetap Malaysia ke PBB supaya mengambil tindakan mendesak PBB segera mengadakan persidangan tergempar itu.

"Selain itu, sebagai Pengerusi OIC, kita juga telah meminta negara yang terlibat dalam proses pelan damai dan negara-negara maju (G-8), mengambil tindakan segera melalui saluran diplomatik dan menyelesaikan isu itu dengan cara terbaik," katanya ketika menggulung usul tergempar bagi membincangkan isu penahanan anggota kabinet kerajaan Palestin di Dewan Rakyat semalam.

Shabery berkata, Malaysia turut meminta enam anggota Troika OIC mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan perkembangan terbaru di Palestin.

"Malaysia, Senegal, Qatar dan tiga anggota OIC yang lain, Yamen, Turki dan Azerbaijan sepatutnya berjumpa dalam masa terdekat ini. Perjumpaan Menteri-Menteri Luar OIC baru dilangsungkan pada 19 dan 20 Jun lalu, jadi untuk memanggil mesyuarat di kalangan anggota OIC akan mengambil masa.

"Sehubungan itu, kita meminta supaya perjumpaan di kalangan ahli Troika diadakan," katanya.

Pendekatan proaktif

Ketika membentangkan usul tersebut, Salahuddin berkata Malaysia sebagai pengerusi OIC dan NAM, perlu mengambil pendekatan lebih proaktif terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin.

"Parlimen Malaysia perlu sokong usul ini bagi membolehkan kita menghantar mesej yang "kuat dan jelas" kepada rejim Israel," katanya.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika membahaskan usul itu pula berkata Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia telah menyokong rejim Israel dalam tindakan mereka menahan rakyat Palestin, termasuk anggota kabinet Palestin.

"Kalau saya berkuasa, saya akan hadap mereka ke mahkamah antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel itu.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam) pula mahu kerajaan bekerjasama dengan negara-negara lain supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi bagi mendesak rejim Israel menghentikan tindakan ketenteraan dan membebaskan anggota kabinet yang ditahan.

Usul itu diluluskan dengan sebulat suara.

Sumber : Malaysiakini.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59